Khamis, 31 Mac 2022

ketika duduk minum teh kosong di Jesselton Point

Tags

Memang banyak yang bergerak dalam fikiran ketika duduk menunggu rakan-rakan sambil menghirup teh kosong  di Jesselton Point. Bagi yang belum pernah ke tempat ini, Jesselton Point adalah salah satu tempat bersejarah di ibu negeri. Di tempat inilah dulu Gabenor Borneo  Utara, Sir William A.C  Goode  melambaikan tangan buat kali terakhir sebelum meninggalkan Sabah pada 1963.

Dari tempat inilah juga dulu, jemaah haji dari Borneo Utara diberangkatkan ke tanah suci menggunakan kapal laut dalam pelayaran berbulan-bulan. 

Tempat  yang dulunya pelabuhan-melepas keberangkatan dan menunggu ketibaan, tempat yang menjadi pertemuan dan perpisahan,kini popular sebagai salah satu tumpuan untuk `kupi kupi'. Banyak gerai menjual pelbagai jenis makanan, dan kita tinggal memilih.

Saya memilih untuk memesan teh kosong sambil menunggu rakan-rakan. Sekarang sudah tiba di pengakhiran bulan Mac sementara masih banyak juga persoalan-persoalan yang tak kunjung selesai.  

Pokoknya saya mesti menulis. Lama tidak menulis menyebabkan fikiran jadi buntu dan membeku.

Banyak kerja tertangguh. Muaranya dari diri sendiri. Kelalaian dan kecuaian, yang mungkin tidak disengaja. Moga sepanjang Ramadan yang bakal menjelang, memberi ruang untuk membenahi diri sendiri.Retrospeksi. Merenung perjalanan dan memperbaiki diri.

Tetaplah bangun.Terus berbakti, pesan kepada diri sendiri.

Artikel Terkait