PENGASAH
TERUS BERUSAHA BANTU NELAYAN
NASIB
dan masa depan golongan nelayan di negeri ini tidak terlepas daripada peranan
yang dimainkan oleh Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH). Melalui
persatuan yang dianggotai 15 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh daerah
di Sabah mengemukakan isu dan permasalahan berkaitan kepentingan golongan
nelayan yang memberikan sumbangan besar terhadap ekonomi negara. Pengasah yang
kini dipimpin oleh barisan kepimpinan baru diketuai Jaini Ating berusaha untuk
merealisasikan impian untuk menjadikan golongan nelayan sebagai aset utama
negara.
JAINI
ATING mula menerajui Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) sebagai
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) sejak 2012. Beliau juga adalah Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK)
Beluran sejak 2005. Sebelum itu, anak kelahiran Beluran tahun 1967 ini pernah
bertugas sebagai juru ukur, penyelia di ladang kelapa sawit dan kemudian
menjadi broker tanah. Tetapi perjuangan dalam persatuan nelayan ternyata
memberikan kepuasan dan keberkatan dalam hidupnya.Meskipun menghadapi pelbagai
cabaran terkasuk pernah disabotaj sepanjang tempoh kepimpinannya tetapi ia
tidak mematahkan semangat untuk beliau memperjuangkan kepentingan golongan
nelayan.
Wartawan
UTUSAN BORNEO,ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemui beliau untuk berkongsi sedikit
cerita mengenai nasib dan masa depan golongan nelayan di negeri ini.Ikuti
temubual bersama beliau di salah sebuah restoran di Jesselton Point, beberapa
hari lepas.
UB: Bagaimana mulanya tuan terlibat dalam
perjuangan membela nasib kaum nelayan? Boleh ceritakan sedikit?
JA: Segalanya bermula ketika saya melihat ibu
saya berniaga ikan masin, kira-kira 20 tahun yang lalu. Modalnya ketika hanya
ada RM20 atau RM30 sahaja. Bila buat pinjaman tidak dapat. Dari sini timbul
dalam hati saya, macam mana dapat bantu orang tua ini.Saya terfikir kenapa saya
tidak boleh bantu? Kenapa saya tidak cari jalan untuk bantu ibu saya. Tetapi
kemudian barulah saya sedari bahawa ramai keluarga kami yang hidup sebagai
nelayan atau sekurang-kurangnya ada hubungannya dengan ikan seperti ibu saya
yang berniaga ikan masin. Barulah saya tahu keluarga saya banyak yang jadi
nelayan. Itulah sebabnya timbul hasrat untuk memperjuangkan nasib mereka.
UB: Sebelum jadi pemimpin persatuan nelayan,
tuan kerja apa?
JA: Saya pernah bekerja sebagai juru ukur,
kemudian selepas itu jadi broker tanah. Pendapatannya banyak tapi saya rasa
tidak seperti sekarang, walaupun tidak sebanyak mana namun keberkatannya ada.
UB: Menurut pandangan tuan, bagaimana
kehidupan nelayan sekarang jika dibandingkan dengan dahulu?
JA: Kalau dilihat dari dulu, kehidupan
nelayan memang ada perubahan. Meskipun
masih banyak nelayan yang masih perlukan
bantuan, masih sinonim dengan kemiskinan tetapi taraf hidup nelayan
banyak yang sudah berubah. Banyak yang sudah beralih ke darat, menjalankan
perniagaan berasaskan ikan. Tidak dinafikan juga ramai yang masih belum
mengecapi nikmat kemerdekaan yang sebenar.
UB: Masih ramai nelayan yang miskin?
JA: Secara purata, ramai nelayan yang masih
jauh daripada menikmati pembangunan negara.Mereka masih jauh ketinggalan.Oleh
sebab itu, golongan nelayan mendapat limpahan bantuan daripada kerajaan.Mereka
golongan yang terbesar menerima bantuan kerana nelayan adalah aset negara.
UB: Oh ya, sebagai Pengerusi Ahli Lembaga
Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) yang baru, boleh jelaskan
sedikit mengenai visi dan misi Pengasah dalam membantu nelayan?
JA: Visi kita ialah memperkasakan organisasi
masyarakat nelayan.Kita mahu menggerakkan organisasi ini secara
profesionalisme. Matlamat kita adalah memastikan kesejahteraan ahli. Sebaik
mengambil tampuk kepimpinan Pengasah yang baru, kita juga berhasrat untuk
memastikan Pengasah sentiasa bersama memberi kerjasama terhadap program-program
kerajaan dalam membantu nelayan.Kita mendukung usaha kerajaan negeri demi
kepentingan nelayan di negeri ini.
