Ahad, 24 Januari 2021

Bertemu Ex Planter yang jadi wakil rakyat dan beberapa catatan pengalaman lain

Tags

 Jam 8.00 pagi, saya sudah berada dalam kereta bersama Tuan Haji Bairullah dalam perjalanan ke Taman Fuliwa untuk mengambil seorang kawannya yang mesra disapa Pengiran sebelum kami ke Jesselton Point. Di sana ada kedai menjual sarapan, dan barangkali kami boleh duduk sebentar di kerusi kosong untuk sesi wawancara.

Sebelum ini kami belum pernah berjumpa. Ini kali pertama. Seperti pucuk dicita ulam yang tiba, saya merasa bersyukur kerana diperkenalkan dengan Pengiran ini oleh Haji Bairullah, yang merupakan sahabat baiknya. Memang saya berhasrat untuk mewawancara wakil wakil rakyat yang baru menang itu untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Saya tidak menyangka pertemuan dengan ADUN Sebatik, YB Hassan Ghani, akan berlaku secepat itu, kerana saya hanya pernah mendengar namanya, berjumpa belum.

Dalam PRU ke14 (2018), beliau hanya kalah sebanyak 193 undi. Tetapi dalam pilihan raya yang baru lalu (2020) beliau menang dengan majoriti 522 undi dalam pertembungan tujuh penjuru.Akhirnya kita menang dalam keadaan kami pembangkang, katanya.

Bekas pengurus ladang ini tidak pernah terfikir untuk menjadi YB. Walaupun pernah bergiat sebagai AJK Pemuda PBS Bahagian Tawau,  kemudian beliau menjadi Ahli cawangan UMNO di Kampung Titingan. Namun kurang aktif sehingga Parti Warisan Sabah ditubuhkan. Beliau akhirnya dipilih menjadi Setiausaha Bahagian Kalabakan.



Anak sulung daripada sepuluh adik beradik ini lahir di Luasong pada 22 Februari 1970.Pendidikan rendahnya diperolehi di SRJK Luasong pada 1977-1982 sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Merotai dari tahun 1983-1987. Beliau pernah menduduki A Level tapi tidak dapat meneruskannya. Sebaliknya beliau melanjutkan pengajian Diploma Pentadbiran Awam (DPA) di UiTM Melaka.

Beliau adalah antara lulusan DPA yang bekerja dalam bidang perladangan. Beliau pernah bertugas di Hap Seng, di Ladang Kemabong Bukit Garam, Payamas Sdn Bhd di Beaufort, Merotai Estate sebelum kemudiannya berhenti untuk menjalankan usaha sendiri.

Selepas diberi mandat pada pilihan raya yang lepas, beliau berazam untuk menjadi wakil rakyat bagi semua rakyat di Sebatik. Berusaha menyuarakan permasalahan dan keperluan mereka. Beliau memperjuangkan aspirasi rakyat. Baginya musim berpolitik sudah berlalu, apa yang penting beliau akan membela nasib rakyat Sebatik tanpa mengira parti yang mereka anuti.

Beliau akan menyuarakan aspirasi, keperluan dan masalah rakyat sungguhpun beliau adalah ADUN Warisan yang kini berada di pihak pembangkang.

Namun diluar jangkaan saya, YB Hassan Ghani mengenali hampir semua ahli keluarga isteri saya. Rupanya masih ada pertalian keluarga walaupun mungkin pupu jauh. Menarik kerana beliau masih boleh bercakap dalam bahasa Tidong, Bulungan, Murut Kalabakan dan sebagainya.

Kemudian selepas sesi interview itu, saya minta dihantar ke Raia Hotel kerana sudah berjanji dengan Tuan Haji Samin untuk mewawancara Tuan Nassarudin B Naina Mohamed, pengurus hotel yang akan berpindah ke Kuching. Dapat pula berkenaan dengan Hisham, pengurus baru yang berasal dari Larkin tetapi salah seorang ahli PBS. Mulanya saya kurang faham apa yang dimasukkan dengan PBS itu. Rupanya Persatuan Bini Sabah (PBS). Sebab isterinya orang Pengalat Papar.



Oleh sebab, Tuan Nassa berasal dari Perak, maka banyak lagi topik menarik mengenai Perak. Mengenai nama nama tempat yang unik seperti Dinding, Lumut, Parit, Papan dan sebagainya. Nassa juga banyak pengalaman, pernah bertugas sebagai Butler dan pernah melayan VVIP di dalam dan luar negara termasuk Presiden Robert Mugabe.Banyak kisah pengalaman yang menarik.

Sambil itu, Nasi kambing yang dihidangkan untuk kami itu, rasanya sangat enak. Tetapi makin lama makin banyak cerita menarik namun kami terpaksa berhenti setakat itu saja kerana saya perlu menyiapkan artikel sastera dan budaya Utusan Borneo.

Saya teringat kisah pemimpin luar negara yang suka makan daging buaya dan menjadi menu hariannya setiap hari. Wah.Luar biasa.

Artikel Terkait