IR
SHAHELMEY PILIH KEJURUTERAAN AWAM KERANA MINAT BUAT STRUKTUR
SAYA
minat bina struktur, infrastruktur, katanya. Sebab itu,beliau memilih bidang
kejuruteraan awam walaupun ada di antara rakan-rakannya merasa pesimis mengenai
masa depan bidang itu. “Apakah kejuruteraan awan mempunyai pasaran kerja? Nanti
habis sekolah jadi penganggur, begitulah antara komentar kawan-kawannya yang
kebanyakannya cenderung kepada bidang kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan elektrikal. Bahkan beliau
adalah satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil jurusan kejuruteran
awam di Universiti Bristol pada masa itu Pilihannya terbukti tepat. Ketika ekonomi dunia merudum 1998, ramai di antara
rakannya menjadi mangsa kegawatan
ekonomi dan kehilangan kerja sementara rakan mereka yang memilih bidang
kejuruteraan awam masih dapat bertahan.
Itulah
antara kata-kata Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, YB Ir Shahelmey
Yahya mengenang masa lalunya sebagai pelajar universiti Ibu bapanya
selalu berpesan agar belajar rajin-rajin untuk masa depan yang lebih baik.
IR
SHAHELMEY BIN YAHYA, 47, dilahirkan di
Labuan pada 20 Februari 1973 dan membesar dari keluarga penjawat awam. Anak
kedua dari lima beradik ini adalah anak lelaki
sulung . Ayahnya OKK Yahya Ahmad Shah (Allahyarham) adalah mantan Ketua Daerah Putatan, sebelum
pernah menjadi pegawai daerah di beberapa buah daerah manakala ibunya, Halimah
bte Mohd Yusop (Allahyarhamah) adalah seorang pesara guru.
Beliau
pernah mendapat pendidikan awal di SK Pekan Beluran, SRJK St John Tuaran dan
kemudian SK Tansau, Putatan. Seterusnya beliau menempuh pendidikan menengah di
Maktab Sabah (1985-1989). Ir Shahelmey memperolehi Ijazah Sarjana Muda
(Kepujian) Kejuruteraan Awam, BEng (Hons) University of Bristol,, United
Kingdom (1992-1995) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan MBA dari UiTM
(2002-2004).
Antara
pengalaman kerjayanya ialah Jurutera di Sabah Urban Development Corporation
(SUDC) Ahli Majlis Daerah Putatan (2009-2018) Ahli Perbadanan Sabah Credit Corporation (2005-2017), Pengarah
Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Borneo
Highway PDP Sabah Sdn Bhd (2016-2018 dan Pengarah Urusan PS Consulting
Engineers Sdn Bhd.
Dalam
bidang politik, Jurutera Awam Profesional ini pernah menjadi Ketua Pemuda UMN0
Bahagian Putatan (2004-2008) dan Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah
(2013-2018).
Beliau juga adalah Jawatankuasa
Eksekutif, Institut Jurutera Malaysia, Cawangan Sabah (2006-2007) dan Pengerusi
SAFA Daerah Putatan (2009-2007). Dalam
Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, Ir Shahelmey memenangi kerusi Tanjung Keramat dalam
pertandingan lima penjuru dengan
majoriti 1,124 undi. Pada 8 Oktober 2020, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Pembangunan
Masyararakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan
Dayang Siti Nur Hayyat Ag Mohd Saufi dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN
HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat di rumahnya di Kampung Sipanggil,
Putatan. Ikuti petikan wawancara bersama beliau;
UTUSAN
BORNEO: Boleh
beritahu sedikit latar belakang YB? Tarikh dan tempat lahir
YB IR
SHAHELMEY YAHYA: Saya lahir di Labuan pada 20 Februari 1973 dan
membesar dari keluarga penjawat awam. Anak kedua dari lima beradik dan
merupakan anak lelaki sulung .
