SIAPA YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH, PASTI BERJAYA
MAN JADDA WA JADDA
, peribahasa Arab yang bermaksud “siapa yang bersungguh-sungguh pasti Berjaya.
Walaupun dahulu hanya berbekalkan ubi kayu dan ubi keledek rebus untuk ke
sekolah kerana kehidupan yang miskin, tetapi berkat kegigihan dan ketabahan
beliau dalam menimba ilmu, Cikgu Ramlee Jalimin Jainin berjaya memperolehi apa
yang dicita-citakannya. Beliau pernah melalui pelbagai pengalaman pahit manis
sebagai pendidik, akhirnya beliau menjadi seorang tokoh pendidik yang berjaya.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan di Unversiti Malaysia Sabah
(UMS), beliau bersara sebagai Guru Besar SK Meninipir pada tahun lalu. Beliau
juga dikenali sebagai wartawan, sasterawan dan pernah memenangi Hadiah Sastera
Sabah 2018/2019 dan menghasilkan lebih 500 karya dalam dalam bentuk eceran dan
300 dalam antologi bersama. Beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Penulis
Sabah sempena Festival Penulis Sabah 2016 dan pernah menerima Sijil Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali.
RAMLEE JALIMIN
JAININ Dilahirkan pada tahun 1959 Di Kampung Bayangan Keningau. Memulakan persekolahan rendahnya di GPS
Binaong 1965/1966 hingga 1970, berpindah ke SRK Luagan pada Tahun 1970 hingga
1972. Meneruskan sekolah menengah di SMK Gunsanad (Keningau) 1973-1978. Jawatan
terakhirnya sebelum bersara ialah Guru Besar
di SK.Meninipir, Keningau . Beliau berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan
Pendidikan Dengan Kepujian di Fakulti Pendidikan dan Psikologi Universiti
Malaysia Sabah, dan baru menamatkan studinya di peringkat sarjana. Beliau
mendirikan rumah tangga dengan Celestina @Nurateqah Mitoh. Beliau memiliki enam
cahayamata.
Wartawan kanan
UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Cikgu Ramlee Jalimin Jainin mengenai zaman persekolahannya seterusnya
pengalaman beliau ketika menjadi
guru sehingga bersara. Ikuti petikan wawancara yang dilakukan melalui
aplikasi WhatsApp. Seperti berikut:
UTUSAN BORNEO:
Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu? Tarikh dan tempat lahir? Anak ke
berapa dalam keluarga?
RAMLEE JALIMIN
JAININ: Saya dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Bayangan, Keningau. Saya anak
pertama daripada tiga adik beradik. Ayah saya Jainin Abdullah dan ibu saya, Daina Limbongan adalah petani.
UB: Di mana Cikgu
memulakan persekolahan?
RJJ: Saya memulakan persekolahan rendah di GPS
Binaong 1965/1966 hingga 1970. Kami tiga adik beradik berbasikal dari Kampung
Pamalan ke sekolah. GPS Binaong didirikan di atas tanah milik asal OT Madi
Gadau iaitu ayah kepada penulis-wartawan terkemuka Emin Madi. Jarak antara
kampung Pamalan dengan tempat saya
bersekolah kira-kira 15 kilometer. Kemudian dari tahun 1970 hingga 1972, kami berpindah ke
SRK Luagan, kerana sekolah itu terletak lebih dekat dengan Kampung Pamalan.
UB: Ketika itu orang tua cikgu sudah pindah
dari Bayangan ke Pamalan?
RJJ: Ya.Ketika itu kami sudah bermastautin di
Kampung Pamalan. Sebenarnya orang kampung Bayangan asal dari Pamalan.Orang
Pamalan juga asal dari Kampung Bayangan.
UB: Oh ya. Berapa duit bekal ke sekolah ketika
itu?
RJJ: Kami hanya berbekalkan ubi kayu dan ubi
keledek rebus. Keluarga kami terlalu miskin. Tiada duit bekal yang diberikan.
Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi kami.
UB: Masih ingat nama-nama guru yang pernah
mengajar cikgu?
