Khamis, 14 September 2023

Sekadar catatan ringkas penerbangan BKI-MNL dan MNL-GES 26 Ogos 2023

Tags


Saya sengaja datang dua jam lebih awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu meskipun sudah disepakati agar anggota rombongan berkumpul kira-kira jam 10.00 malam. Beberapa artikel perlu disiapkan sebelum ke luar negara. Projek penulisan yang lain terpaksa ditangguhkan buat sementara. Buat yang mana perlu dulu. Selepas memesan minuman di KFC, saya membuka laptop lalu hanyut dalam simpang siur fikiran yang tak terelakkan.
Tidak lama kemudian, beberapa rakan memaklumkan mereka sudah tiba di Airport. Masih awal lagi sebenarnya. Kaunter check in hanya dibuka kira-kira jam 11.30 malam.
Penerbangan ke Manila dijadual berangkat jam 2.35 pagi menggunakan pesawat Cebu Pacific .Boarding jam 1.50 pagi.
Rombongan seramai 63 orang itu akan transit di Ninoy Aquino International Airport sebelum terbang ke General Santos City dan kemudian melalui jalan darat selama kira-kira empat jam lagi ke Cotabato City. Kebetulan Awang Airport Cotabato City sedang dibaik pulih. Itulah sebabnya kami terpaksa turun di Gensan, singkatan untuk General Santos City.
Kami dijangka berada di Mindanao pada 26 Ogos hingga 30 Ogos untuk menghadiri program Forum on BIMP-EAGA in BARMM: Opportunities Towards  Empowering Minority Communities dan berkunjung ke empat municipality Iranun iaitu Parang, Matanog, Barira dan Buldon.

Kami sepuluh orang yang ditugaskan membawa bagasi check in lebih awal. Set muzik kulintangan yang dibawa bersama untuk persembahan kebudayaan di Mindanao terpaksa dibahagi setiap seorang 20 kg supaya tidak perlu lagi kos untuk bagasi. Atas kebijaksanaan saudara Takdim, semua dapat diuruskan dengan baik. Bahkan e-travel yang perlu diisi sebelum tiba di Manila sudah diurus dengan teliti. Alhamdulillah. Semua berjalan lancar. 

Tidak lama kemudian kami ke Bilik Berlepas menanti waktu keberangkatan.


tiket BKI-MNL 26 August 2023




Haji Siban, Mabulmaddin, Dayang Sari dan Cikgu Ismail


Kira-kira jam 4.40 pagi sudah mendarat di NAIA. Delegasi yang menaiki Cebu Pacific tiba terlebih dahulu dan tidak lama kemudian, delegasi yang menaiki Air Asia dari KK juga sampai di lapangan terbang Manila. Penerbangan selanjutnya ke General Santos City dijadualkan jam 11.00 pagi.

Sebaik tiba di Ninoy Aquino International Airport Manila. Dari kiri Sdr Rosmin Haji Kasan, Marjikin Amboloi, Ahmad Jaidi Haji Osman, Junaidih Haji Saidan dan sdr Takdim Simbad

Masih ada beberapa jam lagi sebelum terbang ke Mindanao. Seawal pagi itu kami naik ke tingkat empat untuk mencari makanan yang boleh dicicipi. Tetapi selepas berputar beberapa kali, kami tidak menemui restoran halal. 

Kita cari restoran Samurai, kata Tuan Marawan yang beberapa kali pernah ke Manila. Malangnya restoran yang mendapat akredetasi dari Islamic Da'wah Council of The Philippines itu juga sudah tutup. Saya memerhati ada sticker compliment dari Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan masih terlekat di dinding kedai.

Ada surau di tingkat 3. Oleh sebab tidak ada lagi tempat yang boleh dituju,  sebahagian dari kami duduk menghabiskan waktu sambil mengecaj handphone di kawasan yang disediakan untuk penumpang di Tingkat 3. Sebahagian yang lain entah dimana.

Kira-kira jam 8.30 pagi, kami mulai bergerak ke balai berlepas. Pemeriksaan imigresen di NAIA agak ketat. Selain jam tangan, tali pinggang, kami juga diminta membuka kasut masing-masing.

Special Envoy BIMP-EAGA, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sudah berada di Cinnabon Cafe. Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kassim Mansur dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk berangkat ke General Santos City. Selain itu, ada juga Prof Dr Ismail Idris, sdr Effendy Jamaludin dari pejabat urusetia BIMP-EAGA Sabah. Dalam rombongan kami juga, ada pengurus Bataras, sebuah rangkaian supermarket terbesar di Sabah.


Jadual Penerbangan Cebu Pasific pada 26 August 2023

Dipetik dari Majalah Cebu Pasifik
Bersama sdr Effendy Jamaludin dan Prof Dato Dr Ismail Idris di NAIA
 

Sambil menunggu itu saya sempat singgah ke Abacus Book National Book Store untuk mencari apa saja buku mengenai Mindanao. Tetapi tak ada. Saya hanya sempat membeli The Complete Poetry of Edgar Allan Poe (1809-49) yang dijual dengan harga 325 peso. 


Tidak lama kemudian kami menaiki pesawat Cebu Pacific 5J993 ke General Santos City.