Ahad, 10 Mac 2019

MESTI ADA HATI BANTU ORANG LAIN,KATA YB JENIFER

Tags

MESTI ADA HATI BANTU ORANG LAIN,KATA YB JENIFER

KETIKA tiba di pejabatnya di Penampang, YB Jenifer Lasimbang sudah lama menanti. Walaupun terlambat kerana kesesakan lalulintas, beliau masih sanggup menunggu dengan senyuman ikhlas dan bersahaja. Mantan pensyarah yang memiliki segudang pengalaman di peringkat antarabangsa ini memilih untuk kembali ke kampung halamannya untuk berkhidmat kepada rakyat.  Meskipun ganjaran yang diperolehinya lebih besar ketika  bertugas bersama organisasi di bawah payung PBB, tetapi Jenifer lebih tertarik untuk berjuang membela komuniti yang masih perlukan pembelaan. Beliau selalu ingat pesan ibunya,” kalau masuk politik, mesti tahan lasak. Mesti ada hati untuk bantu orang lain. “
Ketika ditanya apa motto perkhidmatan kepada rakyat, “Leave No One Behind” kata YB Jenifer Lasimbang, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog.

YB Jenifer Lasimbang lahir di Kampung Nampasan, Penampang pada 29 September 1974.  Beliau memiliki Bacelor dalam  Teknologi Informasi dengan kepujian daripada Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah pada Februari 1998. Selepas itu, pada September 2003, beliau memperolehi Ijazah sarjana sains  dari Sekolah Informatics, Universiti Indiana, Bloomington, Indiana, USA. Jenifer juga memilkili sijil penjagaan awal kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian, Wanita Keluarga dan Pembangunan Masyarakat pada Januari 2013.

Dalam bidang kerjaya pula,beliau pernah bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran di Jesselton Communications Pte Ltd (Sabah Malaysia) dari Januari hingga hingga Disember 1998, Pensyarah di Informatics College (Januari 1999-Ogos 2000), Tutor di Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sabah (UMS) September 2000-Ogos 2001, Konsultan UITS di Indiana University Bloomington (Ogos 2002-Mei 2003),Pensyarah Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat UMS (Oktober 2003-Julai 2008), Konsultan United Nations Development Programme (UNDP) (Ogos 2008-Disember 2009), konsultan Bebas (Januari 2010-Mei 2014) dan Konsultan United Nations Children’s Fund (UNICEF) Malaysia (Jun 2014-April 2017).
Selepas itu beliau bergiat sepenuh masa dalam bidang politik. Pada PRU-14 yang lepas, Jenifer memenangi kerusi DUN Moyog dan kemudian dilantik sebagai Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi dalam Kabinet Negeri Sabah 2018. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Ben Mansul dan dikurniakan seorang cahayamata.
Wartawan Kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Penampang pada satu petang yang cerah baru-baru ini. Dalam temubual singkat itu beliau menjawab beberapa soalan berkaitan pengalamannya sehingga terpilih sebagai wakil rakyat. Ikuti petikan temubual bersama beliau;

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB JENIFER LASIMBANG:  Saya dilahirkan di Kampung Nampasan Penampang daripada sebuah keluarga besar, 13 adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di SRJK Chin  Yu Min Penampang dari 1981 hingga 1986. Selepas itu, saya bersekolah di Maktab Nasional dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Selepas itu, pada 1993,saya melanjutkan pengajian  matrikulasi Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kampusnya di Sintok Kedah.
Selepas itu, saya juga pernah mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Universiti of Saskatchewan, Saskatoon Kanada pada Mei 1997 hingga Julai 1997. Melalui program ini, saya ditempatkan di Saskatchewan Agriculture and Food Equity Fund (AFEF)  dan membangunkan forum perbincangan dalam talian  untuk Dana Ekuiti.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman kerjaya YB sebelum menceburi bidang politik? Dulu YB kerja di mana?
YB: Saya pernah bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran di Jesselton Communications Pte Lts (Sabah Malaysia) dari Januari hingga Januari 1998 hingga Disember 1998.
 Antara tanggungjawab utamanya ialah menyediakan dan pemasarkan platform SUN dari sederhana hingga syarikat bersaiz besar. Pada Januari 1999 hingga Ogos 2000, saya bertugas di Informatics College sebagai pensyarah, iaitu mengajar di peringkat diploma dan diploma lanjutan untuk kursus komputer selain jadi Penyelia Majlis Pelajar.
Kemudian pada  September 2000 hingga  Ogos 2001, saya menjadi pembantu  pengajar atau tutor di Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat  di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pada Ogos 2002 hingga Mei 2003, saya ke Indiana University di Bloomington Indiana , Amerika Syarikat sebagai Konsultan Komputer di UITS atau University Information Technology Services (UITS).
Kemudian pada Oktober 2003 hingga Julai 2008, saya bertugas sebagai pensyarah di Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat UMS

