Ahad, 31 Disember 2017

SABAH BERIKAN UDARA YANG SEGAR, KATA AKHMAD D H IRFAN

Tags






SABAH BERIKAN UDARA YANG SEGAR, KATA AKHMAD D H IRFAN


SELEPAS tiga tahun tiga bulan berkhidmat sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, akhirnya beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kerana memenuhi panggilan tugas di Jakarta, Indonesia. Alangkah beratnya perpisahan, lebih-lebih lagi kerana beliau sudah jatuh cinta dengan keindahan alam dan masyarakat di Negeri di Bawah Bayu ini. "Sabah memberikan udara yang segar, masyarakatnya ramah dan makanannya enak," katanya namun semua itu sebentar lagi hanya jadi pengalaman dan kenang-kenangan.
Akhmad  Daya Handasah Irfan atau Akhmad DH Irfan  lahir di Jakarta pada 2 Disember 1959  dan dibesarkan dengan latar budaya Betawi meskipun ayah dan ibunya  berasal dari Jawa Barat. Beliau mendapat pendidikan rendah di SD Cenderawasih sebelum melanjutkan sekolah di Sekolah Menengah Negeri Bulungan. Selepas iitu, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Hukum Jakarta manakala pada sebelah petangnya mengikuti kuliah di Universitas Muhammadiyah Jakarta. Sebaik tamat kuliah, beliau sempat bekerja sebagai Pegawai Penjara sebelum berpindah ke Kementerian Luar Negeri. (KEMLU) Sepanjang kerjayanya sebagai diplomat,beliau pernah ditugaskan di Sepanyol, Korea Selatan, Negara Brunei Darussalam dan Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Ketua Perwakilan Republik Indonesia di KJRI Kota Kinabalu pada 15 Oktober 2014. Selepas tiga tahun tiga bulan di Sabah, beliau kembali bertugas di Kemlu Jakarta pada 2018.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Bapak Akhmad DH Irfan di pejabatnya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu pada satu petang sambil menikmati teh kosong. Hari hari terakhir Pak Irfan dipenuhi dengan pelbagai program dan agenda yang padat. Selain menerima kunjungan dan mengadakan pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat, beliau juga mengadakan kunjungan perpisahan kepada TYT Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Haji Juhar Mahiruddin,  Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,dan pemimpin kerajaan negeri yang lain antaranya  Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Datuk Raymond Tan Shu Kiah,Menteri Pembangunan Infrastrukur Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan lain-lain.
Sebelum sesi wawancara itu, beliau baru balik dari sebuah hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Doktor menasihatkan supaya saya jangan lari kencang atau jangan melompat-lompat. Sebabnya berat badan saya naik kira-kira 12 kilogram.
"Saya  menyalahkan Sabah," katanya . "Apa salah Sabah pak?" Sabah memberikan udara yang segar dan segala makanan yang enak sehingga berat badan saya bertambah" katanya sambil tersenyum.  Ikuti petikan wawancara terakhir sebelum beliau meninggalkan Negeri Di Bawah Bayu pada 31 Disember 2017 untuk menyahut panggilan tugas yang baru di Jakarta.
UTUSAN BORNEO:  Sepanjang tiga tahun tiga bulan berkhidmat di Sabah, tentu ada perkara yang mengesankan buat Pak Konjen . Boleh tahu apa yang paling mengesankan buat Pak Konjen?
AKHMAD DH IRFAN: Bagi saya paling mengesankan sepanjang perkhidmatan di Sabah selama tiga tahun tiga bulan  ialah bertambahnya pelayanan pendidikan untuk  anak-anak tenaga kerja Indonesia  khususnya yang berada di ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negeri. Kalau dulu hanya terdapat 190 Pusat pembelajaran Komuniti (CLC) ,kini jumlah CLC sudah bertambah kepada 227 CLC dengan jumlah pelajar kepada lebih 25,000 pelajar.Data terakhir beberapa bulan  lalu menunjukkan jumlah pelajar ialah 24,850 orang dan kini sudah banyak pertambahan.
