Sabtu, 30 Januari 2021

SHAMSHURI, HARUMKAN NAMA JABATAN MELALUI BOLA TAMPAR

Tags

 

SHAMSHURI, HARUMKAN NAMA JABATAN MELALUI BOLA TAMPAR

PEREJAM (spiker) yang baikpun tidak dapat mematikan bola tanpa pengumpan (Set upper) yang baik. Dalam sesuatu permainan, kemahiran seorang pengumpan mampu memberi peluang kepada rakan sepasukannya membuat rejaman. Umpanan dilakukan apabila kedudukan bola melepasi paras kepala. Bola tampar bukan saja memerlukan kemahiran malah ketepatan masa. Sama ada anda seorang server, spiker, set upper, blocker atau libero, semuanya memiliki peranan penting dalam pasukan untuk memenangi sesuatu permainan. Bagi Shamshuri Almalek yang banyak mengharumkan nama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan  Am Negeri Sabah dalam sukan bola tampar sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. banyak perkara yang boleh dipelajari dalam sukan itu.



Shamshuri bin Almalek lahir pada 23 Februari 1969 di Kampung Teritipan Kota Marudu. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Kota Marudu pada tahun 1976-1981. Selepas menamatkan darjah enam, beliau meneruskan pelajaran menengah di SMK Pekan Kota Marudu dari tahun 1982 hingga 1986. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di First Academy, sebuah sekolah swasta di ibu negeri. Kemudian beliau mengikuti Kursus Asas Perakaunan di Community College Kota Kinabalu tetapi tidak selesai.

Beliau sempat menceburkan diri dalam perniagaan menjual ikan, tetapi tidak berjaya. Beliau mendapat tawaran kerja sebagai Pembantu Luar Skel D28 di Jabatan Kerja Raya pada 18 Januari 1992 dengan kadar gaji RM300 sebulan. Kemudian beliau ditawarkan jawatan Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S7 di  Pejabat Kebajikan Kudat  bermula 13 Jun 1996 hingga tahun  2000. Beliau ditukarkan sebagai Pegawai Kebajikan  Daerah Beluran pada 17 Mac 2000 hingga Oktober 2007. Shamshuri ditugaskan sebagai Pegawai Kebajikan Daerah Matunggong  bermula Oktober 2006 hingga Februari 2018. Beliau dipindahkan di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya pada Mac 2018 sebelum memutuskan bersara secara pilihan pada 2020. Untuk rekod,beliau pernah menerima  Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah 2014.Shamshuri mendirikan  rumah tangga dengan Sairie @ Rosina binti Adun dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Abdul Alim dan Anita.




Dalam sukan bola tampar, Shamshuri pernah mewakili jabatan dalam kapasiti sebagai pemain, jurulatih dan Ketua Pasukan Bola Tampar Sabah ke Negeri Perak pada tahun 2000 apabila mereka muncul naib johan. Pada tahun 2002, beliau menjadi pemain, ketua pasukan sekaligus jurulatih pasukan Sabah yang menyertai kejohanan di Johor Bahru dan berjaya menjadi johan,  Beliau juga menjadi jurulatih dan pengurus pasukan Sabah menyertai kejohanan peringkat jabatan di Sarawak pada 2004, jurulatih dan pengurus pasukan Sabah ke Negeri Sembilan tahun 2007 sekaligus muncul juara.Pada tahun 2009, beliau menjadi pengurus pasukan Sabah dalam kejohanan di Terengganu dan berjaya mendapat tempat ketiga. Kejayaan lain yang dimilikinya ialah menjadi Pengurus pasukan Sabah pada tahun 2012. Selain itu beliau juga menjadi pengurus pasukan bola tampar Pantai Barat Utara (PBU) yang diadakan di Kota Marudu pada tahun 2017.

Wartawan Utusan Borneo, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Shamshuri Almalek  menyingkap sedikit pengalamannya ketika berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan dan terutamanya minat dan pengalamannya dalam sukan bola tampar dan sentiasa mewakili jabatan dalam kejohanan yang diadakan. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:


 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan?

SHAMSHURI ALMALEK (SAM):   Saya dilahirkan pada 23 Februari 1969 di Kampung Teritipan, Tandek Kota Marudu tetapi dibesarkan di Kudat. Saya anak sulung daripada empat adik beradik, seorang lelaki dan tiga perempuan.

UB: Ayah dan ibu kerja sebagai apa?

