CATATAN KETIKA BERKUNJUNG KE BANJARMASIN
SEBENARNYA saya tidak menyangka Pak Zulfaisal Putra menunggu di Bandara Internasional Syamsudin Noor pada petang 3 Oktober itu. Sebabnya kerana acara Hari Puisi Antarabangsa Indonesia (HPI) sempena Ulang Tahun Kota Banjarmasin kali ke 492 hanya akan bermula pada 5 hingga 7 Oktober. Saya hanya memberitahu bahawa kemungkinan saya tiba pada Rabu, 3 Oktober, kerana penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Jakarta hanya dua kali seminggu iaitu setiap Rabu dan Ahad.
Sebaik tiba di Bandara Soekarno Hatta dengan pesawat Batik Air ID7168 pada jam 7.55 pagi selepas dua jam 55 minit penerbangan dari Kota Kinabalu, saya terus ke Terminal 1 A untuk melanjutkan perjalanan ke Banjarmasin dengan pesawat Lion Air. Penerbangan dijadualkan 11.20 pagi WIB dan tiba di Banjarmasin pada jam 2.05 petang. Waktu Banjarmasin sama waktu dengan Malaysia.
Pesawat mendarat agak jauh dan kami terpaksa diangkut dengan bas bandara ke Terminal. Sambil menunggu bagasi, saya terbaca mesej Pak Zul memberitahu beliau menunggu di luar.
Walaupun ini pertama kali saya ke Banjarmasin, tetapi saya tidak merasa risau dan asing. Sebelum itu, ketika singgah di Jakarta, saya sempat menempah hotel melalui KAHA di lapangan terbang. Saya berfikir, selepas keluar dari bandara saya akan naik teksi saja ke hotel Amaris.
Tetapi Pak Zulfaisal, penganjur acara HPI, penulis dan penyair sekaligus Kepala Bidang Kebudayaan Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Banjarmasin, itu sudah menunggu di Bandara bersama kak Ony yang tiba kira-kira sejam lebih awal dengan Batik Air. Dari Kota Kinabalu, kami satu pesawat ke Jakarta tetapi jadual penerbangan ke Banjarmasin berbeza kerana saya memilih waktu yang lebih selesa agar tidak terlalu terburu-buru.
Banjarmasin adalah bandaraya terpadat di Kalimantan. Penduduknya sekitar 700,000 orang. Saya pernah terbaca kota Banjarmasin melahirkan banyak tokoh-tokoh ulama. Salah satunya yang terkenal ialah Sheik Arshad Al Banjari yang terkenal dengan kitab Sabilal Muhtadin.
Kota Banjarmasin yang sudah berusia 492 tahun juga adalah muara peradaban dan terkenal di Nusantara sejak dahulu, Kebanyakannya penduduknya dari suku melayu Banjar. Suku Melayu Banjar ini juga tersebar di Nusantara. Selain di Kalimantan, orang Banjar juga terdapat di Sulawesi, di Sumatera seperti Riau dan Jambi, di Semenanjung Malaysia seperti di Johor, Selangor dan Perak, bahkan di Sabah sendiri, terdapat beberapa kampung yang dihuni orang Banjar seperti di Keningau, Kudat, Sandakan dan sebagainya.
Saya tidak menyangka dapat ke Banjarmasin, tapi berkat sokongan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu dan beberapa rakan yang banyak membantu, perjalanan ke Kota Banjarmasin dapat direalisasikan.
Tanpa disedari, kami sudah berada di Jalan Ahmad Yani, jalanraya terpanjang di Banjarmasin iaitu sepanjang 230 km melintasi dua kota dan 7 kabupaten. Selepas singgah di rumah pak Zul, beliau menghantar saya ke Hotel Amaris kerana saya perlu menghantar artikel melalui emel ke pejabat di Kota Kinabalu.
Setibanya di hotel, saya terus saja menulis dan menghantar emel sebelum deadline jam 5.00 petang.
Namun selepas itu, saya tidak ke mana-mana kerana terpaku melihat siaran tv. Beberapa saluran tv seperti tvone, kompas tv, dan beberapa saluran lain menayangkan proses pencarian mangsa-mangsa gempa bumi di Palu, Sigi dan Donggala pada 26 September yang mengorbankan hampir 2000 orang.
Selepas jam 8.30 malam, baru saya teringat belum makan. Tapi saya tidak bimbang kerana banyak warung di depan hotel. Selain itu, ada juga khidmat Grab. Namun kemudian Pak Gusti Ardiansyah dan Kak Ony datang menjemput membawa makan di Rumah Makan Acan Raja Banjar.