RJJ: Antaranya cikgu Azizah Mohammad, Sidi Sukimin,
Adin Basinau, GB Ibrahim Yusof, Hamzani Aziz, Odok Bangad, guru Bahasa Inggeris,
Aminah Mussaly, Awang Latif, Cikgu Losong, Cikgu Andik, Cikgu George Aloy,
Ruslan Ampagang, Ribus Tingadon dan Jinor Tingadon di GPS Binaong. Di SK Luagan
pula GB Cikgu Tawik Mansai, GB Haji Kaji Madan manakala guru-guru ialah Aron
Warso, Cikgu Johnlee Ensin, Cikgu Asrah, Ckgu Mary Tapoung, Aling Intai, Cikgu
Lily Musaly, Cikgu Baihat basi. .
UB: Di mana cikgu meneruskan persekolahan
menengah?
RJJ: Saya meneruskan sekolah menengah di Government
Secondary School (GSS) Bingkor untuk
kelas peralihan atau bridge class. Kemudian saya beralih ke aliran Melayu SMK
Gunsanad (Keningau) dari tahun 1973-1978 hingga tamat SPM.
UB: Siapa rakan-rakan sekolah ketika itu, jika
masih ingat?
RJJ: Nama rakan-rakan sekolah saya termasuklah Ustaz Haron Saion, Ustaz Azman dan Ustaz
(Arwah)Masmin Saniman.
UB: Selepas lulus SPM, apa langkah cikgu
seterusnya?
RJJ: Saya diterima memasuki Maktab Perguruan Kent
Tuaran (sekarang IPG Kent) dari tahun 1980/1981. Antara rakan semaktab saya
ialah Joefry Kudot, Haji Karim Ubah,
Haji Hajis Saiffudin, Drs Aslan Muhiddin, Sahari July dan ramai lagi dengan
kelas 802
UB: Sebaik mendapat sijil perguruan, di mana
cikgu ditempatkan?
RJJ: Saya mulanya ditempatkan mengajar di SRK Simpangan Paitan Beluran. Masa itu
sangat sukar untuk ke sana. Kami menempuh perjalanan empat hari menaiki bot
besar melalui Selat Sulu. Kami terpaksa bermalam di Pulau Jambongan (Bahanan)
kemudian bermalam lagi di SRK Kebulu Paitan, dua malam sebelum sampai ke SRK
Paitan. Saya dilantik sebagai Ketua Guru (Guru Besar) paling muda iaitu ketika
usia saya 22 tahun.
UB: Apa pengalaman pahit manis yang dilalui
ketika menjadi guru?
RJJ: Kalau bercakap mengenai pengalaman, banyak
juga pengalaman pahit manis yang saya
lalui. Ketika mengajar di Paitan, buat pertama kalinya saya melihat ombak bergelora menyebabkan bot karam hampir jatuh
di laut. Memang merisaukan tetapi sebagai seorang guru, saya harus tabah
menjalaninya. Kemudian ada lagi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan
iaitu ketika mengajar di SK.Ulu Mosopoh
Nabawan pada tahun 1988. Saya terpaksa
berjalan kaki dari dari SK.Pementerian sejauh 20 km untuk sampai ke SK Ulu
Mosopoh.
UB: Apa nama nama sekolah yang menjadi tempat
cikgu bertugas?
RJJ: Selepas mengajar di SRK Simpangan Paitan
Beluran, saya ditempatkan di beberapa buah sekolah iaitu di SK Bunga Raya
Keningau , kemudian ke SK Merampong lalu ke SK Ulu Mosopoh, Nabawan, selepas
itu bertukar di sekolah di St James Apin-apin, Keningau kemudian ke SK
Karamatoi dan paling akhir ialah SK
Meninipir sebelum bersara tahun lalu.
UB: Tentu banyak cabaran ketika menjadi guru?
Apa di antaranya?
RJJ: Ketika bertugas sebagai guru, saya memang
biasa menghadapi pelbagai karenah masyarakat setempat. Saya pernah diancam,
diugut dan bermacam-macam lagi pengalaman tetapi semuanya ini dapat ditangani
dengan baik.
Ketika bertugas
sebagai guru besar di Nabawan selama 11 tahun, saya juga menjadi
penceramah/jurulatih utama kebangsaan/negeri dan daerah. Mata pelajaran kajian
tempatan, Bahasa Melayu, projek RUPEP, Inspire dan mengajar semua mata
pelajaran teras.
UB: Apa cita cita cikgu sewaktu masih kanak
kanak? Pernah terfikir menjadi guru?
