MENURUT golongan sejarawan, Sukubangsa Iranun adalah suku bangsa yang dominan dalam dunia pelayaran dan perdagangan di Nusantara sekitar abad ke-17 dan ke-18. Mereka adalah sukubangsa yang gigih melawan Sepanyol di Mindanao, Inggeris di Borneo dan Belanda di Indonesia.Anehnya peranan mereka semakin mengecil dan akhirnya hilang dalam kurun ke-19.Mereka dipercayai tersebar di seluruh jalur pelayaran Nusantara. Namun begitu, kebanyakan mereka terputus hubungan dan terpinggir di antara sungai dan kuala di perairan Nusantara. Satu pasukan penyelidik Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) diketuai oleh Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin, Ketua Penerangan Abd Naddin Haji Shaiddin dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Abd Madin Sumalah menelusuri jejak Iranun di Kuala Patah Parang, dan Pulau KijangReteh, Tembilahan Indragiri Hilir, Riau pada 12 November hingga 17 November yang lepas.
Orang Kaya Kaya (OKK) Haji Masrin Haji Hassin dilahirkan di Kampung Rampayan Laut Kota Belud lebih 60 tahun yang lalu. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di Tandek pada tahun 1971 hingga 1974. Kmudian menceburi bidang perniagaan sebelum melanjutkan pelajaran di Xavier University, di Cagayan de Oro, iaitu salah satu universiti tertua di Filipina. Kini beliau adalah Ketua Daerah Kota Belud sejak 1996.
SEBELUM berangkat pulang ke Kota Kinabalu selepas kembali dari sebuah perjalanan panjang dari Pekanbaru Riau, ke Tembilahan Indragiri Hilir seterusnya ke Pulau Kijang dan Kuala patahparang, Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) OKK Haji Masrin Hassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai misi perjalanan ke Riau kali ini?
OKK: Perjalanan ke Riau kali ini dilaksanakan sebagai lanjutan kepada perjalanan yang lalu. Untuk pengetahuan pembaca, kami pernah ke Pekanbaru Riau pada November 2010. Berbeza dengan perjalanan kami yang pertama dahulu, kali ini destinasi tujuan kami lebih jelas. Kalau dahulu, kami masih belum tahu atau belum mendapat maklumat mengenai keturunan orang-orang Iranun yang berjuang membantu Sultan Mahmud III untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang Riau pada 1787. Waktu itu kami tercari-cari dimanakah generasi keturunan Iranun itu berada. Dalam kitab Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji jelaskan menyatakan bahawa selepas perang itu,sebahagian orang-orang Iranun itu tidak pulang sebaliknya menetap di Kepulauan Riau Lingga dan menjadi rakyat sultan Mahmud III. Apa yang menjadi persoalan kami ialah di mana sudah atau sudah ke mana orang-orang Iranun itu dan dimana mereka berada. Selepas melihat kawasan pertempuran tempat berlakunya perang kira-kira 229 tahun yang lalu itu, kami melawat Pulau Penyengat, sebuah pulau yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Johor Riau. Selepas itu, kami ke Pekanbaru untuk bertemu dengan Pak UU Hamidy dan Prof Dr Yusmar Yusuf. Kemudian pak UU Hamidy menulis mengenai perjuangan Iranun membantu membela martabat Riau ketika menentang penjajah Belanda. Beliau menulis suratkhabar Riau Pos, malah dalam online dan buku juga.
Kemudian selepas itu, ada orang dari Kuala Patah Parang, dari Daik, Lingga, dari Tanjungpinang dan sebagainya yang bertanya mengenai kampilan yang menjadi senjata pusaka turun temurun. Selepas melalui proses yang agak panjang juga, kerana kita terpaksa menghubungi orang-orang di Kuala Patah Parang dam memastikan mengenai kewujudan kampilan itu, kami akhirnya memutuskan untuk pergi Kuala Patah Parang dan Reteh yang kini terletak di Kabupaten Indragiri Hilir.
