Selasa, 12 Julai 2016

DATUK MONGGOH OROW, PILIH BAHASA SUANG LOTUD SELEPAS PENCEN DARI POLITIK

Tags

DATUK MONGGOH OROW, PILIH BAHASA SUANG LOTUD SELEPAS PENCEN DARI POLITIK



BELIAU pernah memegang jawatan kanan dalam perkhidmatan kerajaan, pernah menjadi Penolong Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya, Setiausaha Hasil Bumi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Presiden Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) sebelum menceburkan diri dalam bidang politik. “Kalau tidak cukup latihan, kepala benjol sana benjol sini,” kata Datuk Monggoh Orow mendeskripsikan pengalamannya dalam politik. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Tuaran (1990-1994), pernah pula melibatkan diri dalam beberapa parti politik sebelum mengambil keputusan untuk bersara dan menumpukan sepenuh masanya dalam bidang penyelidikan dan pendokumentasian bahasa ibundanya, Bahasa Suang Lotud. Dua tahun lepas, Pertubuhan Pelestarian Bahasa Lotud Sabah (Pelestarian) yang diketuainya menerbitkan Hatod Suang Lotud-Kamus Asas Bahasa Suang Lotud -Suang Lotud Beginner’s Dictionary. Beliau diselubungi kebimbangan kerana generasi muda Lotud makin kurang menguasai bahasa ibunda mereka.Malah walaupun ibubapanya berbangsa Lotud tetapi anak-anak mereka bertutur dalam bahasa Melayu. “Hilang bahasa, hilanglah bangsa”, katanya dalam wawancara Sembang Sabtu bersama Utusan Borneo.



Datuk Monggoh Orow dilahirkan di Tuaran pada 17 Januari 1946. Memulakan persekolahannya di Government Primary School (GPS) Tuaran pada tahun 1954 hingga 1959 sebelum melanjutkan pelajaran di Sabah College (Maktab Sabah) dari tahun 1960 hingga 1966. Pada Tahun 1967, beliau adalah salah seorang daripada sepuluh orang pelajar dari Sabah yang pertama terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Beliau memasuki Toombanban Grammar School di Quensland selama tiga tahun sebelum melanjutkan pelajaran di James Cook University di Townsville.

Sekembalinya ke tanahair,Datuk Monggoh bekerja sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan. Selepas itu, Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan dan Kerjaraya, kemudian dilantik sebagai Setiausaha Hasil Bumi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, dan selepas itu Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan Sabah. Beliau kemudian dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) pada tahun 1989. “Satu tahun kemudian, tidak kurang, tidak lebih, saya melompat ke dalam arena politik,” katanya. Selepas itu, setelah sekian lama menggeluti dunia politik, Datuk Monggoh Orow kemudian memilih satu bidang baru yang sama sekali asing bagi dirinya tetapi kerana memenuhi permintaan masyarakat dan sukubangsanya, beliau melibatkan diri dalam bidang penyelidikan, pendokumentasian dan perkamusan bahasa.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemui Datuk Monggoh Orow di pejabatnya di Sadong Jaya untuk berkongsi pengalaman beliau sejak zaman persekolahan, menjadi pegawai kanan kerajaan, `melompat ke dalam arena politik’ dan kemudian memilih bidang penyelidikan dan pendokumentasian bahasa Lotud sebagai akhir pengabdiannya untuk masyarakat dan bangsanya. Ikuti petikan temubual bersama beliau:



UTUSAN BORNEO: Bolehkah Datuk ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Datuk?

DATUK MONGGOH OROW: Saya lahir pada 17 Januari 1946. Tapi menurut cerita, saya lahir ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Sabah.Waktu itu, kapal terbang Jepun berlegar di atas udara. Bererti saya lahir sewaktu perang. Masa itu tidak ada rakaman atau dokumentasi. Orang hanya menunjukkan pokok kelapa atau pokok tertentu sebagai rujukan untuk menentukan usia seseorang. Saya anak kelima dari tujuh orang adik beradik.



UB: Bersekolah dimana?

MONGGOH: Saya mula bersekolah di Government Primary School (GPS) Tuaran. Tamat tahun 1959.



UB: Berapa jauhnya sekolah dari rumah?

