Ahad, 10 Mac 2019

KITA KEMBALIKAN KEGEMILANGAN SABAH SEMULA, KATA YB KENNY

Tags

KITA KEMBALIKAN KEGEMILANGAN SABAH SEMULA, KATA YB KENNY

Ketika kecil beliau rajin menyertai bapanya ke program-program kemasyarakatan dan kejiranan. “Tapi saya lebih banyak berada di belakang tabir, kadang-kadang hanya sebagai tukang pasang poster,” katanya. Tetapi saya sangka orang yang dahulunya tukang tampal poster kini menjadi seorang wakil rakyat.

Beliau memulai karier politik nya dari bawah. Selepas menyertai PKR pada tahun 2007 atas ajakan YB Darell Leiking, bintangnya menyerlah. Kini beliau adalah Naib Pengerusi PKR Negeri dan Ketua Cabang PKR Penampang. Dalam PRU ke-14, beliau memenangi kerusi DUN N13 Inanam  dengan majorti 7,783 undi. Beliau gembira kerana dapat menyambung dan menunaikan cita-cita ayahnya untuk menjadi wakil rakyat.

“Sebagai pemimpin, kita mesti mesra rakyat, bantu rakyat.Jadi pemimpin, kita mesti jujur, sentiasa berkhidmat kepada rakyat,” antara pesan ayahnya ketika terpilih sebagai ADUN. Ketika ditanya apa cita-citanya selepas menjadi wakil rakyat,“Kita kembalikan semula kegemilangan Sabah”, kata YB Kenny Chua, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah.

KENNY CHUA TECK HO dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth pada 19 Mei 1970. Beliau adalah  anak kedua daripada tiga adik beradik.  Kenny mendapat pendidikan awal di SRJK Chung Hwa Likas dari darjah satu hingga darjah enam. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM All Saints Likas. Pada tahun 1983, beliau pernah belajar di George Washington High School kerana mengikut ayahnya yang belajar di Amerika. Selepas pulang ke Sabah, beliau mengambil A Level di Kinabalu Institute. Kemudian beliau belajar di Kinabalu Commercial College hingga lulus Diploma in Business Studies pada 1988 hingga 1989.  Selepas itu  pernah menceburi pebagai bidang pekerjaan termasuk dalam sektor perhotelan. Pada tahun 2015, beliau lulus MBA dari AEU Asia E University.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di pejabatnya di Tingkat 7, Blok B di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. Ikuti petikan temubual bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB KENNY CHUA: Saya dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth pada 19 Mei 1970. Saya anak kedua daripada tiga adik beradik.  Saya mendapat pendidikan awal di SRJK Chung Hwa Likas dari darjah satu hingga darjah enam. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran menengah di SM All Saints Likas. Pada tahun 1983, saya ikut keluarga ke Amerika kerana waktu itu bapa saya melanjutkan pelajaran di sana. Di sana saya belajar di George Washington High School. Selepas itu, saya mengambil A Level di Kinabalu Institute, bersama YB Darell. YB Darell ini adalah sahabat dan teman sepermainan saya sejak kecil.

Kemudian saya kerja di sektor perhotelan sambil belajar di Kinabalu Commercial College hingga lulus Diploma in Business Studies pada 1988-1989. Selepas itu saya terus bekerja dalam sektor perhotelan. Antara hotel yang pernah menjadi tempat saya bekerja ialah Berjaya Palace Hotel, Promenade, Pasifik Sutera dan sebagainya. Selain itu saya juga pernah terlibat dalam bidang tarian dan pelbagai jenis kerja yang lain. Kemudian pada tahun 2015, belajar di peringkat MBA di Asia E University.

UB: Sebelum berkecimpung dalam politik, apa kegiatan YB?

YB KENNY: Sebelum terlibat dalam politik, saya banyak berkecimpung dalam kegiatan NGO. Sebenarnya sejak kecil lagi saya sudah terdedah dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kejiranan. Saya selalu ikut bapa saya dalam menjayakan aktiviti-aktivitinya. Bapa saya, Eddy Chua, waktu itu adalah Pengerusi KRT Taman Antarabangsa Likas. Beliau seorang yang aktif dalam aktviti-aktiviti kemasyarakatan dan kejiranan yang dianjurkan oleh KRT di bawah Jabatan Perpaduan Negara, yang kini dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.  Saya pernah jadi tukang pasang poster, tapi saya tidak kisah kerana saya memang sukakan aktiviti sukarela dan kemasyarakatan.

