Selasa, 17 Ogos 2021

Ucapan terakhir sebelum Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan

Tags

Saya menonton perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 3.00 petang itu sambil berdiri. Bukan kerana tidak ada tempat duduk tetapi saya memilih berdiri, seperti memberikan penghormatan terakhir kepada seorang pemimpin, yang kelihatan agak sebak mengucapkan kata-kata perpisahan.

Kurang tiga jam sebelum itu, beliau menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari di Istana Negara.

Dalam sesi menghadap itu, beliau menyerahkan warkah peletakan jawatan  sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan beliau kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. 

Katanya, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut "jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri".

" Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh," katanya kepada rakyat melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung dan ditonton jutaan rakyat Malaysia

"Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat," jelasnya yang turut menyatakan bahawa tindakan beliau  adalah selaras dengan sumpah jawatan untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Menurutnya, beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. 

"Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat," tegas Tan Sri Muhyiddin.

Bagi saya, kata Tan Sri Muhyiddin, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah s.w.t. yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politiknya.

Jelasnya, enam tahun lalu, beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana beliau  mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

 ".Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Tan Sri Muhyiddin mengatakan jawatan yang dipikulnya bukanlah suatu kemegahan sebaliknya datang bersama bebanan tanggungjawa yang berat.

"Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik," katanya.

Menurutnya, beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip  untuk kekal sebagai Perdana Menteri." Tetapi itu bukan pilihan saya..Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa"..

 Beliau berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

" Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

 Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan, katanya.

 "Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian," katanya sebelum meneruskan ucapan dalam bahasa Inggeris.

Namun sambil mengucapkan terima kasih kepada seluruh  rakyat Malaysia, beliau tidak lupa menyampaikan" ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini:

Salah satu keistimewaan beliau yang sukar dicari ganti, ialah sentiasa menadah tangan sambil  mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memelihara keselamatan dan keamanan negara kita dan mengekalkan perpaduan seluruh rakyat.

Beliau sendiri yang memimpin bacaan doa.

 "Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

 Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami

 Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami

 Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami

Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah

 Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

 Engkaulah yang mempunyai segala kepujian

 Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran

 Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan

 Di tangan Engkau segala kebajikan

 Kepada Engkaulah kembali segala urusan".


Kami semua mengaminkannya.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel Terkait