PENULIS SABAH DAN BELITONG BERPUISI DI TENGAH HUJAN DI WARKOP JANGGUT
SEBELUM meninggalkan Pulau Belitung, Rombongan Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) sempat beramah mesra dengan penulis dan seniman Belitong di Warung Kopi Janggut di Tanjung Pandan pada malam terakhir sebelum mereka berangkat ke Jakarta keesokan harinya.
Majlis pertemuan itu berlangsung dengan santai. Pak Diran, pemilik warung bersama sejumlah penulis dan seniman Belitung hadir pada malam itu. Antaranya Mansyur Mas’ud, pelukis terkenal, Yudhie Guszara, Agus Pahlevi, Fithorozi dan banyak lagi seniman pada malam itu. Pak Haryadi dari Dinas Budaya dan Pariwisata Propinsi Bangka Belitong juga hadir dalam majlis itu.
Selepas ucapan alu-aluan sebagai ucapan selamat datang kepada rombongan Kembara Sastera IPS dari tuan rumah, Pak Imanuddin Siregar dari Fungsi Penerangan Sosial Budaya, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang mengiringi rombongan penulis Sabah dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau mengucapkan terima kasih dan berharap hubungan antara penulis dan seniman Sabah dan Belitong akan bertambah kukuh lagi selepas ini.
Kemudian acara itu dilanjutkan lagi dengan persembahan puisi, lagu puisi untuk memeriahkan lagi majlis itu.
Puan Jaliha Jaman memulakan majlis dengan sebuah lagu, kemudian diiringi Puan fauziyah Nurdin. Malam puisi bertambah meriah lagi dengan persembahan persembahan puisi dari rombongan Kembara IPS dan tuan rumah.
Antara yang menyampaikan persembahan pada malam itu ialah Ketua Dua IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, pembacaan puisi oleh penulis Ramli AR, penyair Norawi Haji Kata juga menyampaikan puisi yang terkandung dalam Akta Batin. Selain itu, Cikgu Sahar Misron dan Gabriel Kimjuan, penulis muda juga turut menyampaikan puisi.
Dari pihak tuan rumah, antara yang menyampaikan persembahan ialah pak Diran, Fithorozi dan beberapa penyair yang lain.
Malam bertambah rancak dengan suasana puisi yang intens. Walaupun hujan lebat, majlis tetap diteruskan sehingga ke penghujungnya. Majlis itu akan menjadi kenang-kenangan bagi penulis Sabah dan Belitung, kerana mereka bukan saja berpuisi sambil menikmati kupi, tetapi mereka juga bertemu dalam suasana hangat dan mesra sehingga majlis ditamatkan selepas hujan makin lebat.