Isnin, 3 Jun 2013

Tidak ada perkataan tidak mungkin, kata Datuk Syed Abas Syed Ali

Tags


TIDAK ADA YANG TIDAK MUNGKIN, KATA DATUK SYED ABAS

DALAM dunia ini, tidak ada yang tidak mungkin. Segalanya mungkin atas kehendak dan izin Allah. Jika kita berusaha, tidak ada perkara yang mustahil untuk kita mencapainya. Perkataan Tidak Mungkin adalah  ungkapan yang hanya ada di kamus orang-orang bodoh.  Dengan kehendak Allah, asalkan kita berusaha, kita akan dapat mencapai apa yang kita usahakan.Kalau kita mahu, kita berusahalah. Selain itu, kita hendaklah selalu berpandu kepada rukun iman, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Haji Syed Abas Syed Ali.

Datuk Haji  Syed Abas Syed Ali dilahirkan di bandar Tawau pada tahun 1947. Beliau adalah anak ketiga daripada 12 adik beradik. Syed Abas mendapat pendidikan awal dan menengah di St Patrick School hingga tamat tingkatan 5 pada tahun 1968.

Beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 6 di Maktab Sabah. Selepas itu,dalam tahun 1971,beliau melanjutkan pelajaran di peringkat A Level di Birmingham dan meneruskan pengajian hingga lulus sarjana muda kepujian dalam bidang  ekonomi gunaan di North East London Polytechnic (Sekarang University of East London). Selepas kembali ke Sabah, beliau bekerja sebagai Pegawai Pembangunan Industri (IDO).

Syed Abas berkecimpung dalam bidang politik sepenuh masa apabila terpilih sebagai calon Berjaya dalam pilihanraya kecil di Balung pada tahun 1979. Dalam pilihanraya yang diadakan dalam tahun 1981, beliau sekali memenangi kerusi DUN Balung. Ketika itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Tanah dan Tugas-Tugas Khas. Beliau meletakkan jawatan pada tahun itu kerana terlibat dalam apa yang dinamakan `geng 17’. Selepas itu, beliau membantu Datuk Ahmad Bahrom Titingan, ketika itu Timbalan Presiden PBS. Beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi PBS dan bertanding di DUN Merotai dalam tahun 1986 tetapi kurang bernasib baik.

Pada tahun 2004, beliau kembali semula ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas memenangi kerusi Balung dan menamatkan penantian selama 23 tahun. Syed Abas sekali lagi berjaya memenangi kerusi DUN Balung dalam pilihanraya 2008 dan pada 5 Mei lepas, beliau sekali mempertahankan kerusi Dun Balung dengan majoriti 5,569 undi.

Antara jawatan yang pernah dipegangnya ialah Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan selepas itu, beliau dilantik sebagai Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri, sebuah jawatan bertaraf menteri.Beliau mendirikan rumahtangga dengan Noraini binti Habib Kadir dan dikurnikan enam orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Datuk Syed Abas Syed Ali pada satu pagi yang cerah di Hotel Jesselton, salah sebuah hotel tertua di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau sambil berkongsi sedikit pengalamannya sejak zaman remaja hingga bergelar YB

UTUSAN BORNEO:      Dimana Datuk bersekolah dahulu? Boleh ceritakan sedikit?

SYED ABAS:    Dulu saya bersekolah di St Patrick School dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Selepas tamat tingkatan lima, saya melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di Maktab Sabah, salah sebuah sekolah terbaik pada masa itu.

UB:       Siapa antara rakan sekelas datuk ketika itu?

SA:      Antara rakan sekelas saya ialah Datuk KY Mustapa (Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri), Datuk Ahmad Bahrom Titingan (Mantan Timbalan Ketua Menteri), Allahyarham Dr.Hamdan Haji Mohammad (mantan Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah) dan ramai lagi.

UB:       Selepas itu, dimana Datuk melanjutkan pelajaran?

SA:      Saya bekerja sekejap di Majlis Perbandaran Tawau (MPT) selepas itu. Kemudian barulah saya berangkat ke England pada tahun 1971 dan belajar di peringkat A Level di Birmingham. Selepas itu saya melanjutkan pelajaran North East London Polytechnic hingga lulus sarjana muda BSc dalam bidang Applied Economics. Antara junior saya di universiti itu ialah Tan Sri Bernard Dompok.

UB:       Tentu banyak pengalaman di luar negeri. Mungkin ada yang boleh dikongsikan?

SA:      Sewaktu berada di luar negeri, orang-orang Malaysia bersatu.  Kita bersatu kalau berada di tempat luar. Di sana orang-orang Sabah, orang dari Semenanjung, Sarawak bersatu sebagai rakyat Malaysia. Kita saling bekerjasama, bantu membantu.

UB:       Ramai pelajar dari Sabah ketika itu?