Saya berterima kasih kepada Kerajaan Sabah yang tidak jemu dan sentiasa memberikan kerjasama untuk membolehkan pelayanan pendidikan dapat diakses oleh anak-anak warga Indonesia.
Salah satu tugas utama kita adalah memberikan pelayanan pendidikan kepada anak-anak warga Indonesia.Harap harap di masa akan datang, kami bisa memberikan pelayanan yang lebih baik kepada anak-anak warga Indonesia termasuk juga kepada anak-anak di luar ladang.
Kami  berharap lebih banyak warga Indonesia menikmati layanan pendidikan. Kita harapkan CLC akan bertambah dari segi jumlah mahupun dari segi kualiti. Kini masih ada yang mendapat pelayanan atau akses pendidikan.
UB: Selepas sekolah di CLC, dimana mereka melanjutkan pendidikan?
KONJEN: : Pelajar-pelajar itu melanjutkan pelajaran di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK). Selepas itu, mereka berpeluang melanjutkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam waktu dekat, kita berharap bisa memenuhi peluang pekerjaan di hotel-hotel yang belum diisi seperti bell boy dan sebagainya.
Banyak di antara lulusan SIKK, melanjutkan pendidikan di Indonesia. Malah, kini sudah ada anak-anak pekerja ladang yang diterima di sekolah pilot di Serpong. Lulus jadi pilot, sudah tentu mempunyai peluang untuk merubah nasib.Sebelum ini , dia sendiri tidak pernah terfikir untuk jadi pilot.
UB: Mungkin Pak Konjen boleh beritahu mengenai jalur pengangkutan Serudong-Semanggaris yang khabarnya akan dibuka?
KONJEN: Jalur mobilitas Serudong-Semanggaris bakal dibuka mungkin tahun depan. Di Wilayah Indonesia sudah ada kemudahan CIQ,  banyak kemudahan sudah ada. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuannya dengan Presiden Joko Widodo di Kuching sudah bersetuju untuk membuka jalan. InsyaAllah, ia akan memberi manfaat kepada kedua wilayah. Sebelum ini jalur pengangkutan hanya melalui laut. Sudah pasti pembukaan Serudong -Semanggaris itu kelak akan merancakkan lagi ekonomi di Sabah dan Kalimantan.
UB: Dalam banyak-banyak tempat yang bapak kunjungi di Sabah, apa tempat yang paling menarik bagi pendapat Pak Konjen?
KONJEN: Saya fikir Kudat. Pantainya Luas. Airnya Biru. Kita bisa mandi manda di sana. Kalau di Likas atau Tanjung Aru, airnya berpasir. Kudat, daerah di utara Sabah sangat berpotensi untuk membangun dari segi ekonomi. Apatahlagi, tidak lama lagi ,akan ada perkhidmatan transportasi atau pengangkutan antara Kudat dan Palawan di Filipina. Ini akan membawa rahmat kepada daerah-daerah lain di Sabah .
UB: Boleh komen sedikit mengenai Penerbangan Terus Kota Kinabalu-Jakarta yang baru saja beroperasi?
KONJEN: Saya mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Sabah (Kerajaan Negeri) kerana memberi sokongan penuh untuk penerbangan terus laluan KK- Jakarta
Ini membuka kemungkinan kerjasama pariwisata (pelancongan)  yang besar yang akan memberi manfaat kepada kedua pihak. Investasi (pelaburan)  akan bertambah.Ruang tenaga kerja akan makin meningkat. Walaupun ada juga hal negatif kerana jika pemeriksaan longgar berakibat orang yang tidak dikehendaki menyusup masuk.  Budaya akan luntur atas nama peningkatan pelancong. Tapi secara keseluruhannya, peningkatan pelancong dan kegiatan pariwisata akan memberikan dampak positif terhadap potensi ekonomi di Sabah.
UB: Pendapat pak Konjen terhadap pekerja Indonesia yang bekerja tanpa izin di Sabah?
KONJEN: Dalam pertemuan saya dengan Tan Sri Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan, saya saya sangat setuju dengan pandangannya agar TKI ilegal sebaiknya dihentikan. Kita sudah mengadakan pelbagai program untuk mengatasi masalah ini, tetapi peminatnya cuma sedikit. Kita berharap masalah ini akan dapat diatasi secara tuntas.
UB: Bagaimana

