Sabtu, 30 Januari 2021

SHASHA ACA, PENTINGKAN ELEMEN KEJUTAN DALAM PERNAGAAN

Tags

 

SHASHA ACA , PENTINGKAN ELEMEN KEJUTAN DALAM PERNIAGAAN

 

Jika anda ingin memberi kejutan kepada orang tersayang,isteri, suami, ibu, ayah,anak,  kekasih atau anda ingin memberi penghargaan dan apresiasi kepada orang yang pernah berjasa  atau anda ingin mengadakan majlis hari jadi, merancang untuk berbulan madu atau mengadakan ulang tahun perkahwinan, dan sebagainya, anda tidak perlu pergi jauh.

Hubungi Shasha Aca, usahawan yang memiliki lapan tahun pengalaman dalam bidang penghantaran `surprise delivery’. Nama syarikatnya pun diberi nama Surprise Delivery Kota Kinabalu atau SDKK.



Shasha Aca kini adalah antara usahawan bumiputera yang menceburi bidang penghantaran yang mengutamakan elemen kejutan. Tetapi bagaimana Shasha bermula dan mendapat idea  ketika mula-mula menceburi bidang perniagaan itu?

 “Bolehkah hantar kek bersekali dengan bunga?”, Suatu hari di tahun 2013, Shasha menerima mesej  dari seorang ibu dari Adelaide, Australia. Selepas bersalin di sebuah hospital di ibu negeri Sabah, wanita yang berkahwin dengan Orang Putih itu kembali ke Australia.

Namun sang ibu ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada doktor yang merawatnya sepanjang berada di hospital.

Sekadar untuk apresiasi kerana doktor dan jururawat merawatnya dengan baik. Sang Ibu ingin menghantar hadiah kek beserta bunga kepada doktor.

“Ketika itu saya masih ada bakery, membuat kek dan sebagainya.Selepas menerima tempahan itu, saya terilham untuk membuat perniagaan penghantaran hadiah, bukan hadiah sekadar hadiah, tetapi hadiah yang disertai dengan kejutan.

“Kami mementingkan elemen kejutan dalam proses penghantaran hadiah,” katanya. Kami sudah melatih kakitangan kami untuk menjaga kerahsiaan sehingga kiriman yang dihantar itu sampai kepada penerima dengan selamat.




Berbagai pengalaman yang dialami Shasha dan stafnya. Hadiah atau bingkisan atau kiriman yang diberikan tidak diketahui penerima. Memang sengaja dirahsiakan. Tujuannya memang untuk menghadirkan kejutan.

Selepas menghubungi penerima melalui telefon,penerima tidak serta merta percaya.Kadang-kadang mereka sukar diyakinkan. Malah ada yang menyangka pemanggil sekadar `scammer’. Ada yang tidak mahu ambil hadiah kerana dikhuatiri benda berbahaya dan sebagainya. Bermacam-macam kerenah.

Tetapi tidak kurang juga yang menangis terharu dan gembira kerana tiba-tiba menerima hadiah yang tidak disangka-sangka. Perasaan luar biasa itu hanya dapat difahami oleh penerima yang tidak pernah menduga mendapat hadiah kejutan.

“Ada seorang suami yang menghantar hadiah kepada isterinya kerana jauh terpisah. Ada tempahan dari luar Negara untuk dihantar kepada penerima di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

“Ketika musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami banyak mendapat tempahan dari pasangan yang terpaksa berjauhan kerana bekerja dan sebagainya.

“Kadang-kadang kami menjadi agen memujuk laki bini yang merajuk. Kami menghantar pesanan dari seorang pengurus bank yang mahu memujuk isterinya dengan kiriman hadiah yang mengejutkan,” kata Shahsa.



Menurutnya, permintaan untuk penghantaran kiriman itu amat menggalakkan. Malahan ketika pihak lain terpaksa mengurangkan pekerja, SDKK pula mengambil pekerja. Kini stafnya seramai 13 orang dan masih belum dapat menampung permintaan pelanggan.

Ketika ini Shasha memiliki tiga premis, dua di ITCC Penampang dan satu lagi di Megalong Mall, yang meliputi kawasan penghantaran seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Telipok, Putatan, Papar dan sekitarnya.

Dalam sehari, banyak tempahan dan pesanan yang diterima. “Tetapi kami terpaksa menghadkan kepada 30 slot saja untuk memastikan hadiah yang dikirimkan sempat sampai kepada penerima pada waktu yang ditentukan.

Bezanya SDKK dengan `florist’  atau kedai bunga biasa ialah mereka hanya menghantar bunga tetapi kami menghantar bunga dengan  elemen kejutan.