UB: Selepas itu YB bertugas dimana?
YB: saya bertugas  di United Nations Development Programme (UNDP) di pejabatnya di Bangkok pada Ogos 2008 hingga Disember 2009. Saya dilantik sebagai konsultan Program Orang-Orang Asak Serantau di Pusat Serantau UNDP di Bangkok. Di sinilah saya berpeluang untuk melawat pelbagai tempat dan kawasan terpencil di wilayah Asia dan pasific sebagai konsultan untuk masyarakat Orang Asal. Saya melihat pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi masyarakat orang Asal. Dalam misi mencari maklumat , saya berpelung ke Nepal, di Kathmandu, di Chittagong Bangladesh, Dhaka, Myanmar, Laos, Kemboja, Thailand, Indonesia dan beberapa buah negara lain lagi.
UB: Kemydian bertugas di mana selepas ity?
YB: Bermula dari Januari 2010 hingga Mei 2014,  saya menjadi Konsultan bebas, penyelidik dan sukarelawan yang berfokus kepada pembangunan masyarakat, rural informatics, renewable Energy dengan pelbagai NGO dan pertubuhan masyarakat seperti JOAS, (Jaringan Orang Asal), Pacos (Partners of Community Organisations), Tonibung . KadazanDusun Language Foundation (KLF)  dan Mercy Malaysia.
UB: Khabarnya ke PBB lagi selepas itu?
YB: Saya berkhidmat di bawah salah satu organisasi PBB iaitu United Nations Children’s Fund (UNICEF) Malaysia.  sebagai konsultan Program dan Partnership Development untuk Sabah dan Sarawak dari Jun 2014 hingga April 2017. Ketika inilah saya berpeluang untuk melawat tempat-tempat dan kampung terpencil di seluruh Sabah dan Sarawak, ada kalanya naik kereta, kadang ikut sungai atau berjalan kaki jika jalan raya sukar dilalui.

UB: Jika dirangkum, Yb banyak pengalaman
YB: Saya memiliki pengalaman dalam teknologi Informasi dan Komunikasi selama 20 tahun dan terlibat dalam bidang interaksi antara  Manusia-Komputer dan Komuniti Informatik selama 15 tahun.

UB: Boleh ceritakan pengalaman sebagai konsultan bebas?
YB: Sejak lebih 20 tahun lepas, saya secara sukarela berbakti untuk komuniti orang asal di Malaysia khususnya dalam memberikan pengetahuan ICT kepada mereka dengan merekabentuk model lestari, melaksanakan projek berasaskan komuniti dan menganjurkan latihan-latihan yang bersesuaian.

UB: ICT boleh digunakan untuk menangani kemiskinan?
YB: Inisiatif ini kita lakukan  dengan keyakinan bahawa ICT adalah salah satu alat yang boleh digunakan untuk menangani pelbagai dimensi dan isu kemiskinan. Kita sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap program yang dilaksanakan oleh organisasi bukan berasas keuntungan sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan pendidikan, sosio- ekonomi, kesihatan di kalangan Orang asal dengan fokus khas kepada ICT.Saya membantu mengutip data dan menjalankan penyelidikan bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan kualiti perkhidmatan Mercy Malaysia cabang sabah kepada masyarakat.
Saya juga menjalankan kempen lokal dan antarabangsa mengenai penggunaan komputer untuk masyarakat luar bandar meningkatkan  pengetahuan ICT mereka. Berbekal pengetahuan dan pengalaman, saya berkunjung ke kawasan-kawasan pedalaman jauh terpencil untuk meningkatkan penguasaan mereka dalam ICT.