UB: Sepanjang berada di Riau, di Pekanbaru dan Tembilahan, apakah misi OKK sudah berjaya untuk menjejaki jejak Iranun?
OKK: Boleh dikatakan 70 peratus misi kita sudah berjaya. Kita sudah berkunjung ke Pulau Kijang, yang dulunya bahagian dari Reteh, dan Kuala Patah Parang, Tembilahan , Indragiri Hilir. Kita sudah bertemu dengan orang-orang dari Suku Melayu Timur yang diyakini adalah keturunan Iranun yang datang pada sekitar abad ke-17 dan abad ke 18 di Riau.
UB: Apa buktinya mereka adalah keturunan Iranun?
OKK: Bukti paling jelas ialah mereka memiliki kampilan, senjata khas orang Iranun. Begitu juga mereka masih memiliki sundang, kelung, bangkau (tombak) dan sebagainya. Mereka juga masih menyimpan satu set kulintangan, gendang, gong yang jarang sekali dimainkan kecuali majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. Di Kuala Patah Parang, masih ada yang menyimpan pamanai, iaitu bendera-bendera kecil dipacak ke rumah pengantin perempuan.Ada juga samberlayang, sesetengah orang menyebutnya sambulayang dan sebaganya. Malah yang paling jelas sekali ialah terdapat satu buku yang menyatakan bahawa Sultan Mahmud minta bantuan kepada orang-orang Iranun pada 1786 untuk memerangi Belanda di Tanjung Pinang. Menurut buku Indragiri Hilir yang diberi kata pengantar oleh HM Rusli Zainal SE itu, Kelompok yang berasal dari perairan suku inilah yang kelak berdiam di Muara Sungai Indragiri dan dikenal sebagai Orang Melayu Timur. Dari Kalangan merekalah lahir Panglima Besar Tengku Sulung dari Reteh Panglima Besar Reteh Tengku Sulung ini adalah anak Tok Lukus, seorang Iranun dari Tempasuk yang berkahwin dengan Raja Maimunah, Puteri Sultan Yahya Sultan Siak.
UB: Jadi bermakna suku Melayu Timur itu adalah keturunan Iranun?
OKK: Ya, saya yakin begitu. Mereka adalah generasi keenam atau ketujuh dari angkatan Iranun yang datang pada tahun 1787 itu. Seperti yang dicatatkan dalam Tuhfat Al Nafis, mengatakan bahawa sebanyak tiga puluh penjajab yang berlayar ke Riau. Katakanlah satu penjajab itu berisi 30 orang, sudah pasti jumlah yang datang 900 orang. Tetapi masih ada lagi angkatan yang datang kemudian, seperti Tok Lukus dan Tok Akus. Cuba kita baca kutipan Tuhfat Al-Nafis, “maka dukacitalah baginda Sultan Mahmud serta Raja Indera Bongsu.Maka jadilah dukacitanya dan sushnya seumpama api maka memakanlah akan sabarnya.Maka jadi melakukan dan mengikutkan hawa nafsunya sebab kerana hendak melepaskan piciknya dan susahnya.Maka menyuruhlah ia satu utusan ke Tempasuk membawa surat kepada Raja Tempasuk minta pertolongan pada mengamuk Holanda di dalam Riau.Maka Raja Tempasuk pun menyuruh anaknya tiga orang, pertama Raja Tembak,kedua Raja Alam, ketiga Raja Muda beserta Raja Ismail menjadi panglima besarnya. Maka berlayarlah mereka itu ke Riau.Adalah kelengkapannya kira-kira tiga puluh penjajab dan berangai"
Selain itu, ada juga cerita rakyat di kalangan masyarakat Melayu Timur sendiri mengenai asal-asul mereka hinggalah mereka sampai ke pesisir timur Sumatera. Ada cerita rakyat mereka yang menyatakan mereka dari Malabang, Mindanao. Dan ini menunjukkan bahawa mereka memang Iranun.