UB: Di mana YB mendapat pendidikan di peringkat awal?
Dimana YB meneruskan persekolahan?
IR
SHAHELMEY: Disebabkan
pekerjaan bapa saya sebagai Pegawai Daerah (1976-1984), saya banyak berpindah
tempat dan membesar di luar kawasan Kota Kinabalu. Antara sekolah awal saya
ialah SK Pekan Beluran, SRJK ST. John dan SRK Tansau Putatan. Untuk sekolah
menengah pula, saya bersekolah di Maktab Sabah (1985-1989).
UB: Mungkin boleh
ceritakan sedikit pengalaman melanjutkan pelajaran di luar negeri?
IR
SHAHELMEY: Saya Menuntut di Pusat
Pendidikan Persediaan (PPP) Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam untuk
A-Level di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan melanjutkan
pendidikan Sarjana Muda di University of Bristol, United Kingdom (1992-1995)
dalam jurusan Kejuruteraan Awam.
UB: Berapa ramai
pelajar dari Malaysia yang menuntut di Universiti yang sama dengan Ada dari Sabah?
IR
SHAHELMEY: Seingat
saya, lebih kurang 150 orang pelajar Malaysia menuntut di Bristol University
pada waktu saya menuntut di situ. Kurang daripada 10 pelajar dari sabah ketika
itu. Saya merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil jurusan
Kejuruteraan Awam pada masa itu.
UB: Apa yang mendorong YB untuk memilih
kejuruteraan awam?
IR
SHAHELMEY: Saya minat bina struktur,
infrastruktur.Walaupun ada di antara rakan-rakan saya merasa pesimis mengenai masa depan bidang
itu. Apakah kejuruteraan awan mempunyai pasaran kerja? Nanti habis sekolah jadi
penganggur, antara komentar rakan-rakan
yang kebanyakannya cenderung
kepada bidang kejuruteraan
mekanikal dan kejuruteraan elektrikal.
Bahkan panel penemuduga biasiswa JPA ketika itu sempat bertanya mengapa saya
tertarik kepada kejuruteraan awam. Sebenarnya saya dipanggil temuduga untuk
bidang kejuruteraan yang lain. Saya beritahu bahawa saya minat bina struktur, minat membina infrastruktur dan sebagainya. Kejuruteraan
awam mempunyai bidang yang agak luas. Akhirnya saya terpilih dan menjadi
satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil jurusan kejuruteran
awam di Universiti Bristol pada masa itu.
UB: Sekembalinya dari
luar negeri, di mana YB bekerja?
IR
SHAHELMEY: Saya
menamatkan pelajaran untuk peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan pada bulan Jun
1995. Selepas tamat pengajian, saya terus kembali ke Sabah dan mula bekerja di
Sabah Urban Development Corporation Sdn.
Bhd sebagai jurutera pada September 1995.
UB: Apa yang
mendorong YB menceburi bidang politik?
IR
SHAHELMEY: Penglibatan
politik saya dipengaruhi oleh penglibatan politik ibubapa saya dan kaum
keluarga yang lain. Selain dari itu, menyedari dan menghargai sumbangan Dasar
Ekonomi Baru kepada diri saya (i.e dapat tajaan belajar keluar negara dan
peluang-peluang kerja), saya ingin berkongsi kelebihan dengan generasi muda.
UB: Bagaimana respon
keluarga? Apakah mereka memberi halangan? Siapa yang paling banyak memberi
dorongan?
IR
SHAHELMEY: Ahli
keluarga sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam penglibatan politik saya
di dunia politik.
UB: Apa nasihat atau
pesan ibubapa yang masih diingati sampai sekarang? Siapa yang paling banyak
mempengaruhi YB?
IR
SHAHELMEY: Ibubapa
sering menasihatkan kami agar belajar
rajin-rajin untuk masa depan yang lebih baik. Bapa selalu memberi dorongan dan disiplin sebagai seorang pemimpin
manakala ibu sering memberi dorongan untuk belajar dan capai kejayaan.
