BATCH 87 SMK ST PATRICK TAWAU ADAKAN REUNION
Oleh ABD.NADDIN BIN SHAIDDIN
Sekolah St Patrick Tawau merayakan ulang tahun yang ke 100 (1917-2017) dengan pelbagai program dan aktiviti yang menarik. Bekas pelajar Batch 87 sekolah itu sempat mengadakan reunion.
Majlis reunion itu diadakan di kediaman Puan Masriah Haji Mahmud ( bekas pelajar 87) Taman Intan, Jalan Utara Tawau, dianggap istimewa kerana disambut dalam bulan Syawal ketika suasana hari raya Aidil Fitri masih terasa.
Kira-kira 80 orang hadir dalam majlis yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisah Haji Samat yang juga bekas pelajar SM St Patrick.
Pengerusi penganjur, Kolonel (K) Haji Mohd Yusof Haji Kahar, yang mengetuai rakan-rakannya, pelajar SM St Patrick 1983-1987 memilih tarikh 7 Julai 2017 kerana amat signifikan.
“Selepas 30 tahun, Batch kami meninggalkan alam persekolahan namun persahabatan di bangku sekolah dulu menjadikan kami sebagai satu keluarga besar yang tidak terputus sehinggalah ke hari ini .
“Moga ikatan persahabatan ini akan terus terjalin dan akan menjadi contoh kepada pelajar di masa mendatang...saling menghormati dan mengingati jasa-jasa bakti guru-guru yang pernah mendidik kami,” katanya.
Tetamu kehormat dalam majlis itu ialah bekas guru, Abdul Halin Yahaya. Turut hadir dalam majlis itu ialah beberapa bekas pelajar Batch88/89 SMK St Patrick.
“ Cikgu Abdul Halin dulu mengajar Di SM St Patrick , mengajar sastera masa itu. Sekarang beliau bertugas di salah sebuah sekolah di Semporna, Berasal dari Semenanjung Malaysia, kini beliau bertugas di Sabah lebih 30 tahun,” katanya.
Yusof berkata, ada bekas pelajar yang terus ke Kuala Lumpur selepas sekolah tahun 87. Tidak pernah balik ke Sabah selama 29 tahun.
“ Tapi bila dia tahu ada majlis reunion,,dia balik untuk menghadirkan diri. Semuanya atas dasar persahabatan dan persaudaraan.Terlalu erat persahabatan kami.
Menurutnya, beliau sangat teruja dan gembira kerana pertemuan ini dapat mengimbau masa lalu bersama rakan-rakan
“Kami semua bukan selalu dapat berjumpa ,” katanya. Yusof memberitahu pertemuan dalam majlis itu dijayakan dengan menyumbang kewangan sendiri.
“Apa yang menarik, selepas sekian lama, kami baru dapat berjumpa, Ada yang kenal, ada yang sudah lupa-lupa, kerana dulu ada yang berambut fesyen belah tepi atau belah tengah. Sampailah sekarang, tiada belah lagi kerana tidak berambut. Ada yang dulunya berbadan kurus, kini menjadi `sihat’.
“ Inilah yang menjadikan suasana pertemuan menjadi lebih menarik dan meriah,” katanya.
Beliau sempat memperlihatkan sekeping gambar. Di dalamnya seorang pemuda kurus berdiri di podium menerima piala.
“Itulah gambar saya ketika menerima piala olahragawan lelaki, yang diberikan kepada mereka yang menerima pingat emas yang banyak.
Katanya, pada tahun 1986 dan 1987, beliau memenangi Acara 100 Meter, 400 , 800 dan 4x100 & 4x400meter .
Piala ini sudah tersimpan sekian lama 30 tahun yang lalu. Ada juga yang saya lihat piala lain yang tersimpan lebih dari 50 tahun. Mungkin itu dari zaman mereka yang lebih tua dari zaman kami ,katanya.
“ Ini piala saya masih tersimpan di sekolah,” katanya. Masa itu dia terkenal kerana pernah menjadi olahragawan sekolah dua tahun berturut-turut dan jaguh dalam acara 100 dan 400 meter mewakili Tawau.
“Dulu kami semua, pelajar lama terlibat langsung dalam mencari dana untuk membuat sebuah dewan sekolah. Apa caranya? Kami ke rumah rumah orang membawa cangkul, parang untuk membersihkan halaman rumah orang ,
“Selepas itu kami mendapat upah dan dengan duit upah itu kami berikan kepada Tabung Dewan Sekolah ,” katanya.
Walaupun masa kami meninggalkan alam persekolahan kami tidak sempat menggunakan dewan , namun di sudut hati, kami merasa amat bangga kerana dapat menyumbang bakti kepada sekolah kami ,” katanya. Inilah majlis reunion kedua selepas majlis yang pertama tahun 2010 yang lepas.
Sementara itu, ketika merasmikan majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisah Samat berkata , majlis itu boleh menjadi contoh kepada pelajar muda agar menjadikan persahabatan di sekolah sebagai satu persahabatan bersifat kekeluargaan.
Beliau mengingatkan segala nikmat dan kemudahan masa belajar di bangku sekolah dulu, ada juga daya usaha kerajaan.
Oleh itu, bekas pelajar mahupun murid yang ada sekarang hendaklah mengingati usaha kerajaan dan berharap mereka tidak terpedaya dan tipu helah pihak tertentu.
Walau apapun, reunion Batch 87 SMK St Patrick yang berlangsung dengan meriah tetap jadi kenangan dalam mengukuhkan agenda persahabatan dan persaudaraan di kalangan bekas pelajarnya.