Ahad, 17 Julai 2016

DATUK DR AWANG ZAINI HAJI SUNTIM, ANAK JATI PERTAMA JADI KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP SABAH

Tags













DATUK DR AWANG ZAINI HAJI SUNTIM, ANAK JATI PERTAMA JADI KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP SABAH

SEBAGAI Anak Jati Sabah yang pertama terpilih sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah sejak tahun 1994, Datuk Dr Awang Zaini Haji Suntim membuktikan kewibawaannya dalam memimpin kira-kira 86,000 ahli pengakap di seluruh negeri. Beliau juga adalah anak Sabah pertama terpilih sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara pada tahun 2011 hingga penghujung tahun ini. Beliau kini berusia 63 tahun tetapi melibatkan diri dalam pengakap selama 57 tahun iaitu sejak menjadi Pengakap Kanak-kanak pada tahun 1959. Memiliki banyak jasa dan pelbagai pengalaman berharga dalam pengakap.

Datuk Dr Awang Zaini Haji Suntim dilahirkan di Kampung Tanjung Aru Kota Kinabalu pada 2 Oktober 1952. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Melanta dari tahun 1959 sebelum berpindah ke SRK Karamunting Sandakan dari tahun 1959 hingga 1964. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di St Michael Secondary School Sandakan pada tahhun 1965 sebelum berpindah ke Sabah College pada 1966 hingga 1970. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di ITM Happy Mansion Selangor dan kemudian mendapat Diploma Building Economic di ITM Shah Alam pada 1975. Dr Awang Zaini juga pernah mengikuti kursus Youth Management Specialist Course dari North Colorado State University pada tahun 1979, Ijazah dalam Youth Management/Consultant dari North Colorado State University 1982. Beliau juga memperolehi Doctor of Philosophy and Science External Degree Program MA/PHD di World Academy of Martial Arts pada 2013. Sejak berkecimpung dalam bidang pengakap pada tahun 1959, Dr Awang Zaini pernah memegang pelbagai jawatan. Sepanjang penglibatannya dalam pengakap, beliau pernah mewakili negara dalam pelbagai persidangan dan jambori pengakap antarabangsa yang diadakan di Norway, HongKong, Amerika Syarikat, Korea, Kanada, Australia, Kuala Lumpur, Karnataka India, Sri Lanka, dan Yamaguchi Jepun dan banyak lagi.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Majli Perbandaran Kota Kinabalu dari tahun 1997 hingga 2001. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pemangku Presiden Majlis Belia Sabah 2006-2008, Timbalan Presiden MBS 1994-2006, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Sabah (MBS). Dr Awang Zaini pernah menerima pelbagai anugerah, antaranya Pingat Semangat Rimba (Kelas Pertama), antara anugerah tertinggi pengakap di negeri ini. Selain anugerah pengakap Sabah, beliau juga pernah mendapat anugerah pengakap dari Johor, Melaka, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia.Beliau pernah dianugerahkan “Official Order of The Arrow” pingat tertinggi Pengakap di Amerika Syarikat kerana tindakan pantasnya membantu menyelamatkan 24 pengakap dari terkena taufan Tornado di North Colorado pada tahun 1979.



Wartawan UTUSAN BORNEO, ABDNADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Datuk Dr Awang Zaini Haji Suntim di Rumah BP, Bulatan Sembulan pada satu petang yang jernih di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai zaman awal persekolahannya dan pengalamannya dalam Pengakap sejak berkecimpung dalam Pengakap sejak 1959.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?

DATUK DR AWANG ZAINI HAJI SUNTIM : Saya dilahirkan di Kampung Tanjung Aru Lama pada 2 Oktober 1952. Rumah kami dekat Masjid Tanjung Aru. Saya memang orang KK asli, betul-betul KK. Sebab saya dilahirkan di KK. Saya anak sulung dari lapan adik beradik. Ayah Saya Haji Suntim bin Janoh bekerja sebagai Chief Air Condition di Harrison manakala ibu saya Aminah binti Haji Abdul Jalil. Apabila ayah saya dipindahkan ke Sandakan, saya bersekolah di Government Primary School (GPS) Melanta bermula tahun 1959. Selepas itu, saya berpindah ke SRK Karamunting Sandakan dari tahun 1959 hingga 1964. Kemudian saya meneruskan persekolahan di St Michael School Sandakan pada tahun 1965. Lepas itu, saya bersekolah di Maktab Sabah hingga lulus Malaysia Certificate of Education (MCE) pada tahun 1970.