UB: Saya tertarik dengan hasrat tuan untuk
melahirkan nelayan yang maju.Mungkin boleh perincikan?
JA: Kita dalam Pengasah berhasrat untuk
menampilkan 10 nelayan tulin, menjadi pengusaha perikanan.Kita mensasarkan
untuk melahirkan 100 orang korporat nelayan dalam tempoh sepuluh tahun.
UB: Menarik.Tetapi sudah tentu usaha itu
harus bermula dari kepimpinan sendiri?
JA: Begini saja. Seramai 150 orang ahli Ahli
Lembaga Pengarah (ALP) untuk 15 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh
Sabah yang menjadi golongan profesional yang mencorakkan dasar PNK dan sepuluh
orang lagi daripada peneraju kepimpinan
di peringkat Pengasah. Sekiranya ini menjadi kenyataan, 16 pusat pentadbiran
PNK termasuk Pengasah boleh mendirikan wisma nelayan sendiri.
Saya
ingin melihat ahli nelayan yang bernaung di bawah persatuan, berubah daripada
keadaan yang miskin kepada kehidupan yang lebih selesa kerana memiliki aset dan
kekal secara inidividu mahupun pelaburan saham ahli di persatuan nelayan.
Akhirnya nelayan tidak lagi mengharapkan bantuan dan kebergantungan daripada
kerajaan sepenuhnya. Pada waktu itu rakyat daripada golongan nelayan sudah
mencapai nikmat kemerdekaan negara.
UB: Satu hasrat yang murni tetapi bagaimana
mencapainya?
JA: Perkara ini boleh dicapai iaitu jika kita
dapat menjalinkan hubungan baik dengan kepimpinan Kerajaan Negeri dan
Persekutuan. Selain itu kita mestilah ada keikhlasan,terus berusaha, sentiasa
sabar, selain terus berdoa semoga semua yang dirancangkan itu mendapat
kejayaan. Kita juga mestilah berani tampil ke hadapan untuk memaju dan
membangunkan nelayan dengan kerjasama dan bantuan pakar ekonomi, pakar motivasi
dan pakar mengurus kewangan.
Untuk
mencapai hasrat memajukan nelayan yang digaris itu itu, kita mestilah tidak
mementingkan diri bagi melindungi kepentingan organisasi dengan penuh telus,
sentiasa muafakat dan bersatu, merebut peluang cepat bdan tepat disamping mampu
bersaing secara sihat dan menjalankan pengurusan pentadbirannyang berkualoti.
Semua ini, saya rasa, adalah ramuan terbaik untuk berjaya.
UB: Sebelum ini tuan ada menyebut mengenai
bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada nelayan. Mungkin ramai yang ingin
tahu mengenai bantuan itu. Boleh jelaskan sedikit?
JA: Sebagaimana yang kita tahu, nelayan adalah
antara golongan sasar yang banyak mendapat bantuan daripada kerajaan. Antaranya
subsidi 1Azam berupa bot dan perahu nelayan, bantuan minyak subsidi, bantuan
baik pulih dan bina semula rumah nelayan, BR1M, bantuan bencana alam, Insentif
sepuluh sen perkilo hasil tangkapan ikan, dan elaun sara hidup nelayan sebanyak
RM200 seorang.
Selain
itu, kerajaan juga menyediakan pinjaman dana nelayan iaitu pembelian perahu
nelayan RM25,000 ke bawah tanpa faedah, pembelian enjin perahu RM70,000 dengan
faedah sebanyak dua peratus dan bot transformasi berkelompok sehingga RM350,000
dengan faedah sebanyak dua peratus. Inilah bantuan yang disediakan oleh kerajaan
kepada nelayan.
UB: Dari segi statistik, berapa jumlah
nelayan di Sabah?
JA: Terdapat 18,849 nelayan bumiputera, 318
kaum cina dan 5,940 nelayan di bawah kategori lain-lain.Ini mengikut perangkaan
Jabatan Perikanan, mengikut rekod yang telah dilesenkan.Akan tetapi anggaran
menyeluruh nelayan yang tidak didaftarkan atau tidak berlesen dianggarkan 8,000
hongga 10,000 orang.Ini menjadikan jumlah keseluruhannya iaitu 35,107 orang.
dari jumlah itu, nelayan yang mendapat bantuan elaun sara hidup nelayan dianggarkan
sejumlah RM15,680 orang. Jumlah nelayan sungai air tawar pula dianggarkan
sebanyak 2,000 orang.