SAM:  Ayah saya, Al Malek bin Abdul Hamid bertugas sebagai seorang guru. Selepas tamat kursus perguruan di Maktab Kent Tuaran beliau dihantar ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim Perak. Beliau kemudian ditempatkan sebagai Guru Besar di SRK Teritipan Tandek Kota Marudu kira-kira tahun 1966. Selepas itu beliau ditukarkan ke SRK Darau Menggatal Kota Kinabalu dan kemudian ke SMK Kota Marudu sebagai penolong pengetua sehingga tahun 1981. Beliau mengambil keputusan bersara pilihan untu menceburkan diri dalam politik, menjadi calon Bebas tahun 1981 dan calon Usno pada tahun 1985. Sebelum ayah wafat, beliau berkhidmat sebagai  Pegawai UMNO Kimanis. Sebelumnya terlibat sama dalam pergerakan politik ketika Umno mula-mula masuk mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Ibu saya pula, Radziah Haji Noor Mohammed, seorang surirumah. Sebelum berkahwin, beliau pernah turut serta dalam aktiviti nelayan bersama keluarga angkat di Kampung Teritipan dengan menggunakan kapal nelayan milik atuk iaitu Haji Noor Mohammed, ayahanda ibu yang dipandu oleh ibu sendiri ditemani adik kandungnya Noor Jamnah Haji Noor Mohammed.

Lokasi rumah kami di Kampung Teritipan berada di anak bukit berhadapan dengan pesisir pantai Laut Teluk Marudu.

 

UB:     Di mana tuan mendapatkan pendidikan awal?

SAM:  Saya mula bersekolah di Tadika Lok Yuk Kudat pada tahun 1974. Kemudian saya bersekolah rendah SRK Kota Marudu pada tahun 1975 hingga 1980. Selepas tamat darjah enam, saya melanjutkan pelajaran menengah di SMK Pekan Kota Marudu dari tahun 1981 hingga 1985.       

UB:     Selepas itu, di mana tuan melanjutkan pelajaran?

SAM:  Selepas itu, saya  melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di First Academy, sebuah sekolah swasta di ibu negeri. Kemudian saya  mengikuti Kursus Asas Perakaunan di Community College Kota Kinabalu tetapi tidak selesai kerana tidak dapat menghadiri peperiksaan. Kebetulan masa itu, saya di kampung di Kota Marudu dan tidak dapat ke Kota Kinabalu kerana jalan terputus berikutan banjir.

UB:     Apa yang tuan lakukan selepas itu?

SAM: Saya pernah berniaga menjual ikan untuk dieksport di Johor Bahru. Tetapi kurang berjaya. Selepas itu, saya bekerja sebagai Pembantu Luar Skel D28 di Jabatan Kerja Raya pada 18 Januari 1992 dengan kadar gaji RM300 sebulan.

UB:     Bila tuan mula bertugas di Jabatan Perkhidmatan Masyarakat?

SAM:  Saya mula bekerja di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S7 di  Pejabat Kebajikan Kudat  bermula 13 Jun 1996 hingga tahun  2000.

UB:     Kemudian di mana tuan ditugaskan selepas itu?

SAM: Kemudian saya ditukarkan sebagai Pegawai Kebajikan  Daerah Beluran pada 17 Mac 2000 hingga Oktober 2007. Selepas itu bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Daerah Matunggong  bermula Oktober 2006 hingga Februari 2018. Kemudian saya  dipindahkan di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya pada Mac 2018 sebelum bersara secara pilihan pada 2019.

UB:     Bagaimana mula timbul minat tuan dalam sukan bola tampar??

SHAMSHURI ALMALEK ; Saya minat sukan bola tampar sejak kecil lagi.  Sebenarnya minat saya bermula dalam sukan bola keranjang.Minat ini timbul hasil bimbingan seorang guru, Lim Shu Yang.Beliaulah yang mengajak kami bermain bola keranjang, bola tampar dan sebagainya. Selepas itu, kami berjaya membentuk pasukan bola keranjang. Pasukan pasukan bola keranjang yang pertama dari kalangan bumiputera dibentuk oleh Encik Yunus bin Haji Talib, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Kerani di Pejabat Majlis Daerah Kota Marudu. Biasanya sukan ini kurang diminati tetapi kami berjaya membentuk pasukan bola keranjang bumiputera yang pertama di Kota Marudu.

Ketika duduk di bangku sekolah menengah di SMK Kota Marudu, saya bermain dalam sukan bola keranjang, ping pong dan bola tampar. Kemudian ketika berada dalam tingkatan empat, seorang guru, cikgu Ben atau Cikgu Abu Bakar berasal dari Bongawan mengajak saya menyertai pasukan bola tampar.  Beliau melihat saya sebagai seorang pelajar yang mempunyai ketinggian dan sesuai untuk bermain bola tampar. Dari sanalah minat terhadap sukan bola tampar terus berkembang.

UB:     Tuan juga minat bermain bola keranjang?

SM:    Pada tahun 1985, saya terpilih mewakili Kota Marudu  dalam kejohanan Bola Keranjang Belia Sabah ke-19 di Kudat.



UB:     Baiklah. Kita fokuskan kepada bola tampar. Mungkin ada yang bertanya mengenai sukan ini. Sekadar untuk memberi informasi kepada pembaca?