UB: Siapa antara rakan sekolah Datuk sewaktu bersekolah di Maktab Sabah? Masih ingat?

AWANG ZAINI: Antaranya Haji Kahar Mohd Zain, Datuk Nonie Said, Datuk Tahir Jaafar, Datuk Syed Abdillah Hassan, Datuk Jumat Engson, Justin Alip, Datuk Zain Said, Haji Jaafar Yunus, Ir Haji Hashim Hassan, Datuk Yusof Datuk Kassim, Ismail Salam, Datuk Sahak Salleh, Haji Ansari Abdullah, Ishak Lajim, Pengiran Sarapudin, Datin Siti Rokiah Haji Mohd Amin, rakan sekolah sejak kecil dan kini isteri saya, Datuk Maznah Ghani, Mahmud Kalong, Dr Siti Aisyah. Pada tahun 1970lah paling ramai anak Melayu dalam kelas Form Five Sains.

UB: Lepas Form Five, Datuk sekolah dimana?

AWANG ZAINI: Selepas Form Five, saya bekerja sebagai draftman di Jabatan Kerja Raya (JKR) Masa itu, pejabat JKR di bangunan Chartered Bank sekarang ini. Pada masa yang sama saya mengambil peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1973. Kemudian saya diterima memasuki Institut Teknologi Mara (ITM) masa itu di Happy Mansion Selangor. Saya masuk School Art and Design ITM. Masa itu, antara rakan saya dari Sabah ialah Tan Sri Gani Patail, Datu Nasrun, Tan Sri Richard Malanjun, Datuk Dahlan Awang Tengah, Ali Omar Awang Anak, Prof Hamdan Adnan, antara nama-nama yang saya ingat. Waktu itu, sebagai freshie, kami kena potong rambut. Setelah itu, saya rasa kurang selesa sekolah dalam bidang Art and Design, Kemudian saya pindah ke bidang ukur bahan atau QS. Pada tahun 1974, kami pindah ke Shah Alam kerana ITM mendapat bangunan baru. Pada tahun 1975, saya lulus Diploma Building Economic dari ITM.

UB: Kerja dimana selepas itu?

AWANG ZAINI: Saya kembali ke JKR bekerja sebagai Quantity Surveyor (QS) dengan JKR. Pada tahun 1976, saya dilantik oleh Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun sebagai Setiausaha bilik operasi pilihanraya di empat kawasan kawasan seperti Likas, Tanjung Aru, Prenampang, Inanam. Saya pernah kerja di bawah Datuk Syed Kechik. Masa itu, antara itu yang berkembang ialah orang marah kepada Datuk Syed Kechik. Saya ingat apa kata Pak Tun Mustapha, katanya, Kalau Syed Kechik minta kayu balak, separuh dia minta saya kasi, kata Tun Mustapha. Kenapa kerana Datuk Syed Kechik lah yang berjuang dan berhujah di London sehingga North Borneo Timber (NBT) dikembalikan kepada Sabah, dan jadi harta Yayasan Sabah. Dialah yang memenangkan kes dan membawa balik NBT menjadi hak rakyat Sabah.Fakta ini tidak banyak orang tahu.

Satu lagi yang saya ingat mengenai arwah Tun ini ialah ketika pada satu masa ada demonstrasi, Datuk Railey ditangkap dan dimasukkan dalam black Maria. Datuk Railey minta tolong kepada saya supaya telefon Pak Tun supaya beliau menelefon ketua polis bagi merayu agar di bawa balik ke Kepayan kerana tidak tahan dalam black maria. Saya sendiri yang telefon Pak Tun,beliau beritahu agar Railey bersabar dan tahanlah sedikit kerana beliau akan jadi menteri. Seolah-olah beliau dapat meramal. Tidak lama kemudian Datuk Railey terbukti jadi Timbalan Menteri.

UB: Selepas pilihanraya itu, Datuk kerja dimana?

AWANG ZAINI: Saya menubuhkan syarikat QS sendiri. Banyak syarikat , peniaga, kontraktor minta bantuan untuk untuk mengisi borang , menyediakan anggaran harga dan sebagainya.

Kemudian saya menjadi Pengerusi Persatuan Usahawan Belia Malaysia (PUBM) yang diberi peruntukkan hingga RM2 juta.PUBM membantu ramai belia yang berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Ramai yang mendapat manfaat daripada ini.

