Ahad, 11 September 2016

TS Jeffry, Selalu Pilih Sabah Kerana Sabah Dekat Dihatinya

Tags

TS JEFFRY, SELALU PILIH SABAH KERANA SABAH DEKAT DIHATINYA

“SAYA pilih Sabah kerana Sabah di hati saya,” kata Pengarah, Pelakon dan Penerbit terkenal Dato TS Jeffry. Sepanjang penglibatannya dalam filem, TS Jeffry sering memilih Sabah sebagai lokasi penggambaran dalam setiap drama atau telemovie yang dihasilkannya. Sabah negeri yang istimewa, menarik dan memiliki khazanah budaya yang kaya, katanya yang mendirikan rumahtangga dengan Datin Domithila Servatius, berasal dari Penampang Sabah.

Dato TS Jeffry atau nama sebenarnya Jeffry Ting Tiah Seng dilahirkan di Pasir Mas Kelantan pada 24 Jun 1966. Anak sulung dari 10 adik beradik ini berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menceburi bidang industri hiburan tempatan pada tahun 1989. Lakonan pertamanya ialah drama Meniti Kabut manakala filem lakonan pertamanya ialah Maria Mariana pada tahun 1996. Beliau juga memegang watak penting dalam filem Leftenan Adnan, Suami,isteri dan.... Beliau juga banyak terlibat dalam pembikinan drama, telemovie, dokumentarinya dan sebagainya. Antara yang terkenal termasuk siri drama komedi Kopi, Cinta Yang Tertinggal, Hantu Bukit Cina dan sebagainya. Selepas berjaya sebagai pelakon, beliau menceburkan diri dalam bidang pengarahan dan kini memiliki syarikat perfileman sendiri, Pentas Wayang Production.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN berpeluang menemui Dato TS Jeffry di sebuah restoran di Jalan Pantai Kota Kinabalu untuk berkongsi cerita mengenai penglibatan beliau dalam industri hiburan tanahair. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Dato?

DATO TS JEFFRY: Saya dilahirkan di Pasir Mas Kelantan pada 24 Jun 1966. Saya baru saja menyambut hari lahir yang ke 50 bulan lalu.Dalam keluarga saya, saya sahaja yang memperhambakan diri dalam seni. Saya anak sulung dari sepuluh adik beradik. Saya mula berlakon pada tahun 1989 melalui drama Meniti Kabut. Filem pertama saya ialah Maria Mariana yang turut dibintangi Erra Fazira, Ziana Zain, Edika Yusof, Roy Azman, A Galal dan ramai lagi. Saya juga turut berlakon dalam Lurah Dendan, pertama kali Rosyam Nor jadi hero.

UB: Seperti yang kita ketahui, Dato banyak membuat drama di Sabah. Apa yang membuat Dato memilih Sabah?

TS JEFFRY: Di Sabah ni, saya mempunyai pasukan yang kuat. Kalau tidak kuat, saya tidak berani. Ramai kawan yang menjadi tulang belakang saya. Antaranya Saudara Jamawi Jaafar, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia. Beliau ini banyak memberi sokongan dan terlibat dalam produksi drama sebelum beliau terlibat dalam politik secara serius. Waktu, saya ingat beliau masih bekerja di Jabatan Pertanian tetapi beliau menunjukkan minat yang tinggi dalam industri ini dan sentiasa memberi dukungan hingga sekarang. Beliau menjadi kawan karib saya. Seorang lagi yang amat berjasa ialah abang Abd Karim Gullam, yang banyak memberi idea. Malah banyak idea-idea yang lahir secara spontan ketika bercakap-cakap dengan Abang Karim ini. Sebab itu, banyak latar dalam drama yang saya hasilkan itu, `setting’nya di Tenom. Mereka ini orang-orang yang banyak membantu saya. Anggap saya seperti keluarga.



UB: Siapa yang mula-mula perkenalkan atau bawa Dato ke Sabah?

TS Jeffry: Orang yang mula-mula ajak saya ke Sabah ialah Datuk Rizalman Abdullah. Waktu itu beliau adalah Ahli Parlimen Tenom dan jadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan. Beliau yang bawa saya ke Sabah. Saya terhutang budi kepada beliau.

