Jumaat, 21 Julai 2023

Dari Tawau ke Ulu Sipitang, dan perjalanan pakcik Jaafar `merakit' kehidupan

Tags

JUMPA LAGI...gambar kenangan sebelum pulang


Perjalanan ke Sipitang pada hari pertama tahun baru hijriyah 1445  itu sebenarnya tidak begitu terancang. Walaupun hasrat untuk melawat pakcik Jaafar terpendam begitu lama tetapi masa dan situasi kurang mengizinkan. Namun  keinginan ke Sipitang begitu kuat sehingga kami sudah berkira-kira untuk menumpang bas saja kerana kereta yang ada mungkin tidak larat dalam perjalanan sejauh itu. Kami akan menumpang bas saja sambil menikmati perjalanan santai,  Tak ada yang perlu dirisaukan. Perancangan awal kami ialah pergi ke Sipitang sebelah pagi dan kemudian pulang dengan bas terakhir dari Sipitang yang akan bertolak jam 4.30 petang. Dengan itu, kami pun bersiap-siap. saya,Fauziyah isteri saya dan mertua saya, Hajah Jamilah sementara Farhan anak bungsu, akan juga rumah.

Mujurlah kerana kebetulan hari  itu , hari Rabu, hari kelepasan am, Mutahar iaitu adik bungsu isteri saya, sudi pula untuk memandu keretanya dan membawa bersama isterinya, dua anak kecilnya, Lutfi yang berusia dua tahun dan faiq, yang baru berusia kira kira sebulan.

Dari rumah di Taman Putera Perdana, kami berangkat kira-kira jam 9.30. Kami sempat singgah minum di BTC Bistro Putatan kira-kira jam 10.00 pagi. Satu jam kemudian kami memulakan perjalanan ke Sipitang tetapi singgah sekejap di Shell Sabindo Lok Kawi untuk mengisi minyak. 

Saya melihat jam tangan saya menunjukkan angka 11.30 pagi ketika kereta menghala jalan Papar Lama.  Cuaca agak baik tetapi jalan tidak begitu lancar kerana di sana sini, jalan raya sedang diperbaiki atau dinaik taraf.

Sebaik ternampak Kampung Pimping, Zaidah, isteri Taai, teringat tempat pakciknya mengajar. Cikgu Syed Jaafar Habib Mohamad yang pernah jadi guru di Pimping. Arwah Syed Jaafar adik beradik bapanya. Keluarganya masih di sana tetapi dalam perjalanan serupa itu, kami tidak lah dapat menyinggah.

Banyak cerita sepanjang perjalanan. Keunikan nama-nama kampung yang dilalui. Mungkin ada cerita di sebalik nama-nama kampung, asal usul nama kampung dan sebagainya. Ada kampung Maraba di tepi jalan, mungkin masih dalam daerah Beaufort. Teringat juga nama nama tempat menarik di Sabah seperti kampung Menunggang, Menumbok, Menggatal, Nyaris-nyaris dan sebagainya.

Dua jam kemudian kami tiba di Esplanade Sipitang , dan Zainon anak pakcik Jaafar sudah menunggu. Kemudian kami diminta mengekori keretanya dari belakang untuk ke Kampung Ulu Sipitang.

MENYELERAKAN...Sate salah satu kebanggaan daerah Sipitang

Rupanya kami sudah ditunggu. Di atas meja sudah tersedia hidangan kuih muih, ubi keladi, sate sipitang, kuih terang bulan, mee goreng,kuih kelupis,  dan sebagainya bagi menyambut kedatangan kami.


SEJURUS TIBA...Pertemuan generasi keluarga Abu Bakar Zainuddin


GEMBIRA...Isteri saya, Fauziyah gembira bertemu pakcik Jaafar


Tidak lama kemudian, pakcik Jaafar datang . Beliau keluar sekejap untuk membeli tapai dari mesapol. Katanya, tapai Mesapol itu agak unik sedikit sedapnya. Dijual 50 sen sebungkus, beliau membeli agak banyak juga untuk kami.


Pakcik Jaafar bin Badui atau nama sebenarnya Jaafar bin Hamjd, 85 tahun

Pakcik Jaafar bin Hamid atau nama dalam kad pengenalannya Jaafar bin Badui kini berusia 85 tahun. "Nama sebenar saya Jaafar bin Hamid.  Nama Badui itu ialah nama pakcik saya, adik beradik dengan ibu saya. Sewaktu membuat kad pengenalan dulu, saya dibinkan dengan pakcik Badui," katanya. Dari sinilah pakcik Jaafar mewarisi darah keturunan Tidong dan Suluk.

