Jumaat, 11 Oktober 2019

SEKADAR TRANSIT DI BANDAR SERI BEGAWAN

Tags

SEKADAR TRANSIT DI BANDAR SERI BEGAWAN

Penerbangan Royal Brunei BI 6822 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan pada jam 12.35 tengahari selepas berada di atas udara kira-kira 45 minit dari Kota Kinabalu pada Selasa 13 Ogos.

Kami sedang dalam perjalanan ke Bandara Soekarno Hatta di Cengkareng sebelum terbang lagi ke Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi. Tidak ada pilihan lain. Kami terpaksa bermalam di Brunei sebelum melanjutkan penerbangan keesokan harinya.

Sepupu saya, Wivita sudah menunggu di balai ketibaan. Selepas bertanya khabar, beliau menghantar kami ke Qing Yun Resthouse berdekatan Mall Gadong. Namun setibanya di sana, pekerja hotel memberitahu, ada lagi sebuah rumah penginapan Qing Yun yang terletak berdekatan lapangan terbang.

Letaknya tidak jauh dari Bangunan Times Square. Selepas bertanya ke sana sini, akhirnya kami menemui Qing Yun Resthouse, yang terletak di Bangunan Haji  Munchit.

Sewa hotelnya agak murah iaitu 45 Dolar Brunei atau kira-kira RM136.00. Memadailah untuk sekadar transit. Selain itu kami juga meminta untuk dihantar ke lapangan terbang dengan bayaran 5 Dolar Brunei atau RM15.00. Berbanding jika menaiki teksi, yang mengenakan bayaran sekitar 15 Dolar Brunei atau RM45.00.

Selepas check in, kami mencari makanan untuk mengalas perut. Tidak berapa jauh di sana, ada Restoran Feyza, yang menawarkan pelbagai jenis makanan.

Dari Restoran Feyza, kami sempat ke Times Square untuk mencari tempat untuk menukar wang.

Negara Brunei Darussalam kini semakin meningkat maju. Negara berpenduduk kira-kira 428,697 (2017) mendapatkan kemerdekaan pada 1 Januari 1984. Negara terkaya di dunia itu mempunyai keluasan sebesar 5,765 km persegi dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Pendapatan perkapita rakyatnya ialah USD79,700 manakala hasil utamanya adalah minyak dan gas.

Banyak perkara menarik sepanjang pengalaman berada di bandar Seri Begawan, iaitu ibu kota negara Brunei Darussalam.

Bagaimanapun, suratkhabar Media Permata, akhbar terkemuka di negara itu melaporkan kualiti udara Miri berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 342 setakat jam 3 petang pada 12 Ogos.

Selain laporan ibadah korban serikan Aidil Adha, tajuk utama akhbar berkaitan denhan tunjuk perasaan pro demokrasi yang membanjiri lapangan terbang Hong Kong menyebabkan sekurang-kurangnya 150 penerbangan  keluar dan masuk ke Hong Kong melibatkan kira-kira 200,000 penumpang dibatalkan pada  hari itu.

Sebenarnya saya tidak memberitahu rakan-rakan di Brunei bahawa kami akan transit di negara itu. Kami iaitu Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI), Haji Masrin Haji Hassin, dan AJK BKI, Mabulmaddin Haji Shaiddin yang juga seorang penyair dan pengkaji budaya dan saya sendiri sedang dalam perjalanan untuk mengikuti program Ziarah Budaya Iranun-Melayu Timur di Tanjung Jabung Timur pada 14 hingga 17 Ogos.

Kami mengambil kesempatan untuk menghubungi seorang penyair, seorang pencinta budaya, yang menghasilkan beberapa buku mengenai Syair Pendek, atau Syapen, satu genre baru dalam dunia syair.

Kalangan sastera dan budaya mengenalinya sebagai Pehin Ibnu Raheem, manakala saya biasa menyapanya sebagai Ayahanda Pehin. Seorang yang bersahaja dan sederhana walaupun, kami ketahui kemudiannya bahawa beliau adalah salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara .

Pertemuan dengan Ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei,Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abd. Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim sangatlah mengujakan. Beliau mengajak kami makan malam di salah sebuah restoran terkemuka di Bandar Seri Begawan.

Saya sempat bertanya kepada beliau bagaimana mulanya beliau terlibat dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Menurut ceritanya, beliau menulis sejak menuntut di Kolej Islam Kelang pada akhir tahun 60-an lagi.

Ada kisah menarik yang menyebabkan beliau memilih syair berbanding puisi kerana ada sebuah tragedi yang dialaminya ketika menghasilkan sajak. Karya-karyanya disalahfahami oleh peminat menyebabkan beliau memilih syair.

Selain itu, beliau juga menceritakan pengalaman ketka peristiwa 13 Mei 1969, yang beliau saksikan dengan matanya sendiri.

Memang agak menyeronokkan mendengar kisah lama. Selepas iu beliau membawa kami melihat salah satu projek Julangan Titah iaitu  Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

Saya agak tertarik dengan kuih yang disebut kuih malaya. Rupanya kuih malaya yang dimaksudkan itu ialah apam balik atau juga dikenali sebagai kuih terang bulan.

Kesudian dan kebaikan hari Ayahanda Pehin Haji Ghani  dan isterinya, Datin Hajah Jaliha Haji Bujang akan tetap jadi kenangan. Ia menjadi satu pengalaman manis ketika berada di Brunei.

Keesokan harinya, saya sempat menghubungi seorang sahabat lama. Kami sudah lama tidak berjumpa kira-kira 20 tahun. Pertemuan terakhir kami ialah di Pulau Manukan ketika beliau masih menjadi mahasiswa di Universiti Brunei Darussalam. Kebetulan beliau satu kelas dengan sepupu saya, Ahmad Musthah Maning. Dari Ahmad Musthahlah saya memperolehi nombor handphonenya.

Beliau mengajak kami bersarapan dan mempelawa untuk menghantar kami ke lapangan terbang. Pucuk dicita ulam mendatang. Saya sendiri agak teruja kerana lama tidak bersua. Di sebalik kesibukannya sebagai Pemangku Pegawai Kastam dan Eksais Diraja, Awang Muhsin Haji Ahmad menyempatkan diri untuk bertemu.

Terima kasih banyak. Ia menjadi kenang-kenangan sebelum kami melanjutkan penerbangan ke Jakarta.