Kami bersedia mengeluarkan pasport kepada pekerja Indonesia yang sudah tamat tempoh pas kerja asalkan ada majikan yang menjamin untuk memperkerjakan mereka.  Bagi warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen, mereka harus pulang dulu ke Nunukan dan menguruskan dokumen mereka. Di sana  ada Layanan Terpadu Satu Pintu (LTSP)  yang boleh membantu mereka yang ingin keluar negara
UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai Paspor Simkim?
KONJEN: Pasport Sistem Informasi Manajemen Keimigrasian (SIMKIM) dibuat untuk meningkatkan pelayanan dan kepuasan publik melalui pelayanan keimigrasian yang lebih transparan, akauntabel dan responsif. Selain itu, ia memberikan jaminan pelayanan yang lebih baik.
Sistem Informasi Manajemen Keimigrasian (SIMKIM)  dikembangkan oleh Direktorat Jenderal Imigrasi, Kementerian Hukum dan HAM RI seiring dengan kemajuan dalam teknologi informasi. Memang pengeluaran pasport ini memakan waktu dan biaya tetapi ia lebih selamat. Tidak akan berlaku lagi isu double identiti, kerana setiap orang hanya punya satu nombor pasport yang dibuat berdasarkan cap jari dan retina mata. Setiap pengeluaran pasport akan di `check' atau diperiksa dulu di Jakarta.
UB: Sejak beberapa tahun lepas, sering diadakan upacara istbat nikah. Bagaimana respon warga Indonesia di Sabah terhadap program ini?
KONJEN: Respon warga Indonesia terhadap program Istbat Nikah amatlah baik. Sejak program ini diadakan pada 2011, hingga kini terdaoat kira-kira 2,500 pasangan yang mengikuti program ini.
UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai program ini?
KONJEN: banyak pernikahan yang dilaksanakan oleh warga Indonesia yang bekerja di Sabah didapati tidak mengikuti syarat dan peraturan undang-undang sehingga mencipta permasalahan baru.Antaranya, pernikahan yang dibuat tidak mengikuti peraturan setempat dan tidak mendaftarkannya kepada kerajaan Indonesia melalui konsulat.

Selain itu juga banyak terdapat pernikahan antara sesama warga Indonesia yang dilaksanakan secara siri dan tidak terdaftar mengikut undang-undang negara Indonesia sehingga anak yang lahir dari pernikahan berkenaan tidak memperoleh perlindungan atas hak-haknya termasuk antaranya hak pendidikan, hak waris, dan lain sebagainya.