SA:      Tidak juga ramai. Antaranya Dr Yahya Yakub, Amat Rahman dan lain-lain.

UB:       Apa yang datuk selalu buat kalau cuti?

SA:      Saya pernah bekerja dalam bidang pembersihan. Upah pada masa itu agak lumayan. Jika ada masa lapang, banyak kerja yang boleh dilakukan.

UB:       Selepas balik ke tanahair, datuk kerja dimana?

SA:      Sekembalinya ke Sabah, saya bekerja sebagai Industrial Development Officer (IDO) di Kementerian Pembangunan Perindustrian. Gred A2, gred jawatan yang dianggap tinggi pada ketika itu.  Waktu itu masih bujang. Saya tinggal di rumah di Signal Hill.

UB:       Bagaimana awal mula kisah Datuk terlibat dalam politik? Apakah datuk memang minat politik sejak dahulu?

SA:      Sejak dulu saya memang minat dalam bidang politik. Saya memang minat sejak zaman USNO lagi. Waktu itu sudah terdetik di hati saya untuk memasuki politik kerana saya merasakan ada perkara yang boleh disumbangkan kepada masyarakat, ada aspirasi rakyat yang perlu dipenuhi.

UB:       Bila datuk mula bertanding dalam pilihan raya?

SA:      Saya mula bertanding dalam tahun 1979, apabila berlaku satu pilihanraya kecil di Balung. Saya menang dalam pilihanraya kecil itu dan mewakili DUN Balung selepas Allahyarham Datuk Abu Bakar Titingan.  Kemudian dalam pilihanraya negeri yang diadakan pada tahun 1981, saya sekali lagi menang di Balung. Kemudian saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Hamid Tun Datu Mustapha di Kementerian Tanah dan Tugas-Tugas Khas.

UB:       Selepas itu?

SA:      Saya meletak jawatan dalam tahun 1981 kerana dikaitkan dengan `geng 17’, sebuah peristiwa dalam pergolakan politik Sabah masa itu. Datuk Hamid letak jawatan.  Selepas itu, saya pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi PBS dan Ketua Bahagian PBS  dan pernah bertanding di Merotai pada tahun 1986 tetapi kalah.

UB:       Rupannya banyak juga liku-liku perjuangan Datuk? Kemudian apa yang berlaku selepas itu?

SA:      Selepas itu, saya menyertai UMNO  apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Pada tahun 2004, saya terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN-UMNO) dan menamatkan penantian selama 23 tahun. Pada 2008, saya juga bertanding dan menang dan dalam pilihanraya umum ke-13 ini, penggal ketiga saya terpilih sebagai wakil rakyat Balung. Jika dicampur dengan penggal lalu dalam era Berjaya, bermakna sudah lima penggal saya terpilih sebagai Adun Balung.

UB:       Menurut Datuk, apa pentingnya  politik?

SA:      Dalam politik kita memperjuangkan peningkatan taraf hidup rakyat.Mana yang dapat dibantu, kita berikan bantuan agar taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan.  Misalnya di Balung, kita ternampak banyak kemiskinan dan di kawasan sekitarnya. Ini yang kita perjuangkan agar mereka terkeluar dari belenggu kemiskinan yang membebani hidup mereka. Namun demikian, kita bersyukur kerana rakyat di Balung ada tanah, mereka boleh bercucuk tanam di atas tanah mereka. Tidak ada yang mati kelaparan, walaupun masih ada yang hidup dalam kemiskinan, Tapi kini ramai yang mempunyai kebun sawit, dan dengan harga sawit yang tinggi, kini mereka dapat memperbaiki taraf hidup mereka. Jika dibandingkan dengan situasi dahulu, sekarang keadaan jauh berbeza.. Alhamdulillah, harga kelapa sawit kini lumayan.Mereka yang mempunyai tanah seluas 15 ekar, umpamanya boleh hidup senang. Peneroka-peneroka sudah dapat menikmati hasil tanaman mereka.

Di Balung, kita tidak mempunyai masalah jalanraya, seluruh kawasan Balung ada bekalan air, bekalan lampu ada, jalanraya juga ada. Selain itu, sekolah-sekolah banyak dibina di kawasan Balung. Kebanyakan penduduk d Balung terdiri daripada pekebun sawit, pekerja ladang, kakitangan kerajaan dan sebagainya.

UB:       Beralih kepada soalan lain. Siapa idola datuk ya?

SA:      Idola saya ialah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, seorang pemimpin yang terkemuka pada zamannya dan berpandangan jauh, dan berjaya membebaskan Sabah dari belenggu kolonialisme. Seorang lagi idola saya, ialah Tan Sri Harris Mohd.salleh, mantan Ketua Menteri Sabah seorang ahli fikir yang boleh melihat jauh ke hadapan dan pada pandangan saya, pemikirannya lebih kurang sama dengan Tun Dr. Mahathir.

