PERHIMPUNAN PEMANAH NUSANTARA TARIK MINAT 200 PESERTA
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN
-yang menghadiri Perhimpunan Pemanah Nusantara di Bintulu, Sarawak
SEJAK awal pagi lagi, lebih 200 ahli sukan memanah memenuhi halaman Masjid Assyakirin Bintulu, Sarawak untuk menjayakan Perhimpunan Pemanah Nusantara yang diadakan buat pertama kalinya pada 25 dan 26 November lalu.
Apa yang menarik,kesemua pemanah yang menyertai pertandingan itu memperagakan pakaian tradisi masing-masing sambil memperlihatkan kehandalan mereka melepaskan anak panah tepat ke sasaran yang ditetapkan.
Perhimpunan Pemanah Nusantara Kali Pertama itu danjurkan oleh Seri Begawan Archery (SBA) dengan kerjasama jitu dari Assyakirin Traditional & Modern Archery (ATMA), Masjid Assyakirin Bintulu,Majlis Sukan Negeri Sarawak, Kementerian Belia dan Sukan dan Bintulu Development Authority.
Program itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari kelab-kelab memanah dari seluruh nusantara. Ahli-ahli sukan memanah dari seluruh Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia tampil menyertai acara-acara yang diadakan dalam perhimpunan pemanah itu.
Antara kelab yang menyertai pertandingan ialah Kelab Memanah Al Muaqqabah Miri, Assyakirin Traditional & Modern Archery (ATMA) Bintulu,Seri Begawan Archery (SBA) Negara Brunei Darussalam, Kelab Memanah Sunnah Matu,Kelab Memanah Alam ZKD MBJB, Sibu Archery Center,Kasiba Archery Club, Simanggang Archery Legend, Thrust Community (Pontianak Kalimantan Barat Indonesia), Sebuyau Archery Club,Kesatria Archers Sabah, The Barebow Hunter Kuching,Golden Archers Team,, Dalat Archery Club (D.A.C), Pemanah Sunnah Melaka, dan banyak lagi.
Pengerusi Seri Begawan Archery (SBA), Haji Razali Hashim berkata sukan memanah kini semakin diminati di kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur, sejak dari kanak-kanak hinggalah dewasa.
“Sukan memanah melatih kita lebih sabar, tenang dan tidak gelabah,” katanya. “Ia mampu mendidik kita dari sudut emosi dan fizikal.
Belaiu memberitahu, sukan memanah juga membantu beliau untuk pulih. “Dulu saya pernah kena stroke, dengan menyertai sukan memanah membantu saya untuk pulih lebih cepat.
Katanya, aktiviti riadah atau sukan amat dituntut agar kita mempunyai fizikal yang cergas, tubuh badan yang sihat , menjadikan kita berfikiran cerdas dan menjadi mukmin yang kuat.
Bagi Ustaz Said Hawa Mohd Salleh pula, sukan memanah juga membantu membina ikatan ukhuwah di kalangan peserta.
Said Hawa iaitu antara orang yang banyak membantu memperkenalkan sukan itu di Negara Brunei Darussalam berkata sukan memanah tidak syak lagi mempunyai potensi yang cerah untuk dikembangkan menjadi sejenis sukan popular.
Katanya, di Semenanjung Malaysia, hampir setiap minggu, ada saja kejohanan dan pertandingan sukan memanah.
Sukan ini menarik minat bukan saja dari peminat tempatan malah dari luar negara “Saya mula meminati sukan ini hanya beberapa tahun lalu. Mulanya saya hanya menjual busar panah secara kecil-kecilan, tetapi kemudian ramai yang menghubungi saya untuk membuat tempahan.
Hasil daripada hubungan yang makin akrab dengan pemanah-pemanah , Ustaz Said Hawa akhirnya menekuni sukan memanah itu secara serius.
