Selasa, 12 Julai 2016

SAYA BANGGA JADI CIKGU, KATA KASSIM HAJI BUNTAK

Tags


SAYA BANGGA JADI CIKGU, KATA KASSIM HAJI BUNTAK

“Saya sentiasa mahu jadi orang yang terawal sampai,” kata Cikgu Kassim Haji Buntak, mantan Ketua Unit Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas Jabatan Pendidikan Sabah. Sebab itu, sejak awal pagi lagi, beliau sudah bertolak dari rumah ke tempat kerja. “Saya mahu ada orang yang pertama tiba di pejabat. Kalau ada yang lebih awal, saya rasa saya lambat,” katanya. Itulah sikap yang sentiasa tertanam di hati seorang pendidik yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya ini. Malah walaupun tinggal jauh dari tempatnya bekerja-pernah sejauh 69 km jaraknya dari rumah-cikgu Kassim tetap datang paling awal ke pejabat. “Saya tidak suka ditunggu, biar saya yang menunggu,” katanya kepada Utusan Borneo dalam satu wawancara genap sebulan selepas beliau bersara sebagai penjawat awam.

Cikgu Kassim Haji Buntak dilahirkan di Kampung Pimping Membakut pada 25 Mei 1956. Anak sulung dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Pengiran Jaya Pimping dari tahun 1962 hingga 1968. Pada tahun 1969, beliau memasuki kelas peralihan (bridge class) di SMK Membakut sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Sabah (1970-1974). Pada tahun 1975 hingga awal 1977, beliau bertugas sebagai guru sandaran di SMK Gadong, Beaufort.Selepas itu, beliau mengikuti Kursus Perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1977 hingga 1978. Pada 1 Januari 1979 beliau dilantik sebagai guru di SRK Wallace Bay, Pulau Sebatik. Pada tahun 1982, beliau ditukarkan ke SRK Mempagar Beaufort. Kemudian pada tahun 1987, Cikgu Kassim mengikuti Kursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras. Pada tahun 1988 hingga 1989, beliau mengikuti kursus Bimbingan dan Kaunseling di Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) di Tanjung Malim, Perak. Sekembalinya dari sana, beliau dilantik sebagai guru kaunseling dan guru sastera di SMK Agaseh Lahad Datu dari tahun 1990 hingga 1993. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Guru Besar di Ladang Sabah Cocoa di Lahad Datu pada tahun 1994. Awal 1996, beliau dilantik sebagai Penyelia Kurikulum dan Peperiksaan di Pejabat Pendidikan Lahad Datu hingga akhir 1999. Pada tahun 2000, beliau bertugas sebagai Penyelia Kanan di Unit Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Sabah. Pada tahun 2003 hingga 2006, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Pelajaran di Gabungan Kota Belud (KOBTAR). Pada pertengahan 2006 hingga 2008, beliau dilantik Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah di Jabatan Pendidikan Sabah. Pada tahun 2008 hingga pertengahan 2009, beliau dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Tamparuli.Kemudian pada 2009, beliau dilantik Penolong Pengarah Pemulihan Khas hingga tahun2010. Pada tahun 2011, beliau diilantik Ketua Unit Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas, Jabatan Pendidikan hinggalah beliau bersara pada tahun 2006. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000 dan Ijazah Sarjana Bahasa dan Sastera dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004.



Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara Cikgu Kassim Haji Buntak pada satu pagi di Taman Puterajaya Telipok.. Ikuti petikan wawancara mengenai pengalaman beliau dalam bidang perguruan .

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

CIKGU KASSIM HAJI BUNTAK: Saya dilahirkan di Kampung Pimping Membakut pada 25 Mei 1956. Saya anak sulung dari enam adik beradik. Dulu saya bersekolah rendah di SRK Pengiran Jaya Pimping dari tahun 1962 hingga 1968.

UB: Jauhkah rumah cikgu dari sekolah?

