Rabu, 21 Disember 2016

USTAZ HAJI EMBOK RAUB DAENG PALETEH, 25 TAHUN MENCURAH BAKTI DI SABAH

Tags



USTAZ HAJI EMBOK RAUB DAENG PALETEH, 25 TAHUN MENCURAH BAKTI DI SABAH


SEPANJANG kira-kira 25 tahun mencurahkan khidmat baktinya kepada negeri ini, Ustaz Haji Embok Raub Daeng Paleteh terus gigih dan komited dalam kegiatan-kegiatan dakwah. Meskipun sudah bersara sejak tahun 2008, tokoh yang berpengalaman luas ini terus mencurahkan fikiran dan baktinya kepada usaha-usaha dakwah khususnya dalam bidang pendidikan agama.


USTAZ Haji Embok Raub bin Daeng Paleteh dilahirkan di Batu 23, Bagan Rengit, Batu Pahat Johor Darul Takzim pada 22 Februari 1952. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bagan Rengit pada tahun 1957 hingga 1962. Kemudian beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Keluang Rengit pada tahun 1963 hingga 1965. Selepas itu, beliau berpeluang menuntut di Madrasah Sulamiah Bunut Payung Kota Bharu Kelantan dari tahun 1966 hingga 1973. Sebagai seorang pemuda yang dahagakan ilmu, beliau berlayar ke India untuk melanjutkan pengajian di Universiti Darul Uloom Deoband India dengan perbelanjaan sendiri selama dua tahun empat bulan (1973-1975). Dari sana, beliau meneruskan perjalanan ke Mesir untuk melanjutkan kuliah di Universiti Al Azhar Mesir  dari tahun 1976 hingga lulus pada tahun 1980.
Beliau mula bertugas sebagai guru di SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu Tamparuli pada tahun 1984 hingga 1987.Kemudian beliau berkhidmat pula di SMK Taun Gusi Kota Belud dari tahun 1987-1989 sebelum bertugas di SM All Saints Kota Kinabalu dari tahun 1989 hingga 1998. Selepas itu beliau berpindah ke SMK Agama Inanam Kota Kinabalu dari tahun 1998 hingga 2002 dan kemudian bertugas di SMK Bandaraya Kota Kinabalu hinggalah bersara beberapa tahun lalu.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ustazah Hajah Sitti Marwani binti Baidang @ Rahman yang kini sedang bertugas di SMK Tebobon dan akan bersara pada 12 Disember 2016 ini. Mereka dikurniakan empat cahaya mata, tiga puteri dan seorang putera. Anak pertamanya, Dr Nurul Syakilah bertugas di Hospital Putrajaya manakala anak kedua, Dr Noor Fadzilahtu Nel, pernah bertugas di Hospital Queen Elizabeth 1 dan kini bertugas di Semenanjung sementara anak ketiga Syarifah Eryna kini masih lagi menuntut dalam jurusahn perubatan di Kursk University Rusia. Anak keempat, Ambo Ahsan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Jurusan Hakim Syarie di Universitas Darul Dakwah Wal Irsyad Mangkoso Sulawesi Selatan Indonesia dan sekarang meneruskan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam jurusan dakwah Islamiah.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau pada satu pagi yang ceria di Taman Puterajaya Telipok. Ikuti petikan temuramah bersama beliau.



UTUSAN  BORNEO: Terima kasih ustaz kerana sudi ditemuramah pagi ini. Boleh ceritakan sedikit latar belakang ustaz?
USTAZ HAJI EMBOK RAUB DAENG PALETEH: Alhamdulillah. Nama saya Haji Embok Raub bin Daeng Paleteh,Saya dilahirkan pada 22 Februari 1952 di Batu 23, Bagan Rengit, Batu Pahat Johor Darul Takzim. Saya memasuki persekolahan awal di Sekolah Rendah Bagan Rengit pada tahun 1957 hingga 1962 kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan Keluang Rengit pada tahun 1963 hingga 1965. Kemudian saya berpeluang belajar di salah sebuah sekolah pondok di Negeri Kelantan iaitu Madrasah Sulamiah Bunut Payong Kota Bharu iaitu selama lapan tahun bermula tahun 1966 hingga 1973. Selepas mendapat sijil thanawiah, saya juga sempat belajar di Pusat Pengajian Nilam Puri selama empat bulan. Kemudian saya melanjutkan pengajian ke luar negara iaitu di Universiti Darul Uloom Deoband India selama dua tahun empat bulan iaitu bermula tahun 1973 hingga 1975.Naik kapal laut dari Pulau Pinang selama tiga hari tiga malam hingga sampai ke Madras. Dari Madras naik keretapi ke New Delhi , keretapi papan selama tiga hari tiga malam. Sampai di Delhi, naik kereta lagi ke Deoband. Dua kali kereta pancit.Kebanyakan kereta di India masa itu adalah kereta buatan Made in India sendiri. Masa itu, belanja sangat murah sekali.Ayam dan daging sebanyak 80 sen sekilo. Jika ada 100 ringgit, boleh dikatakan mewah masa itu. Gaji Posmen di sana tidak sampai 100 masa itu.

