Ahad, 3 Januari 2016

Kedatangan tamu yang luar biasa

Tags

Saya mendengar dengan teliti apa yang tamu saya itu katakan.
Untuk pertama kali sepanjang karier saya  dalam bidang kewartawanan sejak lebih 21 tahun yang lepas, saya bertemu kes sebegini.
Saya tidak tahu mahu komen apa. Mulanya saya rasa lucu, mahu ketawa tetapi kemudian saya rasa sedih dan terharu.
Tamu saya datang untuk memberikan satu kenyataan media. Beliaulah orang pertama yang mahu membuat kenyataan media pada hari pertama tahun baru.
Seperti biasa saya mengambil pen dan buku nota. Selepas mendengar apa yang dia katakan, saya berkata akan lebih baik jika dia tidak terburu-buru dan menunggu sedikit waktu lagi supaya program yang mahu dilaksanakannya itu dapat dijayakan.
Sekarang bukan masa yang sesuai. Saya beritahu dia bahawa kenyataan media yang mahu diberikannya sebaiknya diperhalusi terlebih dahulu supaya jika disiarkan nanti ia tidak menimbulkan keresahan atau heboh di kalangan orang awam.
Dia menyodorkan saya sebuah kertas kerja. Ketika membaca kertas kerjanya itu, perasaan saya bercampur baur antara lucu,mahu ketawa tetapi kemudian sedih dan terharu.
Tamu saya itu dulu bukan sebarang orang. Dahulu setidaknya ia pernah jadi pemimpin di peringkat daerah walaupun mungkin tidak sampai ke peringkat pemimpin negeri.
Ingatan saya berputar kepada detik ketika saya mula mengenalinya. Dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik kerana dulu dia pernah belajar di luar negeri. Walaupun mungkin tidak menyelesaikan kuliahnya tetapi katanya dia punya pengalaman luas.
Saya rasa lucu setelah membaca kertas kerjanya itu. Namun kemudian saya rasa sedih mengingat bahawa beliau dulu bukan calang calang orang tetapi  pernah berjuang.Mungkinkah dulu salah jalan.
Saya tidak pasti apa penyebabnya tetapi saya rasa kasihan apabila satu ketika saya pernah melihatnya mengutip tin  walaupun dia cuba menyembunyikan wajahnya.Entah apa yang membuatnya hidup menderita dan sebatang kara seperti itu. Saya pernah menyapanya tetapi dia sepertinya  tidak mahu dikenali. Memandang saya sekilas lalu pergi.
Kini dia datang sebagai tamu saya. Kali ini berpakaian lebih rapi dan membawa kertas kerja, yang katanya penting dan sudahpun mendapat perhatian daripada Nasa dan sebagainya.
Beliau hanya mahukan surat sokongan daripada kerajaan untuk menjayakan programnya yang bukan alang kepalang itu.
Saya memandangnya walaupun dalam hati saya agak sedih dan terharu. Bagaimana mungkin dia boleh sampai ke tahap pemikiran yang sebegitu.Saya sedih memikirkan mungkin dia sedang berhalusinasi.Saya tidak pasti.
Saya memberi saranan agar kertas kerja jangan diperlihatkan kecuali jika kertas kerja itu sudah diperhalusi dan itupun sesudah dia mendapat khidmat nasihat profesional supaya ideanya itu tidak sia-sia.
Mujurlah dia menerima pandangan saya itu sambil mengangguk-angguk.Sebenarnya sebelum itu dia sengaja bercakap agak kuat tetapi kerana suara saya agak perlahan dan memandangnya tepat di matanya, akhirnya dia hanya tunduk mendengarkan dengan takzim. Syukurlah.
Simpan baik-baik proposalmu ini kerana ia patut dianggap sebagai rahsia.Beliau nampaknya berpuas hati sambil terus mengatakan bahawa projeknya itu mendapat perhatian luar negeri.
Apa yang membuat tamu saya itu sampai ke tahap itu? Saya masih juga tertanya-tanya. Katanya dia mahu buat kenyataan media itu untuk menyokong progam angkasa lepas dan dia kini sudah mendapat hak untuk memagar tanah di planet marikh. Luar biasa.
Bukan sebarang orang boleh tinggal di planet marikh sana, katanya.