Khamis, 21 September 2023

Tidak menyangka diberi sambutan hebat di Polloc Freeport, Parang Maguindanao del Norte

Sungguh. Kami tidak menyangka akan diberikan sambutan sehebat itu. 
Municipality Government of Parang, Maguindanao del Norte. Perjalanan sejauh 17.27 kilometer dari Cotabato City terasa pendek sebaik kami melihat Teluk Illana yang tenang. Kelihatan tak berombak tetapi dikatakan memiliki dasar yang dalam. Teluk yang menyimpan pelbagai sejarah itu masih menyisakan keindahan alam wilayah yang dijoloki sebagai Iranun Cooridor atau Koridor Iranun itu.

Welcomes
Hon. Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia
Special Envoy, BIMP-EAGA Sabah
&
Malaysian-Iranun Delegates
August 27,2023 I Polloc Freeport, Parang, MDN.

Setiap anggota rombongan dikalungkan selempang tanda penghormatan sebelum dipersilakan duduk di tempat yang disediakan. Mayor Parang, Hon Cahar P Ibay selaku tuan rumah, Dr Ibrahim Ibay, Director Marites Maguindra, Mayor Sultan Mastura, Zulficar Ali H Panda, Commanding Officer Lt Col John A Dela Cruz adalah antara kenamaan yang menunggu kedatangan kami.
Majlis dimulakan dengan bacaan kitab suci alQuran oleh Ustadz Numan Pimbayabaya. Ustadz Numan, qari yang pernah menjadi johan di peringkat  antarabangsa , menyedut perhatian hadirin dengan bacaan dengan indah dan memukau
 
Parang terletak di lokasi paling strategik di BIMP-EAGA.  Ia memiliki pelabuhan Polloc Freeport yang boleh dimanfaatkan oleh kapal-kapal dagang dari seluruh kawasan BIMP-EAGA. Rakyat Mindanao pasti mendapat limpahan ekonomi dan kemajuan jika pelabuhan itu dapat meningkatkan peranannya dalam aktiviti perdagangan di rantau ini. 

Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Special Envoy BIMP-EAGA Sabah melihat potensi Parang sebagai pintu masuk perdagangan ke seluruh pulau Mindanao. Kedudukan dan peranannya amatlah penting sebagai katalis pembangunan rantau Mindanao.

"Ketika Singapura terkeluar dari Malaysia pada tahun 1965, republik itu tidak mempunyai banyak hasil. Tak punya apa-apa tetapi Singapura  memiliki pelabuhan . Dengan memiliki pelabuhan itulah Singapura dan menjadi hub perdagangan di Asia," kata Pandikar merujuk Singapura sebagai bandingan dengan pelabuhan Polloc yang dimiliki Parang.

Dengan jumlah penduduk kira-kira 102,914 orang (banci 2020)  dengan keluasan 850.78 kilometer persegi, Parang terletak di tepian Illana  Bay. Bayangkan pada tahun 1903, Parang memiliki hanya 603 penduduk.

Jika bukan kerana perang perjuangan melawan penindasan dan ketidakadilan , sejak berdekad dekad lalu, sepatutnya status Parang bukan lagi sebuah sebuah perbandaran malah mungkin sudah menjadi kota metropolitan di Mindanao. 
Pandikar menggesa agar masyarakat peniaga di Mindanao khususnya di kawasan BIMP-EAGA mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di rantau ini dengan lebih giat. Beliau tidak mahu masyarakat terutamanya golongan minoriti terpinggir dari arus kemajuan.
Beliau juga memberitahu bahawa turut serta dalam delegasi BIMP-EAGA  Sabah  ialah Naib Canselor Universiti  Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kassim Haji Mansur, Profesor Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim, Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS untuk menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan di antara Sabah dan Mindanao. Beliau menggesa agar lebih ramai pelajar dari Mindanao mengambil peluang meneruskan pengajian diUMS.
Selain itu, sebagai salah satu usaha untuk menangani masalah makanan halal di Mindanao, beliau membawa pengurusan Bataras, sebuah syarikat hypermarket ternama di Sabah  untuk meninjau peluang perniagaan di Mindanao.

Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sedang menyampaikan ucapan di Parang
 
Walaupun sudah berpuluh kali ke Mindanao, kunjungan ke Parang ternyata yang pertama bagi Tan Sri Pandikar dan rombongan. Beliau mengakui bahawa beliau pernah bertanya kepada rakan-rakannya mengenai Iranun di Mindanao tetapi tiada yang dapat memberikan jawaban yang tuntas.
Beliau sangat teruja apabila diberitahu kawasan-kawasan yang dikunjungi adalah kawasan-kawasan Iranun iaitu Parang, Matanog, Barira dan Buldon.
Itulah sebab bila berasa amat gembira kerana pada akhirnya dapat bertemu dengan bangsa yang berbahasa Iranun, menyebut dirinya Iranun dan kekal dengan identiti budaya bangsanya.
Mayor Parang, Hon Cahar P Ibay menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih atas kunjungan 68 anggota delegasi itu. Pihaknya rasa gembira atas kehadiran delegasi Iranun  Malaysia itu.Sepanjang berada di sana kami dijamu dengan pelbagai juadah makanan tradisi Iranun Mindanao. Untuk hidangan tengahari, kami dihidangkan ketam, udang, dan beberapa jemis makanan tradisi yang  lain. Luar biasa.
Kunjungan ke Parang itu memang mengesankan. Gerimis memang turun sekejap sekadar membasahi halaman dan tidak lama kemudian, sekumpulan penari Iranun  dari Parang mempersembahkan tarian Singkil.

"Menarik juga ya, Ada persamaan sedikit dengan Magunatip. Tapi di Sabah, tarian etnik Murut," kata Laliman, peneliti budaya. Kalau di Sabah, tarian seperti ini ditarikan oleh suku Murut, di Mindanao, tarian ini jadi kebanggaan orang Iranun, Maranao dan Maguindanao.
Mungkin bagus juga untuk diteliti.  Walaupun masing-masing tarian memiliki ciri-ciri khas dan tersendiri, tetapi keterkaitan itu wajar juga untuk dikaji.
Lawatan ke Parang itu, kota pertama yang dikunjungi dalam program BIMP-EAGA ini sebenarnya diisi bukan saja dengan agenda untuk membantu membangunkan masyarakat minoriti, menjadi satu medan pertemuan antara keluarga Iranun di Mindanao dan di Sabah. Bahkan di celah-celah  kunjungan itu, serombongan keluarga Datu Pidat dari Malabang datang mencari Datu Mualasan Datu Alang dan rakan-rakan yang menjadi sebahagian anggota keluarga mereka dari Sabah.
Ya,Walaupun golongan sejarawan masih  belum dapat memberi jawapan tuntas dan meyakinkan mengenai sejarah mana yang lebih dulu, Iranun Sabah atau Iranun yang ada di Mindanao, tetapi apa yang yang lebih penting ialah bagaimana komuniti  masyarakat yang ada di Sabah dan Mindanao itu boleh saling bantu membantu memajukan rantau ini dalam rangka kerjasama BIMP-EAGA.



Mayor Parang, Hon Cahar P Ibay menyampaikan ucapan alu-aluan





Kuih tradisi Iranun dari Parang

Datu Maulasan Datu Alang, Datu Zainudin Keri bertemu keluarga yang datang dari Malabang setelah puluhan tahun terpisah


Delegasi Iranun Malaysia menyaksikan  persembahan tarian Singkil

Delegasi dari Malaysia bergambar kenangan ketika berada di Parang
Bukan selalu...Hadirin mengambil kesempatan bergambar dengan Tan Sri Pandikar dan rombongan

Grup penari Parang bergambar untuk kenangan
Tarian singkil

Antara delegasi dari Iranun Malaysia
Antara delegasi dari Iranun Malaysia

Menarik perhatian...Hadirin menyaksikan  persembahan tarian Singkil

Antara pemandangan yang dilalui sepanjang perjalanan ke Parang




 

Jumaat, 15 September 2023

Kalau kapal terbang, kamu pasti sudah tertinggal

 

Kalau kapal terbang, kamu pasti sudah tertinggal, kata Pa’min  bersahaja ketika kami masuk ke ruang makan itu. Walaupun bersahaja tetapi ucapan itu agak menyengat. Mungkin kami sedikit terlambat.