UB: Selepas India, Ustaz belajar dimana?
USTAZ: Kemudian saya melanjutkan lagi pengajian di Universiti Al Azhar Mesir bermula tahun 1976 hingga 1980

.UB: Siapa antara rakan ustaz ketika menuntut di Universiti Al-Azhar?
USTAZ:  Antara senior kami di Universiti Azhar ketika itu ialah Yang Berbahagia Tan Sri (Dr) Haji Ibrahim Lembut, Ketua Hakim Syarie Malaysia, mantan Mufti Negeri Sabah, Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan, mantan Mufti Johor, Datuk Haji Noh Gadut, Yang Di Pertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Haji Suhaili Said, Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah, mantan Timbalan Pengarah Jasa.

UB: Mungkin ada peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika berada di Mesir?
USTAZ: Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika Presiden Anwar Sadat ditembak semasa perayaan Hari Kemerdekaan Mesir pada penghujung 70-an. Tempat beliau kena tembak itu, tidak jauh dari rumah penginapan saya di madinatunisa. Ketika terjadi penembakan itu, ada perbarisan, perarakan kereta kebal dan sebagainya. Saya duduk di bahagian belakang sekali, jauh dari tempat penembakan itu.Pada mulanya kami ingat hanya demo atau main main saja.

Ketika di Mesir dulu, setiap cuti universiti, selama tiga bulan kami cari kerja untuk menampung perbelanjaan. Ramai pelajar kerja di Arab Saudi, masuk dengan visa umrah, tunggu hingga musim haji. Bila habis musim haji, baru balik ke mesir. Saya membantu Sheikh Husin Bugis mengurrus 2,500 hingga 3,000 jemaahnya. Jumlah upahnya tak tentu, Beliau memberikan saya RM30,000 selama tiga bulan kerana membantu beliau mengurus haji. Jika tahun ini ke Arab Saudi, tahun depannya saya ke Negeri Belanda untuk bekerja. Saya pernah dua kali kerja di Belanda dengan gaji 160 gulden sehari selama kira-kira tiga bulan. Jumlah ini boleh menampung perbelanjaan selama setahun belajar di Mesir.

UB:  Apakah aktiviti yang dibuat selepas ustaz menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir?
USTAZ: Sebaik-baik sahaja saya berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda jurusan Fakulti Syariah dan Perundangan pada tahun 1980, saya terpaksa pulang ke tanah air. Walaupun pada mulanya berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau MA. Tetapi memandangkan permohonan bantuan  biasiswa saya tidak berjaya, maka saya mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan iaitu membawa jemaah umrah ke Tanah Suci. Apabila tiba musim haji, saya juga berpeluang membantu  Sheikh Hussin Bugis mengurus jemaahnya bermula  pada tahun 1981,1982 dan 1983.Mengurus jemaah sampai 3,000 orang, sistem muasasah. Memang siapa sheikh yang rajin cari jemaah, dia dapat jemaah  yang paling banyak. Selepas itu, saya kembali ke tanahair.
Pada 17 Mac 1984 saya diberi peluang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bertugas sebagai guru (sandaran) Pendidikan Islam di Negeri sabah. Sekolah yang pertama saya bertugas ialah SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu Tuaran. Saya bertugas di sekolah ini hanya kira kira tiga tahun sahaja, kerana saya berpindah ke SMK Taun Gusi Kota Belud pada Mac 1987 hingga November 1989. Selepas itu saya berpindah ke Sekolah Menengah All Saints Kota Kinabalu bermula pada bulan Januari 1989 hinga Disember 1998. Kemudian saya berpindah lagi ke SMK (Agama) Tun Ahmadshah Inanam bermula bulan Januari 1999 hingga Oktober 2001. Sekolah terakhir tempat saya  bertugas ialah SMK Bandaraya Kota Kinabalu, dulu dikenali SMK Menggatal dari bulan November 2001 hingga 22 Februari 2008.

UB: Sepanjang berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam, mungkin ustaz boleh ceritakan beberapa pencapaian yang diperolehi?
USTAZ: Alhamdulillah. Antara pencapaian atau kecemerlangan yang diperolehi semasa berkhidmat ialah mendapat Anugerah Kerajaan Negeri Sabah kerana melibatkan diri memberikan sumbangan dan kerjasama sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1990 dan 1991. Anugerah Khas dari Pejabat Pendidikan Negeri sabah kerana saya turut terlibat sebagai guru penyelaras teknik Silat Seni Olahraga Peringkat Kebangsaan tahun 2000. Naib Johan Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul (SAW) Peringkat Negeri Sabah kategori Sekolah Menengah pada tahun 2002 semasa bertugas di SMK Bandaraya. Semasa bertugas di sekolah itu juga, kami pernag menduduki Tempat ketiga Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul (SAW) sekalgus Johan Perbarisan Terbaik Maulidur Rasul (SAW) Peringkat Negeri Sabah Kategori Sekolah Menengah 2003. Antara anugerah yang saya perolehi ialah Anugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) daripada Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah pada tahun 2003, juga ketika saya masih bertugas di SMK Bandaraya.