RJJ: Sebenarnya Guru bukan cita-cita saya. Semasa berada di sekolah menengah, saya terlibat dalam kokurikulum Polis Kadet.
Apabila lulus SPM 1978, saya memohon
polis dan ditawarkan Latihan Inspektor percubaan dengan tangga gaji RM395.
UB: Cikgu tolak
tawaran jadi inspeKtor?
RJJ: Arwah ibu melarang saya menjadi polis, alasan
ketika itu komunis masih bermaharajalela, ibu lebih suka saya jadi guru.
Sebenarnya sebelum itu, saya banyak mendapat tawaran kerja, antara pegawai
kerani di Bank Bumiputera, Pegawai Kerani di Petronas Labuan. Tetapi semuanya
saya terpaksa tolak kerana tidak dapat berjalan jauh kerana kekurangan wang. Akhirnya saya ditawarkan untuk memasuki
Maktab Perguruan Kent, Tuaran.
UB: Apa nasihat
ibubapa yang masih diingati?
RJJ: Bapa saya, berpesan kepada kami. “Kamu mesti belajar, jangan ikut
saya tidak pandai baca, biar bapa cari tanah, kamurang pigi sekolah, jangan
ikut saya bodoh”. Sementara ibu saya pula berkata,” jangan ikut berkawan
kawan-kawan yang suka berpeleseran, pigi sekolahpun jarang, sekolah itu lebih
penting”
“Kalau kami sudah
mati, sapa jaga kamu, ada pelajaran, ada kerja itulah kehidupan kamu’ , itulah antara
pesan yang saya ingat.
UB: Apa nasihat cikgu kepada generasi baru?
RJJ: Kepada guru-guru muda, saya nasihatkan mereka
jangan memilih tempat bertugas. Ada di
antara guru yang tidak suka bertugas di luar bandar, mereka lebih suka
ditempatkan di Bandar. Perkara sebegini jangan berlaku. Guru-guru muda
hendaklah menjadi guru yangg ada integriti
yang baik, jangan rosakkan profesion keguruan, ingat anak-anak di luar bandar.
Jadilah guru yang ada futuristic.
Kepada generasi
muda., jangan lalai dalam kehidupan sekarang. Zaman 60 an, 70 an dan 80
an berbeza dengan sekarang..sekarang perlu ada persaingan yang kreatif.
Kejarlah pendidikan setinggi mungkin, jika ada pendidikan, barulah kita boleh tenang dalam kehidupan.
UB: Oh ya, jangan sampai terlupa. Cikgu juga
boleh dikatakan salah seorang sasterawan budayawan Sabah yang terpenting,
khususnya di Bahagian Pendalaman Sabah. Boleh cerita pengalaman dalam bidang
penulisan?
RJJ: Penulisan
saya bermula tahun 1978.Mulanya sekadar
menulis dalam lembaran buku, ketika jadi pustakawan kerja mencoret-coret apa yang boleh ditulis,.saya pada mulanya
meminati kewartawanan. Saya banyak mengikuti kursus, bengkel kewartawanan. Saya mempunyai sijil kewartawanan secara
koresponden dari Pustaka Wilayah KL selama 6 bulan
UB: Dimana menulis ketika itu?
RJJ: Saya banyak menulis di semua tabloid terbitan
di Malaysia seperti Bacaria. Saya pegang
satu ruangan khas " Khabar Dari
Sabah". Saya menulis dalam Mingguan Islam, Mingguan Perdana: Borneo Buletin,
Sabah Times,Utusan Borneo,Daily ekspres,Variapop.Majalah Sarina.DarulArqam.
Selepas itu,
barulah saya menceburkan diri dalam bidang penulisan 1982. Cerpen pertama saya di NST
" Di Lembah Sepi"pada tahun 1983 manakala sajak saya yang pertama
bertajuk Orang-Orang Kota. Saya banyak mengasah bakat dengan menghadiri kursus-kursus deskritif dan kreatif
anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, Sabah Times, serta anjuran diadakan oleh
pihak penerbitan akhbar lain.
Saya pernah
mengambil cuti tanpa gaji kerana taksubnya kepada penulisan. Lalu menyeberangi
lautan Cina Selatan untuk meningkatkan pengetahuan dalam kewartawanan. Penulis
dari Sabah yang pertama menghiasi Majalah tabloid BACARIA selama setahun.
