Jumaat, 1 Mei 2020

CIKGU SHAMIUN, PERNAH NAIK SAMPAN UNTUK MENIMBA ILMU

Tags

CIKGU SHAMIUN, PERNAH NAIK SAMPAN UNTUK MENIMBA ILMU

KETIKA zaman persekolahan, beliau pernah menaiki sampan menyeberangi sungai semata-mata untuk ke sekolah menimba ilmu.” Kadang-kadang saya  terpaksa berenang sambil mengangkat beg sekolah dan uniform apabila sampan berada di seberang dan tiada orang yang boleh dipanggil,” kenangnya. Begitulah antara pengalaman menarik yang pernah dialami oleh Cikgu Shamiun Salleh.Sepanjang 39 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan, beliau pernah mendapat dua kali Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Tokoh Guru SMK Arshad, dan selepas bersara, beliau terpilih sebagai Tokoh Guru Daerah Tuaran 2017.



SHAMIUN SALLEH dilahirkan di Kampung Simpangan Kuala Tuaran pada 20 Mac 1956. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Bolong dari tahun 1963 hingga 1967 sebelum meneruskan persekolan di peringkat menengah di GJSS Tuaran bermula dari tahun 1968 hingga 1972. Selepas itu beliau bersekolah di SM St John sehingga lulus MCE dari tahun 1973 hingga 1974. Kemudian beliau memasuki Maktab Perguruan Gaya dari tahun 1975 hingga 1976. Sebaik tamat kursus perguruan, beliau ditempatkan sebagai guru di SM Mempagar Beaufort pada 1977 hingga 1980 dan seterusnya ke SM Arshad bermula 1981 hingga 1985. Kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai pengetua di SMK Malinsau Ranau pada 1986 hingga 1987. Pada Oktober 1987, beliau dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Kent Tuaran hingga Oktober 2005. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Unit Sumber Manusia di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah (BTPNS) bermula November 2005 hingga 2012. Beliau kemudian dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran dari tahun 2012 hingga bersara pada 2016.  Selepas bersara, beliau terpilih sebagai Penerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Tuaran. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Dayang Normah Haji Mohd Yusof ( dikurniakan lima cahaya mata) dan  Puan Natasha Abdullah (dikurniakan seorang cahaya mata). Kini beiau juga memiliki cucu 10 orang.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau mengenai cebisan pengalaman beliau sepanjang 39 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan di beberapa daerah di negeri Sabah. Wawancara terpaksa dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ikuti petikan wawancara berkenaan:



UTUSAN BORNEO:  Bolehkah cikgu ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang cikgu? Tarikh lahir? Tempat lahir? Anak keberapa dalam keluarga?

SHAMIUN SALLEH: Nama saya Shamiun Bin Salleh, anak bongsu dari tiga adik beradik tetapi ibubapa saya sudah berkahwin sebelum mereka bertemu jodoh selepas jadi duda dan balu. Anak bapa yang lama 3 orang dan anak mama yang lama 5 orang. Ibubapa petani dan juga nelayan. Saya dilahirkan di Kampung  Simpangan Kuala Tuaran pada 20 Mac 1956. Saya melalui persekolahan rendah hanya 5 tahun kerana melepasi ujian darjah 2 untuk dinaikkan terus ke darjah 3.

UB: Dimana cikgu mendapat pendidikan awal? Berapa jauh sekolah dari rumah? Naik apa ke sekolah?

SS: Saya mendapat pendidikan awal di GPS Bolong Tuaran. 3 km dari rumah tetapi terpaksa menaiki sampan sebab Kampung  Simpangan dan GPS Bolong dipisahkan oleh Sungai Tuaran. Kadang-kadang terpaksa berenang sambil mengangkat beg sekolah dan uniform apabila sampan berada di seberang dan tiada orang yang boleh dipanggil. Berbekalkan duit 30 sen dapat membeli 2 bungkus mihun goreng. Manakala minuman kami bawa dari rumah atau isi botol air di sungai yang airnya sangat jernih.