Sukan memanah bukanlah satu jenis sukan yang baru. Ia mula berkembang sebagai satu aktiviti sukan apabila satu kelab memanah ditubuhkan oleh Sir Christopher Morris atas arahan Raja Hebdry VIII pada tahun 1537 di England. Pertandingan memanah pertama untuk lelaki diadakan di Yorkshire pada tahun 1673manakala pertandingan untuk wanita mula diadakan pada 1787.
Menurut rekod, memanah mula dimasukkan dalam acara sukan Olimpik pada tahun 1900 di Paris, kemudian di Olimpik Saint Louis 1904 dan Olimpik Belgium pada tahun 1920. Namun selepas itu, sukan memanah tidak dipertandingkan di peringkat sukan Olimpik sehinggalah The Federation International de tir al’arc (FITA) menggubal undang-undang pertandingan Memanah. Sukan memanah kemudian dimasukkan kembali dalam acara Sukan Olimpik di Munich pada 1972.
Di Malaysia, Sukan Memanah dipertandingkan buat pertama kalinya pada tahun 1996 di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Sejak adanya kejohanan memanah itu, acara sukan memanah mulai mendapat minat meluas di kalangan masyarakat.
Sukan memanah adalah satu sejenis sukan yang menarik. Bahkan sukan memanah adalah sejenis sukan yang digemari oleh Rasulullah SAW sebagai aktiviti riadah. Malah memanah adalah senjata yang sering kali digunakan setiap kali baginda Rasulullah SAW setiap kali keluar berperang melawan musuh.
“Saya tertarik untuk melibatkan diri dalam sukan memanah ini bila membaca hadis Nabi SAW mengenai galakan untuk belajar memanah,” kata Pengerusi Kelab Memanah Muaqqabah Miri, Haji Erahim Abd Rahman
Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.
Kelab Muaqqabah menjadi juara keseluruhan Perhimpunan Memanah Nusantara kali pertama itu. Beliau sendiri mula melibatkan dalam sukan memanah seawal 2016, bermula dengan alatan yang ala kadar bersama 10 orang rakannya yang lain.
Sejak itu, beliau sering mengikuti perkembangan sukan memanah melalui laman facebook rakan-rakan pemanah di Semenanjung. Beliau mendapati minat terhadap sukan memanah semakin meningkat di kalangan masyarakat.
Bagaimana sambutan masyarakat terhadap sukan memanah di Borneo?
“Secara keseluruhannya saya berpendapat sambutannya begitu menggalakkan terutamanya sukan memanah tradisional khususnya di tempat saya di Miri,” katanya.
Menurutnya, dalam masa dua tahun, kelabnya berjaya mengumpul seramai 40 orang pemanah yang aktif termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Walaupun sukan memanah ini memerlukan perbelanjaan yang agak besar, kami berupaya untuk menyediakan peralatan yang sesuai untuk pemanah kami,”, kata Erahim.
Sementara itu, Pengerusi Assyakirin Tradistional @ Modern Archery, Bujang Ham berkata kelab yang kebih dikenali sebagai Atma itu ditubuhkan pada 2014 dan diluluskan pendaftarannya atas nama Assyakirin Archery Club pada September 2016.
Kelab memanah yang terkenal di Bintulu itu mempunyai seramai 46 ahli berdaftar, “tetapi kami ada ahli-ahli bersekutu terdiri daripada pelajar pelajar sekolah rendah yang tidak perlu didaftar.
Katanya, mereka diberi peluang untuk menjalani latihan bersama kelab tanpa perlu membayar yuran. Ini adalah skim galakan untuk menarik minat pelajar pelajar dalam bidang memanah. Dan ianya berjaya kerana melahirkan beberapa pemanah yang mewakili sekolah , di bahagian Bintulu dan Negeri Sarawak.
Untuk orang awam, ATMA bergabung dengan Jabatan Agama Islam, TH dan badan-badan NGO sekiranya ada program kerajaan atau ekspo untuk kami mengadakan sesi pameran peralatan memanah dan demontrasi memanah, katanya.
Sambutan orang awam khususnya bahagian Bintulu amat menggalakkan. Buktinya setiap tahun penganjuran pertandingan akan ada peningkatan jumlah penyertaan.