UB: Setelah beberapa generasi, masihkah mereka mampu berbahasa atau memahami bahasa Iranun.
OKK: Sudah tidak lagi. Tetapi masih banyak perkataan Iranun yang masih digunakan dalam bahasa Melayu Timur. Misalnya perkataan pingkak yang bererti pincang, degan yang bererti banjir, busau yang bererti pelahap, tutung yang bererti hangus, tabak, pemanai, badung, gubang dan sebagainya. Ada banyak lagi. Bahasa Melayu Timur ini adalah bahasa Melayu tetapi dialeknya agak berbeza sedikit dari bahasa Melayu Riau tetapi tidaklah banyak. Contohnya ke mana jadi kemane, di mana, di mane dan sebagainya.
UB: Bagaimana keadaan mereka sekarang?
OKK: Pada umumnya mereka hidup secara sederhana. Suku Melayu Timur yang tinggal di tepi sungai atau laut, bergantung hidup pada sumber perikanan. Mereka tersebar di beberapa tempat seperti Kuala Patah Parang, Kuala Enok, Durai,Sungsung, Sungai Ukam, dan beberapa tempat di Jambi seperti Tanjung Jabung Timur, Kuala Tungkal dan sebagainya. Kita tidak dapat maklumat yang tepat mengenai jumlah mereka. Tetapi ramai juga generasi Suku Melayu Timur yang mapan secara ekonomi dan sosial. Ada di antara mereka yang bekerja degan kerajaan dan swasta. Malah menurut Bupati Indragiri Hilir, Bapak HMuhammad Wardan, beliau sendiri mempunyai keturunan Melayu Timur dari jalur ibunya. Selain itu, Mafirion Syamsuddin, seorang staf Menteri di Jakarta berasal dari Tembilahan. Bupati pertama Tanjung Jabung Timur, Abdullah Hit juga mempunyai garis keturunan Melayu Timur. Beliau inilah yang menjadikan kampilan sebagai lambang wilayahnya. Gubernur Jambi, Zumi Zola, seorang mantan artis yang terkenal di Indonesia juga adalah keturunan Melayu Timur dari ayahnya, Zulkifi Nurdin, juga mantan Gubernur. Ayah Zulkifli itu, Nurdin khabarnya adalah keturunan Melayu Timur.
Di Riau dan Jambi, Suku Melayu Timur dikenali sebagai orang-orang yang pemberani. Mereka mempunyai karakter atau perwatakan yang khas, tak ubahnya seperti masyarakat Iranun di Sabah.
UB: Apa perancangan selepas ini?
OKK: Insya Allah, kami sedang memikirkan bagaimana caranya untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dan silaturrahim antara Iranun dan suku Melayu Timur dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Jika mendapat keizinan dan rezeki daripada Allah SWT, kami bercadang untuk mengadakan seminar mengenai peranan Iranun dan Melayu Timur dalam sejarah maritim di Nusantara.Pada malamnya mungkin diadakan juga persembahan kesenian. Di Inderagiri Hilir adalah Festival Muharam, mungkin kita akan adakan bersempena Festival Muharam, Tapi ini masih di peringkat cadangan awal saja. Nanti kita akan perdalami lagi.
UB: Sepanjang berada di Riau dan Indragiri Hilir, Bagaimana sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sana?
OKK: Sambutan yang diberikan oleh saudara-saudara kita di sana amat baik sekali. Sebaik tiba di Pekanbaru, kami disambut dalam jamuan makan tengahari oleh Bupati Indragiri Hilir, Bapak Haji Muhammad Wardan yang kebetulan berada di Pekanbaru. Beliau masih mempunyai titisan darah Melayu Timur. Di Tembilahan, kami menjadi tamu kepada Ketua Lembaga Adat Melayu Indragiri Hilir, Datuk Syamsuri Latif. Kami juga berterima kasih kepada Kepala Dinas Pemuda, Olahraga, Budaya da Pariwisata, Bapak Junaidi Ismail. Kami juga diberi sambutan ketika berkunjung ke Pulau Kijang, dan Kuala Patah Parang. Selain itu, kami sempat berkunjung dan dilayani oleh pakar dan ilmuwan di di Pekan Baru seperti Bapak UU Hamidy, Bapak Elmustian Rahman daru Universiti Riau. Selain itu, kami sempat bertukar pandangan dengan Panglima Bijawangsa Haryono, Ketua Orang Laut yang kebetlan juga mempunyai darah Melayu Timur di sebelahnya ayahnya.