UB: Di mana cikgu melanjutkan pelajaran menengah?
SS: Kemudian saya melanjutkan persekolahan menengah di GJSS Tuaran dalam aliran Bahasa Inggeris. Setiap hari berjalan kaki bersama abang dari Kampung Baduk Baru kawasan baru yang diterokai oleh bapa bersama rakan-rakannya dari Kampung Simpangan. Setiap hari kami berjalan kaki lebih kurang 20km ulang alik. Bertolak jam 8 pagi kerana kami sesi petang dan pulang jam 5.30 petang. Biasanya kami sampai rumah jam 8.00 malam, Di sekolah saya merupakan pelajar terbaik dalam akademik dan sukan bolasepak. Selepas tamat LCE saya berpindah ke SM St. John Tuaran. Abang berhenti sekolah ketika dalam bridge class kerana diterima masuk latihan polis. Bapa meninggal dunia ketika saya dalam bridge class lagi. Faktor itulah yang mendorong abang masuk polis. Semasa dalam Form 4 dan 5 saya tinggal bersama kakak yang menyewa bilik di pekan Tuaran.

UB: Selepas tamat MCE, dimana cikgu meneruskan pengajian?
SS: Selepas MCE saya mengikuti temuduga Inspektor Polis walaupun ditentang oleh abang sepupu ASP Hj Mandalam yang terlibat menemuduga. Saya yakin beliau dapat menolong saya mengikuti kursus pegawai polis. Ketika menunggu keputusan temuduga tersebut saya terdengar melalui RTM bahawa temuduga terbuka pengambilan guru pelatih di Maktab Gaya. Keesokannya saya mencuba nasib. Pada sesi akhir temuduga tersebut saya diminta melapor diri ke Maktab Gaya keesokannya. Saya dalam dilema pada masa itu, samada menunggu keputusan temuduga pegawai polis atau masuk maktab perguruan. Saya merujuk abang sepupu saya dan beliau sarankan saya untuk masuk maktab. Sebenarnya cita-cita pertama saya untuk jadi polis dan cita-cita kedua untuk menjadi guru. Pendek cerita saya mengikuti kursus perguruan sekolah menengah selama 2 tahun dalam bidang Pengajian Melayu dan Seni Lukis. Dua minggu selepas melapor diri saya juga menerima tawaran kursus inspektor polis tetapi saya bulatkan tekad untuk meneruskan pengajian dalam bidang perguruan.





UB: Siapa rakan rakan di maktab perguruan? Masih ingat?

SS:  Kira-kira 90% guru pelatih Maktab Gaya pada masa itu berasal dari Semenanjung terutama dalam pengajian sekolah menengah. Antara kawan rapat saya saudara Letfee Ahmad yang meletak jawatan dari bidang perguruan dan memasuki bidang penyiaran selepas itu. Mantan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Muhidin Yusin merupakan senior kami yang juga rakan  bergiat dalam kumpulan anak seni. Di Maktab saya juga terlibat dalam bidang tarian. Saya masih ingat kawan-kawan sebilik yang saya anggap macam adik beradik. Setiap kali cuti semester mereka ikut saya balik kampung dan merasai pengalaman memukat dan menangkap ketam.

UB: Selepas keluar maktab perguruan, dimana cikgu bertugas?
SS: Saya ditempatkan  di SMK Mempagar Beaufort. Sebelum melapor diri di sekolah tersebut, saya bersama Cikgu Muhasip Hj Ruman mencari  maklumat  berkaitan dengan masyarakat Bisaya yang mendominasi daerah berkenaan. Antara dapatan kami ialah kononnya orang bisaya mengamalkan ilmu hitam untuk mengenakan orang baharu yang sombong. Hampir sebulan kami berlakon untuk menunjukkan hormat berlebihan terhadap masyarakat di sana. Lama kelamaan kami tidak menemui sebarang masalah dengan masyarakat setempat bahkan kawan bertambah kerana kami aktif bermain bolasepak. Pengetua SMK Mempagar pada masa itu ialah Cikgu Hussin Mokti dan Penolong Kanan ialah Cikgu Hashim Tuah.


UB: Apa subjek yang cikgu ajar?
SS: Selain mengajar subjek Bahasa Malaysia saya juga diberi tugas sebagai Guru Disiplin. Sebenarnya dalam tahun kedua sebagai guru Bahasa Malaysia saya telah dipilih untuk mengikuti Kursus Kakitangan Penting Bahasa Melayu di Pusat Perkembangan Kurikulum KL. Mulai dari tahun 1978 saya terlibat memberi kursus kepada guru-guru seluruh Sabah pada setiap cuti akhir persekolahan. Kami dipanggil berkursus di PPK pada cuti pertengahan dan diminta mengendalikan kursus pada cuti hujung tahun. Kesempatan ini memberi keyakinan kepada saya berceramah dan mengurus masalah-masalah berkaitan PdP dengan guru-guru. Sesekali rasa kecut juga apabila berhadapan dengan guru-guru  siswazah sedangkan saya berkelulusan sijil perguruan. Setiap kali sebelum  saya memulakan ceramah saya nyatakan bahawa saya hanya rakan penyampai ilmu yang diperolehi dari PPK KPM. Alhamdulillah tidak menemui sebarang masalah besar sepanjang bertugas sebagai KP BM.