UB: Bagaimana YB terlibat dalam politik?
YB: Keluarga saya memang terlibat dalam politik sejak dahulu lagi. Datuk saya adalah pemimpin masyarakat yang disegani. Malah Ibu saya, Rosinah Sogundu pernah menjadi pemimpin atau ketua wanita sejak Zaman Berjaya. Ramai anggota keluarga kami terlibat dalam politik.Abang saya, Datuk Philip Lasimbang pernah jadi Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Moyog, Kakak saya YB Jannie Lasimbang, Adun DAP Kapayan yang kini Pembantu Menteri kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri dan adik saya, Senator Adrian Lasimbang.

UB: Mana sibuk dulu dengan sekarang?
YB: Sejak menjadi wakil rakyat memang agak sibuk sedikit. Kadang kita perlu menghadiri  hingga lapan program sehari. Tetapi kita ada sistem dimana setiap PDM kita ada wakil untuk melihat permasalahan rakyat.
Sebelum ini kita sudah mengedarkan borang kaji selidik. Dalam borang selidik yang kita edarkan kepada setiap isi rumah itu, kita minta mereka mengisi butir-butir keluarga yang diperlukan seperti nama, jumlah keluarga, pendapatan dan sebagainya. Dalam borang itu juga, kita minta mereka menuliskan permasalahan mereka dan tanya cara bagaimana saya boleh tolong mereka. Kita sudah buat kajian soal selidik itu,bahkan ketika kempen pilihanraya dulu kita sudah edarkan. Jadi sekarang,kita sudah tahu sebahagian besar permasalahan dan aspirasi rakyat. Jadi  tidak banyak masalah yang kita hadapi kerana kita bersistem. Setiap permasalahan yang dikemukakan, kita carikan jalan untuk menanganinya. Kita tunjuk mereka bagaimana sistem kerja,cara pengurusan yang betul,  bagaimana cara menulis sesuatu surat dan sebagainya


UB: Oh ya, kita tukar topik soalan. Apa hobi YB?
YB: Saya suka mengacarakan sesuatu majlis, jadi emcee, dan mempunyai pengalaman menjadi juruacara dari peringkat kampung, majlis perkahwinan hingga majlis makan malam amal di peringlat negeri, mengacarakan Pesta Kaamatan peringkat negeri. Saya juga pernah menjadi emcee hingga peringkat serantau dan antarabangsa dalam majlis-majlis anjuran PBB termasuk  Mesyuarat Conference of Parties (COP) di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur dan pelbagai program anjuran UNDP dan UNICEF.

Selain itu saya suka mendaki gunung, perenang, diakui sebagai pencinta alam sekitar. Kerana hobi juga saya menjadi sukarelawan bersama MERCY Malaysia dan menjayakan pelbagai kem perubatan untuk membantu sukarelawan sukarelawan yang terdiri daripada doktor  ketika mengadakan misi bantuan dan perubatan ke kampung-kampung terpencil yang tidak mempunyai akses jalan raya.
UB; Apa antara pengalaman sebagai sukarelawan?
YB: Sebagai sukarelawan bersama Mercy Malaysia, saya diberikan peluang untuk mengetuai misi perubatan ke pulau-pulau jauh terpencil, jauh dari daratan dengan menaiki kpal TLDM yang bagi saya adalah pengalaman yang berharga dan tidak ternilai. Melalui misi itu, kita dapat melihat keperluan pusat kesihatan di komuniti-komuniti yang kita kunjungi.

UB: Dalam politik,apa jawatan YB?
YB:  Saya adalah Ketua Wanita PKR Penampang. Saya terlibat dalam politik sejak PRU ke-13 sebagai Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Penampang. Selepas saya teruskan usaha untuk memperkasa golongan wanita dan mengalakkan mereka untuk terlibat dalam politik dan demokrasi. Golongan wanita memainkan peranan penting dalam politik Malaysia.

UB: Bagaimana pandangan YB terhadap penyertaan golongan wanita dalam dunia politik di negeri ini?
YB: Kini penyertaan wanita dalam gerakan politik di Sabah amat membanggakan, mereka terlibat dalam proses mengambil keputusan dan tidak hanya setakat menghidangkan makanan atau minuman.

UB: Apa cita-cita YB ketika kecil?
YB: Saya mahu jadi cikgu. Akhirnya cita-cita menjadi cikgu tercapai apabila menjadi pensyarah di universiti.
UB: Apa pesan ibu kepada YB?
YB: Katanya, kalau masuk politik, mesti tahan lasak. Mesti ada hati untuk bantu orang lain.

Artikel Terkait