Kami terus saja mencari makanan untuk sarapan pagi. Nampak ada ubi rebus. Ada juga pisang rebus. Makanan lain biasa saja seperti yang dihidangkan di hotel. Hotel Alnor adalah salah satu hotel terbesar di Cotabato City.

Semalam selepas mendaftar nama untuk check in, kami sempat bertemu dengan jawatankuasa penganjur, yang datang meraikan kami. Sempatlah bergambar-gambar kerana masing-masing ingin melepaskan Lelah. 

Mayor Buldon, Hon. Pahmia A. Manalao-Mastur, Mayor Matanog Hon. Zohria S. Bansil-Guro, Mayor Mayor Sultan Mastura, Hon. Zulficar Ali H. Panda, Mayor Parangf,Hon  Cahar P.Ibay,Atty Sultan Rico Pelandoc, madam Marites Maguindra antara yang menyambut rombongan Special Envoy BIMP-EAGA Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia. Turut kelihat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof Datuk Dr Kassim Haji Mansur





Mayor Matanog Hon. Zohria S. Bansil-Guro, Mayor Mayor Sultan Mastura, Hon. Zulficar Ali H. Panda, Atty Sultan Rico Pelandoc, madam Marites Maguindra antara yang menyambut rombongan Special Envoy BIMP-EAGA Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia. Turut kelihat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof Datuk Dr Kassim Haji Mansur



Mayor Parang,Hon. Cahar P. Ibay, Mayor Buldon Hon. Pahmia A. Manalao-Mastura bersama rombongan yang menyambut kami. Turut kelihatan Puan Sri Diana Deigo.





Mohd Tar bersama Engr Mohandis Abdulla Pagunotan



Agak teruja juga kerana bertemu dengan King of Moro Song, Datu Khoemini Camsa Bansuan yang turut hadir. Kebetulan penyanyi terkenal Bangsamoro ini adalah anak angkat tuan Marawan.

Bergambar bersama Datu Khomeini Camsa Bansuan, King of Moro Song di Alnor Hotel.

Kami sebilik tiga orang. Saya, sdr Laliman dan sdr Awang Karim Kadir. Persamaan kami ialah ketiga-tiganya penulis, dan cintakan sastera dan budaya. Cuma mereka berdua terjun dalam politik. Yang satu ketua USNO Darau dan seorang lagi Ketua Usno Kudat.

Kerana itu banyaklah topik yang jadi perbualan. Dari soal seni dan sastera, soal perjuangan sahsiah hinggakan soal-soal agama hingga tasauf. Kebetulan Awang Karim juga imam di kampungnya.

Selepas menikmati makan malam semalam, makan selepas kira-kira 25 jam dalam prerjalanan, kami masuk bilik untuk berehat sebentar kerana berhasrat untuk mengitari Cotabato City.

Tapi tak kesampaian kerana kami terbangun kira-kira jam 2.30 pagi. Letih sekali tetapi walaupun perjalanan itu memenatkan tetap terasa seronok.

Anggota delegasi diminta bersedia kerana jam 7.30 pagi, rombongan akan menuju Parang. Parang kini menjadi salah satu municipalty dalam wilayah Maguindanao del Norte yang baru diwujudkan. Dulunya Parang, Barira masuk dalam wilayah Wilayah Sharif Kabunsuan.

Parang memiliki sebuah Pelabuhan bebas Polloc port, yang terletak di Teluk Illana yang cantik. Selalu disebut sebagai Koridor Iranun (Iranun Corridor), Parang mempunyai kedudukan yang strategik dalam peta BIMP-EAGA. Ia boleh memainkan peranan penting dalam menghidupkan potensi ekonomi untuk komuniti minoriti dan marginal.

Sejarah mencatatkan pada Jun 1851, tentera sepanyol berpengkalan di Zamboanga menyerang Polloc. Kerana airnya yang dalam, sepanyol membina kubu dan pengkalan tentera laut untuk mereka gunakan menyerang orang Moro di Lembah Pulangi.

