Rabu, 4 Mei 2022

CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE RUMAH PAKCIK MAJID

Tags

 CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE RUMAH PAKCIK MAJID

 

Hari raya kedua Aidil Fitri, kami sempat berkunjung ke rumah pakcik Majid.  Rumahnya terletak di Blok 7 (Dulu blok 6) di Kampung Titingan Hujung. Kalau beraya ke Tawau, salah satu tempat yang perlu dikunjungi ialah Rumah Pakcik Majid. Pakcik Majid adalah abang kepada mertua perempuan saya.



Pakcik Majid anak kedua. Anak sulung ialah Norsiah yang kami panggil Yak Noi, Mertua saya, Hajah Jamilah atau lebih dikenali makcik Among di kalangan keluarganya ialah anak ketiga. Mereka sebenarnya lima beradik, tapi dua orang sudah meninggal. Seorang lahir selepas pakcik Majid bernama Rafeah. Rafeah meninggal ketika usianya 14 tahun. Kemudian diikuti oleh Osman, meninggal ketika usia enam bulan atau tujuh bulan.



Kemudian barulah lahir mak mertua saya.Sekarang sudah 68 tahun usianya. Mungkin kerana mereka tinggal tiga adik beradik maka ikatan keluarga di kalangan mereka amat rapat sekali. Ibu mereka bernama Sharifah Limbok atau Sharifah Jeribok Syed Agil meninggal tahun 2007 manakala ayah mereka, Jamal bin Abu Bakar  pergi terlebih dahulu iaitu pada 10 Oktober 1995.

Oleh sebab itu, rumah Pakcik Majid sentiasa menjadi tumpuan keluarga setiap kali hari raya. Pakcik Majid sendiri orang terpandang di kalangan masyarakat. Dulu beliau adalah kakitangan Jabatan Air, tidak lama selepas menamatkan persekolahannya di  Sekolah St Patrick Tawau. Dimasa mudanya , beliau juga aktif dalam kegiatan belia, seni dan budaya selain bergiat dalam politik juga. Aktif juga dalam Kopesta. Beberapa tahun lalu, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) sehingga Warisan memegang tampuk kuasa.

Kini beliau tidak lagi kuat berjalan. Terpaksa menggunakan alat penyokong. Namun beliau tetap bersemangat. Pada hari raya kedua itulah, kami ke rumahnya walaupun pada kebiasaanya kami datang malam hari raya pertama tetapi kalah kerana kesibukan.

Dulu kalau berhari raya sangat meriah. Mereka berkunjung ke rumah secara berkumpulan,Kadang dua puluh hingga tiga puluh orang serentak datang. Meriah sekali, kata Apik atau sI Aping anak Acing  mbol.  Ada rombongan pakcik Haji Arshad, ada rombongan Haji Ramlee,ada rombongan makcik Jelis, ada rombongan Haji Ramlan, dan banyak lagi.

Mereka ini adalah sepupu mama semua.  Ayah mertua saya namanya Jamal , adik beradik dengan ibu kepada asing mbol, haji Arshad, Haji Ramlie, Haji Ramlan dan Makcik Jelis. Sudah menjadi semacam tradisi mereka datang serentak beramai-ramai atau bahasa lainnya bergerombolan. Selain menikmati juadah disediakan, pada masa inilah mereka memperkenalkan antara sanak saudara. Walaupun kadang masa kedatangan mereka tidaklah lama, kadang singgah sekadar untuk bersalam-salaman kerana banyaknya rumah yang dikunjungi.

Ini masih sedikit, masih ramai yang belum datang,kata Pakcik Majid kepada saya ketika ruang tamu dipenuhi sanak saudara yang datang berhari raya.



Si Aping mengenang bahawa di bawah rumah pakcik Majid itulah tempat mereka dulu bermain bola bersama si Bobby, Fadil dan lain-lain. Dulu kawasan itu berpasir, ada gusung dan masih terkena hempasan ombak. Pakcik Majid menunjuk pokok kelapa. Di sana dulu gusung, katanya. Gusung maksudnya kawasan tanah berpasir yang letaknya agak tinggi.



Masa itu tidak banyak rumah seperti sekarang. Bermain bola, bermain pasir, main terjun-terjun, menjadi pilihan kanak-kanak. Kalau sekarang, kanak-kanak lebih suka bermain games dan sibuk dengan handphone mereka.

