Khamis, 23 Februari 2023

sambil menunggu iyan

 Sambil menunggu Iyan pulang bercuti dari Bachok, kami duduk minum kopi di kafe Dunkin' LTAKK. Tidak banyak pilihan. Di sini hanya ada KFC dan Starbuck.

Saya cuba menyemak semula beberapa kerja yang belum selesai. Saya berharap dapat menyiapkannya tepat pada masanya. 

Setakat ini, walaupun perlahan tetapi setiap hari ada perkembangan positif. Yang perlu dilakukan cuma lebih disiplin mengatur masa. Memang saya menyedari masa terbuang sia sia dan tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Perlu tekad dan azam yang kuat untuk menyiapkan perancangan yang telah dibuat.  Memang terdapat banyak kelemahan diri tetapi insyaAllah ia boleh diperbaiki sedikit demi sedikit.

Setengah jam lagi Iyan dijangka tiba di balai ketibaan 2. Namun masa sejam menggunakan wifi airport hanya bersisa sedikit lagi . Saya terpaksa berhenti sebentar untuk menyambung catatan ini di lain kali.

Saya melatih diri lagi untuk terus mencatat, Kelak satu masa akan berguna. Salam hormat


Isnin, 30 Januari 2023

penghujung Januari 2023, sekadar catatan untuk mengingatkan diri sendiri

Penghujung Januari 2023. Saya bersyukur kerana dapat menyusun semula perancangan untuk menyiapkan 10 buku sepanjang tahun ini. Semoga diberikan kudrat, kesihatan dan pemikiran yang baik untuk merealisasikan hasrat untuk menulis dan menerbitkan buku.

Bagi sebahagian orang mungkin jumlah sepuluh buku ini tidak realistik. Tetapi bagi saya, jumlah sepuluh buku ini mungkin memadai. Bahan-bahan yang mahu diterbitkan sudah ada. Kendalanya cuma dari segi penyuntingan, design dan layout dan kendala kewangan. Saya fikir boleh diatasi asalkan berusaha.

Saya ingin membukukan tulisan tulisan saya yang tersiar dalam kolum nota hujung minggu Utusan Borneo sejak sepuluh tahun lalu. Sekarang saya sedang memilih mana yang patut diterbitkan mana yang tidak. Itu buku pertama bertajuk Yang Tak Habis Difikir.

Buku kedua saya adalah buku travelogue Mencari Iranun, iaitu catatan perjalanan saya menjejaki etnik Iranun di Nusantara sejak tahun 2010.

Buku ketiga saya ialah kumpulan wawancara saya bersama tokoh-tokoh , pemimpin, orang biasa yang terpaksa di bahagikan kepada beberapa jilid mengikut bidang.

Buku keempat ialah projek bersama MAGEBS iaitu interview dengan personaliti pimpinan Majlis Gabungan Etnik Sabah.

Buku kelima ialah projek bersama menulis biodata pemimpin-pemimpin KRT.

Buku keenam ialah buku wawancara dengan pennulis penulis Sabah

Buku ketujuh adalah kumpulan wawancara bersama diplomat-diplomat yang pernah saya interview.

Buku kelapan adah kumpulan puisi penulis-penulis grupnwhatsApp Sastera Sahabat Kita, yang menghimpunkan karya puisi Asean.

Buku kesembilan ialah mengenai catatan perjalanan saya keliling Thailand, Kemboja Viertam, Filipina, Indonesia dan lain-lain.

Buku kesepuluh adalah biografi personaliti tokoh tokoh Iranun.

Buku kesebelas adalah catatan mengenai Tan Sri Pandikar Amin sepanjang menjadi Speaker Parlimen 2008-2018

Buku kedua belas buku biografi Allahyarham OKK Haji Masrin Haji Hassin

Buku ketiga belas adalah buku biografi Datu Ampuan Pinjaman Hassin

Buku keempat belas biografi ringkas Datuk Haji Noortaip Haji Suhaili

Buku kelima belas- buku autobiografi Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Okin.

Buku keenam belas- tak perlu tulis lagi. Nanti kata orang ini tidak lebih posting temberang kalau buku  pertama , dari salah satu tajuk yang dirancang itu, tidak terbit pada Mac atau April  ini.


Sekadar catatan untuk memotivasi diri.

Sabtu, 24 Disember 2022

mulai menulis lagi

 Masih mencari rentak untuk menulis.Mungkin kerana lama berdiam.  Jadi fikiran ikut membeku.Banyak idea yang tidak dapat dialihkan atau diterjemahkan. Banyak juga yang tidak dapat dileraikan dari kekusutan. Tapi masih yakin saya masih boleh menulis. Kerana itu saya mulai lagi.


