MASA LALU SEPERTI
DONGENGAN
TERUS TERANG saya
tidak dapat membayangkan situasi zaman pada ketika itu.
Peghujung tahun 60-an
di kampung kami. Saya sendiri baru lahir. Tetapi melalui cerita yang dituturkan
oleh abang sepupu saya, Haji A, saya dapat menggambarkan keadaan masyarakat
kampung, kehidupan mereka yang susah, kepayahan dan kepedihan yang mereka alami
untuk mendapatkan sesuap nasi untuk anak-anak mereka.
“Bayangkan, gaji bapa
saya RM2.50 sen saja. Duit itulah yang digunakan untuk menyara kami enam adik
beradik,” katanya. Berapa harga beras pada masa itu? Saya bertanya.
“Harga beras RM1.20
sen saja,” katanya sambil menceritakan suasana zaman pada penghujung 1969 dan
awal 70-an di kampung kami.
Duit yang selebihnya
itulah yang digunakan untuk belanja persekolahan untuk dua minggu, katanya.
Harga kasut sekolah RM1.80 sepasang manakala harga stokin 80 sen.
Banyak kisah menarik
dan lucu ketika mengenang masa lalu. Haji A memberitahu betapa dahulu beliau suka ikut
membonceng basikal kalau ada majlis keramaian.
Dalam majlis
keramaian itu, selalunya diadakan juga `pamiula’ atau `isun-isun’ iaitu budaya
berpantun di kalangan masyarakat Bajau dan Iranun di Kota Belud.
Acara berpantun itu
diadakan sepanjang malam hinggalah ke pagi. Jual beli pantun sambil diringi
gesekan biola dan disaksikan ramai orang tentulah mengasyikkan. Apatah lagi, kerana
itulah satu-satunya acara hiburan pada masa itu selain berunsai.
Sebaik selesai acara
itu, pemantun lelaki akan diberikan saguhati sebanyak RM15.00 tetapi pemantun
wanita diberikan lebih sedikit kerana ia berpantun sambil menggesek biola.
Kalau saya ikut
ayahmu, katanya merujuk arwah ayahanda saya, saya selalu kebagian RM5.00,
katanya lagi mengingat masa silam. Sebentar-sebentar kami meneguk kopi kerana
sudah larut malam. Kami sengaja hadir untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan
anak perempuannya yang diadakan keesokan harinya.
Pada waktu
sebegitulah, berkumpul bersama keluarga dan handai taulan, beliau selalu
menceritakan kisah penderitaan orang-orang tua, generasi yang sebelumnya.
Ketika radio mula
sampai di kampung, orang-orang kampung yang kebanyakannya petani dan nelayan
itu agak takjub dan hairan. Mereka membelek-belek peti radio jenama philips
warna coklat itu sambil mencari-cari
punca suara yang muncul dari benda yang dianggap aneh itu.
Mereka lalu memacak
tiang bambu untuk memasang antena bagi menangkap siaran. Kadang siaran yang
diperolehi dalam bahasa `orang puitih’ yang seorangpun di antara mereka tidak
mengerti.
Tahun berapa orang
kampung mulai memiliki radio? Haji A memberitahu radio mula dimiliki pada tahun
1958. Ia dibeli oleh orang-orang kampung yang bekerja sebagai buruh di
Jesselton, pada masa itu, kini Kota Kinabalu.
Beliau mengaku tahu
mengenai sejarahnya kerana sebagai pemuda masa itu, beliau sering juga ikut
bekerja di ibu negeri. Pada masa itu, Kota Kinabalu sedang dibangun. Malah
beliau dapat menunjukkan bangunan-bangunan di Kota Kinabalu yang dibina,
antaranya oleh tangan tangan orang Iranun yang bekerja sebagai buruh pembinaan.
“Dulu, kalau tidak
bertani atau menjadi nelayan, pemuda-pemuda kampung selalu merantau ke Api-Api
untuk mencari kerja, apa saja untuk menampung hidup keluarga di kampung.
Orang kita juga
mempunyai saham terhadap proses pembangunan di Kota Kinabalu. Pada masa itu,
katanya, masih ramai lagi kalangan masyarakat Iranun yang tak mengenal huruf.
Mereka tidak
mempunyai pendidikan. Kesusahan dan kesukaran hidup yang mereka alami
menggagalkan hasrat mereka untuk ke sekolah atau melanjutkan pelajaran.
Tetapi sekarang,
keadaannya jauh berbeza, kenang Haji A lagi. Kalau kita menceritakan kepada
anak-anak, mereka menganggap ini semacam cerita dongeng, katanya. Namun beliau
sering menceritakan kisah-kisah lalu untuk cerminan masa depan. Beliau rajin
menceritakan bagaimana keteguhan dan kekukuhan institusi keluarga pada masa
itu.Semangat kekeluargaan, gotong royong dan bantu membantu yang amat tinggi.
Kalau ada majlis
keramaian seperti ini, keluarga dari jauh dan dekat, datang membantu tanpa
mengharap balasan. Nilai-nilai murni dan luhur pada masa lalu, kini semakin
terkikis dan hilang. Kalau dulu hampir semua penduduk kampung miskin, kini hampir
semua kalangan hidup dalam keadaan yang sederhana, walaupun tidak terlalu
mewah.Ramai yang telah berjaya, memiliki kehidupan yang selesa.
Tapi ada yang terasa
hilang.