Selasa, 2 Februari 2021

JANUARI YANG PERGI, SAHABAT YANG PERGI DAN DENTUMAN YANG MISTERI

Tags

 Ada orang mencatatkan hari ini adalah hari ke-32 dalam tahun 2021. Dengan kata lain, Januari sudah pergi, dan kita berada pada hari pertama bulan Februari. Tetapi apa ertinya?

Pelajarilah masa lalumu sekiranya mahu meramal masa depanmu, kata Confusius. Hari yang berlalu, tak akan kembali.  Hadapilah dengan hati yang gembira akan masa yang akan datang, yang jauh lebih baik daripada sekarang. Saya teringat kata-kata Walter Monginsidi. Walaupun Albert Einstein pernah mengatakan "saya tidak pernah memikirkan masa hadapan, kerana datangnya begitu cepat.  

Benar, masa berlalu begitu pantas, Kita berhadapan bukan saja dengan sang waktu tetapi juga kehilangan-kehilangan.  Semua orang pernah merasai rasanya kehilangan, walaupun mungkin kadar dan situasinya berbeza beza. Tetapi tetap namanya kehilangan.

Seorang rakan pergi pada 30 Januari, jam 5.45 pagi. Irwan adalah anak lelaki pertama ayahanda Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, seorang budayawan dan sasterawan Sabah yang terkenal. Di masa hidupnya, kami sering ke rumahnya di Kampung Pengalat Kecil Papar. Arwah Datuk Haji Shuhaibun (meninggal 25 Mac 2009) terkenal bukan saja kerana jasa dan perjuangannya dalam memartabatkan kebudayaan tetapi juga dalam bidang kesusasteraan. Seorang penulis serba boleh dan terlibat dalam hampir semua genre. Tetapi yang mengagumkan juga ialah koleksinya buku, majalah dan bahanbahan dan artifak budaya, yang sangat banyak. 

Isterinya, bunda Datin Hajah Ripah Haji Julang (meninggal 28 Mei 2010) seorang yang sangat baik dan ramah. Beliau akan memasak pelbagai jenis masakan untuk menjamu kami. Mereka melayani kami, penulis-penulis seperti anak sendiri.

Kerap kali kami- penulis yang menjadi ahli-ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS)-berkunjung ke Pengalat Kecil,sering pulang dengan kenangan manis kerana arwah ayahanda Datuk Haji Shuhaibun itu penuh humor dan banyak pengalaman lucu dan kelakar.

Ketika itulah kami mengenali Irwan. Irwan yang bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  sering ada di rumah ikut menyambut kami datang, selain tentunya adik Irzan dan Iryan. Kami ingat arwah seorang yang baik dan suka senyum. Seorang yang agak rapat dengan kami di IPS. Tetapi kemudian kami lama tidak terhubung, kerana kesibukan masing-masing, sehinggalah adik Irzan memberi khabar duka bahawa abangnya Irwan sudah menemui Maha Pencipta pada 30 September jam 5.45 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Papar.

Satu lagi khabar yang agak mengejutkan ialah berita pemergian arwah  Adrin Haji Dullah, mantan Ketua Penerangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sabah dan mantan Ketua Cawangan PVATM Kota Kinabalu. Selama hidupnya, beliau adalah seorang veteran tentera yang aktif memperjuangkan nasib bekas tentera. Seorang yang komited dan boleh dikatakan berjuang tanpa henti bagi memastikan  kebajikan dan kepentingan bekas-bekas tentera sentiasa terbela. Bahkan ketika beliau diserang penyakit gout yang teruk, dengan bertatih-tatih, beliau tetap berjalan dengan tongkatnya untuk menemui saya di Kota Kinabalu. Kami duduk di Restoran Choice, di bawah pejabat, kerana beliau mahu membuat kenyataan mengenai kebajikan bekas tentera.

Beliau akan belanja makan atau minum dan menolak kalau saya mahu membayar. Seringkali beliau memberikan saya duit untuk belanja reload dan sebagainya, sesuatu yang kadang sukar untuk ditolak kerana beliau punya cara untuk saya tidak dapat menolak. Beliau seorang yang prihatin.

Kami sempat bercakap melalui telefon, kira-kira sepuluh hari yang lalu. Kami berharap dapat bertemu  kerana beliau ingin membuat kenyataan mengenai kemudahan-kemudahan yang boleh diperolehi keluarga veteran tentera yang sudah meninggal. Tetapi pertemuan kami terhalang kerana PKP. 

Apabila menerima khabar allahyarham Zul Adrin kembali kepada pencipta pada jam 1.00 petang, 31 Januari, saya terdiam beberapa lama. 






Saya pernah  menulis mengenai beliau di Utusan Borneo dan di blog saya juga pada tahun 2013.

  http://abdnaddin.blogspot.com/2013/10/adrinmasuk-hutan-keluar-hutan-usir.html

Saya sebenarnya baru tahu juga bahawa sesungguhnya kami masih mempunyai pertalian keluarga yang dekat. Arwah Zul @ Adrine adalah anak kepada Haji Dullah bin Asing dan isterinya Sedah. Adik beradik Sedah ialah Nuni, Samsudin,Midin dan Nukah. Sedah adalah anak kepada Kawi, Kawi anak kepada Pelah manakala Pela anak Embo Zaharah.
Embo Zaharah adalah adik beradik dengan Datu Abdulrauf atau Duraup. Duraup anaknya adalah Mantar. Mantar pula adalah ayah kepada ibu saya, Hajah Katiana.  Arwah pun mungkin tidak tahu bahawa kami rupanya masih mempunyai kaitan keluarga dari sebelah ibunya. Kalau dari sebelah ayahnya pula, Haji Dullah adik beradik dengan YB Raskan Asing. Datu Asi jika tak silap saya adalah anak kepada Raja Simban.

Namun berita yang yang tidak kurang berdentum dan menggegarkan ialah dentuman aneh yang berlaku kira-kira jam 11 pagi di kawasan Teluk Brunei. Dentuman itu boleh didengar di Sipitang, Menumbok, Kuala Penyu, Beaufort Membakut, dan sekitar kawasan Lawas dan Limbang. Jabatan Meterologi, Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

Sementara itu Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam(PABD)  mengesahkan adanya Meteor dikesan memasuki ruang udara Brnei pada jam 11.00 pag.i saksi mengatakan ia menghasilkan bunyi kaut dan asap" seperti di siarkan Harian Metro.

Ada juga laporan yang menyatakan ada  video yang berjaya dirakam oleh Abd Wafiy bin Haji Rudzi melalui dash cam yang dipasang di kenderaan miliknya. 

Sementara itu, ada  pula  video yang viral kononnya  rakaman video tahi bintang itu, entah siapa yang memviralkannya  tetapi didapati video yang diviralkan itu sebenarnya  berlaku di Pantai Australia, kira-kira empat tahun yang lalu iaitu  27 Januari 2016.

Demikianlah rencah kehidupan. Tidak semua hal dapat diungkapkan. Tidak semua hal dapat kita fahami. Yang penting adalah ikhlas, kata  Abu Musa Al-Asy'ari, kemudian biarkanlah terjadi apa yang bakal terjadi.


Artikel Terkait