Sabtu, 27 Februari 2021

BUNGA KEINDAHAN ANUGERAH DUNIA, PUAN KHALIDAH MENANAM BUNGA UNTUK TERAPI MATA DAN MINDA

Tags

 

BUNGA KEINDAHAN ANUGERAH DUNIA

Puan Khalidah menanam bunga untuk terapi mata dan minda


 BUNGA tidak pernah khuatir mengenai bagaimana mereka akan mekar. Bunga hanya terbuka mengarah kepada matahari dan cahaya itu membuat mereka kelihatan indah.



Bagi Puan Khalidah @Kelly Masadang, halaman yang dipenuhi bunga-bunga yang cantik, pelbagai jenis dan warna adalah impiannya  sejak kecil lagi. . Namun bila meningkat dewasa, impian itu tidak dapat direalisasikan kerana faktor pekerjaan dan masa yang terhad.

Meskipun begitu, beliau masih sempat menanam sepasu dua bunga kertas, yang popular di awal tahun 90-an, di samping tanaman keperluan sendiri seperti cili padi.

Seiring berjalannya waktu, kini puan Khalidah menetap di kampung, memiliki rumah sendiri dengan halaman yang sederhana luas.

“Sedikit demi sedikit saya menambah koleksi bunga yang ada,” kata Puan Khalidah yang kini menetap di Kampung Tamau Kota Belud.

Antara bunga yang ditanam termasuklah Air mata pengantin(Carol Vine),Bunga tahi ayam(lantana camara),Marigold.Cosmas,Zinnia,Ros Jepun. Bunga-bunga  ini juga adalah untuk lebak kelulut mencari makanannyya bagi menghasilkan madu kelulut.

Selain itu, beliau juga menanam bunga kertas(bougainvillea), dan terbaharu bunga Ati-ati(Coleus) yang sedang viral ketika ini.











Bunga-bungaan yang ditanamnya ternyata menerima sambutan yang menggalakkan. Belum ada  promosi yang terancang.  Semuanya beredar dari mulut ke mulut dan dari grup whatsApp tertentu sahaja,’ katanya yang lebih dikenali Mama Ifa di kalangan masyarakat kampung.

“Suami yang banyak membantu dengan mewar-warkan kepada rakan-rakannya..mereka kemudian membawa isteri datang ke rumah untuk melihat bunga Ati-ati dan membeli,” katanya. Suaminya Razak Haji Rakunman seorang usahawan tani, mantan Pegawai Perhutanan dan Presiden Persatuan Bekas Pelajar Yayasan Sabah (Maya).

Pembeli biasanya dari dari sekitar  daerah Kota Belud,katanya. Tetapi ada juga permintaan dari luar daerah tetapi tidak dapat dipenuhi buat masa ini atas faktor rentas daerah tidak di benarkan.

 “Pelanggan "walked in" sahaja setakat ini,memandangkan saya sendiri yang menguruskan semua ini,” katanya.

Bagi ibu kepada lima cahayamata ini, menjaga bunga setiap membuatnya rasa gembira dan sangat teruja.



“Saya mendapat suatu kepuasan melihat bunga-bunga tumbuh subur dan sihat,” katanya sambil menambah,,lagi pun saya menanam bunga sepenuh masa dari tahun 2017 lagi.

 “Lebih lagi masa sekarang ini bunga Ati-ati  mendapat tempat di kalangan peminatnya,” katanya.

Walaupun pada mulanya hanya sekadar minat dan mengisi masa lapang, ternyata menanam bunga boleh menjadi sumber pendapatan sampingan yang amat menggalakkan.

“Alhamdulillah, menanam bunga bukan saja membuat perasaan tenang  dan tenteram, tetapi juga  mendatangkan rezeki,” kata Puan Khalidah yang pernah berkhidmat sebagai petugas kesihatan sebelum bersara atas pilihan sendiri.

“Menanam bunga semestinya menenteramkan jiwa dan melapangkan data, ia juga mampu menghilangkan stress.



“Hilang penat lelah melihat hasilnya, melihat bunga tumbuh subur dan berkembang, mampu menjadi terapi mata dan minda, terutama sekali dalam musim PKP ini.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Puan Khalidah berhasrat untuk membuka nurseri.

“Sudah dalam proses, tunggu sedikit masa lagi, insyaAllah,” katanya.

“Saya dalam proses mengumpul sebanyak mungkin jenis(ID) bunga Ati-ati  ini yang di anggarkan lebih 200 ID.setakat ini saya ada 110 ID,” katanya.

Selain itu, beliau juga giat  menyemai tanaman hiasan untuk lanskap sekolah.



Bunga adalah anugerah keindahan bagi dunia ini. Sebab itu, menanam bunga sentiasa membawa kegembiraan. Ia bukan saja indah dipandang bahkan boleh menjadi hadiah tidak ternilai untuk orang-orang yang istimewa.

Tapi kata seorang pujangga, jangan menunggu seseorang membawakanmu bunga.Tanam kebunmu sendiri dan hiasi jiwamu sendiri.

Untuk menjadikan hidup sentiasa indah, maka tanamlah bunga. Setiap bunga mekar pada waktunya sendiri, begitu saja.Menanam bunga bererti percaya pada hari esok.

 tersiar di Utusan Borneo 27 Februari 2021

1 comments so far

Terbaek.. Menjadi pembakar Semangat bg pengusaha bunga-bungaan. Semestinya wanita dan bunga tiada pemisah