Majalah Islam, Mingguan Perdana, Sarina (selama 3 tahun), Sabah Times dan
Utusan Borneo.
UB: Apa nama samaran yang cikgu gunakan?
RJJ: Saya sering menggunakan nama samaran Ramlee
Jalimin Jainin, R.Jalimin Jainin,Tinta Dewata, Tinta Alam dan Suara Alam. Nama
sebenranya saya ialah Mabirin@ Ramlee@ Jalimin bin Jainin.
Saya pernah
berguru dengan Dino SS, Othman Puteh, SN A Samad Said, Prof Hamdan Adnan, Dr
Illias Zaidi, Haji Ismaily Bungsu dan lain-lain lagi.
Saya juga
amat berterima kasih kepada Datuk Jasni
Matlani, Presiden Bahasa yang membimbing saya menjadi penulis prolifik, juga
Duri Durabi, rakan-rakan Bahasa dan Momogonsia.
Sebenarnya saya pernah
mengikuti pembelajaran secara jarak jauh di Universitas Nasional Indonesia
dalaam Jurusan Bahasa dan Kesusasteraan
Indonesia 1996/1997 tetapi tidak diteruskan kerana [U1] masalah peribadi.
Saya juga Pernah
mengikuti kursus teater di bawah
bimbingan Pro. Madya Dr. Mohammad Ghouse Nasaruddin 1983/1984 dan di bawah Puan Salbiah Jabrin
dan shariff Ismail,dan kejurulatihan tarian dari Badan Budaya Kuala Lumpur
1987.
UB: Kegiatan berpersatuan? Cikgu terlibat juga?
RJJ: Dalam kegiatan berpersatuan, banyak persatuan
yang ditubuhkan seperti Angkatan Belia
Kinabalu Sabah (ABKIS), Badan Bahasa Nabawan/Keningau. Persatuan Wartawan
Pedalaman Keningau (IJA). Angkatan Gabungan Penulis-penulis Keningau (Anggerik)
. Pengerusi Badan BAHASA Keningau dan AJK Pusat Negeri.
UB: Mungkin ada
baiknya juga jika cikgu dapat menyebut karya-karya yang pernah diterbitkan?
RJJ: Antara karya yang sudah terbit Antologi
Cerpen ”Pugai Balabak”, Antologi Puisi 5 Negara,Antologi Puisi Mahua Berbisik,
Antologi Puisi Katil 21,Antologi Puisi Solidariti Palestin, Antologi Puisi Hari
sastera ke-17 Cerita Sebuah Perjuangan,
Antolog Puisi Menata Zaman, Antologi Puisi Bianglala Melukis Syurga (Gapena), Antologi
Puisi Kepimpinan Musa Aman dalam puisi, Antologi Puisi Nafas Bumi, Kumpulan
Cerpen Cerita Sebuah Lembah, Antologi Puisi Rohingya, Antologi Cerpen
Mencari 40 Hari, 7 Tahun Mencintaimu, dan ada tiga lagi karya peribadi sedang dalam proses penerbitan Kumpulan Cerpen
Istiqamah, Kumpulan Puisi Gadis-Gadis Kota. Antara karyanya yang tersiar di
Jendela Sabah dan Wadah terbitan DBPCS
ruangan Puisi, BAHASAKU MENANGIS dan
BAI’AH BAHASA.
UB: Pernah ikut
sayembara?
RJJ: Saya pernah memenangi
sayembara Cerpen anjuran Harian Ekspres-BAHASA bertajuk ”Sebuah Sangkar Buat
Cikgu Suraini”. Sayembara YADIM- BAHASA
bertajuk ISTIQAMAH, NST- MOMOGUNSIA bertajuk ” Hatinya abadi di Tinauh”, NST-
MOMOGUNSIA. Puisi saya bertajuk ”cerita Sebuah Perjuangan Penerima Anugerah
Hadiah Sastera Sabah(HSS) 2018/2019 dalam Antologi Puisi Dari Hujan Ke Hujan
bertajuk ” Mencari Cinta Di Sungai Liwagu”. Saya juga menerima Tokoh Penulis
Sabah 2018 dalam Festival Penulis Sabah
UB: Apa motto
cikgu dalam kehidupan?
RJJ: Man Jadda Wa
jadda, maksudnya buat kerja sehingga berhasil.