SAM:  Bola tampar adalah sejenis sukan yang banyak peminatnya. Bahkan sukan ini adalah salah satu acara sukan yang dipertandingkan hingga peringkat sukan olimpik. Ia mula diperkenalkan sebagai sukan berpasukan  dalam sukan Olimpik pada 1957 sebelum  dipertandingkan di Sukan Olimpik ke 18 di Tokyo pada 1964. Kini bola tampar adalah salah satu daripada lima jenis sukan antarabangsa yang terbesar di dunia.

Perlawanan melibatkan dua pasukan yang dipisahkan oleh satu jaring tinggi. Sebiji bola ditampar melangkaui jaring ke pihak lawan. Setiap pasukan mempunyai enam pemain utama, tiga pemain simpanan. Jadi semuanya Sembilan orang pemain. Setiap pasukan dibenarkan memukul bola sebanyak tiga kali berturut turut sebelum dikembalikan kepada pihak lawan. Mata dikira apabila bola jatuh ke gelanggang lawan, atau lawan melakukan kesalahan atau gagal mengembalikan bola dengan betul.



UB:     Biasanya tuan bermain di posisi yang mana?

SAM:  Saya bermain di posisi set upper atau tosser, juga sebagai blocker.

UB:     Apa yang tuan boleh katakana mengenai posisi set upper?

SAM: Spiker atau perejam yang baikpun tidak dapat mematikan bola tanpa set upper atau  pengumpan yang baik. Dalam sesuatu permainan, kemahiran seorang pengumpan mampu memberi peluang kepada rakan sepasukannya membuat rejaman. Umpanan dilakukan apabila kedudukan bola melepasi paras kepala. Bola tampar bukan saja memerlukan kemahiran malah ketepatan masa. Sama ada anda seorang server, spiker, set upper, blocker atau libero, semuanya memiliki peranan penting dalam pasukan untuk memenangi sesuatu permainan.



UB:     Apa kejohanan yang pernah tuan sertai?

SAM: Dalam sukan bola tampar, saya pernah mewakili jabatan dalam kapasiti sebagai pemain, jurulatih dan Ketua Pasukan Bola Tampar Sabah ke Negeri Perak pada tahun 2000 . Kami muncul naib johan. Pada tahun 2003, kami berjaya menjadi johan dalam sukan JKMM yang diadakan di Kompleks Sukan UTM Skudai Johor. Kemudian sebagai jurulatih dan pengurus pasukan Sabah , kami menyertai kejohanan peringkat jabatan di Kuching Sarawak pada 2004. Selepas itu, saya menjadi jurulatih dan pengurus pasukan Sabah ke Negeri Sembilan tahun 2007 sekaligus muncul juara.Pada tahun 2009, saya  menjadi pengurus pasukan Sabah dalam kejohanan di Terengganu dan berjaya mendapat tempat ketiga.







UB:     Bila agaknya bola tampar dimainkan di Malaysia?  Mungkin ada maklumat yang boleh dikongsi? Mengenai sejarah dan sebagainya?

SAM:  Menurut informasi yang kita boleh dapat di internet, bola tampar yang dipelopori oleh William G.Morgan di Holyoke, Massachusetts pada tahun 1895.Sukan bola tampar di Malaysia bermula sekitar tahun 1920-an di Pulau Pinang sebelum ia dipopularkan oleh pelajar-pelajar yang baru pulang daripada Universiti Chi-Nan, Shanghai. Kemudian ia berkembang di Selangor dan negeri-negeri lain.Ia permainan yang amat terkenal bagi golongan lelaki mahupun wanita.

UB:     Selain itu, apa kegiatan tuan yang lain?

SAM:  Antaranya, penasihat pemulihan dalam komuniti Daerah Beluran 2004-2006, Setiausaha Mayang 2006, Komander Briged Kebajikan Perdana tahun2006, AJK Pasukan Pelindung Kanak-Kanak 2004-2006, Penasihat Pemulihan Dalam komuniti  daerah kecil  Matunggong,Penasihat Pusat Aktiviti Warga Emas Matunggong 2006, Penyelaras Pusat Perkembangan kanak-kanak Kudat 2016 2018, AJK Mayang Daerah Kota Marudu 2007-2013 . Saya juga menjadi anggota Rela dari tahun 2006 hingga 2018. Itu antaranya yang saya ingat.

UB:     Mungkin ada lagi yang mahu dinyatakan?

SAM:  Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas segala kerjasama dan komitmen tinggi daripada rakan-rakan seperjuangan di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) semasa sukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) di peringkat Negeri dan Kebangsaan. Ucapan setinggi tinggi penghargaan juga kepada pihak pengurusan JPKAS dengan kerjasama Kelab Maksur kerana begitu memberi kepercayaan kepada saya sebagai juru latih, ketua pasukan bola tampar dimana saya juga salah seorang pemain dalam pasukan.

UB:     Terima kasih banyak atas kerjasama yang diberikan.

SAM: Baik, terima kasih juga.Moga bermanfaat . Moga segala urusan dipermudahkan.

Artikel Terkait