Pada tahun 1860, Polloc sudah menjadi kota kecil dan pada 1884, jalan raya sudah dibina untuk menghubungkan Polloc dan bandar lain di Cotabato. Selepas Perang Amerika 1901, Polloc dikuasai oleh Amerika. Pada tahun  1917, Polloc menjadi sebahagian daripada Parang. Presiden Manuel Roxas kemudian menandatangani Executive Order No.82 untuk menjadikan Parang sebuah municipality 18 Ogos 1947.

Pelabuhan Bebas dan Zone Ekonomi Bebas Polloc, yang kini terletak di Barangay Polloc, bandar parang, dibina pada 1977 dan kini menjadi sebuah Pelabuhan penting di wilayah Bangsamoro dan menghubungkannya dengan Manila dengan bandar-bandar lain.

Pada 19 Jun 2023, Parlimen Bangsamoro Transition Authority  meluluskan rang undang-undang untuk memindahkan pusat pentadbiran Bangsamoro dari Cotabato City Ke Parang. Parang bersempadan dengan Barira dan Matanong di sebelah utara manakala di timurnya terletak Buldon manakala di selatannya   terletak Sultan Kudarat.

Parang adalah tempat pertama yang kami kunjungi pada sebelah pagi manakala pada sebelah petangnya kami akan ke Matanog.

“Saya sudah jalan.Sebab janji semalam, kita jalan 7.30 am. Siapa yang lambat kasih tinggal saja”. Sekonyong-konyong saya terbaca pesan di grup whatsapp. Kami segera  bergegas ke Parang.

 

Ada hikmahnya kami turun di Gensan dan perjalanan empat jam ke Cotabato City

ADA hikmahnya kami turun di Gensan. Kalau tidak, tentu sekali kami terlepas melihat pemandangan  beberapa kota dan barangay yang dilalui sepanjang kira-kira 186 kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang General Santos ke Cotabato City. Mujur perjalanan hampir empat jam itu tidak membosankan. Lebuhraya Pan Philippines Highway yang kami lalui itu terbentang lurus dan  lebar.  Antara yang kami lalui ialah Polomolok,Tupi,Koronadal City, Tacurong City, Isulan, Ampatuan,Datu Abdullah Sangki, Sharif  Aguak, Datu Unsay, Datu Udin Sinsuat sebelum tiba di Alnor Hotel Cotabato tempat kami menginap.

Pesawat Cebu Pasific 5J993 mendarat di Tambler Airport kira-kira 1.40 petang. Dari sana, kami akan menaiki bas untuk ke Cotabato City. Perjalanan mungkin lebih singkat jika kami mendarat di Awang Airport tetapi lapangan terbang sedang diperbaiki. Itu sebabnya pilihan jatuh ke General Santos City kerana ia lapangan terbang terdekat berbanding Davao yang jaraknya mungkin jauh sedikit.

Di Airport, kami disambut oleh Grup Iranun 28 Nusantara. Mereka menggelar diri mereka Iranun 28 Nusantara kerana mereka adalah rombongan 28 orang Iranun dari UBIPD dan ISLP  yang menyertai Pertemuan Iranun Nusantara yang diadakan di Kampung Rampayan Laut Kota Belud pada Disember 2022.

Terdapat beberapa kenderaan disediakan untuk. Kami menaiki Bas No9. Rakan-rakan rombongan menaiki bas yang sudah dinomborkan.

Dalam bas kami yang dipandu oleh Farhan, Sultan Kim Ampuan bertindak sebagai juruiring. Duduk di sebelah saya ialah Sdr Laliman, di belakang kami ada babu Dayang Sari, satu-satu primadona dalam dalam delegasi kami. Ada Haji Sharif Perais Sharip Baba, Sharif Aiman Sh Razis, Ahmad Jaidi Haji Osman, sdr  Rosmin Haji Kassan dan kemudian Cikgu Haji Mohd Isha Jutor. Sultan sa Patot atau sdr Apan juga dalam bas kami.

Agenda pertama yang kami harap sebaik rombongan memulakan perjalanan ialah mencari tempat makan atau Restoran Halal. Sebabnya ada di antara kelaparan kerana sejak malam sebelumnya hanya sempat minum air mineral. Bayangkan jam 10.00 malam sudah berada di Airport KK untuk berkumpul dan urusan check in. Pesawat hanya berlepas kira-kira jam 2.35 pagi. Setibanya di Ninoy Aquino Airport, ramai yang tidak dapat makan kerana tidak ada restoran  halal. Kemudian berehat dan tertidur sebelum terbang lagi jam 11.00 pagi ke Gensan. Tiba kira-kira jam 1.40 petang dan hasrat hati memamg mencari tempat makan.

