TIDAK seperti hari-hari lain, Stesen Keretapi Tanjung Aru pada Sabtu, 21 Mei itu, menyaksikan peristiwa yang luar biasa dan istimewa. Buat pertama kalinya dalam sejarah, bukan saja di Sabah malah di seluruh negara, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menganjurkan ekspedisi dakwah sambil berkeretapi. Ekspedisi Dakwah Yadim Sabah 2011 dengan berkeretapi dari Stesen Keretapi Tanjung Aru ke Beaufort dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
"Sepanjang pengetahuan saya, inilah pertama kali Ekspedisi Dakwah menggunakan keretapi diadakan di negeri ini", katanya. Ini satu program yang bersejarah, katanya sambil melahirkan rasa bangga kerana secara kebetulan sebahagian daripada laluan keretapi itu terletak di kawasan DUN Petagas yang beliau wakili.
Program Ekspedisi itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi dalam gerak kerja ataupun teknik berdakwah di negara kita, katanya..Masyarakat kita sudah jauh berubah dan selera mereka juga berubah. Badan-badan dakwah tidak boleh lagi selesa dengan cara dakwah tradisi, dan aktiviti dakwah tidak seharusnya hanya tertumpu di masjid, surau dan tempat-tempat tertentu yang biasanya tertutup atau hadirinnya terhad dari kalangan yang dijemput sahaja.
"Apabila Ekspedisi Dakwah Berkeretapi ini dijalankan, maka orang yang berpeluang mengikuti program dakwah ini tidak lagi terhad atau terbatas.Sesiapa saja yang secara kebetulan menaiki keretapi akan berpeluang mengenali YADIM dan mendapat manfaat daripada program yang diadakan," katanya yang turut menaiki keretapi dari Stesen Tanjung Aru ke Putatan.
Ekspedisi dakwah itu turut disertai oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ghulam Haidar Khan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang yang menaiki keretapi itu hingga ke Stesen Kinarut, Datuk Haji Karim Bujang, ADUN Bongawan yang menaiki keretapi hingga ke Stesen Bongawan, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Membakut, Haji Aminuddin Yakub yang mewakili ADUN Membakut hingga ke Stesen Beaufort.
Yang Di Pertua YADIM, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Dr.Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Ketua Pegawai Operasi, Dr.Abdul Ghani Mohammad, Pengurus Operasi YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, Penerbit di Sabah FM, Maidan Haji Hamzah turut merasai keseronokan dalam ekspedisi yang mengambil masa perjalanan lebih dua jam untuk sampai ke Pekan Beaufort.
Paling menarik ialah kerana di setiap stesen yang menjadi tempat perhentian keretapi, rombongan yang menyertai ekspedisi itu diberikan sambutan meriah dan penuh kejutan. Di Kinarut misalnya, sekalipun singgah cuma sebentar, rombongan diberikan sambutan dengan paluan gong oleh sekumpulan penari tradisi kadazandusun, tentu sekali atas ihsan Datuk Ghulam, manakala di Stesen Bongawan, ekspedisi dakwah itu disambut dengan irama dan nyanyian petikan gambus. Di Membakut, rombongan ekspedisi disambut dengan paluan kompang manakala di stesen Beaufort, rombongan diberikan sambutan meriah dengan titikan kulintangan moden yang menarik.
Di sepanjang perjalanan itu, Sabah FM turut mengadakan siaran langsung dari keretapi yang tengah bergerak melalui perkampungan, sungai, hutan, terowong, sawah padi, dan sebagainya. Datuk Karim Bujang dan Datuk Aziz Jamaludin sempat mengagih-agihkan 500 mangkuk bubur lambuk. Sementara itu, Geng Bubut Sabah FM juga turut mengadakan aktiviti kuiz yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para penumpang keretapi.
Di Stesen Beaufort, ketibaan rombongan ekspedisi itu telah disambut oleh Penolong Pegawai Daerah, Mohd Shaid Haji Othman, Timbalan Ketua Bahagian, Isnin Aliasnih dan Ahli-ahli jawatankuasa bahagian serta orang ramai.
Sementara itu, dalam majlis di Tapak Tamu Beaufort, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin jelas gembira berjumpa kawan lamanya, iaitu Datuk Aziz sendiri. Dalam majlis sambutan itu, Datuk Lajim yang turut menyampaikan sumbangan kepada 23 sekolah agama di Beaufort melahirkan rasa gembira dengan ketibaan rombongan ekspedisi dakwah itu.
Beliau juga menyatakan bahawa gerakan dakwah perlu dipergiatkan lagi kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenuhi keperluan ummah. Katanya, kemudahan asas dan bimbingan agama berterusan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjamin keperluan dan kebajikan umat Islam termasuk golongan saudara baru.
Khusus untuk menangani keperluan saudara baru,Lajim berkata, penyediaan kemudahan asas dan bimbingan agama yang berterusan penting bagi memastikan mereka tidak merasa tersisih dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.
Selepas itu, rombongan bergegas ke Rumah Anak Yatim Al-Aman, Beaufort untuk mengadakan Kunjungan Amal Yadim. Rombongan telah disambut oleh Pengetua Rumah Anak Yatim Al-Aman, Cikgu Razak Osman. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd.Dun yang juga ADUN Klias turut menghadiri majlis itu. Dalam majlis jamuan makan tengahari selepas itu, Datuk Aziz Jamaludin dan Datuk Azizah turut menyenduk nasi dan melayani penghuni-penghuni rumah anak yatim itu.
Ekspedisi Dakwah Yadim Sabah 2011 itu dianggap sebagai satu program dakwah yang sangat berjaya, diberikan sokongan penuh oleh pemimpin-pemimpin setempat terutamanya wakil-wakil rakyat di tempat-tempat yang dilalui.
Yang di Pertua YADIM, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ketika ditemui selepas program itu, gembira dengan dukungan san sambutan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin yang begitu prihatin terhadap program yang dijalankan.
Beliau berasa teruja dengan persiapan dan sambutan yang diberikan dan menyatakan bahawa ia merupakan salah satu program Jelajah Dakwah Yadim yang paling berjaya.
Isnin, 23 Mei 2011
sehari bersama Eskpedisi Dakwah Yadim Sabah 21 Mei
✔
abd naddin
Diterbitkan 5:25 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments
Salam,
Terbaca catatan saudara. Saya serta keluarga berada dalam gerabak perjalanan Papar-Beaufort pada hari dan masa yang sama. Mungkin kami antara penumpang yang bertuah pada hari itu :) Baru berkira ingin membuat catatan perjalanan tersebut. Satu usaha YADIM yang baik bagi mendekati masyarakat tempatan. Teruskan usaha dan pelbagaikan lagi aktiviti seperti ini dan semestinya melalui pendekatan yang lebih kreatif.
salam. tak sangka pula kita berada dalam keretapi yang sama. inilah kali pertama saya naik keretapi di negeri sendiri. sangat menyeronokkan berada dalam ekspedisi itu.
saya pernah menaiki keretapi turangga dari bandung-jogja, tapi kerana waktu malam saya tak dapat menghayati pemandangannya. Tapi perjalanan keretapi kali ini jadi kenang-kenangan