MEMOAR SEORANG GEISHA SERLAHKAN DUNIA GEISHA YANG RAHSIA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
Jika tidak kerana buku Memoirs of a Geisha karya Arthur Golden, yang diterjemahkan dengan baik dalam bahasa Melayu Indonesia sebagai Memoar Seorang Geisha, anggapan saya terhadap dunia geisha mungkin selamanya silap. Geisha bukanlah pelacur, seperti anggapan saya selama ini sebaliknya geisha dilatih untuk memikat laki-laki yang paling berkuasa.
Dunia geisha penuh rahsia, dan kisahnya tidak dengan mudah dituturkan kepada orang lain. Seorang yang menjadi geisha perlu menjaga penampilannya. Dia perlu menghadiri sekolah, dan mempelajari tarian, seni malah sastera untuk bekalnya sebagai seorang geisha.
Memoar seorang Geisha (Memoirs of a Geisha) bercerita mengenai Sayuri yang berasal dari sebuah desa nelayan yang miskin di Yoroido. Ketika ibunya terlantar sakit, dia dan kakaknya terpaksa meninggalkan kampung setelah dijual ke sebuah rumah geisha yang terkenal di Gion, jauh dari tempatnya. Sayuri yang ketika itu, baru berusia sembilan tahun, memiliki mata biru-kelabu yang luar biasa, mencuba melarikan diri. Perbuatan ini menyebabkan Sayuri tidak layak menjadi geisha dan menurut kebiasaan, ia akan menjadi pelayan seumur hidup.
Bagaimanapun, ketika meratapi nasibnya di tepi Sungai Shirakawa, Sayuri bertemu Iwamura Ken yang dipanggil ketua. Lelaki yang terhormat itu menghiburnya dan memberikannya saputangan, sesuatu yang menyebabkan Sayuri membulatkan tekadnya untuk menjadi Geisha agar dapat bertemu lagi dengan lelaki itu nanti.
Kisah ini berlaku dalam tempoh waktu yang panjang iaitu 1929, ketika Sayuri masih kanak-kanak sembilan tahun sehinggalah selepas tamat Perang Dunia Kedua yang turut meluluhlantakkan Jepun, menyebabkan ekonominya lumpuh, sehingga ramai orang terpaksa berbaris dengan kopun makanan kerana semakin sukar diperolehi, dan kemudian menyaksikan rumah-rumah geisha di Daerah Gion ditutup.
Melalui watak Sayuri, kita menyaksikan suka duka seorang wanita mempelajari seni geisha yang berat, menari dan menyanyi, belajar memakai kimono, makeup tebal dan dandanan rambut yang rumit.Mereka juga belajar cara menuang sake dengan cara yang paling menarik, bersaing sesama mereka untuk merebutkan lelaki lelaki kaya.
Dalam buku ini, Sayuri sebagai seorang gadis kampung, sering diperlakukan secara tidak baik dan selalu dibuli oleh geisha yang lebih senior seperti Hatsumomo. Mujurlah Mameha mengambilnya sebagai adik. Menurut tradisi geisha, Mameha harus membimbing Sayuri menjadi geisha yang terkenal dan memberikan pulangan hasil kepada okiya, iaitu rumah geisha.
Setelah lulus daripada latihan geisha, Sayuri mendapati dirinya diperebutkan antara Nobu dan Doktor Kepiting. Dalam dunia geisha , keperawanan seorang gadis diberikan kepada pembida yang paling tinggi. Setelah itu, selepas mizuagenya dilepaskan kepada Dr Kepiting, Jenderal Tottori menjadi `danna' Sayuri dalam satu upacara di Rumah Minum Teh Ichiriki. Selepas upacara ini, Sayuri menjadi `isteri simpanan' kepada Jenderal Tottori. Selepas perang, Sayuri yang mahu diambil oleh Nobu kemudian di bawah ke Amerika oleh Iwamura Ken.
Berbanding kedatangan Sayuri ke Gion pada 1929, jumlah geisha ketika ialah 800 orang, tetapi kemudian selepas perang menurun kepada sekitar 60 orang sahaja.Tradisi geisha pun yang telah berlangsung turun temurun pun terancam. Geisha bukanlah pelacur, meskipun ada juga yang disebut `hot spring geisha' yang jelas pelacur. Geisha sebenar bukan seperti itu.
Geisha sebenar mahir bermain shamisen, dan mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai upacara minum teh yang membolehkan mereka layak dipanggil geisha. Penulis buku ini, Arthur Golden dilahirkan dan dibesarkan di Chattanooga, Tennesse. Selepas lulus dari Harvard College dalam bidang sejarah kesenian pada tahun 1978, beliau memperolehi gelar sarjana dalam bidang sejarah Jepun dari Universiti Columbia. Kemudian beliau belajar di Universiti Beijing dan bekerja di sebuah majalah di Tokyo. Gelar Sarjana dalam bahasa Inggeris diperolehi dari Universiti Boston. Selepas bekerja di Jepun, beliau kemudian mengajar bidang penulisan dan kesusasteraan di Boston.Kini beliau menetap di Brookline, Massachussetts bersama isteri dan anak-anaknya.
Buku Memoar Seorang Geisha (Memoirs of a Geisha) ini tidak semata bercerita mengenai dunia geisha yang penuh rahsia sebaliknya ia juga bercerita mengenai kehidupan di Jepun pada akhir tahun dua puluhan sehinggalah beberapa tahun selepas perang dunia berakhir.
Isnin, 16 Mei 2011
memoir seorang geisha serlahkan dunia geisha yang rahsia
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:38 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments
Novel Memoirs Of Geisha sungguh menarik untuk dibaca. Ketika membaca novel ini, saya sanggup tidak melakukan perkara lain simply kerana mahu menghabiskan ceritanya. Ada motivasi, inspirasi dan simpati.
buku yang sangat menarik, apatahlagi ia berjaya menyelami cara berfikir dan budaya Jepun.terima kasih atas respon