Saya berharap dapat menyiapkan pelbagai projek penulisan yang tergendala pada tahun 2022. Semoga saya diberikan kekuatan dan kejernihan fikiran pada tahun  menjelang. Saya  membuat ketetapan dan mengambil keputusan untuk lebih serius menekuni bidang yang diminati. Penulisan, penerbitan selain meneruskan aktiviti kewartawanan. Tidak lupa memantapkan usaha  niaga yang dipilih.

Insya Allah semoga semuanya diberkati.

Jumaat, 23 Disember 2022

duduk sambil menghabiskan teh o di Asia City

 Ketika ini saya duduk di sebuah restoran di Asia City. Sudah menghabiskan dua gelas teh o kosong sambil menunggu Datu Lak yang sudah berjanji untuk datang. 

Bagi mengisi masa menanti ini, saya mendengar ucapan Prof Dr Reduan Osman, Prof Wan Ramli Daud dan Prof Emeritus Dr Shahrir Mohd Zain  dalam satu majlis pertemuan Perdana  Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ada banyak perkara menarik dalam ucapan mereka. Prof Shahrir menyebut istilah `terlestarikan' dan optimum dan menggesa hadirin agar meletakkan makna perkataan itu ke tempat yang betul. Sekarang ini yang penting kita membina ekonomi kebahagiaan. Menarik sekali. Bahagia yang indah. Konsep happiness dalam tradisi barat berbeza dengan tradisi. Membina ekonomi subahagia dan bukan setakat bahagia.


Perlu dengar sendiri dan berkali-kali. Kita perlu menyemarakkan ukuhuwah, pencerahan dan tradisi ilmu, kata DSAI.

Jangan kita anggap ilmu sebagai sesuatu yang tetap, kata DSAI.

Sabtu, 30 Julai 2022

hari pertama tahun 1444

 Awal tahun baru hijriyah 1444.  Saya yakin tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan lebih baik. Cabaran dan kendala yang datang perlu diurus dengan baik .Hadapi sesuatu dengan tenang. Usah  menggelabah. Pertingkat usaha dan kesabaran. Insya Allah semua akan menjadi lebih cerah dan cemerlang.

Hari pertama tahun hijrah ini, kami dapat kunjungan adinda saya, Dayang Noorkanah @ ina Awang berrsama keluarga. Alhamdulillah.

Saya buat kerja dari rumah saja. terus bergerak aktif dan mulai membaiki diri.

Khamis, 5 Mei 2022

Ziarah di kuburan sambil merenung sebuah pengakhiran


Kuburan selalu mengingatkan kita bahawa sesuatu yang bermula pasti ada pengakhirannya.Bahawa setiap kehidupan , noktahnya adalah kematian. Bahawa selain  hayat kita di dunia fana ini, ada ruang dalam dimensi lain yang pasti kita masuki dan berdiam di dalamnya sehingga kita dihimpunkan di hari pengadilan nanti.
Berziarah ke kuburan mampu mengingatkan kita betapa rapuhnya kehidupan ini. Pada setiap kematian ini pasti menyimpan cerita dan tragedi yang berbeza antara satu kematian dengan satu kematian yang lain. Setiap yang hidup akan mati. Itu pasti. Cuma bila masanya, selalu disembunyikan dari kita. Ketika selalu mengharapkan pengakhiran baik. Kerana itu kita perbanyak amal kita agar dengan amal kita itu kita dapat keredhaan dan rahmat untuk mengetuk pintu syurganya.
Berjalan dari satu makam ke makam yang lain, dari satu kuburan ke satu kuburan lain, kita selalu berdoa agar kesalahan mereka sentiasa diampunkan Allah dan semoga kita pula dimaafkan kerana terpaksa melangkahi kuburan-kuburan sebeum kita sampai ke tempat yang dituju.
Hari ini kami menghadiahkan bacaan surah yasin kepada arwah ayah mertua saya, Allahyarham Nordin Hassan, arwah pakcik Amat, arwah mak tua @ Sharipah Limbok Syed Agul, Arwah Pak Tua, Jamal Abu Bakar dan arwah Zulkifli Ahmad.Ziarah ke tanah perkuburan Islam Wallace Bay dekat Islamiah itu sudah lama tidak dilakukan, khususnya kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Selesai menghadiahkan bacaan yasin dan membacakan alfatihah untuk arwah bapa  yang terletak berdekatan pokok rimbun di tengah kehangatan dan arwah arwah yang lain, kami mencari pula kuburan mak tua.