UB: Oh ya, sebelum Ustaz berkhidmat sebagai Guru Pendidikan Islam. Apakah ustaz sememangnya berminat untuk menjadi seorang pendidik?
USTAZ: Memangnya sejak dari sekolah rendah lagi, ustaz bercita-cota untuk menjadi seorang guru pendidik. Tapi apabila saya berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Fakulti Syariah dan Perundangan dari Universiti Al-Azhar Mesir, Ustaz pernah juga ditawarkan bertugas sebagai Kadi Daerah Pontian Johor. Oleh kerana cita-cita ustaz tidak kesampaian, maka tawaran itu terpaksalah ustaz tolak, Kerana bagi pendapat ustaz, orang yang mengajar satu ilmu kepada orang lain kemudian orang itu menyampaikan pula kepada orang lain dan sekaligus mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala yang berterusan, walaupun dia sudah tiada, yakni meninggal dunia.


UB: Bolehkah Ustaz ceritakan serba sedikit mengenai kegiatan selepas bersara?
USTAZ: Adapun mengenai kegiatan selepas bersara, antaranya dapat menubuhkan dua kumpulan Marhaban Salim Wasalim dan sekaligus Ustaz juga memberikan bimbingan bacaan rawi dan Marhaban kepada dua kumpulan kami iaitu satu dari Kumpulan Marhaban dari Taman Kemajuan Likas yang terdiri dari 19 orang. Kumpulan Marhaban yang satu lagi lagi ialah Kumpulan Marhaban dari Masjid Darul Hikmah, kampung Delima Melayu yang terdiri seramai 15 orang. Semenjak kumpulan Marhaban ditubuhkan, boleh dikatakan kedua-dua kumpulan kami sering mendapat undangan dalam majlis perkahwinan baik di rumah mahupun di hotel hotel.Begitu juga dalam majlis Kesyukuran gunting rambut bagi kanak-kanak yang baru selamat dilahirkan.
Selain itu, Ustaz juga masih bertugas sebagai khatib dan imam solat Jumaat di beberapa buah masjid dan surau daerah Kota Kinabalu. Antaranya Masjid Tun Ahmadshah Kampung Inanam Laut, Masjid Darul Hikmah Kampung Delima Melayu, Masjid Suang Parai,Masjid Al-Falah Kampung Tebobon, Surau Nur Hidayah Taman Keramat dan pernah juga di Masjid Bandaraya, Masjid Jamek Kampung Likas dan masjid Al-Muhajirin Kampung Warisan.


UB: Apa negara yang pernah ustaz lawati?
USTAZ:  Saya pernah melawat ke Negara India, ke New Delhi kerana saya pernah belajar di Universiti Darul Uloom Deoband India selama dua tahun empat bulan. Saya juga pernah melawat negara Pakistan. Saya mampu bercakap dalam bahasa Urdu. Selain itu, saya pernah menjelajah Mesir ketika melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar Mesir. Setiap musim cuti pula, saya sering ke Makkah Arab Saudi untuk membantu pengurusan Sheikh Haji. Kalau tidak ke Arab Saudi, saya ke negara Belanda untuk bekerja selama cuti sekolah iaitu selama tiga bulan dengan gaji kira-kira 160 gulden sehari, kalau tak silap. Dari sana saya berkunjung ke England, Itali dan sebagainya. Saya juga sering  berkunjung ke Indonesia.


UB: Kata-kata akhir dari Ustaz sebelum kita akhiri sesi Sembang Sabtu petang ini.
USTAZ: Dalam setiap kerjaya yang kita ceburi, kita kena tabah, sabar, berdisiplin dan sekaligus bekerja keras untuk mencapai kejayaan.Kita kenalah rajin dan kita juga perlu sekali bersikap terbuka kepada perubahan untuk menjadi lebih baik. Kita juga perlu sentiasa berdoa kepada Allah, semoga segala permulaan hari ini segala kebaikan, pertengahan hari segala kejayaan dan akhirilah hari ini lebih baik dari hari semalam dan setiap pekerjaan kita ini lebih sempurna dari hari semalam. Setiap rezeki yang datang pastilah ada ujiannya. Setiap kesenangan yang diperolehi pasti ada dugaannya.Begitu juga setiap kesusahan pasti ada hikmahnya.