Jumaat, 12 Februari 2021

SELAMAT JALAN, DATUK HAJI ABD RAHMAN HAJI LAMUDIN, MOGA SEGALA AMAL BAKTIMU DIRAHMATI

Tags

 

Nama Datuk Haji Abdul Rahman Haji Lamudin adalah satu nama yang sukar dipisahkan dengan Wilayah Persekutuan Labuan. Jika kita menyelak lembar halaman pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku di pulau itu, pastilah kita akan bertemu nama Haji Abd Rahman Haji Lamudin, sama ada sebagai mantan guru besar, sebagai pesuruhjaya pengakap, sebagai aktivis dakwah, sebagai ahli jemaah peladang, sebagai penulis dan antara   pengasas Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan  Labuan (PERWILA)  yang ditubuhkan pada 1985 dan pelbagai peranan penting yang lain.



Beliau turut mewarnai peristiwa sejarah di WP Labuan bersama rakan-rakannya. Anak kedua daripada 13 adik beradik ini berasal dari Kampung Sungai Bedaun Pulau Labuan. Beliau  adalah putera kepada Haji Lamudin Karudin dan Akinah Salleh yang memiliki keluarga besar yang tersebar di Sabah, Brunei, Sarawak dan Semenanjung. Dilahirkan pada 15 Mei 1943, beliau terus komited dan aktif mencurahkan baktinya kepada tanah air yang dicintai. Beliau giat dalam NGO dan kegiatan-kegiatan sukarela sejak berpuluh tahun yang lalu.

Sebagai seorang ahli Pengakap, beliau adalah Pesuruhjaya Pengakap WP Labuan dan pernah Naib Yang di Pertua 1 Majlis Pengakap Negeri. Beliau juga adalah  Ahli Seumur Hidup dan  AJK Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan 2019-2021 .


gambar ihsan Perwila

Beliau juga adalah  Timbalan Ketua USIA Bahagian Labuan,mantan  Timbalan Pengerusi Tetap Usia Pusat, mantan Pengerusi Tetap UMNO Labuan, AJP Persatuan Peladang Kawasan Labuan Selatan.

Datuk Haji Abdul Rahman Haji Lamudin pernah menerima Panglima Mahkota Wilayah  (PWM) (2018), Anugerah Tokoh Maal Hijrah WP Labuan 2017.

Pertama kali kami bertemu ialah ketika sayaa menghadiri Dialog Penulis Teluk yang pertama pada tahun 1987 di WP Labuan. Belaiu seorang yang tenang dan bersahaja.Seorang yang mudah didekati. Beliau adalah antara penulis WP Labuan yang terus komited dakan Perwila sejak ditubuhkan sehinggalah sekarang.

Selain itu, kami juga sering bertemu dalam program dakwah Usia kerana beliau juga aktif dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan Timbalan Pengerusi Tetap USIA Pusat.

Khabar mengenai kepulangannya ke pangkuan ilahi pada pagi Jumaat adalah suatu khabar duka yang mengejutkan. Kita semua, tidak kira siapa, pasti ilaihi rajiun, kembali kepadanya.

Salam Takziah. Semoga semua amal baktimu di terima dan dirahmati Allah. Alfatihah. Selamat berangkat ke dunia sana.



4 comments

Al-Fatihah....ayahanda pejuang sastera dan budaya Labuan

Alfatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang beriman.

Semoga roh abangku dan sahabatku ini dicucuri rahmat Allah SWT. Banyak kenangan bersamanya. Salam takziah buat anak'da Awang Marten dan seluruh keluarga.

Semoga roh abangku dan sahabatku ini dicucuri rahmat Allah SWT. Banyak kenangan bersamanya. Salam takziah buat anak'da Awang Marten dan seluruh keluarga.