Kemudian kami bergerak pula mencari kuburan Mak Tua. Lebih sejam juga kami mengamati setiap nama di kuburan dan batu nesan, kami tidak menemui kuburan mak tua. Namun tidak putus asa kami terus mencarinya sehinggalah kami menemui kuburan mak tua berpandukan video yang dikirimkan Yen kerana mereka sempat ke kuburan itu  kelmarin. Sebelum itu, Epi dan Raz menemui kuburan arwah ayah mereka. Raz, seorang tunawicara itu menangis sesenggukan. Rasa sedih sekali kerana beliau memberitahu melalui bahasa isyarat, bahawa beberapa hari lalu, beliau mimpikan ayahnya. Itu sebabnya beliau tidak dapat menahan perasaan lalu menangis penuh haru.

Ketika duduk di pondok, saya sempat bercakap cakap dengan penggali kubur, yang bercerita mengenai pendapatan penjual bunga di pintu tanah perkuburan itu. Menurutnya pendapatan mereka tidak lari daripada RM2,000 sehari. Beliau sendiripun ada menjual bunga dan walaupun cuma sejam, beliau dapat menjual bunga dengan pendapatan RM700. Sungguh menakjubkan.
Beliau juga sempat bercerita mengenai penziarah kuburan yang memakai perhiasan emas secara berlebihan . Beliau berkata, mungkin mereka perlukan bodyguard bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

 



Selesai ziarah ke Kuburan Mak Tua, kami mencari pula kuburan pak Tua. Pak Tua meninggal 10.10.1995. Kuburannya tampak ditumbuhi rumput. Sayang sekali kami tidak sempat membawa pemotong rumput.Kami ingin mencabut rumput-rumput yang tumbuh itu, namun tidak digalakkan kerana menurut kebiasaan, rumput-rumput di makam tidak boleh dicabut tetapi boleh dipotong.
Saya teringat cerita Mama yang menyatakan betapa pak Tua adalah seorang pembersih.Seorang yang sering menyapu dan membersihkan halaman, Membersihkan rumah. Bahkan jika menyapu, jarum yang hilang terjatuh juga boleh ditemui.

Sementara itu, arwah Zulkifli, sepupu isteri saya, meninggal akibat kemalangan motosikal di pengkalan TUDM di Labuan. Arwah Zul seorang anggota TUDM dan dikebumikan sesuai dengan penghormatan tentera. Beliau tak sempat melangsungkan perkahwinan kerana takdir Allah berkata lain.

Tanah perkuburan Islam berdekatan sekolah Islamiah ini agak padat juga. Kini kelihatan lebih baik kerana dulu pernah juga tumbuh lalang.Kerajaan mungkin perlu memikirkan tuntuk menambahkan lagi tanah perkuburan yang kini makin sesak. 
Membaca nama-nama arwah yang tercatat di batu nesan atau ditepi makam, mengingatkan kita mengenai orang orang yang pergi dahulu sebelum kita.
Satu masa nanti, nama kita juga akan tercatat di pinggir makam atau batu nisan untuk dibaca oleh orang lain pula.


Rabu, 4 Mei 2022

CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE RUMAH PAKCIK MAJID

 CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE RUMAH PAKCIK MAJID

 

Hari raya kedua Aidil Fitri, kami sempat berkunjung ke rumah pakcik Majid.  Rumahnya terletak di Blok 7 (Dulu blok 6) di Kampung Titingan Hujung. Kalau beraya ke Tawau, salah satu tempat yang perlu dikunjungi ialah Rumah Pakcik Majid. Pakcik Majid adalah abang kepada mertua perempuan saya.



Pakcik Majid anak kedua. Anak sulung ialah Norsiah yang kami panggil Yak Noi, Mertua saya, Hajah Jamilah atau lebih dikenali makcik Among di kalangan keluarganya ialah anak ketiga. Mereka sebenarnya lima beradik, tapi dua orang sudah meninggal. Seorang lahir selepas pakcik Majid bernama Rafeah. Rafeah meninggal ketika usianya 14 tahun. Kemudian diikuti oleh Osman, meninggal ketika usia enam bulan atau tujuh bulan.



