Khamis, 31 Disember 2015

CATATAN MENGENAI KERLIPAN KUNANG-KUNANG

Tags

CATATAN MENGENAI KERLIPAN KUNANG-KUNANG


Saya tidak ingat orang Arab itu datang dari mana. Jordan atau Syria.Tetapi mereka tidak percaya apabila diberitahu oleh pemandu pelancong bahawa apa yang mereka saksikan itu ialah kunang-kunang.
Ketika itu kami menyusuri Sungai Klias bersama pelancong Eropah, Jepun dan pelancong Arab.Hari sudah malam dan kelam. Mereka menyangka bahawa syarikat pelancong atau orang-orang di sekitar sana sengaja memasang lampu krismas. Pelancong itu menyangka mereka hanya dikelentong.

Kerana itu, pemandu pelancong mengarahkan pemandu bot kami untuk mendekati pokok yang dipenuhi ribuan atau jutaan kunang-kunang itu.
Setelah mereka melihat dari dekat kunang-kunang itu, barulah mereka percaya mengenai kewujudan kunang-kunang itu.
Keindahan kerlipan kunang-kunang itu juga membawa ribuan pelancong ke kampung kami, di Kampung Tamau, Kota Belud. Juga di kampung-kampung sekitarnya seperti Kampung Rampayan Laut.
Saya teringat ketika kecil, kami suka menangkap kunang-kunang selepas balik dari rumah pakcik untuk mengaji Quran. Kerlipan cahaya kunang-kunang itu menarik. Tetapi mengapa cahaya yang indah boleh keluar dari buntut kunang-kunang itu.


Pernah satu ketika, saya mendengar dari seorang rakan yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan bahawa pokok yang dihuni kunang-kunang itu tidak boleh ditebang kerana dikhuatiri haiwan itu akan pupus. Khabarnya, pembinaan jalan raya juga dilarang di tempat yang mempunyai kunang-kunang.
Oleh itu, apabila Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekutar, Datuk Seri Masidi Manjun bercakap mengenai kunang-kunang, dalam satu seminar mengenai Kunag-Kunang dan Kelestarian Pelancongan di UMS, perkara itu segera mengingatkan saya kepada pelancong dari Arab yang tidak percaya mengenai kewujudan kunang-kunang itu.
Masidi mengarahkan agar jumlah pelancong yang melihat kunang-kunang pada satu-satu masa dihadkan agar ekosistem kunang-kunang tidak terganggu aktiviti manusia. Beliau juga mahu agar pengusaha pelancongan di Sabah menggunakan penggunakan pengangkutan yang mesra alam ketika membawa pelancong menyusuri sungai untuk menyaksikan keindahan kunang-kunang.
Beliau bimbang pengangkutan yang menggunakan petrol atau diesel boleh mengganggu ekosistem kunang-kunang.Sebaliknya penggunaan pengangkutan kuasa bateri mungkin boleh mengurangkan gangguan kepada kelestarian prooduk pelancongan itu daripada pupus.
Bilangan kunang-kunang di Klias Beaufort sudah berkurangan, kata Masidi, mungkin kderana ia tidak dimanfaatkan secara sistematik dan terkawal.
Dalam seminar itu juga, Masidi meminta saintis menjalankan kajian terperinci berhubung ekosistem kunang-kunang itu untuk dijadikan panduan dan rujukan bagi memelihara serangga yang dapat mengeluarkan cahaya yang jelas pada waktu malam itu daripada pupus.

Kita mahu mengenali kunang-kunang ini dari segi saintifiknya, kata Masidi. Apa yang patut dan tidak patut dibuat oleh manusia untuk mengekalkan habitat dan pembiakan kunang-kunang ini.

"Bayangkan, kalau habitat semulajadinya tidak dijaga, sudah tentu bilangan kunang-kunang akan terus berkurangan," kata Masidi.
Persoalan mengenai kunang-kunang ini menarik kerana ia adalah salah satu haiwan yang diancam kepupusan. Jika dahulu, amat mudah kita melihat kunang-kunang berkelipan di waktu malam, tetapi kini ia semakin tempatnya semakin jarang.


Jika tidak dijaga, kemungkinan sepuluh tahun akan datang, kunang-kunang hanya tertinggal dalam kamus perbendaharaan kata, anak-anak cucu kita tidak dapat lagi menyaksikannya.