KHB: Rumah saya terletak kira-kira 2 kilometer dari sekolah. Untuk ke sekolah, saya terpaksa berjalan kaki. Ada ketikanya, masa bersawah atau menuai padi itu , kami pindah dan bina pondok di kawasan tebasan padi. Jauhnya dari kampung sekitar 20 km. Oleh sebab tiada pilihan, kami semua terpaksa berpindah dan tinggal di pondok di tengah sawah padi.

UB: Berapa lama tinggal di pondok di tengah sawah itu?

KHB: Kira-kira dua bulan. Masa menuai padi tu kira kira dua bulan.Kami bersekolah berjalan kaki terpaksa meredah lumpur sawah. Sawah padi kami terletak di Kampung Gala Bangkawat,dekat kampung Bandau. Bayangkan betapa jauh jaraknya dari sekolah.

UB: Biasanya satu hari berapa belanja sekolah? Wang saku?

KHB: Kalau mengharap bekal biasanya sepuluh sen atau dua puluh sen saja. Tapi emak saya, Hajah Janiah Marip sediakan bekal ke sekolah. Ayah saya, Haji Buntak Nusu dan emak saya bekerja sebagai petani. Itu sebabnya kami terpaksa tinggal di tempat tebasan padi sewaktu musim menuai tu.

UB: Selepas tamat darjah enam, di mana cikgu melanjutkan pelajaran menengah?

KHB: Selepas lulus darjah enam, pada tahun 1969, saya memasuki kelas peralihan (bridge class) di SMK Membakut. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Sabah (1970-1974).

UB: Siapa rakan sekolah sewaktu cikgu bersekolah di Maktab Sabah?

KHB: Antara rakan sekelas saya termasuklah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said (Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat) Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah) dan ramai lagi. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun,Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Datuk Haji Mahiruddin adalah senior saya di sekolah.

UB: Tahun berapa tamat sekolah di Maktab Sabah? Selepas itu cikgu ke mana pula?

KHB: Tahun 1974. Pada tahun 1975 hingga awal 1977, saya bertugas sebagai guru sandaran di SMK Gadong, Beaufort. Antara murid saya ialah Datuk Kamarlin Haji Ombi, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

UB: Berapa gaji masa itu?

KHB: Gaji saya itu ialah RM165. Selepas itu, saya mengikuti Kursus Perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1977 hingga 1978. Antara rakan sekursus saya masa itu ialah arwah Haji Kiran Haji Ismail dari Tuaran.

UB:Lepas itu, cikgu ditempatkan di mana?

KHB:Selepas menamatkan kursus sijil perguruan di Maktab Perguruan Kent Tuaran, pada 1 Januari 1979, saya dilantik sebagai guru di SRK Wallace Bay, Pulau Sebatik hingga tahun 1982.

UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu bertugas di sana?

KHB: Pengalaman yang paling saya ingat ialah satu ketika perahu yang kami naiki hampir karam. Di sana, pengangkutan utama ialah bot perahu. Saya pernah ikut bot yang diberi nama Hong Kong dan Apollo.Tambang pada masa itu tiga ringgit dari Wallace bay ke Tawau. Kita kena berada dalam bot kira-kira jam 5.00 pagi kalau mahu ke bandar Tawau Jadi jam 4.00 sudah bangun. Balik jam 12. Hanya tiga hngga empat jam di Tawau. Masa itu, saya tinggal di pulau. Keluar ke Tawau, hanya kalau ada urusan.

Saya mengajar di sebuah sekolah Gred A.SRK Wallace Bay. Terdapat seramai 18 guru masa itu. Antara murid saya ialah Haji Ambotola Pilo dan Bacho Bilo. Alhamdulillah, mereka semua berjaya. Kemudian pada tahun 1982, saya ditukarkan ke SMK Mempagar Beaufort.

UB: Pulang mengajar di daerah sendiri?

KHB: Ya. Saya bertukar di SRK Mempagar Beaufort. Saya ditugaskan sebagai guru pemulihan khas untuk murid yang masih tidak menguasai 3M. Saya mengajar juga Tahun 6, matematik, bahasa Malaysia dan Sains.