UB: Mungkin banyak kenangan sewaktu menjalankan penggambaran di Sabah?

TS Jeffry: Bagi saya banyak kenangan manis. Duduk bercerita dengan Abang Karim dan kawan-kawan banyak idea yang timbul secara spontan. Idea-idea ini menjadi bahan drama yang menarik seperti tagal, yang dilaksanakan sebagai satu cara menjaga ekosistem dan hidupan ikan, sogit, pantang larang, adat budaya dan sebagainya. Banyak idea, ini yang menarik bagi saya. Satu lagi ialah sewaktu saya tidak dapat balik ke Semenanjung ketika perayaan tahun Baru Cina. Saya tidak dapat rayakan kerana tak dapat balik. Apa yang mengharukan bagi saya ialah sahabat dan rakan-rakan di Tenom membuat satu majlis untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama saya.

Satu lagi kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila terlibat dalam kemalangan. Kereta kami terbalik sewaktu dalam perjalanan. Saya menerima sebanyak 22 jahitan. Ini bagi saya kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sewaktu saya di hospital, rakan-rakan serta keluarga mereka datang melawat saya. Saya merasa berada di negeri sendiri.

UB: Tadi Dato ada menyatakan banyak idea spontan yang timbul ketika bersama Abang Karim Gulam.Boleh ceritakan?

TS Jeffry: Banyak idea timbul secara spontan. Antaranya cerita Tagal, Kopi O, semuanya muncul secara spontan. Idea-idea itu bergantung kejadian semasa. Kerana Sogit, telemovie, kita memperkenalkan ramai pelakon Sabah yang berbakat. Dalam setiap drama, kita perkenalkan banyak pelakon baru.

Sabah negeri yang istimewa dan menarik. Kalau ada orang bertanya kenapa pilih Sabah? Jawapannya Kerana Sabah di hati saya. Lagipula isteri saya, Datin Domithila Servatius, orang Sabah

Seperti yang saya katakan tadi, Abang Karim banyak memberikan idea Beliau menjadi tulang belakang saya sejak 2003. Selama 15 tahun saya di sini, beliau banyak membantu.

UB: Oh begitu. Apa lagi yang Dato impikan?

TS Jeffry: Selain itu, Saya mahu perkenalkan sabah sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Dari segi videografi, Sabah memiliki alam semulajadi atau nature belum banyak terganggu oleh pembangunan. Itu yang mahu saya ketengahkan dalam karya-karya saya. Saya selalu ketengahkan dimana-mana kita buat syuting atau penggambaran. Budaya Sabah mesti kita selitkan disamping kita menyampaikan mesej-mesej yang berguna dalam produksi yang kita hasilkan. Nilai-nilai murni sebab bagi saya , kita kena terapkan , kita tidak boleh lari dari mesej.

UB: Apa kaedah Dato dalam membuat sesuatu drama?

TS Jeffry:Saya membuat drama tv yang senang orang faham. Bagi saya drama drama yang ringan itu untuk orang-orang yang nak santai menonton tv selepas mereka penat berkerja seharian. Saya biat drama yang yang jalan ceritanya mudah difahami. Kalau cerita berat, Perjalanan cerita yang orang tak faham, ini membuat orang tertidur. Saya buat drama yang semua golongan masyarakat boleh faham.Remaja boleh faham. Kita orang Malaysia, kita buat cerita orang Malaysia, kehidupannya, dunianya dan budayanya. Dimana tema cerita pada drama, saya selalu ketengahkan cerita orang Malaysia.Orang Malaysia itu penting bagi saya.



UB: Saya lihat industri hiburan tempatan terutamanya drama agak menurun. Apa komen Dato?

TS Jeffry: Biasalah indsustri seni ada pasang surut. Cuma macam mana kita nak tangani. Jangan kita nak salahkan industri atau salahkan kerajaan. Kita kena teruskan perjuangan. Bagi saya kita utamakan aspek seni disamping aspek komersial. Perniagaan tanpa seni tak boleh juga. Kita nak utamakan seni. Pada masa yang sama juga dalam setiap drama kita utamakan juga aspek perniagaan, ertinya produk kita nboleh jual. Sebab itu kita gunakan ramai pelakon yang sudah establish dan kita juga perkenalkan bakat bakat baru sebagai pelapis. Kita beri peluang yang sama. Saya suka lahirkan pelakon baru disamping beri peluang kepada pelaon yang lama juga.