Kemudian barulah lahir mak mertua saya.Sekarang sudah 68 tahun usianya. Mungkin kerana mereka tinggal tiga adik beradik maka ikatan keluarga di kalangan mereka amat rapat sekali. Ibu mereka bernama Sharifah Limbok atau Sharifah Jeribok Syed Agil meninggal tahun 2007 manakala ayah mereka, Jamal bin Abu Bakar  pergi terlebih dahulu iaitu pada 10 Oktober 1995.

Oleh sebab itu, rumah Pakcik Majid sentiasa menjadi tumpuan keluarga setiap kali hari raya. Pakcik Majid sendiri orang terpandang di kalangan masyarakat. Dulu beliau adalah kakitangan Jabatan Air, tidak lama selepas menamatkan persekolahannya di  Sekolah St Patrick Tawau. Dimasa mudanya , beliau juga aktif dalam kegiatan belia, seni dan budaya selain bergiat dalam politik juga. Aktif juga dalam Kopesta. Beberapa tahun lalu, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) sehingga Warisan memegang tampuk kuasa.

Kini beliau tidak lagi kuat berjalan. Terpaksa menggunakan alat penyokong. Namun beliau tetap bersemangat. Pada hari raya kedua itulah, kami ke rumahnya walaupun pada kebiasaanya kami datang malam hari raya pertama tetapi kalah kerana kesibukan.

Dulu kalau berhari raya sangat meriah. Mereka berkunjung ke rumah secara berkumpulan,Kadang dua puluh hingga tiga puluh orang serentak datang. Meriah sekali, kata Apik atau sI Aping anak Acing  mbol.  Ada rombongan pakcik Haji Arshad, ada rombongan Haji Ramlee,ada rombongan makcik Jelis, ada rombongan Haji Ramlan, dan banyak lagi.

Mereka ini adalah sepupu mama semua.  Ayah mertua saya namanya Jamal , adik beradik dengan ibu kepada asing mbol, haji Arshad, Haji Ramlie, Haji Ramlan dan Makcik Jelis. Sudah menjadi semacam tradisi mereka datang serentak beramai-ramai atau bahasa lainnya bergerombolan. Selain menikmati juadah disediakan, pada masa inilah mereka memperkenalkan antara sanak saudara. Walaupun kadang masa kedatangan mereka tidaklah lama, kadang singgah sekadar untuk bersalam-salaman kerana banyaknya rumah yang dikunjungi.

Ini masih sedikit, masih ramai yang belum datang,kata Pakcik Majid kepada saya ketika ruang tamu dipenuhi sanak saudara yang datang berhari raya.



Si Aping mengenang bahawa di bawah rumah pakcik Majid itulah tempat mereka dulu bermain bola bersama si Bobby, Fadil dan lain-lain. Dulu kawasan itu berpasir, ada gusung dan masih terkena hempasan ombak. Pakcik Majid menunjuk pokok kelapa. Di sana dulu gusung, katanya. Gusung maksudnya kawasan tanah berpasir yang letaknya agak tinggi.



Masa itu tidak banyak rumah seperti sekarang. Bermain bola, bermain pasir, main terjun-terjun, menjadi pilihan kanak-kanak. Kalau sekarang, kanak-kanak lebih suka bermain games dan sibuk dengan handphone mereka.

 Banyak lagi kenangan lama yang diceritakan oleh si Aping dan si kachong. Ada juga diceritakannya mengenai arwah Nurdin, bapa mertua saya.

Katanya, pakcik Nurdin seorang suka menyanyi. Suka pegang mic (microphone), katanya. Pakcik Nordin suka berjenaka dan mengerjakan orang. Suatu ketika kebetulan sama sama berkunjung ke Tanjung, arwah pakcik  ajak kami melawat keluarga yang badannya terbakar. Sesampainya di hospital, mereka buka kelambu orang yang badannya melecur, ternyata orang itu orang dayak. Orang dayak itu terpinga-pinga tetapi sempat mengucapkan terima kasih kerana berkunjung.

Nama Aping, Kachong ini sebenarnya bukan nama sebenar mereka. Nama sebenar Aping ialah Riyanto Kachong pula namanya Hasbul. Si Udin pula namanya Baktiar. Tapi kebanyakan nama panggilan mereka yang lebih dikenal orang.

Lama tak berjumpa pakcik Amat, yang duduk di sebelah saya.

Lama tak datang KK?saya bertanya. Lama juga, katanya. Ada masuk ke seberang?

Pakcik Amat memberitahu tambang feri Tawau -Nunukan naik menggila. Sekarang RM450 sehala, pulang balik tambang RM900. Dulu sekitar RM150 tambang antara Tawau ke Nunukan.

