Sabtu, 2 September 2017

PERTEMUAN DENGAN DR PECHDAU TOHMEENA DI KK

Tags



Perdamaian dalam pergolakan
PERTEMUAN DENGAN DR PECHDAU TOHMEENA DI KK


Pergolakan di selatan Thailand menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan penderitaan fizikal juga mengganggu psikologi kesejahteraan penduduk yang tinggal di sana, kata Dr Pechdau Tohmeena atau Zoraida Haji Zainal Abidin..

Kesannya amat berat terutama bagi mangsa yang terselamat, keluarga mereka dan keluarga orang yang terbunuh dan individu-individu yang menyaksikan tindakan ganas yang dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku.

Perasaan ketakutan dan ngeri yang berpanjangan dapat mengurangkan daya pengeluaran kerja harian rakyat dan kualiti kehidupan. Wanita yang suaminya terbunuh atau hilang adalah yang paling banyak terjejas. Terutama bagi mereka yang tiba-tiba terpaksa menyediakan peruntukan bagi keluarga mereka.

Terdapat kira-kira 3,000 balu ketika keganasan di Selatan Thailand, kebanyakan mereka bergelut dengan trauma psikologi, kata Dr Pechdau ketika kami bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum beliau berangkat pulang ke Bangkok.
Beliau berada di Sabah untuk menghadiri  Mesyuarat Jawatankuasa Muhibbah Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand kali ke-30 yang diadakan di ibu negeri.

“Mereka yang selamat dari letupan dan serangan lain yang telah hilang keupayaan mereka untuk bekerja terpaksa bergelut dengan kemurungan, walaupun mereka kadang-kadang tidak sedar bahawa mereka mengalami penyakit kesihatan mental yang boleh dirawat,” katanya kepada wartawan  Utusan Borneo sambil menyerahkan beberapa buku berkaitan Perdamaian Dalam Pergolakan Kes Sempadan Selatan.

Dr Pechdau bercakap mengenai Pengurusan Tekanan Mental Trauma yang Teruk di Selatan Thai.

Kanak-lanak berada di dalam keadaan yang lebih tidak menentu.Kadang-kadeang sebagai saksi insiden, reaksi mereka berterusan lama selepas kejadian, selalunya tidak ada yang menyedari mereka mengalami trauma psikologi. Gejala yang nyata seperti mimpi buruk, menjerit pada waktu malam, kronik penyakit gila kerana ketakutan, tingkah laku agresif yang berulang-ulang, enggan meninggalkan ibu mereka atau pergi ke sekolah.

Dr Pechdau Tohmeena adalah Pengarah Pusat Kesihatan Mental di Cawangan Wilayah Selatan Thailand. Beliau menjadi penasihat dan pensyarah jemputan di Fakulti Perubatan di Princess Narathiwat Rachanakarin University Wilayah Narathiwat. Beliau juga adalah penasihat kepada Majlis Sivil Kemasyarakatan Selatan Thailand. Sebelum ini beliau berkhidmat di dalam Majlis Jawatankuasa Perdamaian Negara.

Dr Pechdau menerima ijazah perubatan dari University Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Sains Politik dari Universiti Thammasart, Bangkok dan juga Sijil Lanjutan Promosi Aman Society dari Institusi King Prajadhipok dan Kursus Mediasi Keamanan dari Swisspeace di Bern, Switzerland.

Sebelum berlepas pulang ke Bangkok, beliau sempat bertemu dengan Akiah Haji Barabag, seorang pencinta sejarah, budaya dan masyarkat Melayu di Nusantara.