UB: Selepas itu?

KHB: Kemudian pada tahun 1987, saya ikut kursus perguruan khas di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras). Pada tahun 1988 hingga 1989, saya mengikuti kursus Bimbingan dan Kaunseling di Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) di Tanjung Malim, Perak. Sekembalinya dari sana, saya dilantik sebagai guru kaunseling dan guru sastera di SMK Agaseh Lahad Datu. dari tahun 1990 hingga 1993.

Selepas itu, saya dilantik sebagai Guru Besar di Ladang Sabah Cocoa di Lahad Datu pada tahun 1994.Awal 1996, saya dilantik sebagai Penyelia Kurikulum dan Peperiksaan di Pejabat Pendidikan Lahad Datu hingga akhir 1999.

UB: Banyak pengalaman cikgu bertugas di banyak tempat. Lepas itu, bertugas di mana pula?

KHB: Dalam perkhidmatan, sudah menjadi prinsip saya untuk tidak minta tukar. Saya tidak pernah minta pertukaran. Dimana saya ditukarkan, di sana saya berkhidmat sebaik mungkin.

Pada tahun 2000, saya bertugas sebagai Penyelia Kanan di Unit Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Sabah. Pada tahun 2003 hingga 2006, saya dilantik sebagai Penolong Pegawai Pelajaran di Gabungan Kota Belud (KOBTAR). Mantan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip, Pengarah Pendidikan Sabah sekarang,Hajah Maimunah Haji Suhaibul dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Kassim Haji Ibrahim pernah jadi boss saya sewaktu bertugas di Kota Belud.

UB: Kemudian, dari Kota Belud, cikgu bertugas dimana?

KHB: Pada pertengahan 2006 hingga 2008, saya dilantik Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah di Jabatan Pendidikan Sabah. Pada tahun 2008 hingga pertengahan 2009, saya dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Tamparuli yang terakhir. Kerana selepas itu, daerah Tuaran Dan Tamparuli digabung. .Kemudian pada 2009, saya dilantik Penolong Pengarah Pemulihan Khas hingga tahun2010. Pada tahun 2011, saya diilantik Ketua Unit Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas, Jabatan Pendidikan hinggalah saya bersara pada tahun 2006.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai pemulihan khas?

KHB: Pemulihan khas adalah untuk murid murid yang lemban. Dimana mana sekolah ada.semua sekolah mesti ada guru pemulihan khas di semua sekolah.

UB: Biasanya dimana sekolah yang banyak murid pemulihan khas?

KHB: Guru pemulihan khas ada di semua sekolah. Tapi kebanyakan murid yang masih tidak menguasai 3 M kebanyakannya di pulau-pulau atau di luar bandar.

UB: Puncanya?

KHB: Ia mungkin berpunca dari persekitaran, proses pemakanan ibu bapa, semasa anak dalam kandungan dan sebagainya, pemakanan yang tidak seimbang. Ada yang selalu sakit, anak lahir melalui vacuum.

Pendidikan khas pula adalah untuk anak-anak hyperaktif, autisme, down syndrome. Di sini juga banyak perkara menarik yang boleh dikongsikan. Mislanya anak-anak Hyper tidak boleh makan gula-gula atau makanan yang manis. Guru-gurunya tidak boleh memakai warna yang cerah seperti warna merah atau oren. Sebab anak-anak akan cepat bertindak balas. Mereka akan melompat-lompat jika melihat warna yang cerah.

UB: Sepanjang cikgu bertugas, di mana yang paling menyeronokkan?

KHB: Semuanya menyeronokkan. Sebab itu saya tidak pernah minta tukar sehingga saya ditukarkan. Paling menarik barangkali ialah ketika menjadi Ketua Unit Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas . Saya boleh bergerak ke seluruh daerah bantu guru kita. Pada tahun 2010, kita berjaya meletakkan Unit Pemulihan sebgai cemerlang dan menjadi benchmark.

