Jumaat, 11 Oktober 2019

KARIM ADAM, BERSYUKUR PERNAH PERJUANGKAN MASALAH RAKYAT

Tags

KARIM ADAM, BERSYUKUR PERNAH  PERJUANGKAN MASALAH RAKYAT


“SAYA pandai menyangkul tanah. Saya pernah jadi petani dan pekebun sayur. Saya pernah jadi buruh kasar, menoreh getah dan sebagainya. Saya pernah merasai kehidupan yang sukar dan derita. Ketika menjadi wakil rakyat, saya dapat memahami aspirasi rakyat yang kebanyakannya petani dan memperjuangkan nasib dan masa depan mereka. Walaupun hanya sepenggal menjadi wakil rakyat Kundasang, saya berpuas hati kerana dapat sedikit sebanyak saya dapat membawa pembangunan dan kemajuan untuk rakyat yang saya wakili.


KARIM ADAM dilahirkan pada 11 November 1954 di Kampung Bundu Tuhan, Ranau. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Bundu Tuhan dari tahun 1961-1967. Beliau memasuki kelas peralihan (bridge class) pada 1968 sebelum  melanjutkan pelajaran menengah di SMK Mat Salleh dari tahun 1969 hingga 1971. Kemudian beliau menyambung pelajaran di SMK Labuan dari tahun 1972 hingga 1973 kerana mengikuti pakciknya yang bertugas di sana. Selepas tamat tingkatan lima, beliau pernah berkerja sebagai petani, pekebun sayur, buruh kasar dan membantu ibubapanya menoreh getah. Pada tahun 1974 hingga 1975, beliau pernah bertugas di SRK Don Bosco Bundu Tuhan. Selepas itu, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent untuk mengikuti Kursus Perguruan pada 1976 hingga 1977. Beliau ditugaskan mengajar di beberapa buah sekolah di Ranau sebelum dilantik sebagai Guru Besar SK Magkapoh Ulu Sugut pada 1986. Kemudian beliau dilantik sebagai Guru Besar SK Bundu Tuhan hingga tahun 1997apabila beliau meletakkan jawatan untuk menceburi bidang keusahawanan. Bagaimanapun, pada 1999, Karim dicalonkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N25  Kundasang atas tiket PBS. Beliau menjadi wakil rakyat  dari tahun 1999 hingga 2004. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia sehingga memperolehi Ijazah Sarjana  Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD. NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Mantan wakil rakyat Kundasang, Karim Adam di salah sebuah restoran popular di Jalan Pantai Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi memenuhi pelawaan kami untuk sesi interview ini. Boleh ceritakan sedikit latar belakang?
KARIM ADAM: Saya datang dari keluarga miskin. Saya dilahirkan dan membesar di Kampung Bundi Tuhan Ranau. Saya adalah anak yang ketiga dalam tujuh adik beradik.

UB: Di mana YB bersekolah dahulu?
KA: Saya bersekolah di SK Bundu Tuhan dari darjah satu hingga tahun enam 1961-1967 . Pada 1968, saya memasuki kelas peralihan (bridge class) dan  kemudian melanjutkan pelajaran ke SMK Mat Salleh dari tingkatan satu hingga tamat tingkatan tiga  (1969-1971). Seterusnya, saya menyambung pelajaran di SMK Labuan sehingga tingkatan lima (1972-1973)

UB: Berapa duit bekal ke sekolah dahulu?
KA: Zaman saya bersekolah di sekolah rendah dahulu, ibu bapa saya tidak bekalkan wang, malahan saya diminta membawa kuih untuk dijual ke sekolah. Saya jual kuih pisang, kuih ubi kayu yang kami panggil tinapung. Setiap hasil jualan itu, ibu saya simpan di tabung buluh di pondok kami. Ibu mahu menanamkan sikap berjimat cermat. Apabila saya bersekolah, masuk bridge class pada 1968, duit saya dalam pecahan duit syiling itu berjumlah RM130.00 iaitu satu jumlah yang amat besar pada masa itu.