Ketika bertugas  di Beaufort 1977 - 1981,Saya juga merupakan pemain bolasepak PSKPP Beaufort dan menjadi Setiausaha PIBG SMK Mempagar dan sempat menyusun Buku Panduan Disiplin Sekolah. Oleh kerana kandungannya terlalu ketat bagi pandangan pengetua maka berlaku perselisihan pendapat antara guru-guru yang memihak kepada  saya dengan pengetua sehingga pegawai dari JPN datang ke sekolah untuk tujuan mencari penyelesaian. Pegawai berkenaan memanggil saya dan menyatakan bahawa saya terpaksa ditukarkan ke SMK Arshad Kota Belud untuk membantu masalah disiplin di sekolah tersebut. Saya tiada pilihan dan akur dengan keputusan tersebut.

UB: Apa pula pengalaman di SM Arshad? Boleh ceritakan?
SS:  Pada awal tahun 1981 saya melaporkan diri di SM Arshad Kota Belud. Seminggu selepas melaporkan diri saya dilantik menjadi Ketua Lembaga Disiplin Murid SMA. Pada mulanya saya menolak pelantikan sebagai Ketua Lembaga Disiplin."Maaf tuan saya guru baharu bertugas di sini" Tak sempat saya sambung ayat tersebut untuk memberi alasan menolak, saya  melihat pengetua merenung muka saya dengan penuh harapan. Lantas saya beranikan diri untuk menyusun ayat semula. "Tuan berikan saya Buku Panduan Disiplin Sekolah (BPDS) untuk jadi rujukan". Saya percaya pengetua berkenaan memahami isi hati yang sanggup menerima perlantikan sebagai Ketua Lembaga Disiplin (Pelajar) SMK Arshad Kota Belud. Sambil menggaru kepala, beliau menyatakan sekolah tersebut tidak mempunyai BPDS yang khusus. Pengurusan disiplin hanya merujuk pekeliling dan siaran JPN sahaja. Berdasarkan pengalaman di sekolah lama saya terlibat menerbitkan BPDS, lantas mencadangkan kepada pengetua agar saya dibenarkan menerbitkan buku tersebut. "Kamu dibenarkan menyusun buku tersebut tanpa masuk kelas dalam tempoh dua minggu cukupkah masa itu" Saya hanya mampu menganggukkan kepala tanda setuju. Pengetua bagaikan memahami perkara yang berlegar dalam fikiran saya. Beliau menambah arahan "Cikgu boleh minta bantuan semua 12 orang guru disiplin dan mereka juga dibenarkan atur guru ganti semasa kamu menyiapkan buku tersebut, seorang kerani dan penyenggara mesin juga dibenarkan". Mulai hari itu saya panggil semua guru disiplin dan berikan taklimat berdasarkan pengalaman lama. Saya dapat bayangkan kesukaran tugas berkenaan di sekolah besar yang mempunyai lebih kurang dua ribu pelajar jika dibanding sekolah lama saya. Sebaik taklimat selesai saya bagaikan disuntik semangat luar biasa apabila mendapat tepukan gemuruh daripada semua guru disiplin tanda bersetuju dengan tugas masing-masing. Setiap orang diberikan peranan termasuk menghubungi sekolah-sekolah besar di seluruh negara untuk mendapatkan BPDS mereka sebagai rujukan. Semua pekeliling dan siaran dari KPM dan JPN menjadi rujukan kami.

UB: Berapa lama bertugas di SM  Arshad?
SS: Saya bertugas di SM Arshad dari tahun 1981 hingga 1985.