UB: Apa pesan orang tua yang masih diingat sampai sekarang?

KHB: Ayah saya berpesan, bahawa selaku anak sulung,pimpin dan bimbinglah adik beradikJangan ada perselisihan. KKalau ada masalah dibincang. Satu lagi pesan beliau ialah Kalau kita berada di atas, bantu setakat yang kita mampu orang yang memerlukan.Jangan bersikap sombong dimana pun kita, siapapun kita, berpangkat atau sebaliknya, kita jangan sombong.Saya tanamkan juga kepada anak saya.

UB: Berapa anak cikgu?

KHB: Empat orang anak.Isteri saya dulu,Ng Min Jing @ Malia, penyelia kanan Unit Kenaikan Pangkat di Jabatan Pendidian. Anak-anak saya, yang sulung Noorhasimah di Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Politeknik. Yang kedua Mohd Saifun Nizam, bekerja di Kastam,, Norhasikin , Engineer syarikat dan Mohd Syahrul Nizam, bertugas di Risda.

UB: Apa pengalaman paling menarik?

KHB: Antara pengalaman paling menarik ialah saya konvo bersama anak saya yang pertama, Noorhasimah. Saya konvo satu hari dengan anak, di universiti yang sama, cuma bidang yang berlainan. Sebagai info saja, ketika berkhidmat, saya belajar sehingga memiliki Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000 dan Ijazah Sarjana Bahasa dan Sastera dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004.

UB: Apa pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan?

KHB: Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah satu ketika, saya ke Tawau untuk membeli bekalan makanan. Ketika mahu balik, terpaks naik perahu kerana ketinggalan bot. Perahu yang kami naiki itu menuju Nunukan. Tapi sebelum ke Nunukan, perahu itu singgah di Wallace Bay. Masa itu, perahu hampir-hampir karam. Mujur juragannya agak mahir.

UB: Apa kegiatan lain di luar kelas?

KHB: Masa itu, saya juga aktif dalam kegiatan bersukan. Saya bermain bola tampar, bola sepak dan pernah mewakili Jabatan Pendidikan. Selain itu, saya juga aktif dalam drama dan tarian. Antara rakan saya dalam drama teater termasuklah Hassan Saprin, Karim Gulam, Nandra Hitong, Kasim Mahmun, Datuk Mamit Sulaiman..Malah sewaktu di Beaufort, saya asaskan Angkatan Seni Teater Beaufort atau Astana.

UB: Aktiviti Cikgu selepas bersara?

KHB: Aktviti ketika pencen ini orang bilang, hanya menambahkan amal yang tertinggal. Dulu terlalu sibuk. Sekarang masa yang terluang, saya guna untuk kembali menulis. Selain itu, saya juga aktif menjadi wakil syarikat Hidayah Travel untuk menguruskan pakej umrah. Walaupun kurang aktif, dalam politik saya juga Ketua Cawangan UMNO Singgah Mata Kampung Pimping Membakut. Saya juga menjadi tutor di OUM dan Asia E University. Saya guna ilmu yang ada. Saya takut kalau saya tidak buat begitu, takut ilmu hilang.

UB: Apa cita-cita Cikgu dulu?

KHB: Sebenarnya dulu, saya mahu jadi inspektor polis. Saya sudah temuduga tapi surat panggilan lambat sampai. Saya minat jadi polis tapi tak kesampaian. Bagaimanapun saya bangga jadi cikgu. Kerana dapat melahirkan murid yang berjaya.

UB: Apa prinsip cikgu, kalau boleh tahu?

KHB:Saya sentiasa mahu jadi orang yang terawal sampai,Sebab itu, sejak awal pagi lagi, saya sudah bertolak dari rumah ke tempat kerja. Saya mahu ada orang yang pertama tiba di pejabat. Kalau ada yang lebih awal, saya rasa saya lambat. Selain itu,Saya tidak suka ditunggu, biar saya yang menunggu.