Kami mendapat bunga bungaan dari pembekal tempatan tetapi belon kami beli dari China. Katanya, sambutan terhadap perkhidmatan penghantaran itu amatlah menggalakkan. Selain pelanggan tempatan, SDKK juga pernah menerima pesanan dari Arab Saudi, Singapura, Filipina, Australia dan sebagainya, kata Shasha Aca atau nama sebenarnya Shasha Khanafeh yang terpilih sebaga Ikon Usahawan Muda Sabah tahun 2016.

Biasanya mereka menghantar hadiah kejutan kepada keluarga atau ekspatriat yang berada di Sabah.

Malah pernah juga menerima pesanan dari pelanggan luar Negara untuk membuat gubahan wang RM15,000 untuk dihantar kepada `receiver’nya.  Ada juga pelanggan yang memberikan wang dalam jumlah tertentu untuk dibelikan hadiah harijadi dan sebagainya.




“Mereka memberikan kepercayaan yang tinggi kepada kami. Itu yang perlu kami pertahankan. Kepercayaan itu menjadi asas kepada perniagaan ini.



Ada yang memesan brownies, ada yang memesan barang kemas, ada yang memesan bunga, ada yang memesan kek dan lain-lain lagi “Kami buat berpandukan permintaan pelanggan,” katanya.

“Alhamdulillah, semuanya dapat kami uruskan dengan sempurna,” katanya. Shasha akan memberikan yang terbaik untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan.




Selain penghantaran hadiah kejutan, SDKK juga menyediakan khidmat dekorasi  menghias bilik untuk peristiwa yang berbeza-beza seperti untuk pasangan yang berbulan madu, sambutan ulang tahun perkahwinan , hari jadi dan sebagainya.



“Semuanya dihadirkan sebagai satu kejutan, berdasarkan permintaan pesanan,” katanya kepada Utusan Borneo.

Untuk semua perkhidmatan itu, Shasha menyediakan pakej yang menarik untuk pelanggan, dengan harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang memuaskan.

Shasha, 28,  mula menceburi bidang perniagaan itu sejak tahun 2013. Kini sudah lapan tahun, perniagaannya berkembang dengan baik dan menggalakkan. Suaminya Albahar bin Gulam, menjadi tulang belakang dan memberikan sokongan tidak berbelah bagi demi kemajuan perniagaan isterinya.



Sebelum berjaya, Shasha juga pernah mengalami pengalaman jatuh bangun dalam keusahawanan.

“Saya pernah jual kuih tepi jalan, hanya laku satu ringgit. Tidak ada yang beli. Saya bertahan hanya satu minggu kerana sewa gerai tak dapat dibayar,” katanya. Saya terpaksa ceburi perniagaan lain lagi.

Shasha memulakan perniagaan ketika berusia 18 tahun lagi. Beliau juga pernah menceburi perniagaan roti. Ketika hampir maju,perniagaannya jatuh. Beliau terpaksa menanggung kerugian yang bukan sedikit.

Akhirnya Shasha  beralih ke perniagaan baru. Selepas menerima pesanan kek yang minta dihantar kepada doktor yang baik hati, Shasha memulakan perniagaan ‘surprise delivery’ yang sangat mementingkan elemen kejutan.

Kemudian selepas dimuatnaik di FB, Surprise Delivery KK  #SDKK  menerima permintaan pesanan  bukan saja dari dalam negeri bahkan dari luar negeri.

Setiap kali kita membuat penghantaran hadiah, peristiwa itu dirakam dalam video dan kemudian dimuat naik dalam facebook. Bermula dari sana, SDKK mulai mendapat perhatian dan menerima permintaan untuk penghantaran hadiah untuk dikirimkan kepada penerima.

Beliau terpaksa memgambil lebih ramai pekerja untuk khidmat penghantaran itu agar ia mampu memenuhi permintaan pelanggan.

Selain aktif dalam perniagaan, Shasha juga terlibat dalam program sosial dan amal kebajikan.

“Setiap Jumaat, SDKK menyediakan makanan tapau percuma untuk diagihkan kepada pekerja kedai di ITCC,” kata Shasha menyebut salah satu kegiatan sosial.

Di celah kesibukan itu, Shasha tidak melupakan bakat dan minatnya dalam bidang nyanyian.

Walaupun pernah jatuh dalam perniagaan, tetapi itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang sebagai seorang usahawan. Berjuang untuk meneruskan kehidupan yang lebih dan cemerlang.

Berkat kegigihan dan ketabahannya, Shasha berjaya menggapai cita-cita dan impiannya. Selain itu, melalui SDDK, Shasha membuka peluang pekerjaan terutamanya golongan yang terjejas dan kehilangan pekerjaan akibat pandemic Covod-19.

Kini Shasha mampu tersenyum dan memberi senyuman kepada kakitangannya. Shasha juga mampu membuat penerima perkhidmatannya tersenyum dan bahagia kerana berpuashati dengan perkhidmatan penghantaran `kejutan’ itu.

Elemen kejutan, jika diuruskan dengan baik, rupa-rupanya boleh mendatangkan keuntungan yang lumayan.