VETERAN ATM IMBAS KEMBALI KEKEJAMAN KOMUNIS
KOTA KINABALU: Amid Abd.Rahman,60, seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia memaafkan sesiapa saja yang pernah menyakiti hatinya di dunia ini kecuali Chin Peng.
"Beliaulah yang menyebabkan negara kita ini huru hara, beliaulah yang menyebabkan ramai anggota tentera mati, buta, cedera dan hilang kakinya, isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan bapa akibat pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh Chin Peng.
"Saya sendiri hilang kaki kiri ketika bertugas di Hutan Gobir Kedah berdekatan sempadan Thailand selepas terpijak jerangkap samar yang dipasang pihak komunis", katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian dialog antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dengan Veteran ATM Sabah di salah sebuah hotel terkemuka, di sini kelmarin.
Katanya, Kerajaan telah menghabiskan banyak masa dan tenaga menentang PKM dan Kerajaan perlu menolak usaha pihak tertentu untuk membawa pulang Chin Peng balik ke negara ini.
"PKM pada masa itu bukan saja berada di hutan tetapi juga di luar hutan dengan menyamar sebagai orang biasa dan terdapat juga mereka yang menjadin tali barut komunis," kata Amid yang berasal dari Labuan.
"Kepulangannya nanti hanya membangkitkan dendam dan kemarahan mereka yang terpaksa berjuang dalam hutan untuk menentang kekejaman komunis. Oleh itu cubaan untuk membawanya pulang tidak harus ditunaikan," katanya.
Beliau merupakan antara penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) juga melahirkan rasa bersyukur kerana jasa dan bakti mereka masih dikenang oleh negara.
Katanya, generasi sekarang perlu mengetahui sejarah pemberontakan PKM di negara ini kerana hanya dengan kesedaran sejarah saja, mereka dapat menghargai makna kemerdekaan, keamanan dan kedamaian.
Sementara itu, Onjinin Christopher Jopinol, 52, seorang lagi veteran ATM berkata generasi muda yang tidak faham mengenai kekejaman komunis mungkin boleh menemui beliau yang kehilangan kaki kanannya.
"Selama lebih 20 tahun saya hidup tanpa sepasang kaki, gara-gara kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh Chin Peng,'' kata Onjinin kepada media.
Onjinin yang cedera selepas terpijak jerangkap samar PKM ketika operasi di Gubir, Kedah berkata usaha pihak tertentu yang cuba membawa pulang Chin Peng ke negara ini perlu dilihat dari pelbagai sudut.
"Kita minta pihak tersebut supaya tidak hanya memikirkan tentang nasib Chin Peng semata-mata, tetapi perasaan ribuan veteran perang yang gugur dan cedera jangan sesekali dilupakan.
"Tidak dilupakan keluarga mereka. Jika seorang anggota tentera gugur semasa melawan PKM bermakna akan ada seorang wanita menjadi balu, dan kanak-kanak menjadi anak yatim,'' katanya.
"Soal membawa pulang Chin Peng tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana perbuatan itu jelas tidak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, ramai veteran ATM menyuarakan rasa tidak puas hati dan terkilan dengan saranan berkenaan.
Beliau berkata, sebarang usaha ke arah itu adalah tidak wajar sama sekali dan kerajaan perlu mengambil kira sensiviti ahli keluarga ATM yang terkorban ketika berjuang menentang PKM.
Dalam majlis itu juga, seramai 10 veteran tentera menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) iaitu mereka yang berkhidmat antara tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 untuk operasi menentang PKM dan dari tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU)
Selasa, 26 Mei 2009
Veteran ATM imbas kembali kekejaman komunis
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:17 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)