Di mana kita boleh singgah makan? Saya bertanya Kim.

Beliau tidak dapat menjawab dengan pasti kerana katanya kami tidak boleh berhenti sesuka hati sebab kami dalam konvoi mengiringi VVIP. Sepanjang perjalanan itu kami diiringi oleh pihak tentera dan polis. Mereka mahu memastikan kami benar-benar dalam keadaan selamat. Apatah lagi,VVIP Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, selain tugasnya sebagai Special Envoy BIMP EAGA Sabah, beliau seorang pemimpin yang sangat dihormati. Kami bergerak secara konvoi 16 kenderaan. Kerana bas kami No 9, kami berada di belakang sedikit. Oleh sebab itu, tidak banyak yang dapat harapkan melainkan menunggu kira-kira empat jam sebelum sampai di Cotabato.

Terpaksa bersabar dan berlapar. Saya cuma bimbangkan orang-orang senior dalam rombongan kami itu..

Mujurlah TSPA mengajak berhenti berhenti di gerai buah Tacurong City. Tidak ada pilihan, pasukan keselamatan terpaksa akur juga. Di sana kami menikmati durian, rambutan dan buah madang atau tarap. Kami tidak berani makan banyak kerana kebetulan perut kosong.

Sepanjang perjalanan itu, saya bercerita kepada sdr Laliman mengenai Gensan berdasarkan buku yang saya pernah baca. Dan itu kemudian dibenarkan oleh Kim, juru iring kami.

General Santos dulunya di bawah kekuasaan Kesultanan Buayan. Sebelumnya ia pernah juga berada di bawah kekuasaan Sultan Maguindanao. Selepas kejatuhannya, Datu Utto memperluaskan wilayahnya hingga ke Teluk Sarangani, yang terkenal kerana produksi ikan tuna.

Gensan juga terkenal kerana juara tinju dunia, Manny Pacquiao. Seorang peninju yang mengagihkan hadiah kemenangan kepada orang-orang miskin di Gensan. Kemudian beliau terpilih sebagai salah seorang senator hinggalah sekarang.

Tidak banyak yang saya kenali di sini. Saya teringat Ustaz Hassan Sarip yang dulu pernah ke Kota Belud, khabarnya di Gensan.

Seorang sahabat penulis Gandhi Kinjiyo juga di Gensan. Ayahnya anak seorang Jepun yang pernah jadi spy sebelum perang dunia kedua, berkahwin dengan neneknya orang Maguindanao Isterinya orang Maranao dari Balabagan. Gandhi lulusan Master in Public Administration di Ateneo de Davao. Beliau menulis tesis mengenai kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan Indonesia.

Gandhi pernah memberitahu mengenai keberadaan Iranun di Parang, Barira, Buldon, Matanog, Kapatagan dan merupakan sahabat dekat wartawan senior Ali Macabalang dan wartawan penyiaran di Upi, Alih S Anso.

Ada juga rakan lain, Sukarno Pendaliday dan Moner Bajunaid, tapi sudah sangat lama tidak bertemu. Wartawan seperti Nash Mauana, Amir Mawalil, Samira Gutoc, dan aktivis mekmek Amirah Lidasan, dan ramai lagi yang sengaja tidak dihubungi kerana jadual yang ketat.

Canselor Mindanao State University di Gensan, Usman Aragasi, saya belum pernah bertemu.

Selain itu, saya agak terharu juga bila melintasi Sharif Aguak. Disinilah dulu Mufti Besar Mindanao, Ustaz Abuhuraira Abdurrahman Udasan pernah bersekolah dan kemudian menjadi Pengarah Maahad Al Rahmaniah. Beliau dilahirkan di Dulawan, sekarang dikenali sebagai Datu Piang  pada Mac 3, 1942, seorang ulama terkenal di Nusantara. Beliau rakan sekelas dengan Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, arwah Datuk Ismail Abbas, Mufti Sabah, mantan Menteri Prof Abdullah Mohd Zin. Sering menjadi wakil Bangsamoro dalam perundingan dan pernah bertemu Presiden Necmettin Erbakan dan Abdurrahman Wahid.