UB: Bagaimana YB ke sekolah dulu? Naik apa?
KA: Saya ke sekolah dengan berjalan kaki. Kami tinggal di tabasan, kira-kira kilometer dari sekolah. Tahun satu hingga tahun enam saya jalan kaki. Bagus kalau ada kasut. Saya baru ada kasut ketika berada dalam tingkatan satu.

UB: Apa cita-cita YB ketika masa kanak-kanak?
KA: Cita-cita saya mahu menimba ilmu hingga ke menara gading. Tetapi oleh kerana masalah kekangan kewangan, ianya tidak terlaksana atau tercapai pada masa seperti yang dirancang.Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana saya dapat meneruskan cita-cita saya dengan melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia sehingga berjaya memperolehi segulung ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan (MBA) Sebenarnya waktu kecil dulu saya minat untuk menjadi polis kerana saya suka orang yang beruniform. Tetapi tidak terlaksana. Selepas tamat tingkatan lima, saya menjadi guru sandaran sebelum diterima masuk ke Maktab Kent Tuaran.

UB: Siapa yang paling banyak memberi inspirasi kepada YB?
KA: Yang paling banyak memberi inspirasi  ialah isteri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

UB: Sebelum menceburi bidang politik, dimana YB bekerja?
KA: Sebelum mendapat pekerjaan tetap, saya pernah menjadi petani, pekebun sayur. Saya biasa memegang cangkul, mengerjakan tanah. Selepas itu, saya menjadi buruh kasar dan membantu ibubapa menoreh getah.

Selepas tamat tingkatan lima, saya menjadi guru sandaran di SRK Don Bosco Bundu Tuhan dari tahun 1974 hingga 1975 iaitu  sebelum saya ditawarkan untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran bagi sesi 1976-1977. Setelah menghabiskan kursus, saya ditugaskan mengajar di beberapa buah sekolah di Ranau.

Pada tahun 1986, saya dinaikkan pangkat sebagai guru besar di SRK Magkapoh Ulu Sugut, kemudian SK Bundu Tuhan Ranau. Saya meletakkan jawatan sebagai guru besar pada tahun 1997. Seterusnya pada tahun 1998 saya menceburi bidang keusahawanan. Pada 1999, iaitu pada bulan April, saya diberi kepercayaan penuh untuk bertanding sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS) dan menang dengan majoriti 99 undi.

UB: Bagaimana YB mula tertarik dengan politik? Siapa yang beri galakan?
KA: Apabila melihat keadaan di kampung-kampung  di mana saya dihantar bertugas sebagai guru di situ dan bergaul dengan masyarakat di situ maka timbul keinginan saya untuk menceburi bidang politik dimana pada hemat saya dengan bantuan seorang wakil rakyatlah yang boleh merubah seolah-olah orang kampung ini tidak mendapat perhatian daripada kerajaan kerana terlalu mundur dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, air graviti, elektrik, air sumber ekonomi yang terabai. Dari situlah mula timbul keinginan saya untuk menceburi bidang politik dimana hemat saya dengan bantuan seseorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat sahaja yang boleh memajukan kesejahteraan kehidupan rakyat khususnya  yang tinggal di pedalaman. Keadaan itulah yang benar-benar mendorong dan menggalakkan saya untuk berkecimpung dalam arena politik.

UB: Oh ya, situasi masyarakat mungkin sudah berubah berbanding dahulu. Bagaimana YB melihat situasi masyarakat ketika ini? Menurut YB, apa isu-isu yang mereka hadapi?
KA: Pada pendapat saya, rakyat agak terbeban dengan harga barangan keperluan yang semakin meningkat. Kebanyakan rakyat Sabah merasa tidak selamat, kesan daripada jenayah yang semakin berleluasa. Selain itu, kemudahan infrastruktur seperti jalan raya di luar bandar yang tidak mendapat penyelenggaraan, menyulitkan rakyat untuk mengangkut hasil-hasil pertanian. Kos petani meningkat.