Sebelum merantau ke Sipitang,Pakcik Jaafar sempat bekerja sebagai mandur di PWD di Tawau. Ketika itu gajinya cuma RM105.00 dan naik RM5.00 setiap tahun. "Mandur kami ketika itu bernama Muji, orang Iban manakala Ahmadi sebagai obesee," kata Pakcik Jaafar. Di Tawau beliau sempat terlibat dalam seni, berlakon dalam teater bangsawan Mamanda, yang diarahkan oleh Encik Lampung mertua pakcik Adenan.  Kehidupannya di Tawau memang agak meriah tetapi sebagai orang muda, beliau seorang yang tidak gentar akan cabaran.

Apabila  beliau ditawarkan bekerja sebagai penakit  balak oleh Syarikat Yong Brothers, beliau menerimanya tanpa banyak fikir. Apatah lagi, beliau diberikan RM500.00 , satu jumlah yang besar ketika itu,.

Setelah itu, beliau diminta mencari beberapa pemuda lain yang sanggup bekerja sebagai perakit balak. Sebenarnya pakcik Jaafar sendiri, tidak banyak pengalaman. Beliau hanya pernah melihat orang merakit balak di Batu 4. Itulah saja pengalamannya  bekerja dalam pembalakan.

Tetapi kerana jiwanya jiwa seorang perantau, pakcik Jaafar , ketika itu masih gelora jiwa anak muda, berani menerima cabaran. Bersama 15 orang yang lain, pakcik Jaafar berangkat ke Jesselton seterusnya ke Sipitang untuk bekerja sebagai perakit balak. Sebelum itu, beliau diberi peluang untuk meninjau kawasan Sipitang selama satu minggu  dan setelah itu,, barulah beliau membawa kawan-kawannya dari Tawau. Kawan-kawannya ada dari suku Banjar, Bugis dan Tidung. Mereka kemudian naik pesawat dari Tawau ke Kota Kinabalu. Sesampainya mereka di Kota Kinabalu, mereka ditempatkan di Winner Hotel, salah satu hotel terkemuka ketika itu sambil menunggu rail car.

Majikan mereka menempah rail car untuk ke Sipitang. Mereka menaiki rail car kerana perjalanannya lebih cepat berbanding keretapi kerana tidak perlu singgah atau berhenti di stesen-stesen yang dilalui.

Antara rakan-rakannya dari Tawau termasuklah arwah Libo, Habib Sheikh, arwah Osman Adi. Ibrahim Ghani atau di kampungnya di Tawau dikenali sebagai Bango'. Kebanyakannya kawannya pulang ke Tawau kecuali beberapa orang. Arwah Habib Sheikh sempat berkahwin di Sipitang tapi kemudian kembali ke Tawau. Sekarang, selain pakcik Jaafar, yang memilih menetap Sipitang ialah Ibrahim di Kampung Tunggul Tinggi.

Ketika mula merantau itu,pakcik Jaafar baru berusia 24 tahun. Pakcik Jaafar adalah anak Bungsu. Ada abangnya bernama Salleh, Abdul Rahman dan saudara kembarnya Fatimah.

Bapa kepada pakcik Jaafar ini bernama Hamid bin Abu Bakar, iaitu adik beradik dengan Jamal bin Abu Bakar, bapa kepada Hajah Jamilah, ibu mertua saya. Kerana itu, pakcik Jaafar bersepupu dengan mertua perempuan saya. Abu Bakar bin Zainuddin sendiri adalah keturunan Melayu dari Pontianak yang berkahwin dengan Fatimah binti Shafie, keturunan Al Qadrie.



Pakcik Jaafar dan Hajah Jamilah Jamal. Bersepupu kerana ayah mereka adik beradik

Pakcik Jaafar mula datang ke Sipitang pada tahun 1967. Beliau bekerja sebagai perakit balak. Bersama rakannya, mereka mampu merakit balak dari logpond sebanyak 1,800 batang hingga 2,000 batang selama empat hari ke kapal balak. 

Beliau dan rakannya tidak lama bekerja di sini kerana masalah upah, Mereka dijanjikan dengan upah RM4 satu square feet tetapi pekerja tempatan mahu diberi upah sebanyak RM1 satu ringgit saja.

Oleh sebab kurang berpuas hati, maka pekerja-pekerja itu minta dipulangkan. Balik Tawau. Mereka diberikan tambang sebanyak RM60 untuk menaiki pesawat dari Kota Kinabalu ke Tawau menggunakan pesawat MSA. Oleh sebab pakcik Jaafar enggan menuruti kehendak rakan-rakannya, beliau cuba menebus harga tiket itu tetapi hanya diberikan RM30.