UB: Dimana cikgu ditugaskan selepas itu?
SS: Saya ditugaskan sebagai Pengetua di SMK Malinsau, Ranau dari tahun 1986 hingga 1987.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik di sana?
SS: Suatu hari pada tahun 1986, saya dalam dilema kerana tindakan yang akan diambil sebagai pengetua mungkin menyalahi peraturan Jabatan Pendidikan Sabah, tetapi pengalaman sebagai anak orang susah mendesak saya untuk menyerahkan biasiswa kepada pelajar-pelajar  yang ingin balik bersekolah walaupun mereka sudah berhenti sekolah beberapa bulan yang lalu. Setelah menerima biasiswa tersebut dan menandatangani surat perjanjian, mereka menyambung pendidikan semula. Alhamdulillah pelajar-pelajar  tersebut sempat menduduki peperiksaan tingkatan 3. Perkara itu  mengejutkan semua guru. Apa tidaknya keputusan saya sebagai pentadbir baharu bercanggah dengan amalan biasa. Ada yang memberi amaran tindakan tatatertib menanti saya sekiranya cadangan tersebut diteruskan. Setelah mempertimbangkan bahawa semua pelajar seramai 300 orang dalam kalangan keluarga miskin dan memenuhi kriteria diluluskan walaupun kapasiti asrama hanya boleh menampung lebih kurang 250 orang. Saya terkesan dengan penjelasan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) mengenai kehidupan masyarakat kampung yang tinggal berjauhan antara sebuah keluarga dengan yang lain. Mereka bergantung hidup dengan mewarisi cara hidup petani nomad tetapi masih dalam lingkungan kawasan yang berbukit bukau dan sungai sumber rezeki serta tempat mandi manda. Malah terdapat keluarga yang makan hanya sekali dalam sehari.

 Saya sesungguhnya sedikitpun tidak berasa waswas terhadap kenyataan beliau. Tanpa diminta, banyak maklumat beliau sampaikan untuk meyakinkan saya agar semua murid dibenarkan tinggal di asrama.

Malam itu saya terlelap apabila dapat idea untuk meluluskan permohonan semua pelajar dibenarkan tinggal di asrama. Setelah mendengar pandangan guru-guru dalam mesyuarat keesokannya, saya membuat kesimpulan dengan mengajukan pertanyaan kepada mereka, "Adakah cikgu bersetuju atau tidak bahawa semua pelajar layak tinggal di asrama?" Mereka mengatakan semua layak. Berdasarkan jawapan mereka saya membenarkan 250 orang tinggal di asrama dan 50 orang lagi tinggal dengan keluarga angkat yang sudah dikenalpasti oleh WKAN tersebut.
 Rumah keluarga-keluarga angkat tersebut berdekatan dengan sekolah. Kemudahan yang diberikan ialah beras, ikan tin, susu, biskut, telur, Maggie dan makanan-makanan lain yang akan diagihkan kepada mereka seminggu sekali. Pelajar-pelajar ini dipantau oleh seorang warden asrama luar. Sistem ini berterusan sehingga saya bertukar pada tahun 1987.
Pada akhir tahun 1987 saya bertukar dari SMK Malinsau ke Maktab Perguruan Kent sebagai Pensyarah  C1 Tingkatan Tertinggi.

UB: Bagaimana pula kisah pertukaran dari SMK Malinsau ke Maktab Kent?
SS: Pada bulan oktober 1987 saya mendapat panggilan daripada JPN Sabah untuk hadir temuduga pensyarah maktab perguruan. Pada masa itu saya  didatangi oleh wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Zon Malinsau Ranau membawa hasrat ibubapa untuk meminta saya terus menjadi pengetua di SMK Malinsau. Beliau juga membawa borang permohonan tanah kerajaan seluas 30 ekar dengan sokongan WKAN dan Ketua kampung. Di samping itu rancangan menanam rotan di kawasan tersebut dengan kerjasama masyarakat setempat. Setelah berfikir panjang keesokannya saya turun ke Kota Kinabalu. Saya telah ditemuduga oleh Datuk Isa Ramli pengarah JPN pada masa itu. Saya telah diberi keputusan serta merta lulus dan ditempatkan di Maktab Perguruan Kent Tuaran. Apabila balik ke sekolah saya mengadakan mesyuarat bersama PIBG untuk memberitahu arahan pertukaran serta merta kerana kenaikan pangkat. Pada masa itu suasana memang mengejutkan dan juga menimbulkan perasaan yang berbaur antara sedih dan gembira. Selepas mesyuarat saya berjumpa ibubapa dan mengucapkan terima kasih dan minta maaf kerana tidak dapat meneruskan projek penanaman rotan bersama mereka.

