Khamis, 11 Februari 2021

Sejarah sesungguhnya adalah cerita yang tidak mempunyai tema-catatan awal februari

Tags

***JIKA bertempur dengan pasukan pejalan kaki, pasukan berkuda harus menghindari hutan belantara, jalan setapak atau tanah yang berbukit-bukit. Bertempur di tanah datar yang terbuka memudahkan pasukan berkuda untuk menyerang atau mundur.

Saya terbaca taktik perang dalam  buku Kumpulan Karya Militer Klasik  Seni Perang China, sebuah buku yang sangat bermanfaat untuk   pengurus,pemimpin, CEO, pegawai kerajaan mahupun ahli politik malah sesuai untuk dibaca oleh semua. Perang di dunia moden bukan diertikan sebagai perang mengangkat senjata, saling bertempur satu sama lain melainkan perang strategi, untuk meraih kejayaan dalam persaingan, kemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan, kemampuan bertahan dalam situasi yang sukar, kemampuan mengurus dengan efesien dan efektif  dan sebagainya.

Jika bertempur di siang hari, kibarkanlah lebih banyak panji agar musuh mengira pasukan itu mempunyai perajurit yang sangat banyak, Tetapi jika bertempur di malam hari, gunakanlah api dan genderang perang untuk mengelabui penglihatan dan pendengaran musuh.

Kenalilah diri anda sendiri dan kenalilah musuh anda, maka anda akan menang dalam setiap pertempuran. Untuk menyusun strategi yang baik, kita harus mengambil kira semua faktor. Kalau berperang membabi buta, kita pasti akan kalah, menurut. Ini adalah antara Seratus Strategi Perang dalam buku itu.

Saya sebenarnya sedang mencari strategi untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 , perang melawan wabak tetapi tersasar pula kepada Buku Seni Perang China, sebuah kumpulan karya strategi klasik.

****Ketika ini saya ingin menulis tapi fikiran agak campur aduk. Mungkin kerana saya juga gagal mengenal diri sendiri sehingga tidak dapat menulis dengan baik. Saya teringat kata-kata seorang pujangga, sebelum menulis belajar berfikir dahulu. Ya, belajar berfikir dahulu. Proses berfikir yang baik hanya boleh diperolehi dengan membaca buku. Seperti yang dikatakan Buya Hamka, seorang penulis perlu lebih banyak membaca daripada menulis.

Tapi kesilapan saya ialah kerana tidak memiliki disiplin pembacaan yang baik. Saya membaca apa saja yang ada di depan saya atau di sekitar saya. Mungkin itu sebabnya saya kurang fokus. Namun kali ini,biarkan saya memaksa diri untuk terus menulis, asalkan dapat menyiapkan tulisan ini.

Barangkali Napoleon Bonaparte benar ketika beliau mengatakan bahawa sejarah sesungguhnya adalah judul cerita yang tidak mempunyai tema.

Tapi bagaimanapun pahit getir dan manisnya sejarah, kita tidak dapat melepaskan diri sama sekali daripada sejarah. Sejak dahulu memang saya minat sejarah, dan suka pula membaca buku-buku berkaitan sejarah, riwayat hidup, memoir, autobiogarfi, biografi, dan sebagainya.

***Saya baru menerima buku Asri Sakinah Menyulam Kehidupan, iaitu kisah mengenai Tan Sri Datuk Mohd Asri Haji Muda yang disusun oleh anaknya, Ratna Inzah Mohd Asri. Buku yang sangat menarik mengenai kisah mantan Menteri Besar Kelantan dan mantan Presiden Pas.

****Saya sempat membaca sedikit tetapi belum sampai tahap menelaah. Saya akan membacanya kemudian kerana kebetulan saya membaca kisah perjalanan Agustinus Wibowo ke sempadan di Papua New Guinea (PNG), kisah perjalanannya ke Surinam. Saya juga membaca semula kisah perjalanannya dari China ke Tibet, Nepal, India,Pakistan, Afghanistan, Tajiskistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan,Uzbekistan, Turkemenistan dan banyak lagi, Sebelum  ini, saya sempat membaca bukunya Selimut Debu, Garis Batas dan Titik Nol.

Selain Augustinus Wibawa, antara penulis travelogue, kisah perjalanan, catatan dan sebagainya yang saya minati ialah Andreas Harsono, Karim Raslan dan beberapa lagi penulis yang memiliki cara menulis dan gaya bercerita yang memikat .

***Tidak banyak perkara menarik yang berlaku sepanjang dua minggu bulan Februari ini. Yang agak mengejutkan juga ialah pemergian Allahyarham Bob Hussin atau lebih dikenali Abd Gaib Hussin, penyanyi lagu-lagu sama, dikenali juga sebagai penulis dan pelakon teater yang dulu pernah menyertai Minggu Penulis Remaja MPR 1991. Belaiu meninggal dunia di rumahnya di Sipitang. Arwah Bob masih ada kaitan keluarga yang dekat dengan kami. Ibu kepada Bob ialah Aninah, adik beradik Imam Kassam dan Pak Tamam di  Sri Aman Kota Marudu. Aninah ini anak Embalun atau Timbalun anak kepada Derias anak kepada Embo Akil. Masih pangkat dua pupu dengan ayah saya, arwah Haji Shaiddin. Haji Shaiddin anak kepada Sablah anak kepada Terelah binti Derias bin Embo Akil. Terelah dan Embalun adik beradik.

Jika kita menyedari dan menginsafi bahawa setiap yang berawal pastilah akan berakhir. Setiap pertemuan ada perpisahan dan setiap kehidupan pasti ada kematian. Itu memang kehendak Allah yang tidak boleh diundur atau dipercepat.Kalau sudah sampai waktuku, kata penyair. Kumau tak seorang kan merayu, tak perlu sedu sedan itu.

***Sabtu yang lalu juga, saya mendapat kunjungan daripada Cikgu Norawi dan adik saya Mabulmaddin, yang singgah ke rumah selepas berurusan di Inanam. Kebetulan belum ada kedai yang buka kerana SOP selepas PKP dikuatkuasakan semula. Banyak juga menarik yang sepanjang pertemuan itu. Alhamdulillah.



***Penting juga dicatat ialah betapa gembiranya saya kerana dapat berhubung semula dengan sahabat penyair Noor Izam Haji Samin, yang kini bertugas di UiTM Melaka. Kami sudah lama terputus hubungan iaitu sejak 28 tahun yang lalu. Kali terakhir kami berjumpa ialah pada Hari Sastera 1993 di Shah Alam Selangor.

Beliau mengirimkan beberapa gambar dari albumnya. Noor Izam masih ingat saya sebagai pemuda yang kurus dan rambut keriting. Tetapi dalam gambar itu, ada dua orang sahabat yang sudah tiada iaitu arwah Jair Sulai dan arwah Suriansyah Salleh dari Tawau. Alfatihah.Ketika itu, antara rombongan dari Sabah ialah saya,Ali Karim, Jair Sulai,Zaifudin dan Surianyah.

Cukuplah setakat ini rasanya. Kita mesti memiliki kenangan  lama dan harapan baru, mungkin itu yang saya dapat simpulkan buat sementara waktu.