 Banyak lagi kenangan lama yang diceritakan oleh si Aping dan si kachong. Ada juga diceritakannya mengenai arwah Nurdin, bapa mertua saya.

Katanya, pakcik Nurdin seorang suka menyanyi. Suka pegang mic (microphone), katanya. Pakcik Nordin suka berjenaka dan mengerjakan orang. Suatu ketika kebetulan sama sama berkunjung ke Tanjung, arwah pakcik  ajak kami melawat keluarga yang badannya terbakar. Sesampainya di hospital, mereka buka kelambu orang yang badannya melecur, ternyata orang itu orang dayak. Orang dayak itu terpinga-pinga tetapi sempat mengucapkan terima kasih kerana berkunjung.

Nama Aping, Kachong ini sebenarnya bukan nama sebenar mereka. Nama sebenar Aping ialah Riyanto Kachong pula namanya Hasbul. Si Udin pula namanya Baktiar. Tapi kebanyakan nama panggilan mereka yang lebih dikenal orang.

Lama tak berjumpa pakcik Amat, yang duduk di sebelah saya.

Lama tak datang KK?saya bertanya. Lama juga, katanya. Ada masuk ke seberang?

Pakcik Amat memberitahu tambang feri Tawau -Nunukan naik menggila. Sekarang RM450 sehala, pulang balik tambang RM900. Dulu sekitar RM150 tambang antara Tawau ke Nunukan.

Tunggu keadaan reda, dan situasi membaik lagi. Katanya.

Saya meneguk air oren yang disediakan. Saya terasa bukan saja suasananya berubah tetapi terdapat perubahan juga pada juadah kuih muih yang disediakan

Kalau dahulu ada Kuih tradisi seperti baulu, kuih penyaram atau penjaram,  (gegetas, tepung pulut kelapa tapi digoreng), kuih ketupat, sarang semut, semperong,dan macam macam halwa kundur, Wazit dan sebagainya, kini makin sukar diperolehi.

Benar, kata orang, bahawa yang kekal hanyalah perubahan. Contohnya harga ikan.

Ami Bakar bercerita dulu seekor ikan kurau harganya 50 sen sekati.Kadang orang menjualnya 50 sen pun seekor pun tiada yang mahu beli. Kini seekor ikan kurau boleh berharga hingga RM22 sekilo.

Dulu seikat ikan putih berharga satu ringgit. Dalam satu ikat ada dua ekor ikan putih. Kini sudah jauh berubah. Dulu di sini, di Ice box ini ada orang yang mengusahakan Kelong, namanya Haji Ahim. Kalau setakat untuk makan, dia berikan ikan secara percuma saja. Kalau ada yang mahu beli pun, harganya asal-asalan saja kata Ami Bakar, yang dulu selalu ikut ke Kelong bersama Haji Ahim.

Ikan yang orang panggil ikan uji rashiditu dulu tiada harga. Ikan basung, ikan tulai ikan yang tak  ada harga masa itu. Sekarang menurut Epi, yang bekerja sebagai pemandu lori ikan ulang alik dari Semporna ke Tawau, ikan yang paling laku ialah ikan tulai dan ikan basung. Bahkan ikan itu juga dijual hingga ke Nunukan.

Ikan besar-besar tidak laku, katanya. Ikan besar biasanya dibeli oleh restoran besar, kata Epi.






Kampung Titingan Hujung atau lebih popular dikenali sebagai Ice Box terdiri dari beberapa blok rumah. Kini blok 9 dan blok 8 sudah tidak ada lagi. Kawasannya sudah digali  untuk tebatan banjir. Yang masih ada Blok 7, Blok 7 Laut dan Blok 6 dan lain-lain.

Di blok 7, jambatan panjang selebar 5 kaki sudah tiada . Penduduk kampung boleh memarkir kereta di depan rumah masing-masing.




Sungguhpun keadaan sudah jauh berubah tetapi yang masih cuba dipertahankan oleh generasi seperti Aping, Kachong, Bobbey, Shaari,Sam dan lain-lain ialah mengukuhkan ikatan silaturrahim agar terus berpanjang hingga ke akhir hayat.