Kemudian, saya melapor diri di Maktab Kent pada akhir bulan oktober 1987. Saya disambut dengan baik oleh Cikgu Abd Ghani Mandar, pengetua Maktab Kent masa itu. Hubungan kami baik sebab saya pernah bekerja di bawah beliau di SM Arshad Kota Belud. Beliau mengenali saya dengan rapat kerana saya membantu beliau dalam urusan disiplin pelajar. Semasa memperkenalkan saya dalam mesyuarat jabatan, beliau menceritakan mengenai  diri saya  secara panjang lebar. Berdasarkan pengalaman di SM Arshad, saya dilantik sebagai antara penasihat tetap badan pelajar selain mengajar subjek pengajian melayu dan jurulatih GERKO Bolasepak.
Sangat mudah untuk dia mengenalpasti tugas yang sesuai dengan saya kerana hubungan kerja kami yang sangat rapat. Sebenarnya Hj Abd Ghani Mandar mendapat jolokan pengetua yang tegas dan garang. Sepertimana yang selalu saya tegaskan bahawa sifat ketua seperti itu boleh membantu menaikkan prestasi kerja kita.

 Di Maktab Kent saya juga berpeluang bekerja di bawah Datuk Hj Amin Ariff. Beliau juga mengenali saya kerana sebelum bertukar ke SMK Malinsau beliau ialah pengetua di SMK Arshad. Tugas saya sebagai Ketua Lembaga Disiplin pelajar dan Ketua Warden Asrama menjadikan saya rapat dengan pengetua.
Setelah Datuk Amin Arif bertukar ke JPN sebagai Timbalan Pengarah seterusnya Pengarah JPN, kami menerima pengetua baharu iaitu Datuk Normah Gagoh. Peluang saya bekerja dengan pemimpin-pemimpin tertinggi JPNS memberi impak yang sangat tinggi terhadap kerjaya saya. Semasa di Maktab Kent saya berpeluang mengikuti banyak kursus perkaedahan dan juga kursus-kursus pengurusan organisasi dan pelajar. Antaranya saya merupakan jurulatih bolasepak, jurulatih bina semangat (saya tidak berniat buat senarai) memadailah semua kursus menjadikan kita berkeyakinan dan berasa serba lengkap sehingga terlupa untuk menyambung pelajaran.
Sebenarnya saya telah mengikuti kursus khas perkaedahan di Institut Bahasa pada tahun 1980 selain kursus kakitangan penting BM setiap tahun sejak tahun 1978. Walaubagaimanapun ilmu dan kemahiran tidak mencukupi untuk terus jadi pensyarah tanpa ijazah. Justru saya sambung belajar di UPM pada tahun 1994. Selepas belajar saya bertugas semula di Maktab Perguruan Islam beberapa bulan sebelum balik ke Sabah dan sambung perkhidmatan di Maktab Kent semula.

UB: Berapa lama bertugas di Maktab Kent?
SS: Saya bertugas di Maktab Kent Tuaran sejak Oktober 1987 hingga Oktober 2005.

UB: Selepas bertugas di Maktab Kent, di mana cikgu bertugas selepas itu?
SS: Saya bertugas ke Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah dan memegang beberapa unit dan Timbalan Ketua Penolong Pengarah BTPNS dari November  2005 hingga 2012. Pada tahun 2012 saya dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Pegawai Pendidikan Tuaran Tuaran sehingga bersara pada tahun 2016.




Sekadar mengimbau kembali kenangan di BTPN Sabah. Unit akhir yang saya ketuai di sana ialah Unit Pusat Sumber Pendidikan. Selain mempastikan penggunaan teknolgi dalam pendidikan saya tertumpu kepada pemupukan budaya membaca dalam kalangan murid terutama di sekolah-sekolah luar bandar. Antara kenangan yang mencuit perasaan saya ialah apabila melihat seorang guru perpustakaan mengagihkan buku untuk dibaca pada waktu rehat. Murid-murid di sekolah tersebut tidak mementingkan masa rehat untuk makan dan minum. Mereka berpus-pusu ke sebuah bilik yang tidak terurus tetapi mengandungi bahan bahan bacaan yang belum diproses. Guru perpustakaan mengedarkan buku kepada murid dengan keyakinan bahawa buku itu akan dipulangkan selepas membaca. tentulah sistem ini tidak betul dan perlu diperbaiki. Saya memanggil beberapa orang pegawai yang bersama saya dan mengarahkan agar Khidmat Bantu Perpustakaan perlu dijalankan segera di sekolah-sekolah  sekitar daerah Telupid. Program Khidmat Bantu PSS merupakan aktiviti bulanan unit PSS. Alhamdulillah aktiviti-aktiviti pemupukan tabiat membaca dan pengurusan PSS telah kami laksanakan di pulau-pulau sekitar Banggi, Sandakan, Semporna dan Tawau. Di Kudat, Kota Marudu dan Pitas, saya bersama Cikgu Shaiffudin, Cikgu Ahmad Haji Rashkin, Cikgu Jamli Zaini memantau dan menjalankan projek khidmat bantu. Mereka banyak menyumbang ke arah peningkatan pusat sumber dan makmal komputer di daerah berkenaan termasuklah menaiktaraf sekolah daif. Di samping itu laporan kami terhadap prasarana ini dapat membantu JPNS dan KPM menyalurkan bantuan yang sewajarnya. Fokus saya pada masa itu ialah sekolah-sekolah luar bandar kerana sekolah-sekolah bandar di negeri Sabah mampu bersaing dengan sekolah-sekolah di seluruh negara. Keadaan ini dapat dilihat melalui kejayaan kita membentuk Tokoh Nilam Kebangsaan dan Anugerah PSS Cemerlang (rekod kecemerlangan ini ada di BTPN Sabah)


