Berapa ramai orang putih yang singgah di kedai ini untuk makan nasi lemak?
Persoalan itu agak mengganggu fikiran saya sehabis sarapan di sebuah kedai di daerah Papar.Nasi lemak yang dijual di kedai makan itu agak menyelerakan. Cuma sayangnya, entah kenapa pemiliknya lebih suka menulis nama kedai mereka itu dalam bahasa `orang putih'.
Saya tidak anti bahasa Inggeris sebaliknya terlintas di fikiran saya mengapa orang-orang kita tidak berani menggunakan bahasa mereka sendiri?
Apakah dengan membubuh nama kedai dalam bahasa Inggeris dan bukan dalam bahasa Melayu melambangkan kehebatan, gaya, cita rasa yang unggul?.
Penggunaan bahasa Inggeris pada papan tanda kedai, waimma di kawasan luar bandar yang jarang dikunjungi orang luar menunjukkan bahawa orang-orang kita masih mengagungkan bahasa asing dan kurang meyakini bahasa mereka sendiri.
Sikap kurang meyakini bahasa sendiri itu membuktikan betapa kita masih berasa rendah diri, kita masih mengalami mentaliti terjajah dimana kita lebih memandang tinggi sesuatu yang datang dari luar.
Kurangnya keyakinan kita menggunakan bahasa kita juga menunjukkan betapa lemahnya jati diri kita. Bagi saya jika kita tidak lagi menghargai bahasa kita, kebudayaan kita, sejarah kita maka kita tidak dapat mengharapkan orang lain untuk menghargai diri kita.
Tanpa jati diri, kepercayaan kepada diri kita akan menjadi lemah.Apabila kita tidak mempunyai jati diri yang kuat maka dengan mudah kita diperkotak katikkan oleh orang lain kerana kita tidak mempunyai kekuatan, kita tidak lagi mempunyai fondasi yang kuat untuk dapat mempertahankan diri dari unsur-unsur luar.
Jika kita tidak menghayati dan menghargai sejarah, bahasa,budaya kita termasuk hasil karya golongan penulisnya maka kita mudah diruntuhkan, dirobohkan atau diranapkan dan dikebumikan secara halus dan kita menjelma sebagai orang-orang yang kehilangan prinsip, kehilangan identiti dan jati diri dan akhirnya kehilangan wibawa kerana tidak lagi dihormati masyarakat.
Apa salahnya jika kita memasang papan tanda sepenuhnya dalam bahasa kita sendiri.Berapa kerat saja pelancong yang tertarik kerana kita menggunakan bahasa mereka dalam produk-produk kita, dalam kedai kedai kita dan sebagainya.
Bahkan orang-orang asing lebih menghargai dan menghormati orang-orang yang mengamalkan budaya mereka sendiri, menuturkan bahasa mereka sendiri, menghayati sejarah mereka dan sebagainya.
Orang putih lebih gemar bertanya pertanyaan seperti`apa nama kampung ini' kenapa ia disebut dengan nama demikian? apa asal usul nama kampung, apa etnik yang paling banyak tinggal di sini dan sebagainya. Semua pertanyaan itu menunjukkan bahawa mereka lebih suka mengetahui, memahami, dan cuba mengerti asal usul kita, supaya lebih mudah mereka berinteraksi dengan kita kerana mengetahui asal usul dan latar budaya dan bahasa kita.
Tetapi kita, entah kenapa,dihinggapi satu perasaan yang ganjil juga kerana kita lebih gemar menggunakan bahasa yang bukan milik kita, dalam hal hal yang remeh sekalipun seperti nama dalam papan tanda kedai dan sebagainya.
Bahkan saya pernah juga berkunjung ke kampung-kampung yang terperosok di pedalaman tetapi papan tanda kedainya bertulis dalam bahasa Inggeris seolah-olah banyak orang putih yang datang membeli belah di kedainya.
Nama-nama seperti Liza Tailor, nasi lemak home made, din's Shop, dan sebagainya, dapat kita temui jika kita datang berkunjung melawat kampung-kampung.Saya terfikir, mengapa berlaku begitu?. Apakah kerana kita kurang kesedaran bahasa dan berbahasa. Apakah kempen yang dilaksanakan tidak berkesan, apakah pihak penguatkuasaan kita lemah, apakah pihak PBT kita lemah atau buta dalam berbahasa sehingga meluluskan penggunaan papan tanda yang tidak melambangkan identiti kita kerana menggunakan bahasa asing.
Walau bagaimanapun, sikap kita sendiri yang mengutamakan bahasa lain dan bukan bahasa kita, bahasa yang akrab dengan kita menunjukkan bahawa jati diri kita, rasa yakin diri kita memang lemah dan dengan yang demikian kita tidak segan atau malu meletakkan bahasa asing dalam papan tanda kedai kita semata-mata agar kita dianggap hebat.
Itulah yang berlegar dalam minda saya sebaik saja selesai bersarapan dan kereta yang dipandu saudara Rashid meluncur menuju Bongawan.
Isnin, 23 Mei 2011
berapa ramai orang putih yang singgah di kedai ini?
✔
abd naddin
Diterbitkan 5:47 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments
salam. sangat setuju. mungkin juga mereka ini ingin kedai mereka lain dari yang lain. ingin nampak lebih hebat,dan menarik. sedangkan tidak sedar telah menyisihkan bahasa sendiri.
terima kasih atas ulasan. bahkan barangkali lebih baik lagi kalau kita tulis papan tanda kedai kita dalam bahasa ibunda seperti iranun, bajau, dusun dan sebagainya.