MELIHAT JAKARTA DARI JALAN KEBON KACANG
MUNGKIN dahulu di tempat itu, banyak orang menanam kacang. Sebab itu, ia dinamakan Jalan Kebon Kacang. Mengikut cerita, daerah itu terkenal sebagai kawasan perkebunan , antaranya kebun kacang, yang dibuat minyak kacang dan menjadi salah satu komoditi paling laris ketika zaman Belanda. Selain kacang, di kawasan berdekatan Tanah Abang itu, ada kebun sirih, ada kebun halia, ada kebun melati dan sebagainya.
Tetapi sekarang, hanya tinggal nama jalan. Saya tidak melihat satu pun kebun kacang kerana sekarang kawasan itu ditumbuhi bangunan-bangunan tinggi dan menjadi salah satu kawasan komersil terkenal di Jakarta.
Di sanalah rombongan kami menginap, di salah sebuah hotel terkenal, Grand Picasso yang terletak di Jalan Kebon Kacang 9. Dari hotel, kita hanya perlu berjalan kaki, tidak sampai lima minit untuk ke Thamrin City, yang sering menjadi tumpuan pelancong atau pengunjung yang ingin mendapatkan pelbagai jenis kain dan barangan yang murah.
Tempat itu sengaja dipilih untuk memudahkan anggota rombongan yang suka membeli belah. Mereka tidak perlu pergi jauh, cukup di Thamrin City itu saja jika ingin mendapatkan apa saja barangan dalam harga yang terjangkau dan murah.
Dalam kunjungan ke Jakarta untuk membuat liputan Inacraft 2019, saya sempat berkunjung ke Thamrin City pada hari terakhir sebelum pulang ke tanahair.
Biasanya, walau betapa sibuk pun, saya tetap mencari waktu untuk ke Toko Buku Gramedia. Di sana banyak dijual buku baru, murah dan berkualiti. Tetapi kali ini cuaca agak tidak bersahabat. Malah menurut beberapa akhbar utama seperti Kompas, banjir berlaku di Jakarta Selatan.
Hujan berlarutan hingga petang sehingga hasrat ke Taman Ismail Marzuki (TIM) di Cikini terpaksa ditangguhkan. Kebetulan ketika itu pelancaran buku karya penyair dari Riau Kunni Masrohanti.
Saya memilih untuk ke sana selepas Maghrib untuk bertemu rakan-rakan penulis yang berada di Jakarta.
Mbak Hilda, penyair yang karyanya banyak dterjemah ke bahasa asing termasuk bahasa Rusia menyempatkan diri ke TIM. Mas Tatus, penulis muda dan Ary juga datang.
Peristiwa yang tidak terduga ialah pertemuan dengan Penyair Sutarji Calzoum Bachri, yang dikenali sebagai Presiden Penyair Indonesia. Kami sempat duduk ngopi sambil asyik bertanya itu ini kepada Sutarji.
Kemudian bertukar fikiran mengenai perkembangan sastera di Nusantara, sambil duduk ngopi di kawasan pintu keluar sebelah kiri TIM, yang biasanya di pasang Sepanduk Kegiatan.
Sebelum itu saya sempat ke Toko Buku Pak Jose Rizal Manua, sambil mengucapkan takziah atas pemergian anaknya. Kalau ke Jakarta, tidak sah rasanya, kalau tidak ke toko buku itu. Ia memiliki banyak koleksi buku Indonesia dan Malaysia, yang dijual dengan harga istimewa malah dirundingkan.
Setiap bertemu, Pak Jose Rizal selalu meminta disampaikan salam ke Pak Samad, (Sasterawan Negara Datuk A Samad Said) . Jika bertemu insyaAllah saya sampaikan, saya beritahu beliau kerana sudah lama tidak bertemu Pak Samad, apatah lagi kami tinggal dipisah Laut Cina Selatan.
Diskusi malam itu memang menarik. Banyak yang dapat didiskusi malah didebatkan. Mas Ary mengambil peluang untuk mengasak Mbak Hilda dengan pelbagai pertanyaan sekitar puisi.
Saya memberikan sedikit senario mengenai kegiatan sastera di Malaysia, dan perkembangan mutakhir sastera.
Saya melihat jam tangan. Malam hampir larut dan saya perlu pulang ke hotel untuk mengemaskan pakaian. Esok harus pulang ke Kota Kinabalu melalui Kuala Lumpur. Kemudian saya memesan grab untuk ke Kebon Kacang. Mas Ary dan Mas Tatus menemani saya hingga Grab datang.
Asyik bicara sastera sehingga saya terlupa bahawa sebenarnya kira-kira seminggu sebelum itu, Indonesia baru saja mengadakan pilihanraya bagi memilih Presiden Baru. Presiden Jokowi terpilih semula tetapi ketika itu proses pengiraan masih berlangsung. Keputusan belum dimuktamadkan oleh KPU ketika itu.
Jakarta sedang membangun dengan pesat. Pembinaan LRT sedang giat dijalankan di Jakarta. Sebab itu, pengalaman berada dalam kesesakan lalu lintas bukan lagi satu pengalaman baru. Tetapi jika semua infrastruktur siap, aliran lalu lintas di Jakarta akan lebih lancar lagi.
Mungkin banyak lagi yang boleh diceritakan dalam kunjungan yang akan datang. Dalam kunjungan kali ini, pertemuan dengan rakan rakan penulis, menjadi salah satu peristiwa paling berharga ketika berada di Jakarta.