UB: Memandangkan kerjaya cikgu yang begitu cemerlang, tentu cikgu pernah terima penghargaan?
SS:  Sepanjang perkhidmatan saya telah menerima dua kali APC. Semasa di SMK Arshad saya dianugerahkan Tokoh Guru SMK Arshad sempena perayaan Jubli Perak. Setahun selepas bersara  bersara iaitu tahun 2017 saya dipilih menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Tuaran.


UB: Apa aktiviti selepas bersara?
SS: Selepas bersara saya mengerjakan umrah dan cuba menjejaki rakan semaktab terutama di semenanjung. Melalui media sosial agak mudah untuk mengumpul nombor-nombor  handphone  mereka. Langkah pertama saya dengan isteri Hajah Dayang  Normah Haji  Mohd Yusof juga merupakan lepasan Maktab Gaya menghubungi saudara  Omar Haji Ahmad di Perak. Selepas itu, beliau atur perjumpaan di Perlis dengan rakan-rakan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Masa balik kami singgah di Alor Star dan Kamunting untuk buat mini reunion lagi. Misi kami berakhir di KL dan sempat bertemu rakan-rakan di sekitar. Bayangkan selepas posting hingga bersara baru kali itu dapat bertemu. Banyak perubahan dan kalau tiada usaha sedemikian hubungan persahabatan pasti terputus. Susulan dari pertemuan itu kami mengadakan Majlis Reunion Ex-Gaya 1975/1976.Kami dapat mengumpul 95 orang peserta berpusat di Hotel Tabung Haji KK.








UB: Alhamdulilah. Satu pengalaman yang mengujakan. Selepas itu?
SS: Selepas itu kami menganjur perjalanan keluar negeri dalam kumpulan kecil sekadar dapat mengikat kembali silaturrahim. Kami pergi ke Thailand melalui Padang Besar, kami pergi Padang Sumatera Barat, kami pergi Kashmir, kami juga ada pergi Bandung dan  juga Ghuangzou dan Shenzen.

UB: Pernah melibatkan diri dalam NGO?
SS: Aktiviti yang sedang saya ikuti kebelakangan ini menyertai NGO Perkasa Malaysia. Mungkin juga saudara ingin tahu tentang hobi semasa di rumah. Sebenarnya saya suka lanskap sebab penilaian terhadap tempat yang saya lawati banyak dipengaruhi oleh keindahan taman-taman bunga. Di rumah saya membantu isteri yang sangat minat menanam bunga-bungaan. Sebagai suami saya banyak terlibat memesin rumput dan penyediaan tapak lanskap. Bunga-bungaan yang ditanam bukan untuk komersial tapi lebih kepada memenuhi minat dan terapi mata.


UB: Terima kasih cikgu kerana sudi ditemuramah.
SS: Terima kasih banyak, walaupun masih banyak yang boleh dikongsikan. Sesungguhnya perkhidmatan 39 tahun dalam dunia pendidikan disifatkan terlalu lama dan membebankan menurut segelintir orang kerana hasilnya tidak sama dengan mereka yang menceburkan diri dalam bidang politik atau perniagaan. Namun begitu nun jauh dalam lubuk saya berasa puas kerana selama ini saya tidak menemui 'musuh' sepanjang kerjaya saya.

Artikel Terkait