Oleh itu, dalam usaha  menghadirkan negara untuk memberikan perlindungan dan kepastian hukum bagi hak-hak suami-isteri dan anak-anak yang dilahirkan dari pernikahannya, maka KJRI Kota Kinabalu bersama Pengadilan Agama Jakarta Pusat, melaksanakan program Sidang Itsbat Nikah yang diadakan setiap tahun.
Malah ada pasangan yang sudah 40 tahun nikah mengikut program istbat nikah itu agar pernikahan didaftarkan secara sah. Yang menarik, anaknya juga mengikuti program yang sama.
UB: Bagaimana hubungan antara KJRI KK dengan pemerintah setempat?
KONJEN: Hubungan kami  sangat baik.Kami saling berkunjung antara satu sama lain. Kami selalu berkunjung ke Istana untuk meraikan sambutan Hari Jadi TYT, Malah dalam acara Rumah terbuka Hari Raya Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin lain turut hadir di Wisma Indonesia. Apa yang dapat saya katakan hubungan kami sangat akrab.
UB: Mungkin Pak Konjen boleh komen sedikit mengenai Sabah sepanjang bertugas di sini?
KONJEN: Yang jelas udaranya lebih bersih, masyarakatnya ramah, lebih mudah menerima orang lain.
UB: Mengenai makanan atau kulinari?
KONJEN:Hampir semua sudah dinikmati, hampir semua enis kuih sudah dirasa, hampir semua jenis makanan, dari kopi tenom hingga pulut durian. Sangat luar biasa.
UB: Kalau lagu yang jadi kegemaran?
KONJEN: Saya sudah hafal semua lagu hari raya. Lagu Sayang Kinabalu, lagu-lagu penyanyi legendaris seperti Dato Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan sebagainya. Saya juag minat jazz. Setiap tahun saya selalu menyempatkan diri untuk menonton Sunset Music  Festival yang diadakan di Tanjung Sampang Mengayau.
UB: Mungkin ada kenangan manis sepanjang berada di Sabah?
KONJEN:Paling saya ingat ialah ketika mendapat pingat tertinggi gerakan pengakap atau pramuka oleh Ketua Menteri Sabah sebagai pembina gerakan pramuka
Saya diberi pingat tertinggi pengakap dan itu  jadi kebanggan saya. Tidak banyak pengakap Malaysia yang diberi penghargaa setinggi itu.. Jadi kebanggaan betul bagi saya. Di Indonesia ia jadi berita nasional kerana tidak banyak prauka yang dapat penghargaan serupa.
UB: Khabarnya Pak Konjen hobi memancing. Di mana lokasi memancing yang selalu dikunjungi?
KONJEN: Di Tanjung Aru. Di parit dekat rumah saya, banyak ikan tilapia. Saya boleh mancing penuh satu ember (besen) .Isinya kira-kira 72 ekor. Saya makan sedikit saja.Selebihnya saya simpan di akuarium. Biasanya saya memancing selepas kerja atau hujung minggu.
UB: Selalu memancing di laut?
KONJEN: Sering juga tapi paling jauh hanya sejauh pulau Gaya kerana dinasihatkan pihak keselamatan supaya tidak memancing terlalu jauh padahal saya ingin memancing ke Pulau Mengalun tapi tidak kesampaian. Biasanya kami memancing lima hingga enam orang saja. paling ramai pun lapan orang.
UB: Apa jenis ikan yang disukai?
KONJEN: Ikan pisang pisang, walaupun ikan kecil itu  paling sedap kalau digoreng  di makan di atas kapal. Rasanya paling sedap di dunia, sambil makan dengan nasi panas yang dimasak di atas kapal.
UB: Masih suka bertukang? jahit?
KONJEN: Kalau saya pulang nampak jendela yang reput, saya ganti. Saya juga masih suka jahit baju sendiri, gunting rambut anak, masih suka masak sayur lodeh. Orang mungkin tidak percaya sebelum mereka merasa atau melihatnya sendiri.Orang jarang melihat tentu rasa penasaran. .
UB: Apa pesan Pak Konjen kepada masyarakat Indonesia di Sabah?
KONJEN: Saya berpesan kepada masyarakat Indonesia yang pernah berjumpa dengan saya mahupun yang belum berjumpa agar jangan melanggar peraturan walau sekecil apa pun. Saya ingin semua yang berada di Sabah cari nafkah agar tetap jaga kesihatan.  Mereka hendaklah hormati adat dan kebiasaan lokal atau setempat, bumi dipijak disitu langit dijunjung .
UB: Rasanya apa yang belum dicapai sepanjang berada di Sabah?
KONJEN: Saya belum punya keberuntungan kerana tidak sempat mempelajari bahasa Kadazan.Satu ketika saya pernah diberi hadiah Kamus Bahasa Kadazan Dusun.Ketika pertama kali saya mendengar mereka bicara, saya dengar  seperti puisi, dengan irama dan sebutannya yang puitis bagi saya.
UB: Mungkin ada hasrat atau cita-cita Pak Konjen yang mahu direalisasikan?
KONJEN: Kami ingin ciptakan batik gabungan motif Sabah Indonesia. Jika siap kelak, ia tentu suatu yang menarik kerana batik itu adalah gabungan batik Sabah dan Indonesia.
UB: Terima kasih pak kerana sudi diwawancara untuk Sembang Sabtu Utusan Borneo. Maaf jika ada kesalahan dan kesilapan.
KONJEN: Terima kasih kembali.