UB: Bila YB menceburi politik? Apa jawatan yang pernah
dipegang?
IR
SHAHELMEY: Saya mula aktif pada
2001 sebagai AJK Pemuda UMNO Bahagian
Penampang dan bila ada persempadanan semula, saya dipilih sebagai Ketua Pemuda
UMNO Bahagian Putatan dari 2004 sehingga 2018.
UB: Apa perasaan YB
terpilih sebagai calon dan seterusnya menang pilihanraya?
IR
SHAHELMEY: Saya
bersyukur, terharu dan bersedia menang pilihanraya kerana ianya memang sudah dijangka
berdasarkan pembabitan politik yang telah lama aktif semasa dalam Pemuda UMNO
dan sentimen semasa.
UB: Menurut YB apa permasalahan utama yang dihadapi masyarakat Tanjung
Keramat?
IR
SHAHELMEY: Antaranya masyarakat di
Tanjung Keramat memiliki Sistem
perkhidmatan yang lebih baik dan Keperluan perumahan yang lebih teratur dan selesa.
UB: Sebagai wakil rakyat di kawasan yang baru diwujudkan,
apa misi dan visi YB memajukan kawasan Tanjung Keramat?
IR
SHAHELMEY: Aspirasi
saya untuk DUN Tanjung Keramat ialah meningkatkan kualiti hidup masyarakat,
mengutamakan pembangunan sumber manusia berasaskan ilmu pengetahuan
dan menggiatkan aktiviti ekonomi dan
perniagaan.
UB: Selepas dilantik
sebagai ahli jemaah menteri, bagaimana YB membahagikan masa antara tugas
sebagai wakil rakyat, menteri dan ketua keluarga?
IR
SHAHELMEY: Selepas
dilantik sebagai jemaah menteri, pengurusan masa adalah perkara yang penting
dan perlu dijaga. Lebih separuh masa bekerja bertumpu kepada tanggungjawab
sebagai menteri, manakala peranan tugas sebagai wakil rakyat diselitkan dengan
tugas sebagai menteri. Meluangkan masa sebelah lewat petang dan hari sabtu
untuk aktiviti di kawasan, manakala untuk keluarga diperuntukkan padal sebelah
malam dan hujung minggu. Walaubagaimanapun, kelebihan telekomunikasi membuatkan
saya sentiasa boleh berhubung dengan rakyat dan keluarga pada bila-bila masa.
UB: Apa cita-cita YB
sewaktu masih kanak-kanak? Pernah terfikir jadi YB?
IR
SHAHELMEY: Cita-cita
saya memang untuk menjadi jurutera dan teknokrat yang berjaya. Saya memang
terfikir untuk menjadi seorang YB sejak di peringkat A-Level lagi.
UB: YB suka dengar muzik?
IR
SHAHELMEY: Saya suka mendengar muzik
dan lagu yang popular 1985 hingga 1995. Ini yang selalu saya mainkan bila rasa
ingin dengar muzik.
UB: Minat sukan? Apa jenis sukan yang
diminati?
IR
SHAHELMEY: Sebelum ini saya suka
bermain futsal bersama rakan-rakan. Saya juga minat berbasikal. Tapi semenjak
dua tahun lalu, saya kekurangan masa untuk bermain kerana kerja yang semakin
sibuk.
UB: Apa hobi YB?
IR
SHAHELMEY: Saya suka membaca,
melancong bersama keluarga dan sebagainya.
UB: Apa tajuk buku yang baru YB habis baca?
IR
SHAHELMEY: The 5 AM Club: Own Your Morning.Elevate Your Life oleh Robin Sharma.
UB: Terima kasih banyak YB kerana sudi
diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu UTUSAN BORNEO.
IR
SHAHELMEY: Terima kasih banyak.Moga
bermanfaat.