UB:  Oh ya, apa kata-kata hikmat yang selalu menjadi semacam pegangan datuk dalam menjalani hidup ini?

SA:      Saya suka kata-kata Napoleon Bonaparte, yang mengatakan bahawa “Impossible is a word to be found only in the dictionary of fools” yang lebih kurang bermakna  perkataan `Tidak mungkin’ adalah  ungkapan yang hanya ada di kamus orang-orang bodoh. Ertinya hanya orang bodoh saja yang selalu berkata tidak mungkin. Semua perkara tidak ada yang mustahil, asalkan kita berusaha kita boleh mencapainya. Dengan kehendak Allah, asalkan kita berusaha, kita akan dapat mencapai apa yang kita usahakan.Kalau kita mahu, kita berusahalah. Selain itu, kita berpandu kepada rukun iman. Kita hendaknya  selalu berpandu kepada rukun iman, supaya kita  tidak akan kecewa. Kita jangan harap kepada orang, kita mengharapkan Allah. Kita serahkan diri kita kepadaNya, semuaNya datang dari Dia. Kalau kita percaya kepada rukun iman, kita tidak akan kecewa. Semuanya datang dari Allah.

UB:       Datuk minat sukan? Sukan apa yang diminati?

SA:      Saya dulu bermain bolasepak. Saya pernah bermain mewakili pasukan Tawau dalam sukan bolasepak pada akhir tahun 60-an. Tahun 66 atau tahun 67. Saya main centre forward.

UB:       Rupanya Datuk pemain bola? Tak sangka pula datuk pernah mewakili Tawau?

SA:      Itu ketika muda dulu. Malah ketika perlawanan dengan pasukan dari Indonesia, pasukan dari Tarakan, kalau tidak silap saya, saya pernah menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu. Kami menang pada masa itu.

UB:       Apa hiburan orang  dahulu?

SA:      Dahulu mana ada hiburan. Kalau tidak main bola, saya hanya dengar radio saja.

UB:       Ayah datuk kerja apa masa itu? Mungkin boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga?

SA:      Ayah saya Habib Ali bin Ahmad, adalah imam  masjid bandar Tawau selama 30 tahun. Ibu saya, Safiah binti Ali adalah suri rumah. Ayah saya seorang pemimpin. Ramai orang jumpa dia. Pernah jadi kadi di Tawau.Beliau orang kuat beribadat, tidak berapa suka ehwal dunia. Bagaimanapun, beliau seorang yang pemurah. Beliau selalu berkata, apa yang kita semuanya adalah hak Allah, bukan hak kita. Oleh sebab itu, beliau selalu menasihatkan agar kita selalu bantu orang miskin. Kalau kita suka membantu orang, Allah Taala akan selalu membantu kita, Allah akan selalu memberi rezeki kepada kita. Selain itu, beliau orang yang jujur dan ikhlas. Banyak pelajaran yang saya contohi dari beliau, iaitu jujur dan ikhlas.

UB:       Oh ya, satu lagi keistimewaan datuk ialah banyak menguasai bahasa. Saya fikir datuk bersekolah Cina. Bagaimana datuk pandai fasih  bercakap Cina?

SA:      Dulu kami tinggal di kelilingi oleh masyarakat Cina. Rumah kami dulu adalah tapak Dewan Masyarakat Tawau sekarang ini. Di tempat itulah rumah kami sebelum diserahkan kepada kerajaan untuk dijadikan tapak Dewan Masyarakat Tawau. Kami bermain dengan rakan rakan kami dari kaum Hakka. Jadi di kalanga keluarga kami, ramai yang pandai bercakap Hakka.

UB:       Satu lagi datuk, sebelum kita mengakhiri sesi temubual ini. Apa nasihat Datuk kepada orang muda?

SA:      Nasihat saya kepada orang muda supaya banyak bersabar. Jangan kelam kabut rebut kuasa.Tunggu masa kamu. Masanya akan tiba. Kalau buah manga itu masak, dia akan jatuh dengan sendirinya, Ini perumpamaannya. Orang muda harus banyak bersabar. Orang tua jauh pandangan. Misalnya kalau potong kayu. Orang muda kalau memotong kayu, sukat dan kemudian terus potong. Tapi orang tua akan sukat dua tiga kali, sebelum dia memotong kayu itu. Jadi dapat kita simpulkan, orang lama fikir panjang, fikir risiko sebelum dia buat sesuatu. Oang muda segalanya mahu cepat. Jadi kalau mahu ditanya apa nasihat saya, nasihat saya ialah supaya orang muda banyak bersabar, jangan kelam kabut kerana waktunya akan tiba untuk mereka mengambil teraju.