Di Sabah, wakil Kesatria Archers Sabah, Pandikar Endar berkata, sukan memanah juga kini tidak asing lagi. Beliau mempelawa peminat-peminat sukan itu untuk menyertai kelab Kesatria jika mahu berkecimpung dalam sukan memanah. Menurutnya, banyak kejohanan memanah yang akan diadakan pada masa depan.
Ranking No1 Asia,Ahmad Alrafaie Ali, yang pernah mewakili Malaysia ke First Historical Traditional Archery Champion Hungary juga menyertai Perhimpunan Pemanah Nusantara ini. Beliau melakarkan namanya sebagai salah seorang juara dalam beberapa acara yang dipertandingkan di Bintulu. Di Hungary, di antara 600 peserta dari 30 buah negara, beliau berjaya menduduki tangga ke-12 dunia dan nombor satu di Asia.
Berikut adalah senarai 10 teratas beberapa kategori yang dipertandingkan di Bintulu. Untuk kategori panah tradisional dimenangi oleh Ahmad Alrafaie Ali dari Kelab Memanah Alam ZKD MBJB, Mohd Firdaus Mohamed Shah (Kelab Memanah Alam ZKD MBJB), Said Hawa bin Mohd Salleh (Seri Begawan Archery) Ahmad Zulqarnain Murat (Seri Begawan Archery), Othman Sahari (Al Muaqqabah Miri, Kamarulzaman Daan (Al-Muaqqabah Miri), Erahim Abd Rahman Al-Muaqqabah Miri, Nazib Haziq Mohamad, Al-Muaqqabah Miri, Kamarudin Jiren (Kelab Memanah Sunnah Matu dan Singkong dari Seri Begawan Archery.
Senarai 10 teratas markah Static Wanita Junior ialah Normaliza Wan Idris, dari Atma,Rozana Baily (Atma) Siti Nurafifa Amy Amat (Kesatria Archers Sabah ), Nur Shamiela Dien (Al Muaqqabah Miri)Jubaidah Isoh (Atma),Maziza Mohamad ( (GPU)Zuriah Alwi (Atma) Nor Shahirah Rabaiee (persendirian), Nordalin Mohamud (Al-Muaqqabah Miri) dan Dyg Norazureeen Awang Abu Bakar (Al-Muaqqabah Miri)
Senarai 10 teratas Dynamic Archery Barebow Mix ialah Ahmad Alrafaie Ali dari Kelab Memanah Alam ZKD MBJB, Mohamad Ali Spawi (The Barebow Hunter Kuching),Mohd Fadzli bin Samsor (Usac), Said Hawa (Sei Begawan Archery), Erahim Abdul Rahman (Al-Muaqqabah)Aidil Omar (Golden Archers Team),, Shahrul Aya (Thrust Communty)Hii Bee Chung (Sibu Archery Team) Iskandar Isahak )Dalat Archery Club (DAC), Haji Abdul Hafiz dari Seri Begawan Archery.
Senarai 10 teratas Dynamic Archery Tradtional Mix ialah Mohd Firdaus Mohamed Shah dari Kelab Memanah Alam ZKD MBJB,Ahmad Zulqarnain Murat (Seri Begawan Archery), Othman Sahari (Al Muaqqabah)Adilintar (Kelab Memanah Alam ZKD MBJB),Najib Haziq Mohamad (Al-Muaqqabah)Saiful Rezza Mat (Sibu Archery Center), Ziyad Adam Othman (Al-Muaqqabah), Elfie Nazri Abdul Razak (Ali-Muaqqabah) Kamarudin Jiren (Kelab Memanah Sunnah Matu) dan Ahmady Busman dari Atma.
Perhimpunan Pemanah Nusantara sudahpun melabuhkan tirainya. Banyak yang boleh dipelajari dari sukan memanah itu. Ia bukan saja boleh mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli sukan malah mampu mendidik kita untuk lebih fokus, bersikap positif, penyabar ,tenang, rasional, selain meningkatkan kecergasan fizikal dan sebagainya.