MONGGOH: Kira-kira satu batu. Kami ke sekolah berjalan kaki. Keadaan jalan pula berlumpur. Jadi kami tidak pakai kasut. Takut kena lumpur. Kami simpan kasut di bahu saja. Kami pakai kasut sesudah sampai di sekolah.



UB: Lepas itu sekolah dimana?

MONGGOH: Lepas itu pada tahun 1960, kami bersekolah di Sabah College. Waktu itu kami dapat biasiswa native scholarship.



UB: Siapa rakan sekolah dari Tuaran yang terpilih bersekolah di Maktab Sabah masa itu?

MONGGOH: Antaranya Mariam Mujie, kini bertugas sebagai pensyarah universiti di Afrika Selatan,Encik Ghafar Umpong, Encik Jelawan Miun, Sandy Jiwat, Ipen Lima dan lain lain lagi.

UB: Ada orang Tuaran yang bersekolah di Maktab Sabah sebelum itu?

MONGGOH: Ada.Sebelum itu ada orang yang lebih dulu. Antaranya Majid Kunul. Semua pelajar ke sekolah itu tinggal di Asrama.

UB: Dari Maktab Sabah, dimana Datuk melanjutkan persekolahan?

MONGGOH:Pada tahun 1967, kami pergi Australia dengan Biasiswa Kerajaan Negeri. Kami angkatan pertama yang dapat biasiswa Kerajaan Negeri. Saya, Datuk Hassan Ibrahim, Lawrence Sinsua,Ahmad Jahir Mahmud, Petrus Yong, Payus Lokinus,Datuk Mohamad Jafry,Datuk Miller Munang, Ferdinand Linggan, Hamidun Ibrahim. Terdapat lima kumpulan yang dihantar oleh Kerajaan Negeri belajar di Australia pada masa itu.Tiap tiap tahun kerajaan negeri memberi biasiswa khas kepada pelajar bumiputera. Seramai 10 orang.Khas untuk bumiputera.

UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu di luar negeri?Apa masalah yang dihadapi?

MONGGOH: Bagi saya tak ada masalah. Kerana sebelum ke Australia, saya sudah biasa tinggal di asrama.. Jadi kalau ada masalahpun, tidak seberapa. Di sana lain cuaca, lain bangsa, tentu berlainan budaya.Lain adat resam. Waktu kami mula datang, ada juga pelajar yang mengalirkan air mata terpisah dari keluarga. Ada yang menangis. Ada pelajar yang baru berusia 15 tahun dihantar belajar ke sana.Masa itu usia saya, sudah 19 tahun. Yang lain ada yang berusia 15 tahun.



Pengalaman? Banyak pengalaman sewaktu di sana. Saya pernah diminta memasak di rumah guru besar. Untuk memperlihatkan resepi orang Sabah. Selain untuk mengubat kerinduan masakan kampung.Saya masak nasi goreng ikan Kami ramai ramai masak. Belajar di luar negara, memang agak sukar masa itu. Bantuan kewangan keluarga tiada. Kirim surat pun tiada. Hanya tunggu hujung tahun, musim cuti baru dapat pulang jumpa keluarga. Mereka bukan dari keluarga yang berada. Kami kebanyakannya budak dari luar bandar.



UB: Sekolah dimana di Australia?

MONGGOH: Saya bersekolah di Toombanban Grammar School di Queensland selama tiga tahun sebelum memasuki James Cook University di Townsville. Saya balik ke tanahair pada tahun 1972.

UB: Kerja dimana setelah kembali ke tanahair?

MONGGOH: Saya mula bekerja sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan, kemudian Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan dan Kerjaraya, kemudian dilantik Setiausaha Hasil Bumi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) sekarang DBKK.



UB: Berapa lama jadi Presiden MPKK?

MONGGOH:Satu tahun- tidak kurang tidak lebih. Lepas itu, saya lompat ke arena politik.



UB: Tentu banyak pengalaman. Antaranya?

MONGGOH:Kalau tiada pengalaman masuk politik, memang sukar. Politik seperti tinju.Jika tidak cukup latihan , kepala benjol sana benjol sini. Mesti cukup latihan sebelum masuk gelanggang. Pada tahun 1990, saya menang atas tiket PBS. Saya jadi Ahli Parlimen Tuaran dari tahun 1990 hingga tahun 1994. Saya melalui pelbagai cabaran dan pengalaman dalam politik tetapi setelah berkecimpung sekian lama dalam politik, akhirnya saya memutuskan untuk bersara dari dunia politik. Kalau main politik asyik bertengkar dengan kawan-kawan.Baik bergiat dalam NGO saja.