Sepanjang kunjungan itu, kami sangat terhutang budi dan berterima kasih dari lubuk hati kami kepada Saudara Mosthamir Thalib, wartawan dan penulis terkenal di Riau dan Saudara Kazzaini KS, Ketua Yayasan Sagang. Layanan dan sambutan mereka sangat menggembirakan kami. Mereka menemani kami sepanjang perjalanan dari Pekan Baru ke Tembilahan dan seterusnya ke Kampung-Kampung yang dihuni Suku Melayu Timur. Terima kasih juga kepada Bapak Armawi, Raja Indra Maulana, H Ahmadi,Rizik Syafrudin, Ujang Zulfika, dan masyarakat Melayu Timur di Tembilahan dan Pekan Baru.
Kami juga ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Penaung BKI yang sentiasa memberikan sokongan dalam program-program yang kami adakan.
UB: Di awal wawancara ini, OKK ada mengatakan bahawa pencapaian hanya 70 peratus. Mengapa begitu?
OKK: Sebenarnya masih banyak tempat yang menjadi jalur perjalanan Iranun yang belum kita kunjungi. Sebelum ini, pada April lalu, kita sudah mengadakan Seminar di TanjungPandan Pulau Belitung dimana kita dapati terdapat lebih 3,000 keturunan Iranun di sana. Antaranya ialah Bupati Belitung, Bapak Sahani Salleh yang mempunyai darah Iranun dan Bapak Sayuti Salleh ketua masyarakat Iranun di sana. Saya yakin masih banyak tempat lagi perlu dikunjungi dan dikaji seperti Jambi, Lampung, Kalimantan, Serasan, di Toli-toli Sulawesi dan sebagainya. Sebenarnya perjalanan baru bermula dan pencarian jejak Iranun ini masih jauh lagi.
UB: Oh ya. Bolehkah OKK jelaskan sedikit mengenai masyarakat Iranun. Sekadar untuk pembaca.
OKK: Suku bangsa Iranun adalah satu bangsa yang paling dominan di nunsatara pada abad ke17 dan abad ke 18 di kepulauan Nusantara. Masyarakat Iranun dianggarkan berjumlah kira-kira 50,000 orang yang mendiami sebanyak 22 kampung di daerah Kota Belud, satu kampung di Kudat dan tiga kampung di Tungku Lahad Datu., masyarakat Iranun boleh ditemui di Kampung Likas, Warisan Inanam dan beberapa daerah lain di Sabah.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai sejarah Suku bangsa Iranun ?
OKK: Sukubangsa Iranun satu ketika dahulu mampu membina kapal besar, membuat meriam, memiliki teknologi membuat garam, simen, mahir dalam ilmu pelayaran dan perkapalan. Kini sebahagian besarnya menjadi nelayan dan petani manakala generasi mudanya kini menceburi perkhidmatan kerajaan, swasta, perniagaan dan sebagainya. Walaupun memiliki khazanah budaya dan kesenian yang kaya, generasi muda Iranun semakin tidak mengenali lagi bentuk seni tradisi seperti seni puisi Iranun iaitu bayuk, sambirunga, diguani, darangen, pananaroen dan sebagainya.
Kita khuatir semua ini akan pupus jika tidak ada usaha untuk merakamkan dan mendokumentasikannya. Saya fikir, tanggungjawab ini haruslah dipikul bersama oleh masyarakat Iranun.