UB: Bagaimana YB terlibat dalam politik?
YB KENNY: Saya memang ada darah politik, kerana ayah saya juga adalah orang kuat PBS di Kota Kinabalu. Namun saya lebih banyak berada di belakang tabir. Adik saya Benny , sebenarnya lebih dahulu masuk berpolitik.  Saya masuk politik kemudian. Saya pernah jadi AJK Penerangan Pemuda MCA. Kemudian saya menceburkan diri dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR)

UB: Tahun berapa masuk PKR?

YB KENNY: Saya masuk PKR pada 2007 atas ajakan YB Darell. Masa itu. saya jadi Ketua Pemuda. YB Darell menjadi Ketua Cabang. Selepas itu, Saya menjadi Timbalan Ketua Cabang. Apabila YB Darell meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Warisan Sabah (PWS), saya menjadi Pemangku Ketua Cabang PKR.. Kini saya menjadi Ketua Cabang PKR di Penampang, Naib Pengerusi PKR Negeri.
Selain itu, saya pernah menjadi pegawai khas kepada Pengerusi PKR Negeri masa itu, Datuk Thamrin Zaini pada tahun 2010-2016. Saya bersyukur  dan beterima kasih kerana dalam PRU ke-14 yang lepas, saya terpilih sebagai calon PKR dan pemilih di DUN Inanam memilih saya sebagai wakil rakyat mereka.

UB: Selepas menjadi wakil rakyat, apa yang berubah dalam kehidupan YB?
YB KENNY: Kalau ada perubahan, mungkin dari segi mengatur masa. Sebagai wakil rakyat, saya harus sentiasa stand by sepanjang masa. Kadang jam 1.00 pagi pun ada orang cari. Itu sebab kita kena sentiasa alert atau berjaga jaga, harus bersedia memberi khidmat  terbaik kepada rakyat.

UB; Bagaimana YB mengatur masa untuk menemui rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka?
YB KENNY: Biasanya dalam mesyuarat mingguan yang diadakan, kita adakan mesyuarat tiap-tiap minggu, kita buat agihan kerja untuk menyelesaikan kerja atau perkara-perkara yang yang berkaitan permasalahan dan kepentingan rakyat.

UB: Pernah terfikir jadi wakil rakyat sebelum ini?
YB KENNY: Tidak terfikir tapi sejak di bangki sekolah, saya ikut pertandingan syarahan, pertandingan bahas malah selalu menjadi wakil sekolah dalam pertandingan-pertandingan berkenaan.

UB: Apa cita-cita YB sewaktu kecil?
YB KENNY: Cita-cita saya sewaktu kecil dahulu ialah mahu jadi pilot. Tapi tidak kesampaian.

UB: Tadi YB ada menyebut, ketika kecil dahulu sering ikut bapa ke mana-mana saja program kemasyarakatan.  Mungkin ada kata-kata nasihat daripada bapa kepada YB?
YB KENNY: Beliau cuma cakap, sebagai pemimpin, kita mesti mesra rakyat, bantu rakyat.Jadi pemimpin, kita mesti jujur, sentiasa berkhidmat kepada rakyat.

UB: Apa perasaan YB terpilih sebagai wakil rakyat?
YB KENNY:Sebenarnya saya hanya menyambung perjuangan bapa.Saya menunaikan cita-citanya untuk menjadi wakil rakyat. Pada zamannya, beliau adalah seorang pemimpin politik yang agak berpengaruh tetapi hasratnya menjadi calon tidak kesampaiaan. Beliau kerja keras dalam politik tetapi tidak mendapat peluang. Akhirnya hasratnya menjadi wakil rakyat tercapai melalui saya. Saya bersyukur dapat menunaikan impiannya. Saya menyambung perjuangannya.

UB: Mungkin YB boleh kongsikan bersama pembaca, siapa yang banyak memberikan inspirasi kepada YB dalam perjuangan selain bapa?

UB KENNY: Antara yang banyak memberikan inspirasi kepada saya ialah Datuk Marcel Leiking, ayah kepada YB Darell. Saya selalu berjumpa beliau dan melalui keperibadian dan ketokohannya banyak memberikan inspirasi kepada saya. Ia menjadikan saya komited dalam perjuangan.Dasar perjuangan kita adalah membangun rakyat Sabah dan memperjuangkan hak rakyat Sabah.

UB: Apa antara isu yang YB ketengahkan untuk membela rakyat?
YB KENNY: Kita masih ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur jika dibandingan negeri lain padahal kita mempunyai sumber kekayaan alam yang begitu banyak. Mengapa berlaku begitu. Sepatutnya sebagai sebuah negeri yang kaya, kita sudah memiliki infrastruktur yang baik. Mengapa kita menjadi sebuah negeri yang miskin padahal sumber alam kita begitu kaya. Ini mungkin kesilapan pemimpin terdahulu, sebab itu kita ajak rakyat untuk membuat perubahan baru untuk membawa kita kepada hala tuju sebenar untuk mengembalikan semula kegemilangan Sabah.

