CIKGU DON, CUITAN TWITTER DAN HAKIKAT KESEMENTARAAN
BAGI cikgu Don, begitu kami akrab memanggilnya, kehidupan adalah seperti titis-titis embun di hujung daun. Kecil, indah tapi sifatnya sementara. Tidak ada yang kekal. Mungkin kerana itu, bila berbicara mengenai hakikat kesementaraan, Cikgu Don sering mengirimkan gambar embun dalam cuitan twitternya kepada saya.
Kami sebenarnya agak jarang bertemu. Beliau sesekali datang untuk `sebaris puisi, segelas kopi dan sekeping roti atau kadang-kadang secara kebetulan kami bersua dalam program sastera dan budaya. Cikgu Don atau Dr Lokman Abdul Samad adalah seorang pakar sastera rakyat Sabah. Beliau banyak mengkaji mengenai sastera rakyat pelbagai etnik di negeri ini seperti tekodon (Bajau), Sundait (Dusun), Antuka (Iranun), Panton Cocos, Sungai, Bisaya,Badaub (Melayu Berunai) dan sebagainya.
Beliau juga menguasai hal hal berkaitan sastera dan perkembangannya. Kerana itu, kami sering terlibat dalam percakapan yang mengasyikkan. Kadang boleh berlama-lama duduk di kedai kopi semata-mata untuk bercakap mengenai isu-isu sekitar sastera.
Sebagai seorang pensyarah, Cikgu Don seorang yang dekat dengan mahasiswanya. Jawatan terakhirnya adalah Ketua Program Seni Kreatif di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) di Universiti Malaysia Sabah. Perhatiannya begitu besar bagi memastikan pelajarnya maju.Beliau banyak menginspirasi dan sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada mereka untuk sentiasa komited dalam mencari dan menambah ilmu pengetahuan.
Menurut cikgu Don, keindahan yang dipandang mata, hanyalah luaran semata-mata. Hakikat keindahan adalah menerusi rasa takjub yang menggetarkan perasaan yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata daripada relung jiwa paling dalam menikam-nikam.
Saya teringat beberapa cuitan twitternya. Sebagai seorang sahabat, beliau seorang yang simpatik dan seorang yang seorang yang enak diajak untuk memperkatakan apa saja tajuk sastera, budaya malah politik.
“Merasa diri baik adalah tanda orang yang masih belum punya hati yang baik. Orang yang baik takkan mengaku dirinya baik,” katanya dalam satu twit yang lain.
“Setiap kata ada makna, setiap makna ada rasa, kata makna dan rasa adalah cinta. Dan cinta adalah keterikatan rasa dalam makna kebebasan kata. Nikmati kesan cinta!. Dari hantaran-hantaran twitnya selalu mengingatkan mengenai makna.
Mengulas mengenai rasa syukur, beliau menulis: Syukur sebatas kata jadilah hiasan tulisan merasa-rasa mulia kerana nikmat yang tidak dustakan kena pada dirinya sedangkan tanda syukur makin insaf rasa hina tunduk terduduk malu diri penuh noda sedang nikmatNya mengalir tanpa putus setiap masa.
Jauh sebelum beliau pergi, Cikgu Don menulis bahawa :Mahkluk kecil kembalilah dari tiada kepada tiada kerana itulah hakikat kejadian sebenarnya .
“Tiada duka abadi semua akan berakhir dengan wangi akhirnya nanti. Duka bukan tragedi tapi sebuah ujian dan kesempatan untuk memanjat tangga-tangga insaf dan syukur.”
Takkanlah dinamakan hidup tanpa ujian itulah adanya sabar sebagai sandaran suka atau tidak ujian akan tetap terjadi pilihan yang ada sabar pada setiap ujian diri.
Dalam kesempatan lain, beliau menulis bahawa setitis air gugur ke bumi masih dalam pengetahuan langit Illahi. Apatah lagi perjalanan hidup kita sehari-hari tetap dalam pengetahuan Illahi, katanya. Langit yang tinggi sentiasa menaungi bumi tanpa balasan diminta diberi. Kerana, mari kita syukuri hidup.
Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan kesabaran. kesabaran memerlukan ilmu. ilmu memerlukan amal. Ilmu dan amal adalah kehidupan., katanya.
Dalam twitternya, dapat juga dikesan mengenai pendirian beliau yang tidak goyah terhadap sesuatu perkara yang diyakininya. “Bukan aku tak mahu mengikuti mereka kerana aku benar mereka salah atau mereka benar dan aku salah tetapi aku tahu benar jalan yang kupilih tak perlu dipilihkan oleh orang lain. Jalanku bukan jalanmu”.
Katanya, Membahagiakan diri usah sampai membinasakan orang lain, maju usah sampai memundurkan yang lain, naik tidak memijak kawan jatuh tidak menarik lawan.
Lebih tajam lagi apabila beliau memberi tamsil bahawa dalam masyarakat binatang tiada manusia namun terdapat sebegitu banyak tabiat perilaku binatang dalam kehidupan masyarakat manusia.
Kalau tidak gambar desa yang tenang, beliau mengirimkan gambar gambar gunung. Beliau mengingatkan bahawa puncak tertinggi pencapaian ilmu tetap ditandai dengan kekosongan. Jangan berhenti mencari ilmu kerana ilmu yang kita perolehi amat sedikit berbanding dari bumi Tuhan yang sedemikian luasnya.
Benar, bahawa segalanya sementara. Saya teringat gambar gunung, senja merah, menara masjid dan titis-titis embun di hujung daun dan kata-kata dalam setiap cuitan twitternya. Tiada duka abadi semua akan berakhir sebentar lagi. Semua sementara di sini.
Hari itu, 15 Januari 2020 bersamaan 19 Jamadilawal 1441 Hijrah, kami dikejutkan dengan berita pemergian cikgu Don dalam perjalanannya menemui cinta ilahi. Benar, seperti katanya, segalanya serba sementara.Selamat jalan sahabat kami, kami pasti menyusuli.