UB: Sebenarnya, apa masalah dan kekangan yang
dihadapi nelayan selama ini?
JA: Memang masih banyak masalah yang dihadapi
golongan nelayan. antaranya tekanan harga ikan daripada orang tengah yang suka
mengaut keuntungan. Itu antara masalah. Selain itu terdapat sebahagian daerah
di negeri ini, yang tidak mempunyai jeti borong dan terus dijual ke pasar.
Pengguna merasa harga ikan amat mahal kerana tiadak perbezaan harga borong dan
harga runcit sedangkan dakwaan masyarakat pengguna mengatakan bahawa kerajaan
sudah banyak menyalurkan bantuan kepada nelayan tetapi harga ikan semakin
meningkat.
Selain
itu kita dapati nelayan-nelayan muda, yang
baru tidak memiliki lesen perikanan dan menyukarkaan lagi aktiviti
mereka ke laut kerana merasa ragu bila ada rondaan maritim dan penguasa
perikanan selain tidak mendapat bantuan peruntukan daripada kerajaan kerana ada
peraturan borang permohonan.
Di
pihak persatuan pula, menghadapi masalah mendapatkan tapak tanah untuk tujuan
cadangan pembangunan berkaitan dengan aktiviti perikanan terutama jeti
pendaratan ikan.
Kita
juga mendapati bahawa kerenah birokrasi menyusahkan nelayan berurusan dengan
agensi-agensi yang berkaitan.
UB: Apa harapan tuan sepanjang memimpin ALP
Pengasah?
JA: Kita mengharapkan kerjasama, sokongan dan
dokongan semua peringkat kepimpinan mahupun agensi-agensi kerajaan dalam
membantu golongan nelayan. Sebagaimana yang kita tahu, lebih 20,000 nelayan di negeri
ini adalah penyokong kuat kerajaan, yang sudah mengharapkan kerajaan membela
nasib mereka. Kita yakin kerajaan akan terus prihatin terhadap kebajikan dan
kesejahteraan rakyat. Kita akan berusaha untuk membantu ahli khususnya golongan nelayan. Namun yang lebih penting ialah kita
mesti memastikan persatuan stabil supaya sambutan masyarakat nelayan lebih
memberangsangkan.kalau persatuan tidak stabil, bagimana kita boleh bantu ahli.
Oleh
sebab itu, kita berharap 15 PNK yang ada di negeri Sabah dapat digerakkan agar
mereka dapat mencipta peluang ekonomi yang lebih baik. Perlu ditekankan bahawa
hubungan baik terutama sekali dengan kerajaan negeri perlu diperkukuhkan. Jika
kita tidak ada hubungan baik, sukar bagi kita dapat ruang dan peluang.
Dalam
Pengasah sendiri, saya bersama barisan ALP Pengasah akan memberikan fokus
kepada pembangunan yang dirancang.Bersama saya yang diamanahkan sebagai
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, barisan ALP yang lain ialah Hasan Timbasal
(Tawau), Abd.Hakim (Tawau), Abd.Salleh (Semporna)Zainudin (Kunak) Jaafar Alam
(Lahad Datu), Ismaul (Sandakan), Haji Samad (Sandakan), Hayati Majat (Tuaran)
dan Mohd,Kasim (Kuala Penyu).
Saya
sebenarnya tidak mahu melihat nelayan sentiasa tergantung kepada kerajaan..Oleh
itu , kita dalam persatuan akan menjadi perunding atau pemudahcara agar nelayan
dapat kehidupan yang lebih selesa. Namun
perlu juga mentaliti kita berubah.Kita perlu mentransformasi nelayan
tradisional kepada nelayan korporat. Kerajaan sudah menyediakan program
bantuan, dana dan sebagainya tetapi tidak ramai nelayan yang berani tampil.
Sekarang baru ada 12 kumpulan nelayan yang berani menyahut seruan kerajaan,
sedangkan kalau ditengok bantuan RM350,000 satu grup, bot nelayan fibre ukuran
60 X 16 itu sangat baik. Dana transformasi nelayan itu, tidak banyak diambil
peluang oleh nelayan bumiputera.barangkali bayaran RM4,500 setiap bulan, ini
yang menghalang mereka untuk berubah. Oleh sebab itu, kita akan mencari kaedah
untuk membantu nelayan.