UB: Oh ya, sejak bila Datuk berkecimpung Pengakap?

AWANG ZAINI: Saya menjadi Pengakap sejak zaman kanak-kanak. Pada tahun 1959 saya menjadi pengakap kanak-kanak. Sejak berkecimpung dalam Pengakap, saya bermula dari bawah sehingga diberi anugerah yang tertinggi dalam pengakap.

UB: Mungkin ada baiknya, jika dapat Datuk dapat berikan pengalaman yang agak terperinci dalam pengakap?

AWANG ZAINI: Saya menyertai pengakap sebagai cub Scout pada tahun 1959. Jadi King Scout pada 1968, Scouter/Rover Crew Leader pada 1968-1973. Kemudian dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kota Kinabalu pada 1973 higga 1983. Saya juga pernah menjadi Setiausaha , State Training Team Sabah 1982 hingga 1987, Penolong Pesuruhjaya Negeri merangkap Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Sabah dari tahun 1983 hingga 1987, Jawatankuasa Eksekutif Majlis Pengakap Malaysia 1983-1987, Jawatankuasa Eksekutif Pasukan Latihan Pengakap Malaysuia 1983-1987, Penolong Pesuruhjaya Negeri (Pentadbiran) 1984-1994, Penolong Ketua Jurulatih Pengakap Kebangsaan 1987-1994, Pemangku Jurulatih untuk Kumpulan Latihan Malaysia (KLM) di semua Maktab Perguruan di Sabah 1987-1990, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah dari tahun 1994 hingga sekarang, Pengerusi State King Scout Standardization dari tahun 1994 hingga kini, Presiden Amateur Scout Radio Club (9M4CBP) dari tahun 1994, Pengerusi Pasukan Latihan Pengakap Negeri dari tahun 1994 hingga 2002, National Trainer CLC Malaysia dari tahun 1994, Commander Sabah Scout Rescue Team dari tahun 1997 hingga sekarang, Pengerusi Koperasi Pengakap Negeri Sabah Berhad dari tahun 2011 dan Pengerusi Penaja Yayasan Pengakap Sabah 2013. Selain itu saya juga pernah menjadi Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dari Januari hingga Februari 2012, Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak dari tahun 2012 hingga 2013.

UB: Sepanjang berada dalam pengakap, mungkin Datuk boleh ceritakan negara-negara mana yang pernah dikunjungi?

AWANG ZAINI: Saya pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa, antaranya World Jamboree di Lilihammer Norway pada 1975, Perwakilan Pengakap Malaysia ke Persidangan Pengakap Kawasan Asia Pasifik ke 11 di Kowloon Hong Kong pada 1977, Wakil tunggal Malaysia ke Order of The Arrow Conference of Boy Scout Amerika di Colorado pada 1979, International Commisioner di Summer Camp, Ohio USA pada 1979, Setiausaha Perwakilan Malaysia ke Persidangan Pengakap Kawasan Asia Pasifik ke 15 di Pattaya Thailand pada tahun 1981,Timbalan Ketua Kontinjen Pengakap Malaysia ke Jambori Asia Pasifik ke 8 dan Jambori Pengakap Korea ke-6 di Cholla Pukdo Korea, pada 1982, Setiausaha Perwakilan Persatuan Pengakap Malaysia ke Persidangan Pengakap Dunia ke-29 di Dearbon Michigan USA pada 1983, Mewakili Persatuan Pengakap Malaysia sebagai International Service Staff di Jambori Pengakap Sedunia di Kananaskis County Alberta Kanada, pada 1983, Setiausaha Delegasi Malaysia ke Persidangan Pengakap Dunia ke-31 di Melbourne Australia pada 1984, WAY’s dan Perwakilan Majlis Belia Malaysia ke Ulangtahun Persidangan Agung Bangsa-bangsa Bersatu ke-50 di PBB New York pada tahun 1995, mewakili Sabah ke South South Mayors Conference di PWTC pada 1997 dan dilantik sebagai Wakil Belia Malaysia ke Asia Europe Youth Forum Malaysia 1997.

UB: Banyak pengalaman Datuk. Ada lagi?