Di sana kami sempat mencicipi ikan patin dan ikan nila atau ikan tilapia. Ada beberapa jenis lauk, yang menarik ialah mandai, yang dibuat dari cempedak.
Selain itu, banyak juga cerita yang dapat dikongsikan dengan Pak Gusti, yang berlatarkan biologi itu, dan kini setelah pensiun punya kebun limau sendiri. Banyak yang dapat didiskusikan mengenai budaya antara Kalimantan Selatan dan Sabah, dari segi kesamaan budaya dan bahasa, kerana biar bagaimanapun, Banjarmasin dan Sabah masih tetap berada di daratan dan pulau yang sama.
Selepas pulang ke hotel, saya tidak ke mana-mana lagi selain menikmati buah mangga yang dibeli di luar hotel. Keesokan harinya, selain menyiapkan beberapa tugasan yang belum selesai, saya menunggu panggilan Pak Zul. Saya meminta beliau untuk mengatur sesi wawancara eksklusif dengan Walikota Banjarmasin, H Ibnu Sina.
Wawancara itu hanya dapat dilakukan kira-kira jam 3.00 petang setelah menunggu beberapa ketika pak walikota menerima banyak tamu.
Alhamdulillah, selepas itu, saya diberi kesempatan untuk menemuramah pak Walikota mengenai Banjarmasin yang menyambut ulangtahun yang ke 492.
“Saya ingin menjadikan Banjarmasin sebagai kota sungai yang terindah dan terbaik di Indonesia,” katanya.
Walikota Banjarmasin, H Ibnu Sina dilahirkan pada 4 Januari 1975. Beliau dibesarkan di kalangan keluarga yang taat beragama.Lulusan Universiti Lampung Mangkurat (UNLAM)terpilih sebagai Walikota, Banjarmasin bagi tempoh 2016 hingga 2021.Sebelum itu, pada 2004,beliau pernah terpilih sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) termuda di Kalimantan Selatan.
Kota Banjarmasin adalah salah satu paling tua, ia sudah ada sejak Indonesia berdiri.Ia juga adalah satu provinsi daripada lapan provinsi yang awal didirikan sejak Indonesia mereka, katanya. Di sini semboyan kita “Banjarmasin baiman, Banjarmasin yang bersih dan nyaman.Baiman itu barasih dan nyaman atau bersih dan nyaman dan bisa memberikan kenyamanan atau memudahkan aspek perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, masih ada yang kerja yang perlu dilakukan iaitu perkembangan ekonomi kreatif dengan membentuk wira usaha baru, serta smart city yang masih belum tercapai seperti yang kita harapkan,
“Kendati demikian, kami berharap ke depannya ekonomi kreatif dan smart city berkembang pesat, dan signifikan demi tercapainya Banjarmasin menjadi kota sungai berbasis ekonomi kreatif dan smart city,” kata H Ibnu Sina.
Selepas itu, kami meminta diri. Pak Zul membawa saya ke Restoran di Banua Anyar. Hari sudah petang sebenarnya, dan kami agak kelaparan kerana belum makan. Banyak lauk pauk yang menyelerakan.
Alhamdulillah, selepas itu kami ke pejabatnya sebelum saya dihantar pulang ke Hotel Amaris.Saya sudah berjanji untuk menunggu Mas Eko Wahyudi. Mas Eko, abang kepada Indra suami arwah Nunung, sepupu kepada isteri saya. Saya pernah bertemu Mas Eko di Tanjung Selor pada tahun 2004. Kebetulan pula beliau sudah dua tahun bertugas sebagai pengurus di Telkomsel.
Saya agak terharu dan gembira dengan pertemuan dengan mas Eko. Lama tidak berjumpa, mungkin sudah berbelas tahun lamanya. Sempat juga kami bercerita sewaktu makan soto banjar tidak jauh dari lapangan terbang banjarbaru.
Kami memilih tempat itu kerana selepas itu saya ingin berkunjung ke rumah Hajah Indri, di jalan Bumi Berkat 5, di depan Gardu Pln Cempaka. Ibu Hajah sepupu Bang Nanang. Bang Nanang pula adalah keluarga isteri saya.
Sebelum itu, saya sempat singgah di Mingguraya, banjarbaru. Di sana rakan-rakan dari komuniti penulis banjarbaru sedang menunggu untuk kopi bersama.
Mungkin hanya di sana, satu satunya tempat di dunia, di mana kita dimestikan malah diwajibkan membaca puisi. Tidak kira anda siapa, orang sastera atau orang biasa, asalkan pertama kali berkunjung ke Mingguraya, anda dimestikan membaca puisi.
Puisi itulah yang mempertemukan kami. Mungkin kerana puisilah yang membawa saya berkunjung ke Banjarmasin.