Lulusan Universiti Madinah ini pernah bertugas di Sabah sejak 1974, sebelum Kembali ke Mindanao dan dilantik sebagai Mufti Besar Bangsamoro pada 2012.

Beliau Kembali ke rahmatullah di Cotabato City pada 3 Julai lepas ketika berusia 81 tahun.

Ketika melihat masjid Pink atau Masjid Dimaukom di Datu Saudi Ampuan, saya memberitahu Babu Dayang Sari. Penduduk  berdekatan masjid ini kebanyakan keluarga isteri kepada sdr Aningan .

Banyak juga cerita mengenai Sejarah perjuangan Bangsamoro. Asal mula perjuangan dan bagaimana dulu Ilaga membunuh Masyarakat Islam dengan kejam. Kemudian Kumpulan blackshirt bangkit di Cotabato dan Barracuda di wilayah kira-kira tahun 1971 untuk mempertahankan diri.Selain bagaimana peperangan menyebabkan keterbelakangan di Mindanao. Bagaimana sukarnya mencari perdamaian dan mengenai perselisihan Rido yang menghambat keharmonian demi semata mata untuk memperjuang martabat keluarga.

Sebenarnya cerita-cerita ini sekadar untuk menghilangkan rasa lapar sebelum sampai di Hotel Alnor Cotabato City.

 



Bergambar sebaik tiba di Airport Gensan

Bersama tokoh budaya Iranun, Cikgu Ismail Sidik
Sedang menunggu penyusunan kenderaaan
 


Di Tacurong City, Sultan Kudarat

Banyak sekala Pandara di Cotabato

TSPA sedang memperkatakan sesuatu kepada Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Haji Mansur dan Prof Madya Dr Fifi ketika berhenti rehat di gerai buah-buahan di Tacurong, Sultan Kudarat.



Seketika ketika singgah di Tacurong

Asalkan gembira dan bahagia


Khamis, 14 September 2023

Sekadar catatan ringkas penerbangan BKI-MNL dan MNL-GES 26 Ogos 2023


Saya sengaja datang dua jam lebih awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu meskipun sudah disepakati agar anggota rombongan berkumpul kira-kira jam 10.00 malam. Beberapa artikel perlu disiapkan sebelum ke luar negara. Projek penulisan yang lain terpaksa ditangguhkan buat sementara. Buat yang mana perlu dulu. Selepas memesan minuman di KFC, saya membuka laptop lalu hanyut dalam simpang siur fikiran yang tak terelakkan.
Tidak lama kemudian, beberapa rakan memaklumkan mereka sudah tiba di Airport. Masih awal lagi sebenarnya. Kaunter check in hanya dibuka kira-kira jam 11.30 malam.
Penerbangan ke Manila dijadual berangkat jam 2.35 pagi menggunakan pesawat Cebu Pacific .Boarding jam 1.50 pagi.
Rombongan seramai 63 orang itu akan transit di Ninoy Aquino International Airport sebelum terbang ke General Santos City dan kemudian melalui jalan darat selama kira-kira empat jam lagi ke Cotabato City. Kebetulan Awang Airport Cotabato City sedang dibaik pulih. Itulah sebabnya kami terpaksa turun di Gensan, singkatan untuk General Santos City.
Kami dijangka berada di Mindanao pada 26 Ogos hingga 30 Ogos untuk menghadiri program Forum on BIMP-EAGA in BARMM: Opportunities Towards  Empowering Minority Communities dan berkunjung ke empat municipality Iranun iaitu Parang, Matanog, Barira dan Buldon.

Kami sepuluh orang yang ditugaskan membawa bagasi check in lebih awal. Set muzik kulintangan yang dibawa bersama untuk persembahan kebudayaan di Mindanao terpaksa dibahagi setiap seorang 20 kg supaya tidak perlu lagi kos untuk bagasi. Atas kebijaksanaan saudara Takdim, semua dapat diuruskan dengan baik. Bahkan e-travel yang perlu diisi sebelum tiba di Manila sudah diurus dengan teliti. Alhamdulillah. Semua berjalan lancar. 