Selepas itu, saya bergiat dalam bidang kajian, penyelidikan, pendokumentasian bahasa ibunda Suang Lotud dalam bentuk kamus.Kami menubuhkan Persatuan Bahasa Ibunda Lotud Sabah (PELESTARIAN) Dua tahun lalu, tahun 2014, buku Hatod Suang Lotud itu sudah terbit, mengandungi kira-kira 2,000 daftar kata.

Hatod Suang Lotud adalah satu hasil warisan dokumentasi yang menjadi kebanggaan dan milik bersama semua lapisan masyarakat suku Suang Lotud dimanapun mereka berada. Warisan bercetak buku ini akan dipusakakan kepada generasi akan datang.

Persatuan Suang Lotud Sabah mengilhamkan projek kamus ini pada tahun 2011 kerana menyedari generasi kini tidak tahu bertutur bahasa ibunda mereka iaitu Lotud.

Respon masyarakat sangat bagus.. Kini kami cuba menyiapkan kamus yang lengkap dengan kata nama, kata kerja, kata sifat dan segala aspek dalam bahasa Lotud dan dijangka terbit pada tahun 2018.Pelestarian giat mengadakan pertemuan, kadang-kadang dua kali dalam sebulan. Antara yang terlibat David Orok, Pamanday Salvia Poit, Jean Martin, Ejijah@Norzanah Aziza Lidan, Gazali Suhaili,. Kita panggil para tantagas, untuk mengumpul bahasa yang mereka pertuturkan.Kita kena mengumpul bahasa yang mereka gunakan dalam mantera. Kita tidak boleh ikut tatabahasa Melayu sebaliknya ikut tatabahasa bahasa ibunda sendiri. Tentang pelestarian ini, kita sebenarnya mengalami kekangan dana tapi kita sentiasa berusaha melestarikan bahasa ibunda kita ke satu tahap yang membanggakan.



Sekarang, penggunaan bahasa ibunda kita memang kian terancam. Ada di kalangan generasi muda tidak mampu bercakap bahasa Lotud. Kadang-kadang kita jumpa suami isteri suku Lotud tetapi anak mereka di rumah mereka bercakap bahasa Melayu. Moga buku ini akan dapat dimanfaatkan kelak. Kita lestarikan bahasa ibunda kita.Kalau hilang bahasa, hilanglah bangsa.Malah ada anak-anak kita, bila ditanya `isai ngaran nu’ , siapa namamu dalam bahasa Dusun, tidak mampu menjawab. Dia tanya ibu bapa dia, apa dia bilang? Sebab dia tak mengerti.Kini sudah ada kelas tadika di Tuaran, yang dikelolakan puan Salvia Poit.



UB: Saya difahamkan Datuk juga terlibat penubuhan Koperasi Pekebun Kecil Getah?

MONGGOH: Di Sabah terdapat kira-kira 50,000 penoreh getah yang mengusahakan kitra-kira 278,000 hektar tanah. Inilah sasaran kita untuk membantu pekebun kecil getah di negeri ini. Penurunan harga komoditi getah menjejaskan kehidupan golongan penoreh getah. Saya pernah melawat Kampung Kadayan, di Kanibongan Pitas. Harga getah di sana RM1.20 sekilo. Manakala harga ikan basung di Pitas mencecah RM6.00 sekilo. Jadi perlu lima kilo getah untuk sekilo ikan basung. Betapa mahalnya.Cuba bayangkan. Jauh berbeza. Kalau dulu harga getah pernah mencecah RM9 sekilo, menyebabkan ramai kakitangan kerajaan termasuk guru yang mengusahakan tanah kebun getah mereka. Kerajaan mmang ada bantu subsidi. Ada insentif untuk pekebun getah. Jadi kita minta agar harga pasaran getah di semenanjung dan di Sabah, kalau dapat diselaraskan. Melalui koperasi, kita berusaha untuk membantu pekebun kecil di negeri ini, dimana hanya 27,000 pekebun kecil mendaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), 13,000 mendaftar dengan RISDA manakala selebihnya kira-kira 10,000 tidak terdaftar.



UB: Terima kasih banyak Datuk kerana sudi ditemubual untuk Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.

MONGGOH: Terima kasih kembali