AWANG ZAINI: Saya menjadi perwakilan dalam Bengkel Implementasi Dasar Pembangunan Belia Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 1999, Perwakilan Pengakap Malaysia ke APR Leaders Summit Meeting di Bangalore Karnataka India pada 2010, Perwakilan Pengakap Malaysia di APR Chaimman Consultative Meeting di Manila pada tahun 2011 yang dirasmikan oleh Naib Presiden Filipina Jijemor C Binnay, Persidangan dan Perhimpunan ATAS (Association of Top Achievers Scouts )sempeba Jambori Pengakap Asia Pasifik ke-29 dan Jambori Pengakap Sri Lanka pada 2012, Pengerusi Penganjur Persatuan Pengakap Malaysia dan Penasihat Bengkel Kawasan Asia Pasifik untuk Pendidikan Alam Sekitar dalam Pengakap di Sandakan,yang dihadiri 15 perwakilan Asia Pasifik pada 2012, dan Ketua Kontinjen ke Jambori Pengakap Sedunia ke-23 di Kinrara-Hama Yamaguchi dengan mengetuai 285 peserta Malaysia pada 2015. Kontinjen paling ramai dalam sejarah

UB: Tentu banyak sekali anugerah yang Datuk perolehi. Boleh tahu apa diantaranya?

AWANG ZAINI: Saya pernah mendapat Anugerah Ketua Pengakap Tun Mustapha pada 1975, Anugerah Pingat Perkhidmatan Gemilang PPM, Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang PPM, Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia PPM, Anugerah Ketua Pengakap Sabah, Anugerah Yang Di Pertua Pengakap Negeri, Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Persekutuan Pengakap Malaysia/Melaka pada 2009, Pingat Semangat Rimba (First Class) Malaysia Scout Award pada 2006, Award/ Honor National Outstanding Youth Leader tahun 2001 dan 2002, Anugerah Bakti Presiden Belia malaydsia dari MBM tahun 2013, Melati Award dari Gerakan Pramuka Indonesia tahun 2010, Anugerah Gemilang Presiden, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) membawa gelaran datuk pada 1999, Pingat Semangat Rimba Second Class 1997, Long Service Award, Bar to Medal of Merit, Medal of Merit dan Official Order of The Arrow Boy Scout of Amerika (USA).

UB: Wah. Datuk juga pernah dapat anugerah tertinggi dari Amerika Syarikat. Boleh ceritakan sedikit?

AWANG ZAINI: Peristiwa itu terjadi pada tahun 1979 ketika saya mengikuti kursus di North Colorado Amerika Syarikat. Satu ketika selepas menghantar 24 peserta Summer Camp, tiba-tiba datang amaran bahawa dalam masa dua jam, ribut tornado akan melanda. Kami menjadi cemas.Kami di beri masa dua jam saja untuk mengeluarkan 24 pelajar itu supaya tidak terkena tornado. Kami terus ke lokasi dan mendaki bukit dan masuk dalam hutan. Nasib baik terjumpa mereka sedang berkumpul sati tempat. Kami terus bawa mereka keluar meninggalkan tempat itu untuk masuk berlindung dalam lubang bawah tanah. Di tengah-tengah perjalanan itu, badai tornado menimpa. Mujurlah anak-anak itu selamat. Kerana jasa menyelamatkan anak-anak itu, saya diberikan pingat pengakap yang tertinggi di Amerika.

UB: Mungkin Datuk boleh kongsikan apa yang boleh dilakukan dengan menyertai Pengakap?

AWANG ZAINI: Menyertai pengakap banyak manfaatnya. Pengakap juga boleh membawa perubahan yang besar kepada sesuatu tempat. Contohnya, ketika kita mengadakan jambori pertama di Semporna. Kita berjaya membawa banyak pembangunan melalui projek jambori itu. Kita dapat perbesarkan jalan, padang, dan banyak kemudahan lain di Semporna pada masa itu. Tahun 1995. Lebih 30 juta dapat dibawa ke Semporna semata-mata kerana kita mengadakan jambori pengakap pertama di Semporna.

Sebenarnya, banyak perubahan atau transformasi pengakap Sabah dilakukan sejak Resolusi Kundasang. Kini keahlian pengakap meningkat daripada 21,000 orang pada 1994 kini memiliki hampir 90,000 ahli pengakap di seluruh Sabah. Kini terdapat 44 daerah, enam bahagian dan 86,000 ahli

UB: Apa motto yang Datuk pegang dalam kepimpinan?
AWANG ZAINI: Kejujuran dan keikhlasan penting dalam sesuatu organisasi. Tanpa itu semua, organisasi tidak akan berjaya.

UB: Apa azam datuk terhadap pengakap Sabah?
AWANG ZAINI: Azam saya adalah menjadikan Pengakap Sabah menjadi contoh kepada semua belia di Sabah.