Sabtu, 8 Jun 2013

JAMDIN B, BERLARI DARI TENGAH SAWAH KERANA SASTERA

Tags

JAMDIN B, BERLARI DARI TENGAH SAWAH KERANA SASTERA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

 

SETIAP petang, dari tengah sawah, seorang pemuda berlari kencang pulang ke rumahnya untuk mendengar siaran radio.

Waktunya jam 5.00. Tahun 1959. Tempatnya di Putatan.

"Kadang-kadang kalau radio tak ada baterinya, saya terpaksa duduk di bawah kolong rumah orang, pasang telinga untuk mendengar cerpen" katanya. Begitulah daya tarik cerpen yang disiarkan di Radio Sabah pada ketika itu", kata pemuda kampung, yang akhirnya mencipta nama sebagai salah seorang tokoh pejuang bahasa, sastera, sejarah yang terkemuka di tanahair.

Riwayat hidup yang dilalui oleh Datuk Haji Jamdin Buyong memang penuh kisah, penuh warna. Memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan, editor akhbar, beliau pernah menjadi juru hebah radio, memulakan siaran bahasa Bajau,dan kemudian meninggalkan jawatannya untuk menceburi perkhidmatan awam negeri, bermula sebagai penterjemah, setiausaha, Ketua Biro Bahasa Malaysia di Jabatan Ketua Menteri,kemudian menjadi Setiausaha Lembaga Peperiksaan Awam Negeri, Ketua Penolong Pengarah Biro Bahasa Malaysia dan selepas itu menjadi Pengarah Muzium Sabah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Setiuasaha MUIS, Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Pencetak Kerajaan, dan kemudian dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia.

Sejak bersara pada 4 September 2012, Datuk Jamdin menumpukan banyak masanya untuk menulis.

"Kalau dulu kita tulis apa saja. Tapi makin tua, kita rasa makin matang menjadikan kita lebih berhati-hati," katanya ketika ditemui di rumahnya di Putatan.

Menulis, baginya disertai tanggungjawab terjadap negara, masyarakat dan agama.Menulis kerana rasa tanggungjawab. Sebelum menyiarkan sesuatu karya atau tulisan, kita terpaksa memikirkan baik buruk dan faedahnya kepada masyarakat.

"Banyak sangat yang mahu ditulis. Walaupun lebih berhati-hati tapi saya terus menulis," katanya sambil membawa kami melihat muzium kecil di rumahnya.

Di muzium kecil tetapi lengkap itu, Datuk Jamdin menerangkan sejarah keluarga, silsilah keluarganya yang panjang. Atuknya berasal dari Melaka, pernah menjadi kerani ketika zaman kolonial.

Dari sana, beliau menceritakan kisah hidupnya sejak dilahirkan pada 5 September 1946. Semuanya lengkap dengan dokumentasi yang teliti. Beliau juga menggambarkan bagaimana keadaan Putatan pada masa dahulu, sejarah yang mengalir bersama sungai Putatan dan proses kelahiran setiap karya, puisi dan cerpen, dan banyak lagi.

Datuk Jamdin Buyong tercatat sebagai salah seorang pemenang Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971 melalui dua puisinya Langit Merah dan Kematian Kekasih Bumi.

Melalui karya-karyanya, beliau menangkap gejolak masyarakat pada zamannya.Menyampaikan kritik sosial pada masa itu.Penyair yang banyak menyuarakan aspirasi bangsa dan memperjuangkan nasib dan masa depan bangsanya.

Atas sumbangannya yang begitu besar terhadap bahasa dan sastera di negeri ini, beliau telah dianugerahkan "Pahlawan Bahasa dan Sastera Kebudayaan Sabah" pada tahun 1988, Tokoh Penulis Sabah pada 1989, dan dianugerahkan sebagai Tokoh Penyair Islam Sabah, Tokoh Budaya Negeri Sabah 2001 manakala Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberikan anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Sastera ada tahun 2006. Selain itu, beliau juga pernah menerima anugerah Tokoh Perkhidmatan Awam Kementeruan Kebudayaan Belia dan Sukan pada tahun 1996.

Sambil menikmati usia persaraan, penyair berusia 67 tahun ini sedang menyiapkan banyak karya termasuk menulis autobiografi pengalaman sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya selain karya-karya yang lain.

"Sekarang memang menulis, puisi sekali sekala, masih banyak yang belum disiarkan," katanya.

"Cuma sekarang tak boleh lama-lama.Mata (penglihatan) kurang," katanya sambil menambah beliau masih tekun menulis dan kini sedang mengumpulkan karya-karyanya dalam bentuk cerpen.

Meski demikian, tidak bermakna beliau terpisah dengan perkembangan sastera di tanahair.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan," katanya.Menjadi penulis, kalau boleh harus bebas dab berkecuali.Jangan terlalu bersandar kepada orang berkuasa.Walaupun begitu mesti bekerjasama dengan yang berkuasa.

Beliau banyak menyingkap rahsia disebalik karya-karya yang dihasilkannya. Kesedihan, kepedihan dan kepiluan kerana kehilangan ayah dirakamkannya dalam Kematian Kekasih Bumi, puisi yang banyak menimbulkan tafsiran, kehilangan anak dalam tragedi yang dirakamkannya dalam puisi.

Juga termasuk romantisme cinta yang tidak menjadi. Kisah cinta yang diceritakan sambil tertawa. Sejarah sastera dan bahasa yang berlaku pada tahun-tahun 60-an dan 70-an, hingga dasawarsa 80-an yang banyak menimbulkan pengajaran dan keinsafan.Banyak kisah menarik yang boleh dicerna dari kekayaan pengalaman yang dimiliki oleh tokoh bahasa dan sastera yang terkemuka ini.

Hampir dua jam berkunjung ke rumahnya, kami meminta diri untuk pulang di tengah turunnya hujan.