Ahad, 22 Ogos 2021

Apa yang kita harapkan daripada Datuk Seri Ismail Sabri?

Tags

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lahir di Temerloh, Pahang kira-kira 61 tahun lalu, memulakan kerjaya politiknya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Temerloh pada tahun 1993. Lulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) 1980 ini, seorang pemimpin yang tenang, sederhana dan boleh dikatakan amat bernasib baik dalam politik.

Beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 2018 ketika parti itu kehilangan kuasa selepas kalah dalam PRU. Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan susulan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020, Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) dan sering muncul di kaca TV untuk memberikan sidang media berikutan pandemik Covid-19 yang turut melanda negara.

Pada 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan. Kira-kira 45 hari kemudian, berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, orang pertama menjadi Perdana Menteri yang bukan mengetuai sesebuah parti.

Meskipun bermula sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik pada 1995, namun perjalanan politik Ismail Sabri naik setangga demi setangga. Beliau bertamding sebagai Ahli Parlimen Bera pada 2004 dan kemudian dilantik Menteri Belia dan Sukan.

Selepas itu, beliau pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2009, dan kemudian pada 2013, menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Pada 2015, beliau dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sehingga kerajaan BN kalah dalam pilihanraya 2018.

Apa yag kita boleh harapkan daripada seorang Ismail Sabri?  Sebagai seorang pemimpin yang datang dari keluarga petani, beliau mungkin banyak merasai kepahitan dan penderitaan hidup sebagai rakyat miskin. Pendekatan kepimpinannya yang sederhana memungkinkan beliau untuk memainkan peranan yang lebih penting menyatupadukan  politik Melayu yang kelihatan berpecah.

Dalam partinya sendiri pun, iaitu Umno, terdapat bibit perpecahan yang jika tidak dicabut, boleh tumbuh sebagai ancaman kepada perpaduan parti. Tetapi langkah yang diambil oleh Ismail Sabri sebaik namanya dicalonkan  sebagai PM ke-9 adalah amat bijak. Beliau bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kemudian bertemu dengan Tan Sri Muhyidin di rumahnya. Beliau juga menghubungi pemimpin-pemimpin pembangkang dan menawarkan mereka ruang kerjasama untuk turut serta dalam Majlis Pemulihan Negara dan  Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Katanya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Dalam ucapan pertamanya sebagai PM ke-9, Ismail Sabri berkata kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam pasukan demi mengharmonikan semula suasana.Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erti prinsip kebersamaan.

Jika ditakdirkan beliau menjadi Perdana Menteri terpendek sebelum kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun depan, kita berharap dapat mengenang Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai pemimpin yang mampu menyatupadukan rakyat Malaysia, mampu mengharmonikan suasana,bersatu dalam prinsip kebersamaan terutamanya ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Tetapi pemimpin yang baik, selalu mempunyai hayat yang panjang kerana sentiasa dilindungi Allah. Jika beliau mampu memerintah dengan bijaksana, rakyat akan mematuhi dan menyokongnya dengan senang hati..