Di Sipitang juga beliau sempat menubuhkan Kumpulan Gitar Rancak yang diberi nama Kumpulan Remaja Irama Senada Sipitang (The Kriss). Pakcik Jaafar sendiri bertindak sebagai lead guitar atau pemain gitar utama. Habib Sheik sebagai penyanyi, Ibrahim bermain drum manakala Haji Yunus Mantaha bermain bass, Cikgu Daim bermain Rythm. Kumpulan ini sering dijemput mengadakan persembahan dalam kempen-kempen parti Usno ketika itu.

Hajah Jamilah dan makcik Hasmah, isteri pakcik Jaafar


Di sinilah juga beliau bertemu suri hatinya, Hasmah binti Saban . Orang memanggilnya Bugal. Pakcik Jaafar berkenalan dengan isterinya kerana kebetukan ia satu kerja dengan Saban, yang kemudian menjadi mertuanya. Mereka dikurniakan 9 orang cahaya mata, 7 orang diantaranya masih hidup iaitu Jamilah, Zainon, Zaleha, Zaidah, Awang Adi, Zainudin, Zubaidah.

Cucunya 22 orang, piutnya 13.  Saya teringat Yak Noi, atau Norsiah, kakak mertua saya, masih sepupu dengan pakcik Jaafar. Anaknya saja 10 orang, cucunya 29 orang, cicitnya 6 orang.

Pada tahun 1972, pakcik Jaafar mengadu nasib untuk bekerja di Kota Kinabalu sebagai tukang kayu. Beliau pernah menjadi tukang dua unit rumah Datuk Parman di Sembulan. Beliau ingat kosnya ketika RM66,000. Masa itu, masih ada duit seribu seribu. Not seribu ringgit satu keping. Oleh kerana arwah Datuk Parman, mahu ke Kuala Lumpur, beliau menyerahkan RM25,000 , 25 helai duit seribu, untuk membeli bahan bahan dan alat binaan. Itulah antara kenangan yang tak dapat dilupakan.

Pakcik Jaafar bekerja di KK sebagai tukang kayu. Beliau dan keluarga menyewa rumah di Sempelang kira-kira 10 tahun. Atas keizinan yang diberikan Datuk Walli , beliau mendirikan rumah berukuran 20x30. Apabila pakcik Jaafar memutuskan balik ke Sipitang,beliau menerima cadangan Datuk Imam Haji Pandin untuk menjual rumah itu kepada Imam Pakir. Harganya masa itu RM25,000 tetapi Pakcik Jaafar diberikan RM27,000 sebagai harga rumah. Masa itu sudah ada ura-ura untuk pembangunan kawasan itu tetapi ia hanya dilaksanakan empat lima tahun selepas itu, kata pakcik Jaafar.

Pengalaman pakcik Jaafar memang luas. Walaupun usianya mencecah 85 tahun tetapi daya ingatnya masih kuat. Rupanya, beliau juga adalah pembaca setia Utusan Borneo, dan sempat bertanya  lama sudah tidak membaca tulisan perjalanan dan wawancara Sembang Sabtu. Saya memberitahunya saya tidak lagi bekerja sepenuh masa di sana. Saya cuma menyumbang untuk ruangan sastera dan budaya dan sesekali menulis rencana dan berita. Sekarang saya bekerja di portal berita sendiri Sabah360online.com yang kini menghadapi gangguan teknikal.

Saya sempat bertanya pakcik Jaafar mengenai keadaan dan suasana ketika tahun-tahun 70-an itu. Ketika asyik bercerita itu, beliau sempat panggilan video dengan Sam di Tawau. Sam bertanyakan khabar tetapi saya sempat mengusiknya dengan Tapai dari Mesapol. Kebetulan, sama seperti saya, Sam juga peminat tapai.


Pakcik Jaafar sempat bercakap melalui video call dengan sam


Masa berlalu begitu cepat.  Kami harus berangkat pulang kerana harus sampai di KK sebelum gelap.  Memang masih banyak yang belum tuntas tetapi syukurlah hasrat yang tersimpan begitu lama untuk mengunjungi pakcik Jaafar dan keluarga di Sipitang akhirnya tercapai.Alhamdulillah. 


Lama tak jumpa dan ada juga tak pernah jumpa



Bersalaman sebelum pulang

Sebelum pulang, Pakcik Jaafar sempat menghulurkan sedikit duit hadiah  untuk anak-anak kecil, menunjukkan budaya Melayunya masih kuat. Selepas itu,kami sempat mengabadikan gambar, sekadar untuk kenangan. Kami juga sempat dibekalkan `tapau' makanan untuk dibawa pulang KK.

Mengharukan...Pertemuan yang bermakna

Anak-anak lebih mengerti

Suasana agak mengharukan ketika kami meninggalkan Ulu Sipitang. Lutfi , anak Mutahar, yang masih berusia dua tahun itu menangis, tidak mahu berpisah dengan saudara-saudara yang baru dikenalinya.

Anak-anak selalu punya bahasa tersendiri, mudah dimengerti.