Jumaat, 11 Oktober 2019

CATATAN KETIKA TIBA DI BANDUNG, HARI PERTAMA PROGRAM WISATA HALAL JAWA BARAT 9-12 SEPTEMBER

Tags

CATATAN KETIKA TIBA DI BANDUNG, HARI PERTAMA PROGRAM WISATA HALAL JAWA BARAT 9-12 SEPTEMBER

Hari masih terlalu pagi ketika kami tiba di Bandara Husein Sastranegara, lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Kota Bandung. Mengikut jadual pihak penganjur Wisata Halal Jawa Barat akan menyambut ketibaan kami kira-kira jam 12.00 tengahari.

Dalam program Famtrip kali ini, penganjur akan membawa kami mengunjungi tempat-tempat menarik di Bandung dan Cirebon, berkunjung ke makam Sunan Gunung Djati, pesantren, pasar terapung, Istana Kesultanan Cirebon dan kemudoan menghadiri Asita West Java Travel Mart 2019 di Hotel Aston Cirebon.

Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, sambil menunggu bagasi, saya sempat berkenalan dengan beberapa peserta yang menyertai program itu.

Kali ini peserta Famtrip Wisata Halal Jawa Barat ialah Bibie Arzilla dari Fun Holiday Kota Kinabalu, Madona James dari Exotic Asian Explorer (Borneo), Kota Kinabalu, Mohd Hisham Shaharudin (Selangor),Mohd Rezwan Alias (Selangor) Ansar Ahmed dari Grand Holiday Malappuram, Kerala India, Roslina dari Raffles Holidays Singapura.

Rupanya Pak Daniel Nugraha, penganjur dari Exotic Java Trails, satu penerbangan dengan kamu dari Kuala Lumpur. Jadi tidak ada yang perlu dibimbangkan. Kami hanya perlu menunggu rakan lain yang belum tiba.

Pemandu pelancong kami memperkenalkan dirinya sebagai pak Sutandi. “Walaupun nama saya Sutan, saya bukan orang kaya” katanya berjenaka. Beliau mengucapkan selamat datang kepada milyuner atau jutawan baru ke Bandung. Ketika itu, wang satu juta rupiah bersamaan dengan RM295.20.

Wilujeg Ajeng, katanya dalam bahasa Sunda. Jawa Barat adalah yang majoriti penduduknya orang Sunda. Kemudian beliau memperkenalkan pemandu Van bernama Pak Darsono. Mereka inilah yang menjadi rakan kami sepanjang perjalanan ke Bandung dan Cirebon.

Selepas itu, Pak Daniel mengajak kami ke sebuah hotel baru  di Jalan Braga no 10 Bandung. Sebuah hotel yang lumayan cantik , de Braga by artotel.  Kami menikmati pelbagai makanan Sunda di hotel itu. Pengurus Besarnya, Anton Susanto juga turut melayani kami.

“Berapa kali ke Bandung?”

“Ini pertama kali,” kata Mohd Hisham, yang kami panggil Bang Hisham. “Pertama kali untuk bulan  ini, katanya menyambung yang membuat kami tertawa.  Sebagai pemilik syarikat pelancongan, sudah pastilah beliau sering berkunjung ke Indonesia.Beberapa di antara rombongan kami, memang pertama kali ke Bandung dan agak teruja dengan kunjungan itu.

Selepas sarapan, kami berjalan kali melihat bangunan-bangunan lama di Bandung. Kebetulan Museum Asia Afrika tidak dibuka pada hari Isnin, jadi kami hanya mengunjungi jalan raya yang terpanjang di dunia, kata Bang Hisham.

“Terpanjang kerana jalan itu terbentang dari Asia ke Afrika,” katanya. Sebenarnya, jalan yang dimaksudkannnya itu ialah Jalan Asia Afrika yang terkenal di Bandung, dan pernah dilalui oleh pemimpin-pemimpin Asia Afrika yang mengikuti Persidangan Asia Afrika di Bandung pada 1955.

Kami sempat bergambar di hadapan Gedung Merdeka, bangunan bersejarah yang menjadi tempat persidangan negara-negara berkecuali. Gedung Merdeka mempunyai sejarah tersendiri, dibina pada 1895 dan kemudian dibaik pula sepenuhnya pada 1926.Pada zaman pendudukan Jepun, ia dijadikan Pusat Kebudayaan dan dinamakan dai Toa Kaman.Ketika proklamasi kemerdekaan, ia menjadi markas pemuda Indonesia menghadapi tentera Jepun.

Namun pada 1955, Gedung Merdeka dijadikan tempat persidangan Persidangan Asia Afrika Bandung.

Di hadapan bangunan itu, kami mengabadikan gambar kenang-kenangan. Selepas itu, kami sempat berkeliling kota itu sambil menunggu ketibaan peserta dari Singapura. Setelah itu, kami akan singgah ke pasar terapung di Lembang sebelum meneruskan perjalanan ke Grage Sangkan Hotel di Kuningan Cirebon.

Perjalanan agak jauh juga, walaupun jangkaan kami hanya kira-kira tiga jam, namun hakikatnya, kami tiba waktu malam di Kuningan.

Malam itu, memang saya memimpikan untuk bertemu Sunan Gunung Djati, salah seorang wali songo yang terkenal di Cirebon.


Artikel Terkait