Tunggu keadaan reda, dan situasi membaik lagi. Katanya.

Saya meneguk air oren yang disediakan. Saya terasa bukan saja suasananya berubah tetapi terdapat perubahan juga pada juadah kuih muih yang disediakan

Kalau dahulu ada Kuih tradisi seperti baulu, kuih penyaram atau penjaram,  (gegetas, tepung pulut kelapa tapi digoreng), kuih ketupat, sarang semut, semperong,dan macam macam halwa kundur, Wazit dan sebagainya, kini makin sukar diperolehi.

Benar, kata orang, bahawa yang kekal hanyalah perubahan. Contohnya harga ikan.

Ami Bakar bercerita dulu seekor ikan kurau harganya 50 sen sekati.Kadang orang menjualnya 50 sen pun seekor pun tiada yang mahu beli. Kini seekor ikan kurau boleh berharga hingga RM22 sekilo.

Dulu seikat ikan putih berharga satu ringgit. Dalam satu ikat ada dua ekor ikan putih. Kini sudah jauh berubah. Dulu di sini, di Ice box ini ada orang yang mengusahakan Kelong, namanya Haji Ahim. Kalau setakat untuk makan, dia berikan ikan secara percuma saja. Kalau ada yang mahu beli pun, harganya asal-asalan saja kata Ami Bakar, yang dulu selalu ikut ke Kelong bersama Haji Ahim.

Ikan yang orang panggil ikan uji rashiditu dulu tiada harga. Ikan basung, ikan tulai ikan yang tak  ada harga masa itu. Sekarang menurut Epi, yang bekerja sebagai pemandu lori ikan ulang alik dari Semporna ke Tawau, ikan yang paling laku ialah ikan tulai dan ikan basung. Bahkan ikan itu juga dijual hingga ke Nunukan.

Ikan besar-besar tidak laku, katanya. Ikan besar biasanya dibeli oleh restoran besar, kata Epi.






Kampung Titingan Hujung atau lebih popular dikenali sebagai Ice Box terdiri dari beberapa blok rumah. Kini blok 9 dan blok 8 sudah tidak ada lagi. Kawasannya sudah digali  untuk tebatan banjir. Yang masih ada Blok 7, Blok 7 Laut dan Blok 6 dan lain-lain.

Di blok 7, jambatan panjang selebar 5 kaki sudah tiada . Penduduk kampung boleh memarkir kereta di depan rumah masing-masing.




Sungguhpun keadaan sudah jauh berubah tetapi yang masih cuba dipertahankan oleh generasi seperti Aping, Kachong, Bobbey, Shaari,Sam dan lain-lain ialah mengukuhkan ikatan silaturrahim agar terus berpanjang hingga ke akhir hayat.

 

 

Isnin, 2 Mei 2022

gambar gambar di hari raya 1443

Sepulangnya dari Masjid Babul Khair Kampung Titingan, kami sempat merakamkan gambar hari raya. Tahun ini memang agak berbeza dari tahun tahun sebelumnya. Kali ini kami tak sempat membeli baju hari raya kerana masa yang suntuk. Kebetulan pula anak sulung kami, iyan kini sedang melanjutkan pelajaran di seberang laut. Sebenarnya di Bachok Kelantan. Kelantan pun boleh dikatakan seberang laut kerana berada di seberang Laut Cina Selatan. Iyan berhari raya di tempat sepupunya Nabilah di Jabi.

Tinggallah kami berempat. Kami juga tidak sempat balik kampung ke Kota Belud kerana kebetulan itu waktu itu bertembung dengan jadual kami balik Tawau. Jadi Fawzan dan Farhan tidak sempat bergambar dengan sepupu-sepupunya.

Kami hanya menatap gambar gambar yang dikirimkan. Cucu-cucu bergambar bersama nenek mereka. Ahmad Nurilham yang akan melangsungkan perkahwinan pada 7 Mei juga ada. Kecuali Mohd Shukri yang juga bersanding pada hari yang sama tak sempat hadir kerana masih di KL. Meski jauh suasana meriah itu dapat juga dirasai.





Pastilah bila besar nanti, ada diantara anak-anak ini, jadi orang besar, jadi pemimpin , atau setidak-tidaknya jadi orang berguna. Nenek mereka tentulah sangat berbahagia dan  berbangga jika anak-anak ini  satu masa nanti jadi orang yang baik dan suka membantu sesama mereka.

Selamat hari raya aidilfitri 1443/2022 maaf lahir batin.