UB: Mungkin YB boleh jelaskan apa antara bentuk kegemilangan Sabah dahulu?
YB: Pernah satu ketika dahulu,, kerajaan kita mampu memberikan buku percuma, kasut percuma, alat sekolah, pakaian sekolah percuma, susu percuma. Sekarang hampir semua sudah tidak ada, tidak lagi seperti dahulu.

UB: Satu hasrat yang baik untuk mengembalikan kegemilangan Sabah.Teruskan.
YB KENNY: Kita mahu kembalikan semula kegemilangan Sabah. Kita sedar,Bukan mudah tetapi kita boleh buat dengan pentadbiran yang baik. Kita boleh buat kalau kita amalkan good governance dan tidak ada amalan rasuah. Kita harus mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya di kalangan akar umbi yang mahukan perubahan ke arah yang lebih baik.

UB: Tentu banyak yang perlu dilakukan?
YB KENNY: Banyak yang perlu kita lakukan . Selain itu kita perjuangan agar kita mendapat hak-hak kita semula seperti mana yang termaktub dalam MA63 atau Perjanjian Malaysia 1963. Kita mahu rakyat Sabah mendapat peluang yang lebih banyak, misalnya kita mahu lebih banyak kontraktor dari Sabah mendapat peluang melaksanakan projek-projek atau kerja sesuai kemampuan mereka.

UB: Mungkin YB boleh kongsikan sedikit visi dan misi untuk DUN Inanam?
YB KENNY: Kita mahu membangunkan, salah satunya sebagai salah satu destinasi eko tourism. Kita mahu popularkan banyak tempat menarik untuk eko pelancongan. Salah satu yang boleh kita lestarikan pelancongan bukit dimana aktiviti mendaki bukit, hiking kini mendapat banyak sambutan dari masyarakat. Eko pelancongan ini boleh kita kembangkan.Di dalam kawasan  DUN Inanam, kita memiliki banyak bukit yang sesuai untuk dibangunkan untuk aktiviti hiking. Misalnya bukit Kokol. Antara yang kita boleh diusahakan ialah homestay inap desa dan sebagainya. Ini sekadar contoh
.
UB: Selain itu, apa lagi yang perlu dibuat?
YB KENNY: Selain itu, kita juga  berusaha untuk memastikan sumber pendapatan orang kampung bertambah. Kita galakkan mereka untuk menceburi bidang penternakan, pertanian dan sebagainya. Antara yang kita lihat berpotensi ialah  penternakan lebah madu kelulut.
Kita juga menggalakkan masyarakat kampung menceburi industri  kraftangan yang boleh diusahakan seiring dengan eko pelancongan.

Terdapat  terdapat lapan puluh kampung di kawasan DUN Inanam, 60 sudah diwartakan manakala 30 kampung belum diwartakan. Kita mahu rakyat mengambil peluang peluang yang disediakan kerajaan untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup mereka .
UB: Pada pandangan YB, bagaimana tahap pembangunan infrastruktur di Sabah?
YB KENNY:  Saya rasa Kita nampak sendiri, Sabah terkebelakang dari segi pembangunan infrastruktur. Negeri kita adalah sebuah negeri yang mempunyai hasil atau sumber  yang kaya. Tetapi kita masih jauh ketinggalan. Kita Sepatutnya kita sudah ada jalan raya double lane, dua lorong,kita sudah aada LRT dan banyak lagi. Itu sebabnya kita mahu  pemtadbiran yang baik. Saya fikir banyak yang boleh kita perbaiki untuk melonjakkan Sabah kembali ke depan Kita mahu mengembalikan kegemilangan Sabah. Kita mahu Sabah kembali gemilang semata-mata untuk membela kepentingan dan rakyat Sabah.


UB: Apa harapan YB kepada anak-anak Sabah yang bekerja di luar Sabah?
YB KENNY: Kita mahu anak-anak Sabah yang bekerja di luar balik ke Sabah. Kita perlukan sumber manusia atau modal insan untuk balik bekerja mencurahkan bakti di Sabah. Saya fikir mereka sedia pulang berkhidmat di Sabah sekiranya kita dapat menyediakan peluang pekerjaan di Sabah dengan kadar gaji yang lumayan dan berpatutan. Semua ini boleh dicapai jika kita dapat melaksanakan good governance atau tadbir urus yang baik. Kita bertekad untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan mereka.

UB: Terima kasih YB kerana sudi memberi peluang untuk sesi  temubual ini.
YB KENNY: Terima kasih kembali.

Artikel Terkait