Tidak lama kemudian kami ke Bilik Berlepas menanti waktu keberangkatan.


tiket BKI-MNL 26 August 2023




Haji Siban, Mabulmaddin, Dayang Sari dan Cikgu Ismail


Kira-kira jam 4.40 pagi sudah mendarat di NAIA. Delegasi yang menaiki Cebu Pacific tiba terlebih dahulu dan tidak lama kemudian, delegasi yang menaiki Air Asia dari KK juga sampai di lapangan terbang Manila. Penerbangan selanjutnya ke General Santos City dijadualkan jam 11.00 pagi.

Sebaik tiba di Ninoy Aquino International Airport Manila. Dari kiri Sdr Rosmin Haji Kasan, Marjikin Amboloi, Ahmad Jaidi Haji Osman, Junaidih Haji Saidan dan sdr Takdim Simbad

Masih ada beberapa jam lagi sebelum terbang ke Mindanao. Seawal pagi itu kami naik ke tingkat empat untuk mencari makanan yang boleh dicicipi. Tetapi selepas berputar beberapa kali, kami tidak menemui restoran halal. 

Kita cari restoran Samurai, kata Tuan Marawan yang beberapa kali pernah ke Manila. Malangnya restoran yang mendapat akredetasi dari Islamic Da'wah Council of The Philippines itu juga sudah tutup. Saya memerhati ada sticker compliment dari Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan masih terlekat di dinding kedai.

Ada surau di tingkat 3. Oleh sebab tidak ada lagi tempat yang boleh dituju,  sebahagian dari kami duduk menghabiskan waktu sambil mengecaj handphone di kawasan yang disediakan untuk penumpang di Tingkat 3. Sebahagian yang lain entah dimana.

Kira-kira jam 8.30 pagi, kami mulai bergerak ke balai berlepas. Pemeriksaan imigresen di NAIA agak ketat. Selain jam tangan, tali pinggang, kami juga diminta membuka kasut masing-masing.

Special Envoy BIMP-EAGA, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sudah berada di Cinnabon Cafe. Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kassim Mansur dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk berangkat ke General Santos City. Selain itu, ada juga Prof Dr Ismail Idris, sdr Effendy Jamaludin dari pejabat urusetia BIMP-EAGA Sabah. Dalam rombongan kami juga, ada pengurus Bataras, sebuah rangkaian supermarket terbesar di Sabah.


Jadual Penerbangan Cebu Pasific pada 26 August 2023

Dipetik dari Majalah Cebu Pasifik
Bersama sdr Effendy Jamaludin dan Prof Dato Dr Ismail Idris di NAIA
 

Sambil menunggu itu saya sempat singgah ke Abacus Book National Book Store untuk mencari apa saja buku mengenai Mindanao. Tetapi tak ada. Saya hanya sempat membeli The Complete Poetry of Edgar Allan Poe (1809-49) yang dijual dengan harga 325 peso. 


Tidak lama kemudian kami menaiki pesawat Cebu Pacific 5J993 ke General Santos City.

Rabu, 16 Ogos 2023

Catatan sebelum pulang dari Tanjung Selor 29 April

Meskipun kunjungan kami ke Tanjung Selor hanya sehari dua tetapi kami dapat berziarah keluarga, sempat ke Tanah Pemakaman Umum Islam Tg Selor, selain melihat bekas rumah ibu Zai yang musnah dimamah api di Jalan Ramania, Februari lalu.

Kami sempat juga berkeliling kota Tanjung Selor bersama Pak Hasbi, supir Grab yang baik hati. 

Kemudian tibalah masa kepulangan itu. Sebelum berangkat kami sempat berfoto dengan Bu Us dan suaminya pakcik Erlin. Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai Babinsa berpangkat sersan Mayor,  beliau tetap menyempatkan diri untuk menghantar kami ke dermaga.


Kami menaiki speed CB Menara Baru Express Junior, yang berangkat paling awal dari Tanjung Selor ke Tarakan. Berangkat jam 7.00 dan dijangka tiba kira kira sejam kemudian di Tarakan. Ongkos tiketnya kira-kira Rp145,000 seorang. Turut menghantar kami selain pakcik Erlin dan Bu Us, ialah Annie dan Dyah anak arwah Ibu Zai.