UB: Apa perkembangan terkini dato? Apa drama terbaru yang dihasilkan?

TS Jeffry: Saya baru saja habis penggambaran ebuah telemovie, Ayam Jaguh yang akan ditayangkan untuk tahun baru. Untuk siri Sitcom Kopi O, Musim keempat kita masih tunggu kelulusan.

Antara pelakon yang terlibat ialah Alex Raja Lawak yang turut dibantu Danny X Faktor, Fazurina, Cdandy Af Musim ke-4,wawa. Penggambaran drama ini dijalankan di Tenom dan beberapa lokasi lain termasuk di sekitar Kota Kinabalu.

Drama Kopi O yang sinonim dengan Kopi Tenom ini berunsurkan komedi tetapi diselitkan dengan unsur kemanusiaan, kasih sayang serta isu-isu semasa yang menjurus kepada usaha untuk memperkasa cintakan negara. Sebab itu, pelakon-pelakon yang menjayakan watak-watak dalam drama ini terdiri dari pelbagai kaum yang ada di negara ini.

Saya berharap drama bersiri ini dapat memperkembangkan industri filem di Sabah. Selain memberi peluang kepada pelakon-pelakon dari sabah, kita juga memilih negeri ini untuk kita menonjolkan adat serta budaya masyarakat Sabah sebagai contoh kepada masyarakat lain di Sabah.

UB: Sejak bila Dato terlibat dalam kerja pengarahan?

TS Jeffry: Saya mula terlibat dalam kerja-kerja pengarahan pada tahun 1997 melalui pelayaran Kasih. Filem arahan pertama Saya ialah Hantu Bukit Cina 2009. Filem ini berkisar mengenai lima sahabat yang bberjaya membongkar misteri sebuah kawasan ini dibintangi Fouziah Gous dan Siti Fazurina Famir, Gambit Saifullah, Kamarool Hj Yusof dan ramai lagi.Sebelum itu saya terbabit dalam dunia lakonan pada tahun 1989. Pada tahun 2003, saya menubuhkan sebuah syarikat sendiri iaitu Pentas Wayang Production.

UB: Sudah berapa lama Dato berada dalam industri ini?

TS Jeffry: Saya sudah terlibat selama 29 tahun, iaitu hampir tiga dekad melibatkan diri dalam industri hiburan, sebagai pelakon, pengarah dan terbitkan drama dan tv serta telemovie untuk negeri Sabah. Antara drama yang saya haslkan Demi Sogit, Dimana Alin.Tagal, Korek Lubang Tutup Luanhg, Pancing Seribu Rasa, Kopi O musim pertama, dua dan tiga, Cinta Yang tertinggal . Dra,ka yang megambil latar sabah lebih sepuluh tajuk. Saya antara orang yang pertama buat drama tv dan telemovie di Sabah melalui cerita Hantu.,Dimana Alin. Saya bersyukur kerana saya antara orang yang pertama pilih Sabah. Saya gembira kerana ramai orang yang pernah jadi anak didik saya berjaya dalam industri. Ada sesetengah penerbit pernah terlibat dengan saya. Saya doakan mereka sukses.

UB: Apa azam Dato dalam industri ini?

TS Jeffry: Saya akan terus berjuang dalam seni.Saya orang seni. Saya tak masuk politik. Saya sentiasa sokong kerajaan dan kepimpinan yang ada.

UB: Sepanjang terlibat dalam industri ini, apa anugerah yang Dato perolehi?

TS Jeffry: Hampir 29 tahun dalam bidang ini, saya bersyukur kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang memberikan kurnia darjah kebesaran DIMP, Darjah Indera Mahkota Pahang sempena memuliakan Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Pahang pada 11 Mac lepas.


UB: Terima kasih banyak Dato kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk sesi wawancara ini.

TS Jeffry: Terima kasih kembali.