BERI
PELUANG ORANG MUDA TUNJUK KEBOLEHAN
DI
TENGAH iklim politik yang berkocak di Sabah ekoran tindakan Ahli Parlimen
Beaufort,Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin meletakkan jawatan sebagai
Ketua Bahagian UMNO Beaufort dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, nama Timbalan
Ketua Bahagian, Isnin Haji Aliasneh disebut-sebut sebagai salah seorang tokoh
yang boleh mengimbangi dan memimpin UMNO Beaufort untuk terus mendapat
kepercayaan dan keyakinan rakyat. Tokoh yang berpenampilan sederhana sanggup
meninggalkan kerjayanya yang cemerlang dalam bidang pendidikan untuk
menceburkan diri dalam bidang politik sepenuh masa pada tahun 1999.
Setelah
peletakan jawatan Datuk Lajim sebagai ketua bahagian Baeufort, Isnin Haji Aliasneh
telah diamanahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk memikul tanggungjawab sebagai pemangku
Ketua Bahagian UMNO Beaufort.
Isnin lahir di Kampung Landayan Takuli Beaufort
pada tahun 1965. Beliau mendapat pendidian awal di SK Takuli Beaufort sebelum
melanjutkan pelajaran di SMK Mempagar Beaufort. Beliau tidak lama belajar di situ
kerana mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama
Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka dari Tingkatan satu hingga tiga.
Kemuudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Nasiruddin
Shah Besut Terengganu dalam Tingkatan Empat dan Lima. Beliau kemudian
melanjutkan pelajaran di SM Tengku Mahmud Besut
hingga Tingkatan Enam Atas.
Selepas
itu, beliau mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Gaya (MPG) Kota
Kinabalu. Keluar dari maktab, beliau sempat mengajar di SK Pekan Membakut dan
SM St.John Beaufort. Dalam masa yang
sama, Isnin melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga
peringkat sarjana pendidikan. Beliau meninggalkan lapangan perguruan untuk
menceburi bidang politik sepenuh masa.
Ikuti
petikan temubual wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Pemangku
Ketua Bahagian UMNO Beaufort, ISNIN HAJI ALIASNEH pada satu petang di salah
sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu bagi berkongsi sedikit pengalaman dan
pandangannya terhadap isu semasa di Beaufort.
UB: Sejak bila tuan menceburkan diri dalam
politik? Boleh ceritakan sedikit?
IA: Saya menceburi bidang politik sepenuh
masa pada tahun 1999 sebagai Naib Ketua Pemuda Bahagian. Apabila Ketua Pemuda
UMNO Beaufort, ketika itu disandang saudara Abdul Rahman Yaakub meletak
jawatan, saya dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pemuda.
UB: Jadi tuan nekad meletak jawatan sebagai
guru semata-mata untuk berkecimpung dalam parti?
IA: Saya berasa perlu meletakkan jawatan
sebagai pendidik kerana rasa
tanggungjawab saya kepada parti. Selain itu, saya juga meletakkan
jawatan dengan tanggungjawab saya kepada pelajar. Tanggungjawab kepada pelajar
kerana saya berpolitik. saya tidak mahu pembelajaran mereka terbengkalai kerana
kesibukan saya kepada politik. Itu sebabnya saya memilih untuk meletak
jawatan.Kebetulan pula waktu itu dekat pilihanraya Mac 1999.
UB: Rupanya ini kali kedua, tuan dilantik
untuk pangku jawatan pada saat-saat genting.Pertama, sewaktu pangku jawatan
Ketua Pemuda dan kini pangku jawatan Ketua Bahagian. Apa jawatan sebelum ini?
IA: Saya memegang jawatan Ketua cawangan UMNO
Kampung Landayan Takuli. Saya pernah jadi Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian
Limbawang dan AJK UMNO Bahagian Limbawang. Apabila persempadanan diadakan,
cawangan masuk dalam Bahagian Beaufort. saya pindah ke Beaufort dan menjadi
Naib Ketua Pemuda UMNO Beaufort. Dan selepas itu, menjadi Ketua Pemuda UMNO
Beaufort selama empat penggal.
UB: Berapa usia tuan sewaktu menceburkan diri
dalam politik sepenuh masa?
IA: Saya menceburi bidang politik seawal usia
25 tahun. Saya adalah anak muda yang dididik oleh UMNO.
UB: Pernah terfikir jadi pemimpin sebelum
ini?
IA: Dari dulu saya memang berminat dalam
bidang kepimpinan. Sewaktu di Maktab Perguruan Gaya (MPG), saya aktif sebagai
EXco sosial dan kebajikan. Selain itu saya memang aktuf sama ada dalam kelas
atau du luar kelas. Memang dari dulu minat kepimpinan. Selain itu seawktu
menuntu di sekolah menengah dulu, di Terengganu, saya pernah menjadi Ketua Perkumpulan Pelajar
Yayasan Sabah di kawasan Timur.
