KENANGAN
YANG MENYAKITKAN DI CHOUENG EK
Jika
ada suatu tempat yang menyakitkan untuk dikenang, ia adalah Choueng Ek.
Tetapi
betapa menyakitkanpun, kami berkunjung juga ke sana, beberapa hari lalu.
Choueng Ek adalah satu destinasi yang tak sepatutnya dilepaskan bila anda
berkunjung ke Phnom Penh, ibu negara Kampuchea.
Terletak
kira-kira 7 kilometer dari pusat bandar, Choueng Ek adalah pusat genosid atau
padang pembunuhan paling terkenal ketika pemerintahan Khmer Rouge dan rejim Pol
Pot yang kejam itu.
Lebih
20,000 orang mati di sana. Sebahagian tengkorak kepala mereka masih disimpan di
sebuah stupa peringatan yang dibina, ironisnya untuk memperingati kekejaman
manusia ke atas manusia lain, yang berlaku pada tahun 1975-1979, waktu yang
paling suram bagi rakyat di negara Asean itu.
Ketika
kami tiba, Choueng Ek dipenuhi pelancong `barang' sebutan bagi pelancong
berkulit putih. Terdapat juga beberapa pelancong dari Asia, berdasarkan kulit
mereka.
Perkara
pertama yang kami lakukan sebaik tiba di sana adalah mengambil gambar, sebagai
pemberitahuan bahawa kami pernah berada
di tempat yang menjadi tarikan pelancong di Kampuchea. Tetapi lama kelamaan,
kunjungan yang sepatutnya menggembirakan itu
bertukar menjadi suatu yang sukar dilupakan.
Tak
ada yang mampu tersenyum lagi ketika langkah kaki beranjak dari satu nombor ke
satu nombor seperti yang tertera dalam peta. Di Choueng Ek, orang-orang yang
digelar `penderhaka negara' dibawa ke situ dari S21 dengan mata dan tangan
terikat, penuh kelaparan dan ketakutan di kegelapan malam.
Pada
malam gelap, 50 hingga 70 orang diangkut menggunakan truk setiap hari ke
Choueng Ek. Orang-orang 17 April itu dijanjikan untuk dihantar ke `rumah baru'.
Mereka digelar orang 17 April kerana tarikh 17 April 1975 adalah tarikh mula
Khmer Rouge mengambil alih tampuk kuasa di negara yang banyak bergantung kepada
hasil pertanian. Tetapi pada tahun 1978, setiap hari bermula jam 6.00 atau 6.30
petang itu meningkat 300 orang dalam sehari.
Tak
ada satupun di antara mereka yang menyedari bahawa itulah perjalanan terakhir
mereka. Tiada siapa yang tahu bahawa di sebalik tembok 2.5 meter itu,
orang-orang yang diheret, dibawa dengan tangan digari di belakang, dengan mata
tertutup itu sebenarnya dibunuh. Satu demi satu, kadang-kadang sampai pada
malam berikutnya.
Mereka
tidak dapat melihat satu sama lain. Dalam kegelapan itu mereka hanya mendengar
lagu-lagu revolusi dan muzik yang dibunyikan dengan nyaring bagi menghalang
raungan, jeritan, rintihan mereka didengar orang lain. Asalkan mereka guru,
doktor, peguam, atau orang-orang yang boleh bertutur bahasa asing, kulitnya
lembut atau orang-orang yang bercermin mata, kesemua mereka ditangkap, diseksa,
dipaksa mengaku kesalahan yang bukan perbuatan mereka untuk kemudian dibantai
atau dipukul dengan cangkul, tombak, kapak, ditetak dengan parang, sabit atau dihentak dengan benda tajam, dan
kemudian dilonggokkan di lubang-lubang kubur yang telah disediakan.
Kewujudanmu
bukan keuntungan, kehilanganmu bukan kerugian, begitulah antara slogan Pol Pot.
Mencabut rumput hingga ke akarnya sekali, kata orang yang dicatat sejarah
sebagai penguasa yang kejam dan tidak berperkemanusiaan.Pol Pot sebenarnya
seorang guru, pernah belajar dalam bidang elektronik radio di Perancis tetapi tidak pernah menghabiskan
kuliahnya kerana menyertai Parti Komunis Perancis. Menurut cerita, beliau tidak
pernah muncul di tempat awam. Setelah dikalahkan tentera Vietnam, 20 tahun
kemudian iaitu pada tahun 1997, Pol Pot mati dalam hutan.Mati dalam usia 82
tahun, beristeri muda dan khabarnya sering mendengar siaran Voice of America.
Setelah
`orang baru' atau `orang 17 April' itu dibawa ke padang pembunuhan itu, mereka
segera dibantai. Selepas itu mereka dilonggokkan dalam lubang dan disembur
dengan bahan kimia DDT bagi menghalang ia daripada bau. Di kawasan seluas 2.4
hektar atau kira-kira seluas 6 ekar itu, terdapat 129 kubur massal. Sebanyak 86
daripadanya telah digali dan diperiksa pakar forensik untuk menentukan cara
kematian mereka.
Terdapat
satu lubang dimana 450 orang dikuburkan. Dalam satu liang yang lain, 166 orang
tanpa kepala ditimbus begitu saja. Kemudian dalam satu lagi lubang, 100 wanita
yang dibogelkan ditanam manakala kanak-kanak dihentakkan di satu pokok, yang
masih ada sekarang. Kekejaman yang tak dapat digambarkan oleh akal fikiran kita
yang sihat. Semua itu diiringi dengan muzik bagi menghalang ia daripada
terdengar oleh masyarakat di luar tembok ataupun oleh tahanan-tahanan yang
sedang menunggu giliran mereka.
Setelah
terusirnya Khmer Rouge dari Phnom Penh, Choueng Ek yang lebih dikenali sebagai
The Killing Field itu digali semua. Lubang sedalam lima meter atau 16 kaki
itu mula digali pada tahun 1980,
tengkorak-tengkorak dikumpulkan, serpihan tulang-tulang dan gigi, pakaian dan
sebagainya dikumpulkan. Bahkan sampai sekarang, pengunjung masih boleh melihat
serpihan tulang atau gigi atau rambut mangsa, terutamny abila tiba musim hujan.
Selain
golongan intelektual dan terpelajar Kemboja, wanita dan kanak-kanak dan mereka
yang dikategorikan penderhaka negara itu, terdapat juga 9 warga asing,
kebanyakannya wartawan di bunuh di Choueng Ek. Mereka yang masih hidup dipaksa
untuk menanam padi setiap hari supaya penghasilan negara tiga kali lipat untuk
kemudian untuk digunakan membeli senjata. Petani-petani yang kurus dan
kebuluran hanya diberikan makanan dua mangkuk bubur untuk menggalas perut. Ada
yang berjaya melarikan diri tetapi lebih banyak yang menderita selama hampir
empat tahun pemerintahan Pol Pot itu.
Choueng
Ek adalah salah satu daripada kira-kira 300 padang pembunuhan yang terdapat di
seluruh Kampuchea. Kebanyakan orang Kemboja mengingati tempat itu sebagai
kenangan pahit mereka. Di sana terdapat nenek moyang, atau orang tua, saudara
atau kerabat keluarga mereka yang telah dibunuh dengan cara yang sukar
dibayangkan.
Choueng
Ek penuh kisah duka. Tempat yang sukar dilupakan tetapi betapa menyakitkan.