Jumaat, 12 Februari 2021

Mufti Negeri Sabah (1988-1999) SS Datuk Haji Ismail Abas kembali ke rahmatullah

Tags

Negeri Sabah kehilangan seorang lagi tokoh besar lagi berjasa  ,  Sahibus Samahah Datuk Haji Ismail b Abas  yang pernah menjadi Mufti Negeri Sabah  dari tahun 1988-1999. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat (12 Februari 2021) di Kota Kinabalu.



Beliau  dilahirkan di Kampung Permatang Tok Gelam, Kepala Batas Pulau Pinang pada tahun 1931. Beliau pernah bersekolah di Sekolah Rendah Atap Permatang Tok Jaya pada tahun 1937 tetapi terpaksa berhenti sekolah ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Beliau sempat  bersekolah Jepun selama dua tahun, sebelum melanjutkan pelajaran ke Mekah ketika berusia 19 tahun.

Datuk Haji Ismail Abas bertolak ke Mekah pada tahun 1951 untuk menyambung pengajian peringkat syahadah (Sijil) di Darul Ulum Mekah sehingga tahun 1955. Pada tahun 1961, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah sehingga tamat pada 1970 dalam bidang syariah. Antara rakan seuniversitinya ketika itu ialah Tuan Guru Datuk Haji Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), Datuk Prof Abdullah Mohd Zin (mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Harun Taib, Ustaz AbuHuraira Abdurrahman Udasan (Mufti Besar BARMM ) Mindanao.

Selepas menamatkan pengajian, beliau dibawa ke Sabah bersama keluarganya oleh Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun pada 1971.  Pada Februari 1971, beliau memulakan kerjaya sebagai guru agama di Kota Kinabalu.

Pada penghujung 1976, beliau dilantik sebagai Timbalan Mufti Sabah selama 9 tahun dan pernah berkhidmat di bawah Mufti Datuk Haji Muhammad bin Ahmad dan kemudian dibawah Haji Said Ibrahim selama enam tahun dan Datuk Ahmad Idris. Beliau dilantik ke jawatan Mufti Negeri Sabah pada 1988.

Sewaktu berkhidmat sebagai  Mufti Kerajaan Negeri Sabah, saya pernah mewawancara beliau. Orangnya lembut, suaranya rendah dan perlahan. seorang yang tawaduk. Itulah antara yang saya ingat.

Ucapan takziah dan ikut berdukacita kepada seluruh keluarga beliau terutamanya saudara Jaber Datuk Haji Ismail, rakan di Kampung sejak tahun 86-an. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Semoga husnul khotimah.

Artikel Terkait