UB:
Oh ya, kita beralih kepada soalan
lain. Bagaimana keadaan politik di Beaufort ketika ini setelah peletakan
jawatan Datuk Lajim?
IA: Keadaan politik di Beaufort stabil. Sejak
diamanahkan sebagai Pemangku Ketua Bahagian, saya mendapat sokongan dan
bantuan dari Naib Ketua Bahagian, Ketua
Pemuda, Ketua Wanita, Bendahari, Puteri, Ketua Penerangan, ahli-ahli
jawatankuasa bahagian untuk memastikan keadaan tetap terkawal, untuk memastikan
cawangan tetap kukuh dan utuh. Walaupun ada yang meletak jawatan sebagai AJK
Bahagianm tetapi mereka tidak meletak jawatan sebagai ketua cawangan dan ahli
UMNO. Saya fikir mereka masih ahli UMNO dan menyokong BN. Sokongan terhadap
kerajaan masih kukuh kerana kerajaan telah melaksanakan janji-janjinya, dimana
90 peratus kemudahan prasarana sudah digarap dan dinikmati rakyat.
UB: Bagaimana tuan melihat pengaruh Datuk
Lajim di kalangan rakyat setelah beliau meletakkan jawatan. Adakah ia memberi
kesan terhadap sokongan rakyat terhadap BN pada pilihanraya ke-13 akan datang.
IA: Kita akui bahawa keputusan Datuk Seri
Panglima Lajim itu memberi sedikit kesan kepada sokongan rakyat. Apatahlah
beliau orang besar, jasa pun ada dan menjadi wakil rakyat selama 26 tahun.Sudah
tentu ia mempunyai hubungan dengan rakyat. Tetapi saya fikir, rakyat akan terus
memberi sokongan kepada kerajaan, kepada parti. Kita tidak nafikan kekuatan
beliau tetapi generasi kini bijak menilai. Saya fikir apa yang lebih penting
adalah parti dan bukan individu tertentu.
UB: Dengan pengunduran Datuk Lajim membuka
jalan kepada pemimpin muda menerajui bahagian. Apa komen tuan?
IA: Bagi peluang orang muda tunjukkan
kebolehan mereka untuk bekerja. Cuba dulu.Kalau mereka tidak boleh, tukar saja
ganti dengan yang lain. Di Bahagian Beaufort, ramai ahli yang telah menunjukkan
kesetiaan kepada parti dan bukan kepada individu. Kini rakyat cukup matang
menilai, memilih siapa yang mereka mahu sokong.Mereka tidak akan pilih orang
yang pentingkan diri sebaliknya akan memilih parti yang boleh bantu rakyat.
UB: Apa tekad tuan setelah dipilih untuk
memikul tugas sebagai Pemangku Ketua Bahagian
IA: Saya berjanji untuk memikul
tanggunggjawab sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort. Ini satu
amanah.Saya yakin boleh melaksanakan tanggungjawanb dan tugas yang diberikan
dengan dibantu oleh kepimpinan bahagian, Pergerakan Pemudam Wanita dan Puteru
yang setia. Bagi kami perjuangan parti lebih utama untuk bantu rakyat. Jawatan
bukan untuk diperdagangkan.
UB: Mungkin bertambah sibuk lagi...
IA: Sibuk tu biasalah.Tidak pernah dalam satu
hari sepanjang bulan puasa ini, saya `free'. Setiap malam ada saja yang perlu
dibuat. Saya berkunjung kesemua surau dan masjid dan kampung untuk membuat
aktiviti sepanjang ramadan dan mendengar sendiri masalah rakyat. Ada juga yang
pernah dijanjikan pemimpin terdahulu masih belum ditunaikan. Ada janji yang
belum terlaksana. Kita akan pastikan janji-janji untuk membuat prasarana itu
akan ditunaikan.
UB: Apa agaknya isu-isu yang ditimbulkan oleh
pihak pembangkang dalam kempen-kempen mereka di Beaufort?
IA: Antara isunya ialah isu tukar kerajaan.
Bagi saya, kita tak mahu tukar kerajaan, yang kita mahu tukar ialah pemimpin.
Dalam ucapan mereka juga ada menyatakan bahawa kita selalu dianaktirikan. Macam
mana kita dianak tirikan sedangkan banyak pembangunan di bawa ke Beaufort.
Selain itu, ada juga ditimbulkan masalah air. Ya, ada masalah air tetapi
kerajaan sudah mengambil langkah mengatasinya dengan memberikan peruntukan RM54
juta untuk menangani masalah air di kawasan parlimen Beaufort.
Ada
juga dakwaan, bahwa suara kita tidak didengar. Takkanlah suara kita tak
didengar, sedangkan Sabah diberikan banyak perhatian. Biarlah rakyat yang
menentukan suara siapa yang didengar.
UB: Akhir sekali, apakah harapan tuan kepada
rakyat di Beaufort
IA: Saya yakin mereka bijak dan matang
menilai pemimpin. Saya harap mereka lebih mengutamakan perjuangan parti dan
bukan perjuangan peribadi.