Kita juga melihat isu kawasan tanh terbiar yang tidak dapat diusahakan disebabkan ketiadaan jalan raya. Isu kemiskinan di luar bandar yang belum diatasi , bahkan isu kemiskinan ada juga di kawasan bandar dan pinggir bandar.

UB: Apa pendapat YB terhadap kemunculan banyak parti di Sabah?
KA: Terlalu banyak parti politik akan menyebabkan rakyat berpecah. Situasi masyarakat ada zaman sekarang, mereka masih tercaricari landasan atau platform parti politik yang benar-benar memperjuangkan masa depan geneasi pada masa akan datang.

UB: Mungkin YB boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika menjadi ADUN?
KA: Pengalaman saya ketika me jadi Adun, ada pahit, ada manis dan ada pahit manis.
Pengalaman manis dan menyeronokkan ialah ketika dapat membantu masyarakat di kawasan dalam proses penyukatan tanah dan pengeluaran geran tanah.
Ketika menjadi ADUN, saya juga berpeluang menyuarakan permasalahan rakyat ke persidangan Dewan Undangan Negeri hingga terlaksananya pembinaan infrastruktur  seperti SMK Bundu Tuhan, Perpustakaan Daerah, Kompleks Sukan ranau, Pejabat Persekutuan Ranau, Perpustakaan Desa, Perpustakaan Negara Cawangan  Kampung Kauluan, Kundasang dan  Kampung Mohimboyon Ranau. Selain itu pembinaan jalan-jalan kampung, dewan serbaguna dan aktiviti peningkatan ekonomi kampung.

UB: Kalau ada pengalaman manis, apa pula  pengalaman pahit yang dialami?
KA: Pengalaman pahit saa ialah tidak dapat menunaikan  permintaan rakyat seperti permintan peribadi, individu yang pelbagai kerana waktu itu elaun ADUN agak terhad.
Selain itu, satu pengalaman pahit juga bagi saya, kerana tidak berpeluang meneruskan pelaksanaan segala perancangan atau blue print yang telah saya sediakan ketika menjadi ADUN.

UB: Apa pula pengalaman pahit manis?
KA: Pengalaman pahit manis juga ada . Pengalaman pahit apabila perkhidmatan sebagai ADUN tidak dilanjutkan tetapi pada masa yang sama saya berpeluang menumpukan masa saya menimba ilmu. Selepas lulus sarjana, Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, bahkan tajuk pun sudah saya sediakan.

UB: Apa buku yang pernah YB baca dan paling berkesan dalam kehidupan YB?
KA: Saya baca banyak buku, Tapi buku yang saya tidak lupa ialah Revolusi Mental dan Malay Dilemma oleh Dr Mahathir Mohammad. Saya juga suka membaca buku berkaitan kisah hidup Mahatma Ghandi, perjuangan beliau dan sebagainya.


UB: Apa hobi YB?
KA: Tiada yang spesifik. Tapi antara yang menjadi minat dan perhatian saya ialah mahu bantu keluarga. Ketika dulu, setiap kali cuti, kami mengambil upah sebagai buruh bangunan. Saya pernah bersama Datuk Abidin Madingkir jadi buruh, kami yang bikin Hospital Ranau ketika mula dibina. Hobi saya bertani, saya pandai menyangkul, saya pernah toreh getah.

UB: Kalau tidak silap, YB bercadang untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat PhD. Sebenarnya apa yang YB mahu buktikan?
KA: Saya mahu memotivasi generasi muda, bahawa di usia saya sebegini pun, saya masih dahagakan ilmu. Moga-moga mendatangkan manfaat nanti.

UB: Apa impian yang kira-kira belum tercapai?
KA: Saya ingin masyarakat seluruhnya boleh berdikari untuk kesejahteraan kehidupan mereka.