Sebaik tiba di Tarakan, kami terus membeli tiket ke Nunukan. SB Malindo berangkat jam 9.15 pagi. Ongkos tiket kira-kira Rp280,000. Ada sedikit masa untuk kami ke bilik air dan membeli makanan sekadar mengisi perut yang mulai kelaparan.

Sesampainya kami di Nunukan, kebetulan supir angkot, Pak Anto berada di pelabuhan PLBL. Kami minta dihantarkan lagi untuk menginap di Hotel Marami. Di sisi hotel itu, ada restoran yang menjual makanan. Kami sempat memesan kopi susu (rp22,000) kopi hitam (rp20,000) nasi goreng seafood (rp27,000), Nasi goreng ayam penyet (rp50,000), French fries (rp16,000), caramel latte (rp23,000). 

Esoknya kami berangkat pulang ke Tawau dengan menaiki Kaltara Express yang berangkat kira-kira jam 9.00 pagi, Syukurlah kerana dalam kunjungan singkat itu, kami dapat juga bersilaturrahmi.


Isnin, 14 Ogos 2023

Hari Pertama ziarah di Tanjung Selor

Hujan turun dengan lebatnya tidak lama selepas kami tiba di rumah Pakcik Erlin dan Bu Us di Jalan Pinus Tanjung Selor Hilir. Alhamdulillah, di rumahnya ada Wifi. Dapatlah kami berhubung dengan keluarga di Tawau.
"Di sini hujan lebat, Sam" . Saya memberitahu Sam mengenai keadaan di Tanjung Selor, ibu kota Provinsi Kalimantan Utara.
Namun sepanjang perjalanan kami lebih tiga jam dari Nunukan, cuaca amat baik sekali. Ketika tiba di Dermaga Kayan, kami hanya menunggu dijemput kerana kami tidak dapat menghubungi siapa siapa kerana telefon kami tak ada `sinyal', istilah orang di sana.
Mujur, isteri saya sempat meminjam telefon orang, Nurul namanya, untuk menelefon Annie, yang segera pula menyambut telefon. 
Tidak lama kemudian, Bu Us, Pakcik Erlin dan Annie datang menjemput kami.

Tanjung Selor ternyata semakin maju.Kali terakhir kami menjejakkan kaki ke ibu kota Kabupaten Bulungan itu ialah pada tahun 2004 iaitu kira-kira 19 tahun  yang lalu.

Kota yang penduduknya kira-kira 56,569 orang (menurut wikipedia) adalah sebuah kota yang tenang. Tidak ada kesesakan lalu lintas. Semuanya terasa nyaman. Tanjung Selor  memiliki sejarah panjang. Kota yang didirikan pada 12 Oktober 1790, seluas 677.77 km itu, kini semakin berkembang maju. 
Banyak sekali yang berubah. Kini Tanjung Selor sudah memiliki lapangan terbang sendiri iaitu Tanjung Harapan Airport yang menghubungkan ibu kota kabupaten Bulungan itu dengan Balikpapan.

Sebenarnya kunjungan  kami kali ini sekadar menjenguk keluarga dan sanak saudara isteri saya. Kebetulan masih  dalam suasana aidil fitri.Hari itu hari kelima aidilfitri

Selepas berehat sebentar, ketika hari beransur petang. Oleh sebab kunjungan kali ini agak singkat,  kami terpaksa mengatur masa dengan baik. Hari itu kami harus berkunjung dulu ke rumah  makcik  Jelis. Bersilaturahmi. Anak-anaknya masih sepupu isteri saya. Kemudian kami ke rumah Pakcik Man, seorang pakcik yang kelakar dan membuat dunia seolah-olah tiada masalah. Singgah di rumah Bu As dan berakhir di rumah pakcik Zul. Kami sempat singgah di Kuliner Tepi Kayan (Kulteka).
Bagi kami, perjalanan kali ini sungguh bererti.




Dermaga Kayan
Antara pemandangan  di kota Tanjung Selor
Dijemput Bu Us sebaik tiba di Tanjung Selor
di rumah Bu Us di Tanjung Selor Hilir


Jalan ke rumah arwah Bu Jelis




Melawat Kak As


Di rumah pakcik Man